Tebing Sungai Kota Bharu Menghimbau Kenangan

>> Tuesday, May 5, 2015








TEBING SUNGAI KOTA BHARU MENGHIMBAU KENAGNAN




                                     Sebahagian dari sungai KB hari ini



 
Pada suatu malam saya berdiri di di Tambatan Di Raja Kota Bharu yang mejulur dari tebing ke ke dalam sungai yang bersambung dengan sebatang  jalan Padang  Merdeka. Di bawah tempat saya berdiri itu air Sungai Kelantan bergemercik bunyi dilanda ombak-ombak kecil. Sisa-sisa banjir masih boleh  kelihatan jelas di sekitar. Angin berhembus sejuk dan menyegarkan.


Hari masih di pangkal malam. Saya pandang ke seberang sungai, gelap menyerkup bumi. Demikian juga bila saya toleh ke kanan. Di sebelah kiri, nun jauh di sana Jembaan Sultan Yahya Petra berbalam-balam merentangi Sungai Kelantan dengan ukiran sejarahnya yang tersendiri.


Bila saya mendongak ke langit, tiada bulan dan tiada bintang.. Dada langit kosong, gelap. Hanya cahaya dari bandar Kota Bharu dari arah belakang yang menerangi langit ke arah sungai yang juga sepi mengalir lesu ke arah lautan sejak zaman berzaman lagi.


Cahaya-cahaya lampu dari rumah-rumah dan bangunan-bangunan kelihatan malu-malu menembusi kegelapan yang menyelubungi tebing sungai Kelantan.



Mohd Zain berdiri di Tambatan Di Raja




Ingatan saya galak menghimbau ke masa-masa yang lalu. Berjajaran di sepanjang tebing sungai, dari Pengkalan Pasir berhampiran dengan Pejabat Kastam terdapat jajaran rumah-rumah rakit sampai ke tebing Sungai Jalan Gajah Mati selepas melewati  Padang Lido.


Bila petang mulai melabuhkan tirainya, Padang Lido yang kosong di siang hari itu mulai bernafas.. Mereka yang suka melihat keindahan alam, akan berdiri atau duduk di atas beberapa buah bangku batu di tepi sungai yang tinggi tebingnya itu untuk memandang langit petang dan cahaya mata hari terbenam di ufuk langit. Angin petang sepoi-sepoi bahasa berpupuk tenang, menyamankan.


Di atas padang pula kelihatan peniaga-peniaga kecil dengan pelita minyak tanah yang menyala berkelap-keli menerangi barang-barang jualan mereka. Biasanya kebanyakan mereka menjual makanan-makanan ringan, seperti kerpuk goreng, kacang goreng, kacang sira goreng, kacang rebus, colek buah-buahan dan sebagainya. Barang-barang itu  diisi dalam bakul, atas badan [nyiru] atau diletak di atas bangku-bangku kecil yang simpel. Biasanya barang-barang yang dibeli itu dimakan di kawasan padang itu sahaja atau dibawa balik ke rumah untuk keluarga.

Setiap malam, di sudut kanan Padang Lido itu, di tepi tebing sungai ada seorang penjual colek istimewa, iaitu pelampung lembu dan  kerang rebus. Kami panggil dia Pak Cik dan gaya percakapannya macam orang dari seberang.

Ramai orang meminati colek beliau, temasuklah saya. Kami makan menggunakan meja kayu mudah alih yang rendah dan duduk atas bangku kecil mengelilingi meja. Kalau tidak silap saya dia menggunakan lampu minyak tanah [gas-lamp].


Ramai orang berkunjung ke Padang Lido pada waktu malam untuk membeli makanan-makanan ringan untuk dimakan di situ atau dibawa pulang. Dan keadaan akan menjadi tambah sibuk bila tayangan filem di Pawagam Lido hendak dimulakan atau tamat di mana penonton-penonton akan singgah mencari keperluan mereka untuk dibawa masuk panggung atau dibawa pulang.

Tidak jauh dari situ pula, ada sebatang jalan pendek, Jalan Tok Hakim di mana mulai malam di kiri kanannya dibarisi dengan penjual-penjual nasi belauk yang dibungkus. Di samping itu ada juga gerai-gerai penjual kueh. Pada suatu masa ada dua orang gadis adik beradik yang camel yang membantu ibunya menjual nasi..


Di situ juga setiap malam ada seorang tua penjual pulut bakar panas yang termasyur. Pulut itu dibakar di situ, kerana itu urusan jual belinya makan masa sdikit. Namun begitu orang sanggup menunggu kerana pulut bakarnya sedap, lemak dan manis.


Tidak ada sesuatu pun yang kekal di dunia. Masa terus berubah. Kemudian Padang Lido itu ditukar namanya kepada nama Taman Sekebun Bunga, di mana didirikan bangunan-bangunan batu tempat orang berniaga, barang-barang keperluan dan juga makanan-makanan. Padang Lido mulai lesap, tidak ada lagi ruang tempat penjual-penjual kecil-kecilan  yang menggunakan bakul dan pelita minyak tanah untuk mencari rezeki. Hampir seluruh penjualnya terdiri dari   kaum wanita.



                                     Tebing Sungai KB hari ini




Tapi Taman Sekebun Bunga pun tidak dapat bertahan lama, dan akhirnya hari ini telah tegak sebuah hotel yang tersergam menjadi sebahagian daripada ciri-ciri bandar Kota Bharu Moden.


Saya terkenang pada suatu malam saya dan dua orang kawan pergi ke Padang Lido dengan tujuan untuk membeli sedikit makanan ringan, antaranya  colek pauh dan buah jambu yang telah dipotong-potong. Penjualnya seorang wanita. Saya bertanya pauh yang dijualnya itu masam atau manis. Dia menjawab masam untuk dimakan dengan colek. Saya berpaling kiri dan kawan untuk meminta persetujuan kedua sahabat saya untuk membelinya. Wanita itu menyangka kami hendak membeli pauh yang manis, lalu memberitahu, bukan semuanya masam, tapi yang manis pun ada juga. Saya tersenyum dan dua orang kawan saya lalu ketawa kecil kerana memahami kecek penjual itu. Saya membelinya dua bungkus, dengan dua jenis colek yang berlainan, satunya colek pekat cair yang hitam warnanya, dan satu lagi colek debu-debu lada, gula dan garam yang digaul. Bila kami beredar dari situ dan mencari bangku untuk duduk dan menikmatinya, semua keping-keping pauh itu masam belaka, tidak ada sekeping pun yang manis, dan memang yang masam itulah yang kami cari.Kami ketawa.


Kata-kata akhir wanita itu tadi juga menyebabkan kami ketawa, “Kalalu nak yang lebih manis beli tuannyalah”.


Semua corak warisan tradisonal lama di sepanjang sungai itu sampai ke Lorong Gajah Mati, dan terus melimpah ke Lembah Sirih, tempat orang bercucuk tanam dulunya telah memberi laluan kepada pembangunan moden.


Mungkin ada baiknya juga jika ciri-ciri keaslian tebing Sungai Kota Bharu itu dikekalkan dengan diberi corak dan nafas baru yang menarik untuk dikunjugi oleh para pelancong yang berkunjung ke bandar ini?


Demikianlah himbauan kenangan saya di pingir Sungai Kelantan bila malam menjelma. Saya mengenali Kota Bharu dengan lebih dekat sejak tahun 1960an setelah  saya mulai bekerja di Pustaka Dian dan menetap di Kota Bharu. Pada mula-mulanya Pejabat DIAN dan kilang terletak di sebuah bangunan kayu di Simpang Tiga LIDO, selepas berpindah dari Jalan Gajah Mati dan sebelum berpindah ke Jalan Tengku Chik.


Senoga himbauan kenangan ia menjadi sebahagian kecil daripada titik-titik sejarah Kota Bharu, Bandaraya Islam ini.



Kg.Parit, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP