SALAH PILIH HABIS BACA

>> Tuesday, May 19, 2015





SALAH PILIH” NUR SUTAN ISKANDAR HABIS BACA


Nur Sutan Iskandar




DARI celah-celah buku di pondok saya, saya ambil sebuah buku yang telah lanjut usianya dengan tujuan untuk membacanya.


Walaupun sebenarnya masih ada pada saya sekumpulan buku-buku baru, termasuk novel-novel karya tempatan hasil penulis-penulis baru yang belum berkesempatan saya membacanya.


Buku lama itu adalah sebuah novel percintaan yang diterbitkan buat pertama kali sebelum Perang Jepun lagi. Novel itu berjodol SALAH PILIH karya Nur Sutan Iskandar, salah seorang sastrawan yang terkenal di negara jiran Indonesia.


Nama sebenar beliau ialah Muhammad Nur Sutan Iskandar, dilahirkan di Sungai Batang, Sumatera Barat pada 3 November 1893 dan meninggal dunia pada 28 November 1975 di Jakarta.


SALAH PILIH buat pertama kali diterbitkan pada tahun 1928 oleh Balai Pustaka Indoneisa, dan sehingga tahun 2000 ia telah diulang cetak sebanyak 22 kali.


Tapi novel yang ada di tangan saya ini diterbitkan di Malaysia oleh :Pustaka Melayu Baru, tidak bertanggal. Di samping itu tidak terdapat pula apa-apa penjelasan mengenai penerbitan novel dari penerbitnya. Ejaannya telah ditukar kepada ejaaan bahasa Malaysia lama, bukan ejaan bahasa Indonesia lagi, dan tebalnya 274 lembar, sedangkan novel asalnya yang diterbitkan di Indonesia setebal 232 halaman.

Saya rasa saya pernah membaca sekali novel ini ketika saya di bangku sekolah dulu dengan meminjamnya daripada perpustakaan Carnige Librarry yang terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu. Itu berpuluh-puluh tahun telah berlalu.


SALAH PILIH berlangsung di Sumatera Barat berlatarbelakangkan Daerah Minangkabau. Mengguanakan bahasa Indonesia lama. Sebahagian daripada adat budaya orang Minang boleh diperolehi daripada novel ini.


Ceritanya mengenai seorang pemuda, bernama Asri telah tesalah pilih dalam mencari seorang teman hidupnya. Gadis yang dinikahinya itu tidak dicintainya, dan seorang gadis yang kasar dan sombong, Saniah namanya. Tapi kemudiannya Asri berkahwin lain bila isterinya meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya dengan seorang gadis yang dicintainya dan merupakan adik angkatnya sendiri, namanya Asnah.


Ia berakhir dengan happy ending di mana Asri bersama dengan isterinya Asnah kembali semula ke kampung halaman yang telah ditinggalkanya sejak dia membuang diri ke Jakarta selepas berkahwin dengan Asnah adik angkatnya itu yang danggap oleh masyarkatnya sebagai melanggar adat. Kepulangannya itu atas undangan orang-orang kampungnya sendiri yang bersedia menerimanya kembali dan melantiknya semula sebagai ketua mereka yang dimuliai.




 
Asnah itu bukan sahaja seorang gadis yang berbudi bahasa, tapi juga seorang yang rupawan, yang , “Inilah saya ibu”, kata anak gadis itu dengan riang serta tersenyum, sehingga tampaklah “lesung pipit” pada kedua belah pipinya yang sebagai pauh dilayang itu. Giginya yang putih sebagai gading itu kelihatan dua jajar dengan indahnya”.


Dan, “Rambut Asnah yang ikal itu diraba-raba oleh orang tua itu, dan wajahnya yang molek lagi berseri-seri itu dipandangnya dengan sukanya. Rupanya benar gadis itu dan subur-sihat tubuhnya! Hatinya yang suci dan fikirannya yang tajam terbayang-bayang pada matanya, yang bulat sebagai bintang timur itu”.


Tidak terpikatkah anda dengan gadis seindah ini?


Susunan kata-katanya sebagai gaya bahasa beradat, terutama dialog-dialog wataknya. Ada patah-patah perkataan yang sukar untuk difahami. Di samping itu ada pula kata-kata yang sama bunyi dan maknaya dengan kata-kata yang digunakan di negara kita Malaysia, seperti kata-kata “menyabit, mengirik, tersangkut, ajuk, merah jambu, pongah, menindih”, dan juga nama-nama kueh yang sama dengan kueh kita, seperti “kueh baulu,kueh lapis, dan kueh panggang


Penulis-penulis Indonesia menganggap SALAH PILIH sebagai sebuah novel percintaan yang menjadi saksi sejarah dan melengkari perkembangan budaya, bahasa dan bangsa Indonesia..


Seperti yang telah saya ucapkan, saya bukan seorang pengkritik sastera, khususnya novel. Tapi saya adalah seorang pembaca biasa yang hobinya gemar membeli dan membaca bahan-bahan bercetak. Justeru itu, apa yang saya tulis tentang apa yang telah saya baca adalah mengikut apa yang saya fikir perlu, bukannya mengikut standard tertentu sebagai sebuah hasil kritikan sastra.


Saya suka mencungkil beberapa kata-kata berharga sekurang-kurang untuk saya yang dinukilkan oleh sang penulis menerusi salah seorang watak ciptaannya. Antara lain kata-kata itu ialah:


“Ya adikku”, kata Rusiah dengan sesungguh-sungguh hatinya, “jangan engkau terlalu cepat menyalahkan orang yang berfikiran sedemikian. Kita harus mempergunakan fikiran kita sendiri, akan menimbang buruk baik suatu kejadian. Sebab fikir itu pelita hati.


“Cuba kau camkan benar-benar mengapa  kita akan memuliakan seseorang kerana pangkatnya dan kekayaannya? Mengapa kita akan memandang hina akan orang miskin, kerana kemiskinnya itu?  Ingat pepatah kita: Yang tua dimuliakan, yang kecil dikasihi. Tidak ada adat kita mengatakan: Yang berpangkat dan bangsawan dimuliakan! Kita sama-sama cucu Nabi Adam, adikku! Patut dan wajib  berkasih-kasihan dan bertolong-tolongan sesama manusia!


“Timbulnya bermulia, berhina, berkaya dan bermiskin itu........oleh kerana nasib  kita-masing-masing jua. Maka dijadikan Tuhan demikian, supaya si mulia dan si kaya itu dapat menolong dan membantu bangsa yag hina dan yang miskin itu. Bukan hendak menindih mereka itu! Tambahan pula manusia tidak “indah” kerana rupa dan tidak “baik” kerana pangkat dan darjah segala macam itu. Tdak sekali-kali, melainkan sebagai kata pantun:


Yang merah hanya saga
Yang kurik hanya kundi
Yang indah hanya basa
Yang  baik hanya budi”.


Demikian Nur Sutan Iskandar.


Saya seronok membaca buku ini, dengan lenggang-lengguk gaya bahasanya yang tersendiri dan dalam ejaan bahasa Melayu lama. Slogan yang dibawanya juga menyenangkan, iaitu walaupun adat tradisi itu mesti dijunjung, tapi jika bersalahan dengan syara’ atau hukum agama, maka syara’lah mesti ditegakkan.




Sesungguhnya sekali sekala, dalam dunia moden hari ini yang penuh dengan aneka kemajuan di mana buku-buku terutama novel-novel angkatan baru berserakan dan perlu diberi perhatian yang sewajarnya ada baiknya juga kita meninjau ke belakang membaca buku-buku lama yang mendului mereka yang juga mengandungi mesej-mesej yang tersendiri dan masih segar dan masih belum lupus dimakan zaman.


Sekian, wasallam


Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
KB. Kelantan..





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP