CINTA SUCI ZAHRANA DAN BENGAWAN SOLO

>> Saturday, July 27, 2013






CINTA SUCI ZAHRANA DAN BENGAWAN SOLO

NOVEL “Cinta Suci Zahrana” adalah kisah yang berpusat kepada  seorang gadis bernama Zahrana. Latarbelakang kisah berputar di beberapa tempat, iaitu di Solo, di negara Tembok Besar Cina dan juga di tempat-tempat lain di Indonesia. Zahrana seorang gadis yang cekal dalam mengejar cita-cita untuk memburu ilmu pengetahuan hingga tercicir dalam mencari seorang teman hidup, iaitu suami, hingga usianya melewati 30-an tahun sehingga dia bergelar anak dara tua. Dalam usaha mengejar cita-cita dan memburu seorang suami inilah berbagai-bagai peristiwa telah berlaku menimpa Zaharana, gadis yang cekal, tabah dan berhati mulia ini dengan aneka kepedihan, kesedihan, kedukalaraan, kekecewaaan.

Tapi berkat ketabahan, keyakinan dan keimananya, Zahrana akhirnya telah dikurniakan seorang suami yang beberapa tahun lebih muda darinya dan juga bekas seorang pelajarnya sendiri. Di situ Zahrana menempa kebahagiannya sebagai seorang wanita yang tabah setelah dihempaskan dengan ujian dan cubaan yang bukan kepalang. Novelis Habiburrahman melukiskan kemuncak kebahagian Zahrana itu dengan madahnya, “Malam itu Zahrana sangat bahagia. Usai akad nikah Hasan mengajak Zahrana menaiki keretanya menuju hotel termewah di kota Semarang. Di dalam hotel, dengan penuh kekhusyukan Zahrana menunaikan ibadahnya sebagai seorang isteri. Ibadah yang sudah lama dia tunggu-tunggu bersama seorang suami. Di mata Hasan, Zahrana yang tampak manis dengan tudung putihnya ternyata jauh lebih manis ketika rambutnya terurai. Hanya dia yang tahu betapa manisnya Zahrana. Mereka berdua saling mengangumi, saling mencintai dan saling menghormati. Kebahagian Zahrana malam itu menghapus semua derita yang dialaminya. Tasbih selalu mengiringi tarikan nafasnya. Dia semakin yakin, bahawa Allah bersama orang yang sabar dan ihsan”.

Saya bukan hendak mengulas novel yang cantik ini. Patut dimilki oleh peminat-peminat novel, terutama dari kalangan generasi muda. Dengan itu, sudah tiga buah novel novelis hebat, Habiburrahman El Shirazy saya ikuti, dan berharap untuk memperolehi novel-novel beliau yang lain lagi. Namun begitu saya bukan seorang pengulas novel, tapi seorang pembaca biasa yang mencari butir-butir taburan-taburan ilmu yang mungkin terdapat dalam novel-novel seperti ini, di samping menerokai buku-buku ilmiah yang biasa. Justeru apakah yang ingin saya bicarakan sebenarnya di sini?

Membaca nama Solo dalam novel ini secara automatik mengingatkan saya kepada Sungai Solo atau lebih tepatnya Bengawan Solo. Nama Bangawan Solo ini telah diabadikan dalam sebuah lagu tradisional yang terkenal di seluruh dunia dengan jodol Bengawan Solo didendangkan oleh artis-artis terkenal di Indonesia. Saya tidak tahu kenapa sejak zaman kanak-kanak lagi, saya amat terpesona dengan lagu Bengawan Solo ini. Saya pun tidak tahu mengapa Bengawan Solo meruntun hati ketika mendengarnya sampai ke hari ini. Mengikut perkiraan saya, dendangan asal Bengawan Solo  lebih memikat hati saya daripada daripada berbagai-bagai versi dendangan yang ada pada hari ini. Pada masa itu Bengawan Solo ini hanya boleh didengar menerusi dari corong Radio Malaya. Saya rasa selama bertahun-tahun lamanya lagu itu diputarkan.

Saya sebenarnya, masih belum menjejaki kaki ke bumi Solo. Tapi saya telah sampai ke Lamongan. Solo ialah nama timangaan kepada nama Surakarta yang mempunyai penduduk seramai lebih dari 520,061 orang dalam tahun 2009. Jauh sekali daripada pernah menikmati keindahan Bengawan Solo yang telah menjadi inspirasi kepada Gesang Martohartono menggubah lagu Bengawan Solo yang menjadi sebuah lagu tradisional yang terkenal di seluruh Indonesia itu.

Bengawan Solo berpunca dari gunung berapi Lawu yang terletak di sempadan antara Jawa Timur dan Jawa Barat. Airnya mengalir dan terus mengalir ke Laut Jawa, berlekar-lekar sepanjang kira-kira 600 kilometer. Selepas mengalir melewati bumi Solo, sungai itu mengalir ke arah utara di sekitar Gunung Lawu dan kemudian membelot ke arah Timur melepasi Jawa Timur dalam regensi Nagawi. Selepas itu Bengawan Solo berpaling ke arah utara lagi, membentuk perbatasan antara Blora Regensi, Jawa Tengah dan regensi Bojonegoro Jawa Timur. Daripada bandar Cepu di Blora, Sungai Solo berpaling ke arah Timur  dan melewati ibu negeri regensi Bojonegoro. Dari situ ia terus mengalir ke arah Timur melewati regensi Lamongan dan Gersik. Bahagian akhir Sungai Solo kira-kira bermula dari regensi Bojonegoro adalah melewati bumi yang kebanyakan tanahnya mendatar.

Delta Bengawan Solo terletak berhampiran bandar Sedayu dalam regensi Gresik. Di situ telah dibina sebuah  terusan air yang dibina oleh penjajah Belanda pada tahun 1890an untuk megubah aliran air Bengawan Solo ke Laut Jawa, sedangkan asalnya Sungai Solo mengalir ke Selat Madura. Tujuannya ialah untuk menghalang lumpur-lumpur dari berkumpul memenuhi Selat Madura yang akan menghalang jalan laut untuk menuju ke bandar pelabuhan Surabaya

Bengawan ialah berasal dari perkataan Jawa lama yang bererti sungai, dan Bengawan Solo  adalah merupakan sungai yang terpanjang di Pulau Jawa Indonesia. Sungai ini amat berjasa kepada makhkuk Allah yang tinggal disekitar Lembah Sungai Solo sebagai sumber bekalan air kepada mereka, kepada haiwan dan juga untuk mengairkan usaha-usaha pertanian di bahagian Timur dan Utara Pulau Jawa. Ia amat penting dari segi sejarah, kerana di perlembahan Bengawan Solo telah banyak ditemui sisa-sisa hominid manusia hari ini, terutama di suatu tempat bernama Sangiran, termasuk fosil awal manusia yang pertama ditemui di luar Eropah, yang dikenali dengan tengkorak “Manusia Jawa” atau  “Java Man”.

Catatan sejarah menunjukkan Bengawan Solo memain peranan yang penting dalam sejarah Inonesia, khususnya Pulau Jawa. Airnya penting untuk pertanian, khususnya para petani. Air Sungai Solo mengalirkan bahan-bahan dari gunung berapi yang penting untuk menyuburkan tanah-tanah di sekitarnya. Ia juga menjadi peghubung yang penting antara bandar-bandar pelabuhan di pantai utara Jawa dengan sawah-sawah padi di pendalaman, sebagai jalan pengangkutan untuk mengagkut beras-beras  itu ke pelabuhan-pelabuhan untuk diperdagangkan. Demikianlah sedikit latar Bengawan Solo yang dapat saya pungut.

Bengawan Solo telah lama terkenal sebagai sebuah bengawan mistik kepada penduduk-penduduk di Pulau Jawa yang dikaitkan dengan berbagai-bagai kisah dan legenda berhubung sungai yang dianggap keramat oleh sebahagian dari mereka. Malah ia dikaitkan dengan sebuah legenda yang memilukan hati yang berputar sekitar Bengawan Solo.

Dalam tahun 1950an dulu sebuah kisah berputar Bengawan Solo telah difilemkan di layar perak. Bwngawan Solo yang pada masa itu merupakan sebuah sungai keramat kepada penduduk Solo, telah dijadikdan objek di mana orang ramai memohon hajat mereka kepada penunggu sungai itu, terutama untuk memperoleh keturuan jika telah lama mendirikan rumahtangga tapi tidak dikurniakan anak. Ia dilakukan dengan cara-cara tertentu. Tidaklah diketahui adakah khurafat itu masih hidup lagi sampai sekarang atau telah lupus?

“Sesudah berliku membasah ladang dan sawah, desa dan kota, sebagai orang membagi amal kepada sesamanya, mengalirlah akhirnya sang air ke laut. Seribu satu rahsia ditelannya, beraneka kejadian disaksikannya. Dari masa ke masa, dari abad ke abad. Kadang berat air mengalir, merah kotor penuh lumpur pedih sedih tengah berkabung bagai orang menuju kubur, kadang deras arus meluncur, riang bersiul, nyaring bernyanyi, bagaikan perawan mendapat  cium”. Tulis Kotot Sukardi dalam Bengwan Solo.

Legenda Bengawan Solo ini bermula dengan peristiwa-peristiwa sedih yang mengharukan, tapi berakhir degan happy ending. Kisah bermula dengan seorang perawan yang digambarkan begitu cantiknya. Gambaran kencantikannya,”……seorang gadis rupawan, halus budinya. Perawan solo tulen! Bentuk badannya, roman mukanya, warna kulitnya, tutur bahasanya, irama jalannya, semua serba Solo. Baik dipandang dari jauh, mahupun dilihat dari dekat ia tetap cantik, Keliru, bukan cantik, tuan manis ia! Dan ia tetap manis, baik ia tersenyum, mahupun ia menangis, baik bernyanyi mahupun menjerit. Lebih-lebih jika si jelita naik dari bengawan sehabis mandi.............Jika di dunia ini tidak ada adat sopan santun, maka tiap-tiap tangan lelaki barangkali akan terulur mencubit bibir atau pipinya, kalau ia sedang termenung”. Demikian cantik dan mempesonakan gadis ini mengikut gambaran Kotot Sukardi.

Perawan ini namanya Winangsih tinggal dengan ibunya seorang janda di pinggiran Bengawan Solo. Ramai para pemuda tergila-gilakannya, tapi tidak berjaya memikat hatinya, kecuali seorang lelaki bangsawan berharta, R. M. Suprapto yang pandai menggoda dengan pujuk dan rayunya, menyebabkan hati gadis ini menjadi cair. Larangan ibunya tidak lagi diendahkan. Cinta butanya terahdap lelaki yang bermata keranjang itu tetap utuh.




Hubungan sulit itu telah meilahirkan dua orang anak perempuan yang cantik dan jelita dinamakan Sriwulan dan Hindrawati. Ibu mereka Winangsih telah mengambil jalan singkat dengan terjun ke dalam Bengawan Solo kerana tidak tahan dengan penderitaan akibat ditinggalkan oleh lelaki yang memang telah pun mempunyai isteri itu. Nasib baik kedua-dua anak perempuan itu diambil dijadikan anak angkat oleh dua orang yang berlainan, iaitu Pak Kromo dan S. M. Sudigo yang menyebabkan kedua-dua beradik itu terpaksa berpisah. Sriwulan bersama Pak Kromo dan Hindrawati bersama R. M. Sudigdo. Kedua-kedua anak itu menempuh nasib yang berlainan di mana Hindrawati hidup dalam melarat kesusahan sementara Sriwulan hidup dalam kemewahan yang melimpah. Walau bagaimana pun kedua-duanya membesar menjadi gadis-gadis yang jelita, lebih-lebih lagi Sriwulan menjadi rebutan pemuda-pemuda Solo seperti ibunya Winangsih sebelum itu.

Sriwulan hampir berkahwin dengan suadara lelakinya sendiri, anak lelaki R. M. Suprapto, namanya Pitono, tapi dihalangi oleh bapak saudaranya seorang peniaga namanya Prawoto. Dan akhirnya di majlis perkahwinan yang dirancang akan beralangsung antara Sriwulan dan Pitono segala rahsia telah terbongkar, rahsia bubungan R. M. Suprapto dan Winangsih dan kedua anak perempuan mereka. Dan di majlis itu jugalah kedua-dua gadis adik beradik itu bertemu semula sebagai dua orang sedarah daging.

R. M. Suprapto yang hidup kesuman dan kejam itu pada akhirnya menamatkan riwayatnya sendiri dengan terjun ke dalam Bengawan Solo di tempat yang sama Winangsih melemparkan dirinya untuk mencari kematian. Dia mendengar Winangsih menyeru-neyeru hidup berdua mati bersama, sebagaimana sumpah setianya kepada wanita yang menjadi korban kasihnya itu, “Winangsihku sayang, biarkan air dari Bengawan Solo ini nanti menjadi saksi dari sumpahku. Hidup berdua, mati bersama, tertanam dalam satu kuburan”.

“Bumi beredar, zaman beralih, tapi air Bengawan tetap mengalir dari masa ke masa, menghanyut riwayat, menelan rahasia. Dan takkan dilupakan oleh Sri dan Wati kematian ibunya, sebelum air Bengawan Solo berhenti mengalir”. Demikian penulis Kotot Sukardi menamatkan coretannya.

Namun begitu legenda Bengawan Solo berakhir dengan happy ending.

Demikian sejenak kisah Bengawan Solo yang terlintas dalam kepala saya selepas membaca novel Cinta Suci Zahrana karya novelis tersohor Habiburahman El Shirazy.

Sebagai penyudahnya saya petik sepotong ayat yang terdapat dalam novel itu yang berbunyi, “Orang yang kelihatannya bahagia adalah kerana harus memiliki ketika melihat sekuntum bunga harum semerbak, maka dia akan memetik bunga itu untuk disimpan di biliknya, agar dia dapat menikmati keharumannya sepanjang waktu. Tetapi orang bahagianya sebenar adalah jika dapat memberi manfaat, kemungkinan besar akan membiarkan bunga itu tumbuh, bahkan menyirami dan memelihara agar setiap orang yang melewatinya dapat menikmati keharumannya”.



.

Read more...

Bicara Pemandu Teksi Dari Sungai Buluh Ke Subang


APA BICARA PEMANDU TEKSI DARI SUNGAI BULUH KE SUBANG?

Setelah beberapa hari berada di bumi Selangor dalam bulan Ramadan pada hari Isnin [22 Julai 2103] lepas, saya kembali ke Kelantan yang tercinta. Justeru anak saya yang selalunya menghantar saya ke lapangan terbang, tidak ada di rumah, kembara ke Afrika Selatan saya menaiki teksi yang di tempah beberapa hari sebelumnya.


Pemandu yang membawa saya dari Saujana, Sungai  Buluh  ke Subang Airpot ialah seorang India yang berusia dalam lingkungan 40an tahun. Dia sampai di rumah kami tepat mengikut masa yang dijanjikan. Saya duduk di tempat duduk di bahagian hadapan sebelah pemandu walaupun dia mempelawa saya duduk di tempat duduk belakang sebagaimana lazim amalan para penumpang, terutama mereka yang berjenama.

“Saya nak duduk hadapan”, jawab saya, “Kalau saya duduk di belakang seorang, nanti saya tertidur”.

Kepada jawapan saya itu, pemandu teksi itu berkata, “ Kalau begitu bagus juga tu, nanti saya pun tak mengantuk”. Katanya dalam bahasa Melayunya pun baik.

Sebaik-baik sahaja teksi itu bergerak, dia pun mulai berbicara. Dia bertanya saya hendak pergi ke mana, dan bila saya jawab saya hendak balik ke Kota Bharu, Kelantan, dia pun terus berbicara. Dia berbicara tentang politik. “Saya percaya Encik mesti ada rumah sendiri. Orang Kelantan bagus-bagus. Mereka mesti menyokong PAS”.

Saya tidak menjawab. Cuma membiarkan dia terus berbicara, “Saya pun sokong PAS. Dalam pilihanraya yang lalu saya undi calon PAS”. Dia membuat pengakuan yang agak mengejutkan juga.”Kita orang tak kira bangsa atau agama. Kalau dia orang bagus, kita sokong. Orang yang boleh kita jumpa dan minta tolong”.

“Kita percaya, orang-orang PAS orang agama. Mereka payah sedikit mahu menipu. Dia orang takut pada Tuhan. Orang yang macam ini yang kita mahu. Kita mahu jumpa pun mudah. Tidak perlu jumpa orang itu, orang ini terlebih dahulu, sebelum dapat jumpa mereka”. Pemandu teksi India itu terus berbicara.

Dia lalu menceritakan pengalamanya untuk bertemu dengan pemimpin parti kerajaan amat sukar. Sebelum boleh bertemu, terlebih dahulu kena jumpa orang itu dan orang lain. Itupun belum pasti boleh jumpa juga. Itu belum lagi mahu jumpa menteri. Tentu lebih susah”.

Dia menceritakan, dia pernah berjumpa dengan orang-orang besar parti kerajaan, nak minta tolong, kerana anak lelakinya terpakasa dipotong sebahagian daripada anggota kakinya akibat terlibat dalam kemalangan jalanraya. “Tapi tidak ada yang ambil peduli. Semua buat tak tahu sahaja. Saya merasa amat kecewa”.

“Tapi satu hari saya telefon itu orang PAS namanya Mariah. Saya boleh cakap terus dengan dia, tidak perlu orang tengah. Dia memberitahu, dia bersedia menolong saya. Dan memang dia menolong saya”. Terang pemandu taksi itu lagi.

“Orang seperti inilah yang kita mahu. Mudah buat kira. Ini tidak, bukan sahaja tidak mahu tolong, nak bercakap dengan mereka pun payah. Kalau boleh pun kita hanya perlu bercakap daengan pembantu-pembantu mereka terlebih dahulu. Itupun perlu pasti apa yang kita minta boleh kita dapati”.

Dia diam sekejap. Saya lalu bertanya, sudah berapa lama dia bawa teksi? Katanya, “Sudah lama. Sudah berpuluh-puluh tahun. Ayah saya dahulu pun pemandu teksi. Sekarang sudah tua, sudah 80 tahun lebih. Beberapa tahun yang lepas, dia kena strok, hanya boleh berjalan dengan kerusi roda”.

Sebelum itu katanya, ayahnya sihat-sihat sahaja, tidak menghidap apa-apa penyakit, tidak ada kencing manis, darah tinggi, atau sakit jantung, tapi pada suatu hari dia tiba-tiba kena strok.

Bila dia berhenti bercakap, saya pun bertanya berhubung dengan tawaran permit teksi persendirian oleh kerajaan baru-baru ini kepada pemandu-pemandu teksi.

“Itu memang susah nak dapat. Saya juga isi borang buat permohonan. Permit teksi yang ditawar hanya seribu. Teksi yang berada di Lembah Kelang sekarang lebih dari 30,000 buah. Bila saya tanya fasal permohonan saya, dia orang jawab nama saya pun sudah tidak ada, sudah dipotong. Tak tahu siapa potong”. Jawabnya.

Dia diam sekejap, “Kita pun tidak tahu siapa semua mereka yang mendapat permit-permit teksi itu”.

Saya lalu bertanya lagi, “Ini teksi siapa punya?”.

“Teksi ini platnya disewa RM50 sehari. Sebulan saya kena bayar RM1500 untuk sewa plat sahaja Itu baru sewa plat. Kalau teksi rosak kena baiki sendiri. Saya sewa plat teksi ini dari sebuah syarikat”. Lalu dia menunjukkan dengan tangan kirinnya nama syarikat yang terletak di bahagian sebelah kiri teksi di sisi gambarnya sebagai pemandu di bahagian hadapan teksi.

“Siapa tuanpunya syarikat teksi ini?” Tanya saya.

“Saya lihat yang mengurusnya semua orang Cina. Tapi saya fikir di belakang sana, mesti ada datok-datok [maksudnya orang-orang Melayu yang istimewa] yang ada bahagian mereka. Biasalah tu. Syarikat saya ini ada mempunyai 5000 buah teksi yang beroperasi di Lembah Kelang. Fikirlah berapa dia dapat sebulan? Boleh hidup goyang kaki, dan senang-senang boleh pergi rihat ke Amerika atau England”.

“Permit teksi ini tidak boleh dipotong. Apa yang boleh buat ialah tidak menyambung permit baru bila teksi ini sampai had masa 10 tahun. Sebuah teksi hanya boleh beroperasi selama 10 tahun sahaja. Tidak lebih dari itu. Waktu itulah baru boleh diambil tindakan, dengan tidak dibenar mereka mengambil permit baru".

Tiba-tiba dia mengalih bicara, “Itupun lapangan terbang Subang. Sudah nampak. Sekejap lagi kita sampailah”. Memanglah bila saya pandang ke arah sebelah kanan ternampak sebahagian dari bumbung bangunan di Lapangan terbang Subang. Dia memandu teksi melalui jalan TTDI di mana beberapa orang sahabat saya tinggal di situ.

Teksi terus meluncur, tanpa halangan, kerana tidak ramai kenderaan di atas jalan waktu itu. Hanya terpaksa berhenti di beberapa buah trafik light sahaja. Katanya waktu tengah hari begini, jalan ini tidak jem, tapi nanti selepas pukul empat petang, ketika orang berebut-rebut nak balik, tunggulah.

Teksi terus meluncur laju. “Bulan puasa tahun ini tidak hujan. Biasanya tiap-tiap bulan puasa yang lalu hujan. Itu tengok langit, kabut-kabut putih itu tanda jerebu masih ada”.

Bila teksi mulai memasuki kawasan lapangan terbang, pemandu itu berkata lagi, “Kita pilih orang mahu jadi wakil rakyat. Kalau dia orang bagus, kita pilihlah, kita tidak kira bangsa atau agama. Tapi kalau tak bagus, kita tidak pilih. Kita percaya orang-orang kuat agama, payah untuk menipu, kerana dia orang takut pada Tuhan”.

Belum sempat saya menjawabnya, dia lalu memberhentikan teksinya di hadapan pintu masuk ke lapagan terbang. Saya membuka pintu dan turun dari teksi. Dia pun turun dari teksi, membuka bonet dan mengeluarkan koper saya.

Saya menghulurkan wang kerats RM100  dan dia menggembalikan bakinya sebanyak RM20, mengambil RM80 mengikut tambang yang telah dipersetujui menerusi telefon tempoh hari. Dia menghulurkan tangannya kepda saya untuk bersalam serta mengucapkan terima kasih. Dia harus cepat, kerana katanya ada lagi seorang penumpang wanita yang menempah teksinya untuk pergi ke KLIA sebagaimana diceritakannya dalam perbualan atas teksi tadi.

Demikianlah bicara saya dengan seorang pemandu teksi semasa dalam perjalanan dari Saujana di Sungai Buluh ke lapangan terbang Subang. Bicaranya itu dengan jelas menunjukan kesedaran rakyat sekarang telah mencapai satu taraf pemikiran yang tertentu. Mereka telah meyedari hak-hak mereka sebagai rakyat dan penggundi, dan memilki kriteria mereka sendiri dalam pemiilihan calon yang sejajar dengan kehendak dan citarasa mereka.







Read more...

SYIAH DAN POLITIK





SYIAH DAN POLITIK

[Bahagian 11]


Iinilah bahagian akhir dari 2 bahagian tulisan Yang Berbahagia Dato’ Dr. Johari Mat tentang Syiah yang diberi jodol “Syiah Dan Politik” sebagai sambungan kepada bahagian 1 yang diberi jodol “Syiah Dan Akidah” yang disiarkan dalam blog ini beberapa hari yang lalu.

Seperti saya kata terdahulu, tulisan mengenai Syiah ini  ditulis secara ringkas, padat dan jelas oleh seorang ahli akademik tanah air. Tulisan itu berupa sebuah kertas kerja yang berjodolg  Syi’ah Antara Gerakan Politik dan Aqidah oleh yang Berbahagia Dr. Johari Mat di Ijtima’ Ulama, anjuran bersama Yayaan Dakwah Islamiah Malaysia dan Majlis Agama Islam Kelantan pada 25-28 Oktober 1996 [12-15 Jamadil Akhir 1417] di Kota Bharu, Kelantan. Kini Dato’ Johari Mat adalah Ketua Eksekutif Kolej Islam Antara Bangsa Sultan Ismail Petra [KIAS].

[Tulisan ini tidak dapat disiarkan lebih awal kerana ketiadaan khidmat Internet di tempat kami tinggal di perlembahan Sungai Durian, KK sehingga hari kelmarin, Khamis 25 Julai 2013. Setelah saya berada di Kota bharu petang Khamis itupun bekalan Internet juga tidak ada  di sini sehingga petang ini, Jumaat 26. Julai kira-kira pukul 3.00 petang bekalan baru diperolehi. Itupundalam keadaan “tiga slender”, sekejap ada, sekejap tiada.Tapi pada pukul 6.00 petang tiada lagi, sehinggalah pukul 3.00 pagi baru ada kembali].]




Syiah Dan Politik

Syiah tidak mengaku mana-mana negara Islam dan pemerintahan mereka, semuanya thagut, selain dari Amir al-Mukminin Ali dan al-Hasan ra.

Kerana itu musuh-musuh Islam mencari peluang untuk memerangi umat Islam dengan mengguna Syiah sebagai pengkalan. Akidah Syiah banyak membantu untuk mengatur strategi mereka meruntuhkan umat Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa gerakan-gerakan Malhiddin telah berjaya menggunakan saluran Syiah untuk menguasai negara Islam.

Duta Rusia di Iran, Kinyaz Dekarki datang belajar di majlis pengajian yang disampaikan oleh al-Rusty di Karbala’ dengan nama al-Syeikh Isa al-Lankiri. Jeneral Inggeris bersara [mungkin nama samaran] memakai pakaian Syiah dan hadir di majlis pengajan yang disampaikan oleh Kazim al-Rushti.

Kerana itu gerakan Syiah merupakan pengkalan yang digunakan oleh orang-orang yang ingin meruntuhkan Islam dari dalam kerana mereka melihat umat Islam adalah kufur, sedangkan umat Islam tidak memberi pandangan begitu kepada mereka.

Persoalannya bagaimana dapat dipertemukan dua aliran yang melalui garisan selari, di mana mereka tidak akan bertemu pada bila-bila masa.

Ketika Hulako memerangi Syam pada tahun 658H, Syiah Syam golongan yang banyak membantu dan meruntuhkan kerajaan pada ketika itu, apabila peperangan berlaku di antara umat Islam dan Nasrani, mereka akan membantu orang-orang Nasrani. Malah ulama’ mereka menentang rancangan melaksanakan Syariat Islam di Pakistan, bimbang ajaran mereka tidak dapat dijalankan dan akhirnya mereka akan menjadi Ahli al-Sunnah.[Warta Berita Kuwait 1.5.1979].

Pakatan Ibnu al-‘Alqami

Beliau adalah Menteri kepada Khalifah Mu’tasim, kerajaan Abbasyiah. Khalifah bermazhab ahli al-Sunnah. Beliau telah melantik Ibn al-‘Alqami sebagai menterinya, tapi dalam diam-diam Ibn al-‘Alqami telah merancang untuk menghapuskan khalifah dan kerajaan Abasiyah dan Ahli-ahli al-Sunnah, seterusnya mendirikan kerajaan mereka.

Untuk mencapai tujuan beberapa langkah telah diambil oleh al-‘Alqami:

Pertama: Melemahkan tentera dan melakukan tekanan-tekanan kepada masyarakat, iaitu dengan mengurangkan bilangan tentera dari seratus ribu [100,000] hanya tinggal sepuluh ribu sahaja. [Ibn Kashyir, al-Badniah wal Nahayat, 13/202].

Dua: Menghantar surat kepada Tatar dan memberitahu mereka kedudukan negara dan memberi laluan supaya menyerang Baghdad.

Tiga: Melarang Khalifah dan masyarakat dari memerangi Tatar. Beliau memperdaya Khalifah bahawa Raja Tatar ingin berdamai dan mencadangkan supaya Khalifah bertemu dengan tentera Tatar untuk berdamai. Sebahagian kharaj untuk mereka  dan sebahagian lagi untuk Khalifah. Khalifah keluar dengan tujuh ratus orang, terdiri dari qadi-qadi ulama’ fiqh, raja-raja dan pembesar-pembesar. Dengan helah ini Khalifah dan semua rombongan telah dibunuh. Orang yang mencadangkan berbuat demikian ialah al-‘Alqami dan Nasuruddin al-Thusi.

Kerajaan Safawiyah

Kerajaan Safawiyah diasaskan oleh al-Syah Ismail al-Safawi [907H]. Beliau memaksa penduduk Iran supaya menerima Mazhab Syiah, mana-mana mereka yang tidak mahu menerimanya akan dibunuh.

Asfahan terdiri dari golongan Khawarij. Sah Ismail memberi kata dua, iaitu menerima Syiah atau dibunuh. Penduduk Asfahan meminta tempoh selama empat puluh hari untuk mencela Sayidina Ali, kemudian mereka akan masuk Syiah. Permintaan tersebut dipersetujui dan Asfahan menjadi Syiah. [Dr. Musa al-Musuhi, al-Syab’ah wa wal Sabhih, 70-71].

Kerajaan Safawiyah Dan Portugis

Ketika Syiah menguasai Iran, orang-orang Portugis telah sampai ke Afrika, dan mereka telah mara ke negara Arab di selatan dan belayar ke Timur menuju India. Ketika itu India diperintah oleh umat Islam. Kedudukan India pada ketika itu lemah dan sangat memerlukan sokongan kerajaan Safawi. Sebaliknya kerajaan Safawi mempelawa Portugis datang ke Teluk dan memberi segala kemudahan sehingga dapat menguasai Bahrin dan semua pangkalan pantai di  Teluk. Pelabuhan-pelabuhan perniagaaan Safawi menjadi pangkalan tentera Portugis. Keadaan itu telah memaksa Sultan Uthmani Salim awal meninggalkan jihad di Eropah dan datang ke Timur dan memaksa kerajaan Safawi ke dalam kerajaannya. [Abdullah Mahmud al-Bakri, al-Hadam Im al-Dhakal, hal 48].

Kedudukan Ahli al-Sunnah Di Iran

Harpan umat Islam untuk melihat satu perubahan di dalam dunia Islam terlaksana apabila Khomeini dapat memerintah Iran. Ramai pemimpinn umat Islam memberi sokongan kepada negara Islam Iran itu. Mereka menaruh harapan agar umat Islam akan hidup bersatu padu di antara satu sama lain dengan aman damai. Kerana revolusi di Iran itu telah menggunakan nama Islam. Keadaan berubah setelah pemimpin negara tersebut telah mula melahirkan hakikat yang sebenar, iaitu menyebarkan fahaman Syiah, yang sekali gus menimbulkan perbezaan dengan al-Sunnah di dalam sejarah lama.

Apa yang dilakukan oleh Khomeini dalam negara Iran tidak banyak berbeza dengan apa yang dilakukan olah Syah Ismail al-Saufi pada tahun [907H]. Apabila beliau memberi tahu rakyatnya supaya memilih Syiah atau mati. Ini telah diakui oleh Dr. Musa al-Musui di dalam bukunya Al-Syiah wa Tashih. [Al-Dr Musa al-Musui, Al-Syiah wal Tashih hal. 70-71].

Penduduk Ahli Sunnah Di Iran

Ada yang berpendapat Ahli al-Sunnah di Iran semakin sedikit. Sebelumnya mereka merupakan majoriti penduduk Iran. Ada berbagai-bagai angka yang telah diberikan oleh pengkaji, antaranya ada menyebut bahawa jumlah mereka sekarang hanya sebanyak 3 peratus sahaja dari penduduk Iran yang berjumlah 32 juta. [Dr. Jamal Hamdan, al-Ulum Islami al Muassir, hlm. 33]. Ada juga yang menyatakan bahawa penduduk Ahli Sunnah sebanyak 7 juta setengah, iaitu 17 pratus penduduk Iran. [Al-Ustaz Fahmi Huwaidi, Iran min al-Dhakal, hal. 351]. Dan ada pula yang menyatakan jumlah Ahli Sunnah sebenar sekarang ialah sebanyak 35 peratus. [Mahmood Syakar, Iran, Salsilah Muathan al Syaiub al-Islamiah.13].

Peratusan penduduk Iran yang diberikan oleh Mahmood Syakar adalah seperti berikut:

Iran seramai 2,442,000 [63%].

Turki seramai 7,820,000 [20%].

Arab seramai 2,700,000 [7%].

Kurdi seramai 2,316,000 [6%].

Blushtan seramai 772000 [2%].

Lain-lain 632,000 [1%].

Negara telah menentukan kedudukan Ahli Sunnah di dalam negara tersebut awal-awal lagi. Perkara 12 di dalam perlembagaan menyebut bahawa: “Agama negara adalah Islam dan mazhab Jaafari Imam Dua Belas. Perkara ini tidak boleh diubah sampai selama-lamanya.

Sekali pandang perkara dua belas [12] memberi ruang kepada Ahli al-Sunnah yang bermazhab Hanafi, Maliki, Syafie, Hambali, tetapi kenyataan tidak ada dan tidak berlaku. Sedangkan pada waktu yang sama Perlembagaan Iran memberi hak-hak golongan minoriti lain dan diberi kebebasan beribadat sebagaimana di dalam perkara tiga belas [13].

Ekoran dari itu Ahli al-Sunnah di Iran seperti orang memegang bara api. Mereka dagang di negara sendiri. Ditekan dan dinafikan hak-hak mereka, di antaranya adalah seperti berikut:

Masjid Ahli al-Sunnah sedikit. Negara tidak memberi apa-apa bantuan untuk membina masjid, bahkan pihak pemerintah telah meruntuhkan masjid Ahli al-Sunnah sebagaimana berlaku di Pulau Kasyam.

Di Fahran, penduduk Ahli al-Sunnah lebih dari setengah juta, tapi sebuah masjid pun tidak ada, sedangkan golongan minoriti lain, mempunyai tempat-tempat ibadat mereka. Menurut al-Syeikh Muhammad Abdul Kadir, Ketua Majlis Ulamak telah melawat Iran sebanyak dua kali di atas undangan kerajaan Iran pada tahun 1980 dan 1982 telah menulis laporan bahawa tidak ada sebuah masjid pun untuk Ahli-ahli al-Sunnah di Iran, sedangkan ada dua belas [12] gereja Kristian, empat [4] tempat ibadat Yahudi dan beberapa buah tempat ibadat golongan Majusi. [Dr. Zaid Al-Ais, al-Jamini wal al-wajah al-Akhir fi Dhu’ al-Kitab wal Sunnah. Hal 195].

Khomeini pernah berjanji untuk memberi sebidang tanah untuk didirikan masjid Ahli al-Sunnah di Zhahran. Tapi beliau menarik balik tanah tersebut walaupun telah dibeli dan dibayar harganya, dan orang-orang yang terlibat dengan rancangan pembinaan masjid itu telah ditangkap.

Kedudukan Pelajaran

Kerajaan Iran telah meletakkan satu sistem pelajaran yang bertujuan untuk menSyiahkan anak-anak Ahli-ahli al-Sunnah. Antara langkah yang telah diambil ialah:

1.Kerajaan telah meruntuhkan sekolah-sekolah Ahli al-Sunnah dengan alasan sekolah-sekolah tersebut atau guru-guru dan kakitagannya menjadi tali barut Amerika.

2.Mengubah nama sekolah Ahli al-Sunnah, seperti nama Sekolah Abu Bakar al-Siddiq dengan nama ayat Allah Bahasti.

3.Guru-guru Ahli al-Sunnah yang berpengaruh dipecat dan diganti dengan guru-guru Syiah mengajar akidah Ahli al-Sunnah.

4.Kerajaan mewajibkan buku-buku agama diajar di sekolah-sekolah kerajaan untuk Ahli al-Sunnah bertujuan menyebar fahaman Syiah.

5.Melantik guru-guru yang boleh menyakinkan pelajar bahawa Ahli-ahli al-Sunnah bahawa tidak ada perbezaan di antara Ahli al-Sunnah dengan Syiah.

6.Kerajaan telah mewujudkan sekolah-sekolah agama mengajar Mazhab Syiah kepada anak-anak Ahli al-Sunnah. Mereka diberi jaminan bahawa orang-orang yang belajar di sekolah tersebut tidak perlu masuk perkhidmatan tentera [wajib] dan dijamin mendapat jawatan-jawatan baik.

7.Kerajaan telah mengeluar arahan tidak membenar Ahli-ahli al-Sunnah mendirikan sekolah-sekolah khusus, sebaliknya kerajaan telah menubuhkan sekolah-sekolah untuk mengajar akidah Ahli-ahli al-Sunnah untuk anak-anak Ahli al-Sunnah oleh ulamak-ulamak Syiah.

8.Kerajaan telah menetapkan berpuluh-puluh pelajar lelaki dan perempuan yang aktif dari sekolah-sekolah Ahli al-Sunnah dan sebahagian mereka telah dibunuh.

Hubungan politik Syiah mempunyai hubungan rapat dengan akidah. Malah akidah mereka yang menentukan arah tuju bagaimana susur galur politik mereka. Sikap mereka terhadap orang lain banyak bergantung kepada  akidah yang dianuti.

Sebagai umat Islam kita perlu melihat perkara in dengan serius agar kita tidak digigit dua kali di satu tempat. Pengetahuan yang cukup gandingan tenaga dan mempunyai pandangan yang sama dapat membantu membentuk maklumat yang cukup terhadap satu-satu isu yang timbul dalam masyarakat.

Cukuplah apa yang berlaku di negara-negara Islam lain sebagai teladan kepada kita. Kalau mereka ramai sudah pasti akan dapat mengubah suasana yang ada.

Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada hamba kembali ke jalan kebenaran al-Quran dan al-Sunnah”.







Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP