BINATANG-BINATANG KECIL YANG GAGAH PERKASA

>> Saturday, May 2, 2015





BINATANG-BINATANG KECIL YANG GAGAH PERKASA



Pada umumnya makhluk haiwan lebih kuat dari manusia. Tapi mereka tidak mempunyai akal fikiran.


Sebaliknya pada umumnya manusia lebih lemah dari haiwan. Tapi mereka mempunyai akal fikiran, kerana itu dapat mengalahkan haiwan dengan akal fikiran mereka.


Pernahkah anda berfikir, bagaimana kiranya akal fikiran manusia diletakkan kepada haiwan, dan tenaga kekuatan haiwan itu diletakkan kepada manusia?


Ertinya haiwan bukan sahaja mempunyai kekuatan, tapi juga mempunyai akal fikiran seperti manusia, dan menusia pula bukan sahaja mempunyai akal fikiran, tapi juga kekuataan seperti haiwan?


Bolehkah kedua-dua makhluk itu berganding bahu bekerjasama membangun sebuah dunia yang maju dan aman damai?


Kita telah mengetahui sejauh mana kemampuan akal manusia menakluk dunia dan isi-isinya, termasuklah haiwan-haiwan yang begitu banyk di dunia ini.


Sekarang mari pula kita tinjau sejauh mana pula kekuataan yang dimiliki binatang tertentu dalam menandingi kekuatan alam.untuk membolehkan mereka terus hidup.


Rencana ini saya ubahsuai sedikit dari rencana saya yang pernah disiarkan oleh media massa pada tahun 1974 dengan menggunakan nama samaran Razin M.S.


Kekuatan Binatang

Manusia yang julung-julung kali menggunakan kuasa kuda [horse power] untuk  meyukat kekuatan jentera-jentera ialah James Watt 1736-1813, seorang jurutera bangsa Scot. Sebenarnya tidak banyak kuda yang mampu mengangkat barang-barang seberat 33,000 paun setinggi satu kaki dalam masa seminit seperti pengertian kuasa kuda itu. Namun begitu ada sejenis kuda-tarik yang dapat melaksanakan pekerjaan yang menelan tenaga raksaksa yang luar biasa, iaitu dapat menarik 16 buah gerabak, seberat 65 tan, sejauh lebih daripada 30 batu dalam masa 6 jam sahaja. Ini adalah suatu kekuatan yang amat mengkagumkan.


Selain daripada binatang-binatang peliharan yang mempunhyai kekuatan yang luar biasa seperti itu, masih banyak lagi binatang-binatang liar penghuni hutan rimba,, tasik , lautan dan sungai yang mempunyai kekuatan yang amat mengkagetkan.


Antara binatang-binatang itu ialah buaya. Ia mempunyai katupan mulut semula jadi yang amat kuat sekali, untuk melaksanakan dua fungsi yang penting, iaitu untuk menangkap dengan kejat mangsa-mangsa yang telah berjaya ditangkapnya, dan kedua untuk membongkar, menarik dan menyentak akar-akar kayu yang merintangi perjalananya di tebing-tebing sungai.

Justeru begitu kuatnya katupan mulut buaya itu, maka andainya ia menangkap sesuatu benda yang keras, seperti besi waja yang tidak lut dimamah, nescaya gigi-gigi rahangnya yang di sebelah atas akan terperlus naik menembusi tulang-tulang rahangnya.


Dan andainya mulut buaya yang terkancing itu dibuka dengan besi pengumpil sekalipun, maka tulang-tulang rahangnya akan patah-retah terle\bih dulu sebelum daripada mulutnya yang tertutup itu dapat dibuka.


Walaupun begitu sekali kuatnya katupan mulut buaya itu, tapi tenaga yang digunakannya untuk membuka kembali mulutnya itu tidaklah sekuat itu pula.Itulah sebabnya sebelah tangan manusia sahaja dapat mengancing  mulut seekor buaya besar yang tertutup tanpa dapat dibuka-bukanya lagi.


Sememangnya dalam kehidupannya yag biasa buaya tidak perlu membuka mulutnya dengan kuat seperti waktu mengatupnya. Kerana itulah penangkap-penangkap buaya yang berani dan berpengalaman dapat menangkap buaya hidup-hidup  dengan memeluk buaya itu di bahagian mulutnya, kemudian mengikatnya dengan tali sebelum ditarik ke atas.


Banyak orang percaya bahawa singa yang digelarkan syah alam di rimba itu  mempunyai tenaga penampar yang luar biasa. Menurut kepercayaan tamparan singa merupakan pukulan benda-benda hidup yang paling kuat sekali. Tetapi menurut penyiasatan, kepercayaaan ini tidak benar sama sekali, kerana bedalan ekor ikan paus berkali-kali ganda lebih kuat daripada itu.

Demikian juga beruang, lebih gagah perkasa dari singa, ia dapat mengoyakrabakkan  lantai-lantai papan dan besi dengan kuku-kukunya yang tajam itu dan dapat membengkokkan jerijak-jerijak besi kandang yang dapat mengurung seekor singa dengan selamat menggunakan kedua-dua belah kaki depannya.


Burung-burung juga mempunyai kekuatan yang luar biasa. Biasanya kekuatan burung terletak pada kedua-dua belah sayapnya. Sesetengah burung dapat terbang sehari suntuk tanpa berhenti-henti dan dapat melakukan penerbangan yang amat jauh jaraknya. Umpamanya burung lopwing penghuni Britain dapat melintasi Lautan Atlantik menuju ke Pulau Newfoundland dan ke Semenanjung Labrador di Canada kira-kira sejauh  2,200 batu menelan masa 24 jam sahaja. Hitung panjang kederasan penerbangannya ialah 55 batu sejam.


Sesetengah burung pula kekuatannya terletak pada paruhnya, seperti burung hawfinch penghuni Amerika Selatan mempunyai paruh yang besar dan kuat. Burung ini mempunyai kekuatan mematuk  yang luar biasa. Ia  dapat membelah butir-butir buah ciri dan zaitun yang keras membatu itu dengan menggunakan paruhnya itu. Menurut penyiasatan sains, untuk membelah butir-butir tersebut memerlukan benda-benda yang berat berpuluh-puluh malah beratus-ratus paun, sedangkan berat burung hawfinch itu hanya 1/8 paun saja.


Di antara semua jenis binatang, binatang lautlah paling banyak menggunakan tenaga ketika bergerak, terutama sekali ikan paus ketika meredah lautan. Mengikut andaian seekor ikan paus biru yang panjangnya 90 kaki dan beratnya 120 tan waktu berenang selaju 111/2 batu sejam menggunakan tenaga sebanyak 50 kuasa kuda dan jika kederasan itu meningkat kepada 23 batu sejam, kuasa kuda yang dipergunakannya ialah 500 kuasa kuda.


Justeru itu jika seekor ikan paus menggunakan seluruh kekuatan yang ada padanya, maka sudah tentu ia dapat melaksanakan pekerjaan yang mengkagitkan, seperti menghancurleburkan kepingan-kepingan air batu setebal kira-kira 21/2 kaki. Ini dapat dilakukan dengan jalan menyelam jauh ke dasar lautan kemudian timbul dengan kuat merempuh  ketulan-ketulan air batu di permukaan lautan hingga pecah bertaburan untuk menangkap mangsa-mangsa di atasnya, seperti binatang-binatang.


Tapi walaupun begitu sekali gagah perkasanya binatang-binatang tersebut, baik binatang laut, darat dan udara, namun tidak adabinatang yang dapat menandingin kekuatan serangga jika dibandingkan dengan kekecilannya. Daripada berbagai-bagai percubaan  yang pernah dilakukan, maka didapati serangga-serangga itu dapat menarik atau mengangkat benda-benda beratus-ratus  kali ganda lebih berat daripada badannya sendiri. Umpamanya ada sejenis lalat dapat mengangkat benda-benda 170 kali ganda lebih berat daripada dirinya sendiri, dan ada sejenis lebah pula dapat menarik benda-benda 530 kali ganda lebih berat daripada badannya sendiri.Demikian juga ada sejenis kumbang yang beratnya lebih sedikit daripad 4 grain dapat memikul sebuah guni kecil seberat 81/2 auns, iaitu kira-kira 850 kali ganda mengatasi keberatan badannya sendiri.


Justeru itu kalau serangga-serangga ini diperbesarkan badannya ribuan kali ganda daripada biasa, maka sudah tentu ia dapat mengangkat barang-barang yang tidak terduga beratnya.


Kumbang Goliath, yang berwarna hitam dan putih, panjangnya 5 inci, penghuni Benua Afrika mngkin merupakan sejenis serangga yang paling perkasa sekali dalam dunia. Kumbang Goliath yang jantan mempunyai sejenis anggota yang kelihatan seperti tanduk terletak di atas kepalanya. Anggota ini berguna seperti besi pengumpil untuk mencungkil kulit-kulit kayu yang keras untuk menghisap air-airan dalam batang kayu itu.


Dengan itu ternyatalah, walau bagaimana pun kejuaraan manusia dalam berlari, melompat dan  berenang, tapi mereka tidaklah mampu  menandingi kehandalan binatang. Juara lari deras  sebatu dunia dalam tahun 1962 ialah Peter Snell daripada Australia menelan masa 3 minit 54.4 detik tapi kucing , cetah di Afrika dapat berlari sejauh itu dalam masa 48 detik sahaja. Demikian juga tidak ada juara renang manusia yang dapat menandingi kederasaan perjalanan ikan paus kira-kira 16 batu sejam.


Oleh itu sekali lagi dikemukakan, kiranya kekuataan fizikal yang dikurniakan Allah kepada haiwan diletak pada manusia,  dan sebaliknya kehandalan akal manusia yang dikunriakan Allah itu diletakkan pula pada haiwan yang selama ii tidak berakal, bolehkah mereka bersatu padu dan bekerjasama dengan erat untuk membina kemajuan manusia dan kemakmuran dunia sejagat?


Kg.Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bahru Kelantan.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP