KECEWA: CARA-CARA UNTUK MENCEGAHNYA
>> Monday, February 3, 2014
KECEWA?: DAN CARA-CARA UNTUK MENCEGAHNYA.
_________________________________________________________________________________
SEORANG LELAKI [MUNGKIN
JUGA SEORANG WANITA] YANG DILANDA OLEH KEHAMPAAN DAN KEKECEWAAN YANG TELAH
MENGANGGU KETENTERAMAN HIDUPNYA. DIA MUNGKIN TIDAK SEDAR KENAPA DIRINYA BERADA
DALAM KEADAAN YANG MERUGIKAN DAN TIDAK TAHU UNTUK MENGATASINYA. KENAPA?
__________________________________________________
LELAKI itu sebenarnya tidak mengetahui apa yang ingin dilakukannya, kerana
dia tidak mengetahui apakah matalamat hidupnya yang sebenar. Dia tidak mengetahui
apakah yang dikehendakinya. Dia bertindak, tapi dia tidak mengetahui untuk apa
dia bertindak? Dia tidak mengetahu apakah sebenar yang dicarinya?
Sebaliknya, dia mungkin mengetahui matlamat hidupnya. Mengetahui tujuan hidupnya. Mengetahui apa yang hendak dicapainya dalam hidup. Menyedari apa yang diperjuangkannya.
Untuk berjasa kita mesti
mempunyai matlamat yang jelas,
wajar, logik dan praktikal
Tapi malangnya dia tidak pula mengetahui sejauh mana kemampuan yang dimilikinya untuk mencapai matlamat hidup yang diburunya itu? Dia tidak mengetahui adakah matlamatnya itu sejajar dengan kebolehan yang dimiliknya atau tidak?
Sedangkan untuk berjaya, untuk mendapat apa-apa yang menjadi cita-cita dan harapan, yang menjadi matlamat hidup, maka matlamat itu mestilah sebuah matalamat yang jelas, wajar, logik dan praktikal sejajar dengan kemampuan diri seseorang. Dengan itu barulah kita mempunyai peluang yang lebar dan adil untuk meraih kejayaan.
Berusaha melakukan sesuatu yang di luar kemampuan, ibarat kata orang-orang tua, “Kail hanya panjang sejengkal, tapi laut yang dalam hendak di duga”. Perkara yang mustahil. Sia-sia. Melakukannya bererti sengaja menempah kegagalan dan kekecewaan yang boleh meremukkan hati walaupun hal itu kecil dan tidak bererti apa-apa sebenarnya.
Seseorang mungkin menyedari bahawa dia sedang melakukan sesuatu yang berada di luar kemampuannya, tapi kerana didorong oleh nafsu mahu berlagak-lagak dan menunjuk-nujukkan kepada orang lain, kononnya dia seorang yang cekap dan pandai, memakasa dia melakukan perkara itu, walaupun dia sedar di luar daya kebolehan dan kemampuannya; dan akhirnya melorongnya kepada landaan kekecewaan dan kehampaan yang tidak sepatutnya berlaku.
Justeru setiap matlamat atau sasaran yang hendak diraih mestilah sebuah matlamat yang mulia dan unggul, bernilai dan bebas dari bermatlamatkan kerakusan dan kerana kepentingan diri sendiri semata. Kita ambil sebuah contoh yang mudah, seorang lelaki berusaha keras untuk memaju dan mempertingkatkan kehidupannya, hendaklah dengan tujuan untuk kebaikan isteri dan keluarga yang dicintainya. Ini bererti ia mempunyai tujuan dan matlamat yang mulia dan tidak mementingkan dirinya sendiri semata-mata. Dia tidak ada dalam senarai golongan manusia yang rakus dan tamak dan haloba.
Sebuah contoh lagi tentang manusia yang tidak tamak dan haloba demi kepentingan dirinya sendiri. Seorang wanita dan juga seorang isteri yang mulia. Sebagai seorang isteri dia bercita-cita untuk menjadi seorang isteri yang baik, seorang ibu yang ideal dan juga seorang suri rumah yang mulia. Dengan itu dia melaksanakan segala tugas rumahtangga dengan bersungguh-sungguh serta ikhlas sebagai seorang isteri dan ibu. Dia merasa gembira dan puas hati bila melihat segala usahanya itu menyenang dan menggembirakan orang-orang yang menjadi sasaran usahanya itu, suami dan anak-anaknya yang dicintai. Isteri seperti itu sudah tentu kurang merasa sedih atau kecewa jika dibandingkan dengan orang-orang yang bekerja kerana kepentingan diri sendiri dan kerana prestasinya semata-mata.
Kita sentiasa terdedah kepada kekecewaan
kiranya kita hanya memusatkan pada
diri kita sendiri sahaja
Kita akan sentiasa terdedah kepada rasa kekecewaan dan kehampaan, andainya kita hanya menumpukan kepada diri kita sendiri sahaja. Memusat kepada diri kita sahaja. Andainya kita membuat kesilapan, atau tidak mencapai kejayaan sebagaimana yang kita harap-harapkan atau menghasilkan kerja yang kurang bermutu, atau terpakasa menghadapi teguran, kecaman dan keritikan, atau terpakasa memperbaikinya semula, menyebabkan kita merasa terhina yang akan melempar kita ke lubuk keaiban, kehinaan dan kemarahan yang membakar.
Andainya kita menjalankan sesuatu pekerjaan dengan sepenuh hati, dengan penuh kesungguhan, dan ikhlas nescaya kita akan menjadi begitu berminat dengan pekerjaan yang sedang kita lakukan, dan ini menyebabkan kita tidak akan mengambil peduli apa pandangan orang terhadap kita. Tujuan kita adalah untuk mencapai matlamat murni yang menjadi sasaran kita. Untuk berjaya. Dalam hal ini diri kita tidak penting, kerana yang pentingnya ialah matlamat yang menjadi tumpuan kita. Perjuangan kita. Tidak ada sebarang kritik, teguran, kecaman atau pembetulan yang terpakasa kita laku dapat mematahkan semangat kita, melemahkan perjuangan kita. Kita ingin belajar, dan kesukaran adalah sebahagian daripada pembelajaran itu dan ianya merupakan satu cabaran yang merangsang kita untuk berjuang dengan lebih gigih lagi.
Kita juga hendaknya jangan lupa, bahawa kita akan merasa kecewa dan hampa, andainya kita tidak suka atau benci melihat orang lain maju, lebih-lebih lagi kalau kejayaan yang mereka capai itu, menyebabkan kita kelihatan corot jauh di belakang mereka. Sebaliknya andainya kita menganggap perlawanan untuk berjaya itu sebagai suatu perlawanan persahabatan yang berlangsung dalam suasana kemesraan, menyebabkan kita merasa tenteram dan gembira dan akan berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh dan hati yang riang gembira.
Tapi sebaliknya jika kita menyimpan hasad dan dengki menyebabkan kita menjadi tidak keruan, tidak tentu hala, menjadikan rakus persis babi dan tidak dapat bekerjasama dengan orang lain, dan ini boleh menganggu dan mengharu-birukan orang lain persis sebagaimana kita alami juga. Dengan itu bererti kita telah dikuasai oleh nafsu yang rakus, kita bukan sahaja tidak suka dengan kejayaan dan kerberuntungan orang lain, malah merasa kejayaan dan kerberuntungan orang lain itu sepatututnya menjadi milik kita. Kita merasa kita berhak ke atasnya. Juteru itu perjuangan hidup kita menjadi lebih sengit kepada kita lebih daripada sewajarnya, kerana jiwa kita telah dicengkam oleh nafsu yang rakus untuk mengatasi orang lain.
Kita juga harus sedar bahawa adalah satu kesilapan besar jika kita menjadikan asas kebahagian dan kejayaan kita semata-mata kepada pendapatan yang kita perolehi dan kepada kemampuan kita untuk membeli barang-barang dan harta benda. Kepada sesetengah orang, mereka merasa kecewa, andainya mereka tidak mempunyai kemampuan untuk hidup sejajar dengan sahabat-sahabat atau jiran tetangga mereka. Mereka merasa kecewa andainya mereka tidak mampu untuk bergerak bersama-sama dengan orang ramai. Mereka merasa segan untuk memakai baju tahun lepas. Merasa tidak puas hati dengan kereta yang sedia ada, dan tidak mampu berpada-pada dengan apa yang ada. Kepada mereka hal-hal ini semua merupakan ubat kelat pahit untuk ditelan. Dan kepada mereka menelannya bererti kegagalan dan ketewasan dalam perjuangan yang tidak diingini.
Alangkah gampangnya kepada kita untuk kehilangan pandangan yang wajar dalam menilai sesuatu yang benar-benar penting andainya kita telah kehilangan daya atau deria kemampuan menilai. Kita sepatutnya menendang beban-beban berat kebendaan yang diingini yang membebankan kita selama ini.
Cara yang sebaik-baiknya untuk tidak ditimpa oleh kehampaan dan kekecewaan ialah dengan tidak mecemburi orang lain. Tidak cemburukan sesiapa pun. Ingatlah walaupun kita mungkin banyak kekurangan, tapi kita telah memiliki banyak. Banyak yang telah Allah kurniakan kepada kita. Kejayaan tanpa kesihatan yang baik adalah tidak bermutu. Sedangkan dalam realitinya banyak orang-orang yang berjaya kesihatannya merosot jika dibandingkan dengan kita. Wang tanpa cinta dan kasih sayang adalah olok-olok. Banyak orang yang berjaya dari segi material, kaya raya, tapi rumahtangga mereka bergoncangan atau porak peranda, Dan banyak lagi hal-hal yang dapat dijadikan contoh teladan. Justeru andainya kita tidak mampu memiliki semua perkara yang kita kehendaki, fikirlah bagaiama kerseronakan yang kita alami bila kita mampu memiliki sesuatu yang kita kehendaki itu. Walaupun tidak semuanya. Bersyukurlah kepada Allah yang Maha Pemurah yang selalu melimpahkan rahmatnya kepada kita.
Diri kita tidak penting,
kerana yang pentingnya ialah
matlamat yang menjadi sasaran kita
Kita akan merasa kecewa dan hampa jika kita terlebih dahulu merasa keletihan dan kelesuan memikirkan semua kerja yang terpaksa kita lakukan. Malah kehampaan itu akan meningkat, kiranya kita percaya hanya kita sahaja yang dapat melakukan kerja-kerja tersebut, dan tidak ada sesiapa pun lagi dapat melakukan mana-mana bahagian kerja itu selain dari kita, atau mampu melakukannya dengan betul, atau mampu melakukannya sebaik yang kita mampu melakukannya. Tidak ada orang yang merasa begitu hampa dan kecewa sebagaimana seorang yang kelesuan cuba melakukan terlampau banyak perkara seperti itu.
Jadilah manusia yang sistemetik. Utamakan perkara yang penting terlebih dahulu, dan tutuplah mata kita rapat-rapat tentang kerja-kerja yang selebihnya. Simpan tenaga kita untuk kerja-kerja yang penting. Yang dulu didahulukan dan yang kemudian, dikemudiankan. Ini adalah sikap yang bijaksana. Dan ini dapat mengelak kita daripada merasa letih lesu yang akan melemparkan kita ke neraka kehampaan dan kekecewaan akibat nafsu kita ingin menjadi adiwira [superman] lebih dari orang lain yang kita anggap lemah dan tidak berdaya. Tidak hairanlah andainya kita menderita kerananya.
Insya-Allah jika kita dapat mengikuti petua ini kita tidak perlu lagi untuk merasa kecewa dan hampa di masa-masa akan datang.Ia mudah untuk dibaca dan difahami, tapi memerlukan ketabahan untuk merealitikannya.
Berkaitan:
PEKERJAAN ANDA:
CINTAILAH IA
0 comments:
Post a Comment