MENGENAL DAN MERAWAT PENYAKIT SECARA TRADISIONAL

>> Sunday, May 10, 2015






MENGENAL DAN MERAWAT PENYAKIT SECARA TRADISIONAL
[BUKU ILMU TABIB]



Jantung adalah salah satu anggota yang vital kepada manusia. Jika jantung tidak berfungsi, atau berkurangan fungsinnya kerana sebab-sebab tertentu, maka ia boleh menimpakan kesan yang buruk terhadap kesihatan jasmani seluruhnya.


Ada beberapa perkara yang boleh menganggu atau merosakkan kesihatan jantung seseorang yang perlu dijauhi.


Fakktor-Faktor Merosakkan Jantung

Ada empat faktor yang boleh menganggu dan merosakkan hati seseorang, dari segi lahir dan batinnya. Empat perkara itu ialah:


Pertama, kesejukan kerana pernyakit.

[Ada penyakit-penyakit tertentu yang boleh menyebabkan kita kesejukan, malah mengiggil, seperti demam kura, atau demam salsema].


Kedua, angin badan yang hangat.


[Seperti yang diketahui dalam badan kita ini banyak mempunyai angin, dan angin itu ada yang bersifat dingin dan ada yang bersifat panas. Orang yang kembung perut, biasanya akibat kemasukan angin sejuk.]


Ketiga, panas berasap.


[Badan kita ini memangnya mempunyai sukatan suhu, antaranya ada ketikanya sejuk dan ada ketikanya panas, malah ada ketikanya terlalu panas kerana sebab-sebab tertentu yang menyebabkan kita merasa macam terbakar.]


Empat, ketakutan kepada musuh.


[Memanglah kalau ada orang memusuhi kita, dan orang itu lebih kuat, lebih berkuasa dari kita, maka kemungkinan kita akan merasa ketakutan, dan ketakutan itu boleh menimpakan kesan yang tidak baik ke atas diri kita, baik jasmani dan ruhaninya.]


Menyihat Hati


Sebaliknya ada pula empat faktor yang boleh menyihatkan hati, iaitu


Pertama, mempunyai akal fikiran yang berguna.


[Sudah tentu kalau kita mempunyai fikiran yang berguna, dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dengan buah fikiran kita yang bernas itu, dan ini sudah tentu dapat menimbulkan rasa puas dan syukur di hati kita, dan sekali gus dapat  menyihatkan jantung kita.]


Kedua, berlajar dari guru yang alim.

[Jika kita belajar dengan guru-guru yang berilmu atau alim sudah tentu kita akan mendapat banyak faedah dari segi ruhani dan jasmaninya, terutama ilmu-ilmu keagamaan.]


Ketiga, harmoni kehidupan suami isteri.


[Kehidupan suami isteri yang harmoni dan seia sekata amatlah penting kepada kebahagian keluarga. Jika keduanya selalu berkekah dan tidak harmoni, maka rumah tangga akan porak peranda, dan ini akan memberi kesan yang buruk kepada anak-anak, dan boleh menganggu kesihatan fizikal seseorang.]


Keempat, mendapat pertolongan orang lain.


[Jika kita berada dalam kesukaran atau kesulitan, dan ada orang yang bersedia memberi bantuan dan pertolongan, maka sudah kita akan merasa senang, dan bersyukur kepada Allah. Dan ini akan mendamaikan hati kita].


Cahaya Mata

Ada pula empat faktor  yang boleh meredupkan atau mengurangkan cahaya mata kita, sedangkan cahaya mata itu merupakan cermin kepada diri seseorang.


Pertama, kerana makan banyak makanan yang manis.


[Sebagaimana yang kita ketahui makan benda-benda manis bukan sahaja boleh merosakkan cahaya mata, tapi juga boleh mengancam seluruh kesihatan seseorang. Ia boleh menjadi punca kepada berbagai-baghai jenis penyakit, khususnya penyakit kencing manis.]


Kedua,menjiruskan air panas ke atas kepala.


[Perkara ini sering berlaku kepada kita yang hidup zaman sekarang, di mana kita suka benar mandi dengan air panas, terutama di musim sejuk, dengan menggunakan paip air hujan panas. Sudah tentu ketika mandi-manda itu kita akan mencucurkan air panas itu ke atas kepala kita.}


Ketiga memandang mata hari.


[Sebagaimana kita ketahui memandang mata hari secara langsung itu boleh membahayakan mata kita, malah boleh membuat mata kita menjadi rosak, rabun atau buta kerana pancaran cahayanya yang keras itu.]


Keempat, memandang musuh-musuh.


[Bila kita memandang musuh-musuh atau seteru kita, darah kita tentu akan tersirap ke seluruh anggota kerana marah yang meluap-luap, dan keadaan ini sudah tentu boleh menganggu kesihatan kita, termasuk kedua biji mata kita yang amat berharga itu.]


Sebaliknya ada pula empat perkara yang boleh menambahkan keelokan cahaya mata kita.


Pertama, memandang benda-benda hijau.


[Kita dinasihatkan supaya selalu melihat daun-daun yang hijau dan seumpamanya, terutama pada waktu pagi kerana ia boleh mempengaruhi cahaya mata kita.]


Kedua, memandang air yang mengalir.

[Sesungguhnya air yang mengalir itu bukan sahaja dapat mempengarui mata kita, malah juga dapat menenangkan perasaan kita dan menimbulkan rasa keharuan kerana menyedari kebesaran Allah. Rasa sejuk dan nyaman yang menggetarkan perasaan.]


Ketiga, memandang orang yang kita kasihi.


[Sudah tentu memandang orang-orang yang kita kasihi, tidak kira siapa sahaja yang layak dikashi akan menimbulkan rasas tenang, riang dan gembira, yang akan mempengaruhi perasaan dan  diri kita, termasuklah pandangan mata kita. Mata kita akan bersinar-sinar meriah bila melihat orang yang kita kasihi.]


Keempat, sentiasa menghadap kiblat.


[Kita memang diminta supaya sentiasa menghadap kiblat, ke arah Kaabah, yang menjadi arah seluruh umat Islam bersolat. Ia tentu dapat mempengaruhi diri kita dengan aura-auranya yang suci dan mulia yang tidak terbatas tersebaar ke seluruh alam buana ini.]


Demikian petua datok nenek kita. Mereka memang kaya dengan ilmu pengetahuan yang berguna untuk membantu kehidupan insan berjalan dengan lancar. Di antaranya ilmu tentang kesihatan, seperti cara-cara untuk mendapat kesihatan yang baik, mencegah penyakit dan juga ilmu untuk merawat dan menyembuhkan penyakit.


Kebanyakan ilmu-ilmu lama itu diwarisi begitu sahaja dari satu generasi ke satu genersi yang dikenali kemudiannya sebagai petua. Tapi kemudiannya petua-petua itu dicatat, disusun dan dicetak dalam bentuk risalah atau buku-buku secara moden.







Berhubung dengan perkara ini, dalam simpanan saya ada sebuah buku kecil yang berjodol BUKU ILMU TABIB, oleh Guru Haji Abu Bakar, Kampong Kok Keli, Tumpat Kelantan. Buku itu dalam bentuk kecil sahaja dan nipis, dan begitu bersahaja. Berukuran 121/2 cm dan 18 cm, dalam tulisan Jawi.


Buku kecil itu berusia kira-kira setengah abad berdasarkan catatan pada kulitnya yang berbunyi,“Dihimpun pada 15 haribulan Ramadan Tahun 1378”.


Buku itu juga menegaskan ada empat faktor yang boleh menyebabkan seseorang menjadi kurus, iaitu:


Pertama, banyak makan daging kering.


[Daging kering ialah daging yang dilumur dengan garam kemudian dijemur di panas mata hari hingga kering. Ketika hendak dimakan daging ini digoreng, kemudian ditumbuk atau diketuk supaya menjadi berurat-urat dan mudah dimakan.]


Kedua, banyak berjima’ atau melakukan hubungan seks.


Ketiga, berjima’ atau bersetubuh dalam masa yang lama.


Ketiga, tidur selepas makan.


[Sememangnya mengamalkan tidur selepas makan tidak menyihatkan badan, malah boleh menyebabkan penyakit, antara penyakitnya sembab dan otak menjadi lembab.]


Sebaliknya, katanya ada empat faktor pula yang boleh menambahkan kesihatan badan seseorang, iaitu:


Pertama, makan tetap pada waktunya.


Kedua, mempunyai masa kerja yang tetap.


Ketiga, menjauhkan diri daripada pekerjaan yang susah.


Keempat, senang hati.


Dan empat perkara pula yang boleh membinasakan jasmani kita ialah,


Pertama, [terlalu] banyak berjalan kaki.


Kedua, menunggang kuda jahat.


Ketiga, berjalan di tengah panas.


Keempat, lelaki yang melakukan hubungan seks dengan wanita tua.


Seterusnya buku itu juga menerangkan cara-cara untuk memeriksa nadi seseorang, dan jenis-jenis denyutan jantungnya untuk menentukan jenis-jenis ubat yang sesuai dengan seseorang pesakit.


Buku kecil ini membicarakan 44 jenis penyakit yang biasa menimpa manusia, dan menyatakan ubat-ubat dan cara-cara untuk merawatnya, termasuklah penyakit gila, sakit perut, sakit cacing, penyakit mati pucuk, sakit kepala, sakit dada, sakit pinggang dan sebagainya.


Pada muka pertama di bawah tajuknya, terdapat enam baris puisi oleh pengarangnya yang berbunyi:

Pelihara olehmu bersungguh-sungguh
Sihat afiat dalam tubuh
Ringan ibadat dunia teguh
Ilmu tabib hendaklah diamalkan
Mendapat sejahtera serta aman
Ibadat tetap sihat badan.


Penyusunnya juga tidak lupa memperingatkan akan sabda Nabi saw tentang berubat yang bermaksud:


“Berubatlah sekalian kamu dan janganlah kamu berubat dengan benda-benda yang haram”.


Sekian.


Kampung Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.






0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP