RAMAH MESRA MEMBINA PERSAHABATAN SEJATI ANTARA INSAN

>> Thursday, February 20, 2014









RAMAH MESRA MEMBINA PERSAHABTAN SEJATI



Madah Suci

“Ikatlah tautan Iman: 
Taat kerana Allah, 
bermusuh kerana Allah, 
kasih kerana Allah 
dan membenci kerana Allah”. 
aL-Hadis.

                                                                         





Para tetamu wajar dilayan dengan baik
demi keselesaan mereka





Andainya kita menyukai seseorang, atau mengasihi seseorang secara ikhlas dan jujur, sudah pasti kita akan berusaha untuk menyukakannya. Berusaha untuk menyenaNgkan hatinya. Justeru kita pun bersikap ramah mesra terhadapnya.


Sebagaimana jadinya, jika kita mencintai suami kita, niscaya kita akan melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan hatinya. Demikian juga jika kita mengasihi isteri kita, sudah tentu akan melakukan sesuatu yang menyenangkan hatinya. Bersikap ramah dan mesra itulah rahsianya.


Tapi kita patut mulai dengan bertanya, bagaimana kita boleh menyukai seseorang? Sebab biasanya, bukan semua orang yang baru kita kenali atau temui, menjadi kesukaan kita? Ada dari mereka yang tidak kita sukai, malah kita benci pun kepada mereka. Kita bukan sahaja tidak mampu melihat muka mereka lagi, malah mendengar namanya pun kita dah naik muak, hendak muntah.


Ada beberapa faktor yang mempengaruhi kita untuk menyukai atau tidak menyukai seseorang. Mengasihi atau membenci seseorang. Faktor inilah yang membentuk sikap kita menyukai atau membenci seseorang. Faktor inilah yang menentukan cara kita memilih kawan-kawan dan sahabat-sahabat, teman seiring jalan.


Salah satu sebab kenapa kita tidak menggemari seseorang ialah mungkin kerana orang itu memiliki sifat-sifat yang bebeza dengan orang lain atau berlainan dari kebiasan menurut ukuran eteka yang standard. Walaupun sikap mereka itu tidak meganggu atau menjadi ancaman kepada keharmonian hidup kita, kita tetap tidak meyukai mereka.


Justeru untuk mencegah kita daripada mengambil sikap yang tidak wajar, membenci atau tidak menyukai seseorang, kita mestilah mempunyai sikap yang berbeza untuk tidak suka mencari kesalahan orang lain yang kita temui atau hubungi. Malah kita hendaklah mencari sebaliknya, iaitu nilai-nilai tersembunyi yang sebaik-baiknya yang dimiliki oleh seseorang itu, bukannya menggorek sifat-sifat buruk, yang menyakitkan hati kita, sifat-sifat yang boleh  menganggu dan tidak kita sukai pada diri seseorang itu.


Usahakanlah mencari sesuatu  kebaikan yang boleh dibanggakan daripada seseorang. Tidak kira bagaimana keadaannya sekalipun. Kerana tidak mungkin seseorang itu memilki semua sikap yang negatif, dari hujung kaki sampai ke hujung rambut. Bagaimana dengan mata dan telinganya?


Umpamanya jika anda bersama dengan seorang yang agresif. Sifat utama orang seperti ini ialah cekal dan berani. Terimalah sikap ini. Inilah sifat yang harus anda akui dan pelajari daripadanya untuk melengkapkan diri anda sebagai seorang insan yang berjaya.


Jika orang yang ada bersama dengan anda itu seorang yang rewel atau cerewet, sudah tentu dia seorang yang rapi dan bersih, maka sifat inilah yang harus anda terima dan contohi daripadanya.  Ia berguna untuk anda dalam membentuk sebuah kehidupan yang harmonis.


Jika orang yang bersama dengan anda itu seorang yang kasar, sudah tentu dia akan berusaha keras untuk mengawal dirinya daripada menimbulkan kemarahan orang kepadanya dengan sikapnya itu. Sifat sabar ini satu sifat yang mulia yang harus dipelajari daripadanya dan untuk dijadikan pakaian kita untuk hidup dengan aman damai..


Demkianlah seterusnya, di mana sikap positif inilah yang wajar kita cari dan pelajari daripada setiap orang yang kita temu sepanjang hayat kita ini. Bukan sebaliknya sengaja mencari-cari  dan membongkar-bongkar sifat-sifat tercela mereka untuk kita benci dan kutuki dan kita singkirkan mereka daripada kalangan kita.


Ingatlah! Jika kita bencikan seseorang, maka demikian jugalah orang akan  bencikan kita. Jika kita tidak sukakan seseorang, maka demkian jugalah orang tidak sukakan kita. Sejauh mana kita bencikan seseorang, maka sejauh itulah orang bencikan kita.  Sejauh mana kita tidak sukakan seseorng, maka sejauh itulah orang tidak sukakan kita. Demikianlah undang-undang alam. Fitrah alam. Beri dan terima. Kalau kita tanam lalang, takkan jagung yang tumbuh?


Kalau kita letakkan kenyataan-kenyataan itu di layar fikiran kita, dan sentiasa menilitinya, sudah tentu dengan mudah kita akan bertindak dengan saksama dan memberi penilaian yang wajar ke atas seseorang, bukannya berdasarkan nafsu tamak haloba kita sahaja.


Untuk berlaku ramah mesra dengan orang, kita mestilah menjadikan diri kita seorang yang mudah memahami dan menyedari gerak hati orang lain.  Kalau kita bersikap sensitif dengan kehendak dan kemahuan kita terhadap orang lain, maka demikian jugalah kita mesti memberikan tindakbalas kita yang sama dan wajar terhadap kebutuhan orang lain juga.


Umpamanya kita mestilah dengan pentas menyedari bila seseorang ingin bersendirian dan tidak ingin diganggu. Kita mestilah berundur dari mereka. Demikian juga jika kita merasa seseroang memerlukan simpati, maka kita hendaklah bersegera menghulurkan simpati itu sebaik-baik sahaja kita menyedarinya seserong itu memerukan simpati. Demikianlah, jika kita menyedari mereka memerlukan bantuan, maka segeralah laburkan bantuan itu kepada mereka.


Untuk membolehkan kita meyesuaikan diri kita dengan orang dan dengan suasana hati mereka, kita perlu memiliki kebijaksanaan  dan kemampuan memahami orang lain. Otak yang tumpul tidak mampu menggarapnya. Perasaan yang kasar tidak mampu mejangkaunya. Hati yang disarang tamak haloba, akan menjadi hijab untuk memahaminya.


Bila kita sukakan seseorang dan ingin berlaku ramah mesra dengannya, maka sudah tentu  kita merasa ingin melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan hatinya. Melakukan seusuatu yang boleh menyenang hatinya. Boleh membahagiakannya. Boleh memberikan kepuasaan kepadanya.


Kita akan mengirim ucapan salam kepadanya bila kita mengetahui ada seseorang akan menemuinya. Ataupun terus menelefon kepadanya mengucapkan tahniah kepadanya jika dia atau keluarganya berjaya meraih sesuatu kejayaan, seperti anaknya mencapai kelulusan cemerlang dalam peperiksaan atau berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi, atau sebaliknya mengucap balasangkawa kepadanya jika mendapat berita sedih, atau terus menziarahi rumahnya jika tidak ada halangan. Menghadri jemputannya dengan ikhlas jika diundang, dan melayan mereka dengan sebaik-baiknya pula bila mereka bertandang ke rumah.


Tegasnya kita mengkongsikan segala suka dan duka mereka, dan kita keluar dari kepumpung diri kita yang suka mementingkan diri sendiri, mengutamakan diri. Duka mereka adalah duka kita. Susah mereka adalah susah kita. Cubit paha mereka, maka sakitlah jugalah paha kita.


Persahabatan selalu diperatkan 
untuk mendapat keberkatan



Itulah Islam. Itulah sebahagian daripada ciri-ciri yang menyusun kerangka-kerangka cinta dalam Islam. Cinta kerana Allah. Islam mengajar kita mencntai orang lain, seperti kita mencintai diri kita sendiri.


Rasulullah SAW. bersabda:


“Tidak beriman seseorang daripada kamu, sehinggalah dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri”.


Andainya kita tidak benar-benar ikhlas mengambil perhatian terhadap apa yang berlaku di sekitar sahabat-sahabat kita, ertinya kita mementingkan diri kita sendiri. Kita tidak ikhlas dalam menjalin persahabatan dengan mereka. Kita hanya berlaku baik dan mesra dengan orang. bila kita merasa selesa, atau ketika ianya boleh memberi manfaat atau keberuntugan kepada kita baik dari segi kerohanian atau kebendaan.


Dengan bertindak demikian, ertinya kita pilih kasih, atau kata orang-orang tua mengamalkan sikap pilih bulu. Sikap yang jelik sekali. Kalau ia dilakukan oleh orang bawahan terhadap ketua atau bosnya, maka dia dikatakan kaki bodek. Jika dilakukan oleh orang yang ada kepentingan dengan seseroang, maka dia dikatakan tukang ampu, pencari kesempatan. Sebahgian daripada sifat tercela.


Sedangkan kita sewajarnya bersikap adil kepada setiap orang, tanpa pangkat atau darjah, sama belaka. Tiada pilih kasih. Tiada pilih bulu. Bulu tetap bulu, dan yang berbeza hanya warna dan bentuknya sahaja.


Ingatlah lambat bangat, orang-orang akan  mengetahui atau menyedari sikap sebenarnya kita terhadap mereka, terutama sikap yang tidak ikhlas dan tidak jujur, sikap bermuka-muka kerana kepentingan diri sendiri. Akhirnya mereka akan mencemek kita, menjadikan kita bahan lawak, dan menjadikan kita objek sendaan di belakang kita dan akhirnya akan membuangkan kita.


Jadilah hamba Allah yang boleh dipercayai. Kata-katanya boleh dipegang, Janji-janinya boleh dipakai. Tidak mengkhianati pesan orang. Tidak memusnahkan kepercayaan orang. Jujur dan ikhlas. Jadilah manusia yang boleh diharap sepanjang masa. Katanya dikotakan. Manusia yang akan sentiasa ada di saat-saat yang diperlukan. Jika sahabat rebah ke kiri, anda rebah ke kanan. Jatuh dan bangun bersama dalam mengharung lautan samudara kehidupan yang luas ini.


Permudahkan diri  kita untuk dijadikan sahabat, rakan yang jujur dan ikhlas, yang tidak suka mengambil kesempatan atas kelemahan dan kemalangan yang menimpa orang lain.


Sesungguhnya sahabat sejati adalah sahabat yang dibutuhi. Sahabat yang diperlukan. Sahabat yang ada tanpa dipinta. Sahabat yang muncul tanpa dikelo. Itulah walau pun harta kekayaan  itu dapat membuat dan menghimpun sahabat sekeliling pinggang, tapi kesusahan atau penderitaan yang menimpa akan menjadi batu ujian untuk membuktikan ketulenannya.

Insya-Allah dengan berbuat demikian, anda akan menjadi sahabat sejati yang akan dikenang sepanjang zaman dari dunia hingga ke akhirat.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP