KISAH CINTA DALAM AL-QURAN, BUKA HIJAB CINTAI ILAHI

>> Wednesday, February 5, 2014




KISAH CINTA DALAM AL-QURAN: BUKA HIJAB CINTA ILAHI

  
“CINTA BAGAI SUMBER MATA AIR BESAR, YANG MEMANCARKAN AIR AGUNG, YANG SEDEMIKIAN ITU KERANA GELORA CINTA YANG BERGEMA DI DADA ADALAH AGUNG. DIKATAKAN JUGA CINTA ADALAH KETEGUHAN, SEBAB SANG PENCINTA SEJATI, HATI DAN JIWAWNYA AKAN SELALU KONSISTEN DAN TEGUH KEPADA SANG KEKASIH YANG DICINTAINYA. CINTA ADALAH KEGALAUAN, KERESAHAN DAN KEGUNDAHAN, SANG PENCINTA AKAN DISELIMUTI RASA GALAU DAN GUNDAH DALAM MEMIKIRKAN PUJAAN HATINYA”.
MISBAH EM MAJIDY



 


Cinta!

Apakah sebenarnya cinta itu? Banyak telah dibicarakan orang tentang cinta. Baik secara langsung atau tidak langsung. Terutama sekali menerusi penulisan, artikel, majalah dan buku-buku.


Ada yang membicara cinta secara langsung dengan pentafsiran dan ulasan, dan ada pula secara tidak langsung, menerusi cerita-cerita atau kisah-kisah dalam bentuk cerpen dan novel yang membanjiri pasaran buku tanah air sejak kebelakangan ini.

Cinta ada banyak jenis cinta, tergantung kepada orang yang menyinta dan juga objek yang dicintai.

Antara aneka cinta itu, ialah cinta ibu kepada anak atau sebaliknya cinta anak kepada ibu. Cinta suami kepada isteri dan sebaliknya cinta isteri kepada suami. Cinta anak peribumi kepada tanah watannya. Cinta manusia kepada kekayaan dan harta benda. Cinta manusia kepada pangkat dan darjat. Cinta dan aneka cinta lagi.

Namun daripada segala cinta itu yang terpenting ialah cinta kepada Maha Pencipta, Allah S.W.T. Untuk berada di jalan selamat semua cinta itu hendaklah berpaksi kepada cinta Ilahi. Ertinya mencintai Allah dan cinta kerana Allah. Semua cinta mestilah bermuarakan cinta Ilahi.

Kata-kata mencintai Allah mungkin lebih mudah difaham daripada cinta kerana Allah. Saya sering ditanya orang dari masa ke masa, bagaimanakah yang dikatakan cinta kerana Allah itu? Bagaimana hubung kaitnya antara cintakan sesuatu atau seseorang itu dengan cinta kerana Allah?


Jawapan kepada pertanyaan tersebut terdapat dalam buku KISAH CINTA DALAM AL-QURAN hasil nukilan Misbah Em Majidy. Buku itu bukan sahaja membuat hurian atau tafsiran cinta, tapi juga mengandungi contoh-contohnya sekali, apa yang dikatakan cintakan Allah dan apa yang dikatakan cinta kerana Allah dan juga yang dikatakan cinta materialstik.


Ia memulakan penafsiran cinta secara ringkas sekali. Katanya, “Secara bahasa kata cinta bererti kasih sayang. Lawan kata cinta adalah benci. Pengertian cinta adalah kecenderungan jiwa kepada sesuatu yang dilihat, dikira dan dirasa cantik”.


Buku ini mengandungi 13 bab. Ia bermula dengan bab pertama “Ragam Cinta Dalam Al-Quran” dan berakhir dengan bab tiga belas, “Hakikat Cinta”.


Pada bab lima terdapat kisah cinta seorang wanita kepada pemuda tampan, iaitu Kisah Cinta Zulaikhah kepada Yusuf as. Yang jarang kita temui ialah kisah ini berakhir dengan terjalinnya perkahwinan antara Nabi Yusuf as dengan Zulaikhah di usia tua renta mereka.


Tapi dengan kehendak Allah Zulaikhah yang tua renta dan hina tanpa harta kekayaan itu telah bertukar wajahnya  menjadi seorang wanita yang cantik jelita, ibarat gadis tujuh belas tahun. Malah dia dikatakan lebih jelita daripada masa muda-mudanya dahulu ketika masih menjadi isteri orang. Maka berkahwinlah kedua-duanya dengan izin Allah S.W.T.

Namun begitu Zulaikhah tidak bersedia untuk melayan Yusuf sebagai seorang suami. Walaupun Yusuf merayu-rayu minta dilayani untuk memenuhi hasrat kelakiannya, tapi Zulaikhah tetap menolaknya dan asyik dengan beribadat kepada Allah S.W.T.


Kepada rayuan suaminya Yusuf yang mabuk asmara itu, Zulaikhah berkata, “Dulu aku memang ghairah sampai merobek bajumu. Kerana saat itu aku belum memuarakan cintaku kepada Sang Maha Kasih. Kini muara cintaku hanya kepada-Nya. Ketahuilah wahai suamiku. Kini hatiku tidak seperti dulu lagi. Aku telah beriman dan berislam. Hatiku banya untuk Allah”.


Mengulas hal itu Misbah Em Majidy berkata, “Zulaikhah telah disinari cahaya iman dan Islam, kekasih hatinya tidak lagi Yusuf as, akan tetapi Sang Khaliq, Dialah Allah Azza Wa Jalla. Zulaikhah menemukan kenikmatan yang bukan kenikmatan jasad, namun kenikmatan rohani. Kekuatan iman Zulaikhah membuat Yusuf didera cintanya. Seperti halnya Zulaikhah yang pernah mmengoyak baju pujaan hatinya. Yusuf as juga berbuat yang sama. Maha Besar Allah. Yang mempertemukan sepasang kekasih dalam buaian cinta dan iman sejati”.




Kepada saya buku ini memang berharga untuk  dibaca untuk menguak rahsia cinta. Memahami cinta. Meniliti kisah cinta. Menilai cinta. Menentukan tempat untuk meletakkan cinta itu di tempat yang sewajarnya, supaya ianya tidak menjadi sia-sia malah merugikan si pencinta itu sendiri. Buku yang membongkar rahsia cinta yang agung, antara cinta Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Diungkapkan oleh pengarangya sebuah Hadis, riwayat Muslim yang bermaksud, “Jika Allah mencintai salah seorang hamba-Nya, Dia berkata kepada Jibril: Wahai Jibril sesungguhnya Aku mencintai si fulan bin fulan. Maka cintailah dia sebagaimana Aku mencintainya. Maka Jibril pun juga mencintai hamba tersebut. Kemudian Jibril berkata kepada penduduk langit: Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla telah mencintai Fulan bin Fulan, maka hendaknya kamu mencintai dirinya. Dan penghuni langit pun mencintai orang tersebut. Kesaksian mereka tersebut, lantas dimaklumnkan ke bumi. Malaikat Malik berkata; Ada pun jika ada laku seorang hamba yang membuat Allah marah, aku tidak menulis [dosa] mereka kecuali sepadan dengan harga kemarahannya”.HR: Muslim.

                                                                                




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP