NAHAS JALAN RAYA YANG MENJADI IDAMAN

>> Sunday, February 9, 2014




NAHAS JALAN RAYA YANG JADI IDAMAN






                                                                                


Kita pernah mendengar orang-orang mengeluh, “Aduhai sukarnya hidup ini. Dari kanak-kanak sampai ke tua hidup tidak pernah senang. Bergelumang dengan kesusahan. Kalau begini lebih matilah dari hidup”.


Orang-orang seperti ini, kalau dia berkata dengan serius sudah tentu dia akan bertindak, meletakkan dirinya dalam kemerbahayaan yang mungkin boleh membawa maut. Oleh sebab membunuh diri itu satu perbuatan yang keji dan dikutuk, maka jalan pilihan yang mudah pada hari ini untuk membinasakan diri sendiri ialah dengan melibatkan diri dalam kemalangan jalan raya.

xx

Sebuah motokar mulai merayap perlahan meninggalkan parkir awam. Tiba-tiba, seorang wanita yang berada berhampiran berlari merempuh motokar yang  baru sahaja mulai bergerak itu. Tapi nasib baik, pemandunya seorang pemuda sempat dan cepat menekan brek, menyebabkan motokar itu terhenti secara mendadak sekadar bersentuhan dengan wanita itu. Kalau tidak dia mungkin jatuh terlentang dan mendapat nahas.

Kenapa wanita itu sanggup berbuat demikian menggadaikan dirinya dalam kemalangan? Bagi mereka yang tidak melihat bagaimana peristiwa itu tentu meyangka satu kemalangan jalan raya telah berlaku, wanita muda itu telah dilanggar oleh kereta yang dipandu oleh seorang pemuda. Sedangkan yang sebenarnya, wanita itu senghaja berbuat demikian, untuk menarik perhatian sang pemuda yang tidak memberi perhatian kepadanya, walaupun dia telah puas dirayu oleh sang gadis yang menaruh cinta kepadanya. Sang gadis berharap selepas kejadian itu dia akan mendapat perhatian dan simpati sang pemuda yang menjadi pujaannya itu.



Peristiwa-peristiwa di atas adalah merupakan sebahagian daripada warna-warna kemalangan jalan raya yang sering berlaku pada hari ini di seluruh dunia.

Malah kemalangan jalan raya adalah merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada kematian manusia di seluruh dunia. Setiap kemalangan yang berlaku, di mana-mana sahaja, baik kemalangan maut atau kemalangan biasa ia menelan perbelanjaan yang besar kepada sesebuah negara yang terlibat.


Setiap hari kita dapat membaca, mendengar malah kadang-kadang melihat kemalangan jalan raya yang berlaku di hadapan mata kita sendiri. Semoga dijauhkan Allah.


Menurut World Health Organization [WHO] kira-kira 1.26 juta kematian berlaku di seluruh dunia pada tahun 2000. Dan kira-kira 1,24 juta kematian berlaku di seluruh dunia akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2010. Separuh daripada angka kematian itu terdiri daripada pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal, dan orang-orang dewasa yang berusia antara 15 dan 44 tahun sebanyak 59 peratus. Tiga daripada empat kemtian jalan raya itu adalah terdiri dari orang lelaki.

Negara-negara Asia Tenggara dan Afrika adalah penyandang kadar yang tertinggi kematian akibat kemalangan jalan raya.

Justeru itu pakar-pakar dan orang-orang yang perihatin sering berbincang dan mencari jalan untuk mengurangkan kemalangan jalan raya itu, Mereka juga menyaran dan menggesa tindakan-tindakan pencegahan hendaklah di perbaiki dari masa ke masa untuk mengurang kemalangan jalan raya yang menimpakan kesan yang buruk kepada masyarakat dan sesebuah negara yang terlibat.


Tidak memadai dengan itu, mereka juga menyarankan supaya jika perlu tindakan-tindakan pencegahan itu hendaklah dikuatkuasakan dengan undang-undang untuk lebih berkesan dan memberi lebih manfaat. Sepertilah pihak berkuasa negara kita mengundangkan pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar kepada penunggang motosikal.


Faktor


Perkara  penting yang perlu diketahui ialah apakah faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya itu? Ya apakah sebabnya kemalangan jalan raya tidak dapat dielak daripada berlaku, malah kadang-kadang kian meningkat dari masa ke masa?


Pada umumnya ada beberapa faktor yang menyebabkan berlaku  kemalangan jalan raya. Pertama kerana faktor fizikal, dan kedua kerana faktor kejiwaan dan ketiga faktor sumbangan atau faktor di luar kawalan diri seseorang.


Faktor fizikal, seperti keadaan jalan raya yang tidak bermutu, kerana hujan lebat, kerana jalan yang berada dalam keadaan merbahaya kepada para pengguna, dan mungkin kerana keadaan kenderaan yang tidak memuaskan, seperti brek tidak berfungsi dan sebagainya..


Faktor kejiwaan pula, akibat gangguan perasaan atau gangguan keruhanian yang tidak terkawal, seperti perasaan marah atau dendam yang meluap-luap boleh menjadi punca kepada sesuatu kemalangan.


Dan ketiga pula faktor di luar kawalan, seperti penunggang motosikal dilanggar oleh sebuah lori atau treler dari arah belakang. Ataupun ketika seorang lelaki memandu sebuah kereta melalui sebuah kampung, tiba-tiba keluar secara mengejut tiga ekor lembu melinatas jalan; sang pemandu kereta tidak dapat mengelak, lalu melanggar lembu-lembu itu menyebabkan kemalangan jalan raya, ataupun sang pemandu cuba mengelak, lalu hilang kawalan, terus melanggar tiang lampu yang menyebabkan berlaku kelanagan yang meragut nyawa.

Demikian juga menurut ahli-ahli psikologi, perasaan negatif atau buruk, kecenderungan emosi membenci diri sendiri dan keinginan dalaman seseorang yang cenderung menjadi mangsa kemalangan untuk menanggung derita adalah menjadi punca kepada kebanyakan berlakunya kemalangan-kemalangan jalan raya.

Itulah sebabnya kata mereka, kita boleh meningkatkan tindakan-tindakan keselamatan untuk mencegah kemalangan di kilang-kilang, di atas jalan raya dan juga di rumah kediaman, tapi kemalangan akan sentiasa belaku selagi manusia tidak dapat mengawal minda mereka sendiri yang dibiarkan menjarah firi mereka ke arah kemusnahan.


Seseorang mungkin merasa dirinya seorang yang begitu bodoh. Dia merasa dirinya, tidak mampu untuk melakukan sesuatu yang bernilai. Dia seorang yang tidak berguna. Jika berjaya melakukan sesuatu, dia akan merasa tidak puas hati, dan menganggap kejayaan itu hanya kerana nasib atau kebetulan belaka. Justeru itu jika semunya berjalan dengan baik, dia akan merasa hidupnya terseksa dan terhina kerana merasa tertipu dalam hdupnya di mana dia hidup bergelumang dengan penipuan kepura-puraan.


Oleh itu untuk membuktikan dirinya tidak cerdik atau benar-benar bodoh seperti anggapannya sendiri itu, dia sanggup melakukan perkara-perkara yang tidak wajar, termasuklah  perkara-perkara bodoh yang membahayakan dirinya sendiri. Antaranya dengan melibatkan dirinya dalam kemalangan jalan raya yang sepatutnya tidak berlaku.


Seorang lelaki merasa amat sedih dan kecewa dengan kematian isterinya setelah menjalani pembedahan yang serius di hospital. Dia merasa perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Dia tidak dapat menerima hakikat kematian isteri yang amat dicintainya itu. Malah dia merasa, dia sendiri lebih patut mati terlebih dahulu dari isterinya yang masih muda.


Akibatnya dia merasa, dia tidak perlu lagi hidup, nyawanya sudah tidak berharga lagi dengan ketiadaan isterinya itu. Dia ingin menghukum dirinya sendiri.

Di bawah pengaruh fikiran-fikiran yang negatif seperti itu, ketika memandu di jalan raya dia tidak merasa takut untuk terlibat dalam kemalangan, malah tidak takut mati kemalangan, menyebabkan dia memandu dengan cuai dan melulu, yang bukan sahaja boleh membunuh dirinya sendiri, tapi juga mengancam keselamatan nyawa orang lain yang tidak berdosa.


Sudah jelas terbukti bahawa di sebalik setiap kemalanagan, dan  kecuaian atau memandu dengan melulu diduga menjadi puncanya, terdapat tenaga emosi yang kuat sedang beroperasi di pendalaman minda seseorang.

Oleh itu, walaupun pihak-pihak berwajib telah melakukan berbagai-bagai tindakan pencegahan kemalangan, baik di kilang, di jalan raya atau di rumah tangga, ia tidak akan memberi banyak manfaat, sekiranya setiap orang dari kita tidak mengambil tanggungjawab sendiri untuk mengelak kemalangan daripada berlaku, di jalan raya atau di mana sekalipun.


Dalam hal ini, sangatlah penting kepada setiap orang mempunyai daya kemampuan untuk mengawal emosi mereka sendiri, dan tidak sama sekali mengizinkan emosi mereka yang liar itu memerintah atau menjarah diri mereka yang boleh menyebabkan mereka bertindak bukan-bukan atau melulu yang akan melemparkan mereka ke lubuk kebinasaan dengan tindakan-tindakan kemusnahan diri yang mereka lakukan di luar daripada kewajaran, khususnya di jalan raya.


Sesungguhnya, pada waktu-waktu tertentu, seseorang  tidak mampu mengawal emosinya, sendiri kerana sebab-sebab tertentu, malah juga mungkin membenci diri mereka sendiri dan tidak percayakan diri mereka sendiri. Mereka mungkin dapat bersabar, seperti menahan kemarahan, di hadapan orang lain, tapi ketika mereka bersendirian, memandu kereta umpamanya, kemarahan itu akan diterjemah dalam bentuk kemalangan jalan raya untuk menghukum diri mereka sendiri, sejajar dengan anggapan mereka kepada diri mereka sendiri.


Oleh itu setiap orang hendaklah mempercayai diri mereka sendiri. Muhammad dan Aminah mesti percayakan diri mereka sendiri  sebagai makhluk Allah bernama Muhammad dan Aminah. Mereka hendaklah yakin, mereka masih diterima, masih disayangi, masih ada di hati orang lain, mereka masih memiliki ruang yang mencukupi di dunia yang luas ini untuk hidup dan beranfas. Kalau mereka benar-benar boleh menerima hakikat diri mereka sendiri, nescaya mereka akan mengetahui dan menyedari, walau bagaimananya hancurnya suasana yang sedang mereka hadapi sekarang, ia mesti akan berlalu, perubahan akan berlaku, di mana suasana yang lain akan menjelma tiba, suasana baru yang akan memberi penuh pengharapan kepada mereka untuk membina sebuah dunia baru. Sesungguhnya hari esok masih ada untuk semua orang yang tidak berputus asa.


Mereka juga mesti sedar, bahawa mereka  bukannya mangsa kepada keadaan, bukan mangsa peristiwa, tapi sebaliknya mereka boleh jadi penguasa atau pemimpin yang mampu mengawasi dan memerintah suasana. Mereka sebenarnya boleh menguasai suasana. Menggembala keadaan mengikuti jalan yang mereka kehendaki. Ingatlah sikap mereka sendiri yang mereka ambil, bukannya keadaan, yang mencipta peristiwa atau kejadian yang berlaku ke atas mereka. Oleh sebab mereka yang seperti ini berulang-ulang kali membenamkan kaki mereka ke dalam lubuk lumpur sikap yang menyeleweng yang mengotori badan mereka, menyebabkan mereka kelihatan berada di bawah pengaruh dan mangsa kasihan belas suasana atau peristiwa dan akhirnya menyebabkan mereka jatuh ke dalam perangkap ketidakmampuan untuk bertindak. Jadilah mereka mangsa keadaan yang tidak diharap-harapkan.

Setelah mereka menyedari bahawa  setiap sikap yang mereka ambil merupakan kawah nasib mereka, sementara mereka berusaha mengubah dan  menukar segala sikap negatif mereka yang merugikan itu dan membawa kekuatan  yang mereka miliki itu ke arah saluran-saluran yang membina, bukannya ke lorong kemusnahan dan kehancuran seperti sebelumnya, maka sudah tentu mereka akan berjaya menukar tragedi pahit yang mungkin berlaku kepada kejayaan-kejayaan yang memberangsangkan dan meraih kemenangan dalam perjuangan hidup mereka  yang beraneka corak dan ragam ini.


Dengan itu mereka tidak lagi perlu bertindak dungu, melemparkan diri mereka sendiri ke dalam kancah-kancah tindakan-tindakan merbahaya dan merugikan, dengan melibatkan diri mereka dalam kemalangan jalan raya dan seumpamanya yang berlaku sepanjang masa sejak jalan-jalan raya dibina di seluruh dunia.

Dengan sikap membina seperti itu ketika berada di jalan raya, barulah mereka mampu melihat dan mempraktikkan aneka slogan keselamatan jalan raya yang dipacak di pinggir-pinggir jalan raya di seluruh negara, di samping banyak lagi slogan-slogan  dibina oleh pihak-pihak berkuasa tempatan untuk memimpin pengguna-pengguna jalan raya supaya memperolehi keamanan dan keselamatan ketika berada di jalan raya:

BERHATI-HATI DI JALAN RAYA

 PATUHI HAD LAJU

KELAJUAN MEMBUNUH

PANDU, TUGNGANG DAN JALAN DENGAN SELAMAT

ANDA MAMPU MENGUBAHNYA

Dan lain-lain.

Insya-Allah semua kita akan selamat!

                                                                                
                                                                             











0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP