BILA ANDA MERASA TERTEKAN DAN MOYOK

>> Tuesday, February 25, 2014







                                                         JEMBATAN MERAH

BILA ANDA MERASA TERTEKAN DAN MOYOK


-“Tidak ada eskalator dapat  melarikan anda kepada kejayaan.  Setiap anak tangga mesti didaki”. B. G. Forbes.

-“Takutkan bahaya sepuluh ribu kali ganda lebih menakutkan daripada bahaya itu sendiri”. Daniel Defore.

-“Sikap ‘saya boleh” yang dipertahankan hari demi hari, tidak dapat ditumpaskan. Itulah falsafah kejayaan. ‘Saya tidak boleh” adalah falsafah kegagalan. Gugurkan pekataan “saya tidak boleh”, daripada perbendaharan kata” anda. Jika anda berbuat demikian, satu perasaan baru dan positif  segera mengambil alih tempat fikiran-fikiran negatif”. Harlod Sherman






                        Sibukkan diri dengan melakukan kerja-kerja berfaedah

 
Dalam menjalani kehidupan setiap hari, biasanya kita akan menempuh berbagai-bagai pengalaman. Ada pengalaman yang sengaja dicari. Dan sebaliknya ada pula pengalaman yang mendatang sendiri, tanpa di cari. Ia datang begitu sahaja, tanpa diundang. Ada pengalaman yang disukai dan sebaliknya ada pula pengalaman yang tidak di sukai, malah dibenci.


Kebiasaannya pengalaman-pengalaman itu ada yang tidak memberi apa-apa kesan kepada perasaan atau hati kita. Ia datang dan terus berlalu seperti laluan angin. Hilang lesap entah ke mana. Ada pula pengalaman-pengalaman berjaya mengusik hati kita untuk tersenyum dan ketawa kegembiran atau kegelian.


Tapi sebaliknya ada pula pengalaman-pengalaman pahit yang boleh mencukakan hati. Memakan masa yang lama untuk hilang. Malah ada di antaranya boleh mempengaruhi perasaan dan hati kita. Mengubah kenormalan hidup kita, menyebabkan kita tersadai dalam lautan kemurungan dan tertekan. Akibatnya kehidupan kita menjadi tidak selesa, tidak tenteram dan terpendap.


Jika sesiapa terjerumus dalam keadaan kemurungan dan tertekan, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan dan diambil tindakan, sebagaimana dijelaskan oleh pakar psikologi.


Cara-cara Untuk Menghadapi Moyok Dan Tertekan:


Pertama: Jangan sama sekali kita berfikir bahawa ianya berpunca daripada kesilapan orang-orang lain yang telah bertindak tidak wajar.

Sebaliknya hendaklah kita sentiasa ingat bahawa orang lain tidak bertanggung jawab di atas apa yang berlaku ke atas kita. Ingatlah apa yang berlaku di luar sana, tidak dapat memberi apa-apa kesan kepada kita, baik kecil atau besar, kerana apa yang memberi kesan ke atas kita ialah reaksi yang kita berikan ke atas apa yang berlaku itu. Apakah tindak balas yang telah kita lakukan ke atasnya? Itu yang penting.

Mempersalah keadaan sekeliling kerana tidak menyenangkan kita, mermpersalahkan orang lain kerana tidak memuaskan hati kita, tidak akan memberi apa-apa faedah, tidak dapat mengubah keadaan, malah boleh menyulitkan lagi kedaan kita.

Sebaliknya berfikir dan berusaha mengatasinya akan lebih memberi makna dan faedah kepada kita untuk mengatasi perkara yang tidak menyenangkan kita itu, iaitu hal-hal yang telah menganggu perasaan dan hati kita.. Apa yang wajar kita lakukan, lebih penting daripada apa yang kita fikirkan tentang perbuatan orang lain dan menyalahkan mereka.

Dua: Jangan sama sekali berfikir orang menyedari apa yang berlaku ke atas kita dan berharap mereka akan memberi perhatian yang lebih kepada kita.

Sedarlah kebanyakan orang terlalu sibuk dengan diri mereka sendiri untuk mengambil tahu dan memikirkan hal orang lain. Hal isteri, hal suami, hal anak-anak, hal jiran tetangga, hal-hal kerja, hal-hal kesihatan mereka sendiri dan banyak lagi lebih memenuhi otak mereka daripada menghabiskan masa untuk berfikir tentang masalah kita yang tidak ada sangkut paut pun dengan mereka.

Tiga: Jangan fikir terlampau jauh ke hadapan dan menaruh kebimbangan terhadap masa hadapan yang masih berada di alam ghaib.

Sebaliknya adalah lebih baik kepada kita untuk  menyelesaikan masalah yang timbul hari ini pada hari ini juga. Jangan bertangguh-tangguh. Lakukan dengan sebaik-baiknya apa yang dapat kita lakukan, dan hari ini adalah untuk hari ini. Malah jam ini adalah untuk jam ini. Satu jam lagi kita masih belum pasti apa yang sebenarnya akan berlaku. Hadapilah saat ini dengan wajar dengan bertaukal kepada Allah dan berdoa untuk kebaikan.

Empat: Jangan biarkan hidup kita berada berada dalam keadaan murung dan tertekan seperti itu.

Jangan biarkan hidup kita dalam keadaan hanyut tanpa hala dan tujuan. Jangan duduk menongkat dagu dalam kemurungan dan kesedihan yang tidak berhujung. Sibukkan diri kita, lakukan sesuatu  yang boleh memberi faedah walau bagaimanapun buruk keadan yang sedang kita rasa sekarang. Aturlah program hidup kita dengan sebaik-baiknya dan bertindaklah sebaik-baiknya pula.

5: Jangan sama sekali berfikir orang lain dapat melakukan sesuatu untuk kita.

Ingatlah adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bangkit dan berjuang kembali mengatasi segala problam yang kita hadapi. Tanamlah minat kita terhadap orang lain dan terhadap keadaan sekitar kita. Gemarilah mereka. Cintailah mereka. Hormatilah mereka. Bersama-samalah dengan mereka. Jangan memusuhi mereka, membenci mereka. Lemparkan jauh-jauh rasa tertekan kita, dengan menaruh kasihan belas terhadap orang lain. Berusahalah menolong dan membantu mereka sambil menolong diri kita sendiri.

Enam: Jangan berfikir prasaan tertekan dan murung yang menimpa kita berlaku begitu sahaja tanpa apa-apa sebab.

Periksalah diri kita sendiri. Carilah sebab-sebabnya kenapa kita merasa murung dan tertekan? Tentu ada sebabnya pada diri kita sendiri. Pastikan.

Kita mungkin berada dalam keadaan kesihatan yang tidak cukup baik. Mungkin menghidap sesuatu penyakit yang tidak kita sedari yang menyebabkan kita mudah murasa atau sensitif, lalu melemparkan kesalahan ke atas orang lain atau kepada kedaan sekeliling yang kita rasa tidak memberangsangkan kita itu.
Atau kita mungkin berusaha terlalu keras untuk mencapai kemahuan dan cita-cita kita yang mungkin berada di luar dari kemampuan kita. Dan ini boleh meletakkan kita dalam suasana yang tidak selesa dan perasaan mudah tersinggung.

Dan mungkin juga kerana sebab-sebab lain yang perlu kita kaji untuk mencari punca-punca kita merasa tertekan dan moyok itu.

Tujuh: Jangan sama sekali berfikir kita memang wajar hidup dalam keadaan moyok dan tertekan kerana kita tidak berjaya mencapai apa-apa pun yang kita kehendaki.

Berfikir seperti itu amatlah salahnya. Dalam hal ini kita perlu berdepan dengan hakikat dan kebenaran diri kita sendri. Siapa kita sebenarnya? Bagaimana dengan peribadi kita?

Insaflah, kita merasa moyok dan tertekan kerana kita tidak dapat menerima diri kita sendiri yang sebenarnya, dan demikian juga kita tidak dapat menerima orang lain, sebagaimana keadaan mereka yang sebenarnya. Kita seharusnya menerima hakikat diri kita. Kemampuan dan kelemahan kita sebagai manusia. Menerima orang lain sebagaimana keadaan mereka yang sebenarnya, dan tidak mengharap diri kita serupa seratus peratus dengan kehendak kita, sebagaimana kita tidak mengharap orang lain  menjadi seperti yang kita harap-harapkan. Mereka tetap mereka. Begitulah keadaannya.
Terimalah diri kita, dan terimalah diri orang lain sebagaimana ianya. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu Insya-Allah selamat..










0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP