Kuala Besar Tempat Yang Ideal Untuk Memancing

>> Monday, June 2, 2014





KUALA BESAR TEMPAT YANG IDEAL UNTUK PARA PEMANCING


KUA;A BESAR suatu tempat yang kian popular di Negeri Kelantan Darulnaim sejak kebelakangan ini sebagai tumpuan orang ramai, terutama penghobi mengail ikan. Bagi mereka Kuala Besar merupakan salah satu tempat yang ideal untuk mereka melepas gian memancing.


                                     Flybaits:Keindhan Alam



Namun jika ditanya saya, di mana lokasinya yang ideal untuk memancing, jawabnya saya tidak tahu, dan saya tidak berminat dengan memancing. Tapi demikanlah makluman yang saya perolehi.





Kuala Besar merupakan tempat penghujung Sungai Kelantan setelah mengalir panjang raatusan batu dari ulunya, melewati beberapa bandar penting, Kuala Krai, Pasir Mas dan Kota Bharu sebelum sampai ke Kuala Besar untuk memasuki Laut China Selatan yang menyimpan banyak rahsia. Di kuala inilah tempatnya air laut dan air sungai bertemu untuk memenuhi sunnah alam yang telah berlaku sekian lama.





Dari pengamatan selayang saya, Kuala Besar masih lagi merupakan sebuah perkampungan nelayan. Penduduk-penduduknya masih menjadi nelayan turun ke laut berpagi-pagi dan balik berpetang-petang. Keadaan rumah-rumah mereka masih merupakan rumah nelayan tradisional. Sebuah kompleks LKIM sudah terdiri gagah di situ untuk membantu kaum nelayan.

Justeru pelawat-pelawat yang berkunjung ke Kelantan, kunjungan akan menjadi lebih bermakna jika mereka berkesempatan melawat kampung-kampung nelayan ini, dan salah satu daripadanya ialah Kuala Besar ini yang terletak kira-kira lima belas km dari ibu negeri Kelantan, Kota Bharu. 

                                         Jeti LKIM Kuala Besar


Waktu di awal pagi mereka boleh melihat nelayan-nelayan bertolak ke laut untuk meraih rezeki yang masih di alam ghaib dan di waktu petang mereka dapat melihat para nelayan pulang membawa hasil tangkapan setelah sehari bergelumang laut di hempas ombak dan bermandikan panas atau hujan.


SK Kebangsaan Kedai Buloh




Beberapa hari yang lepas kami sampai di Kuala Besar kira-kira pukul sepuluh pagi. Sudah berpuluh-puluh tahun saya tidak sampai ke sana, kerana tidak mempunyai urusan. Pada masa yang lalu saya telah berkali-kali menjejaki kaki di tanah Kuala Besar ini kerana urusan. Beberapa keping gambar lama yang saya pukul waktu itu masih ada dalam simpanan saya. Masa itu panorama alamnya  amat tenang dan menarik.




Namun hari ini ini panoramanya telah jauh berubah. Jambatan kayu yang merentangi Sungai Che Latif telah bertukar menjadi jambatan batu. Di pinggir sungainya masa itu kebanykan perahu-perahu yang dikayuh sahaja yang ditambat di tebing sungai. Tapi hari ini telah berganti dengan motor berenjen, dan  ada motor-motor besar beroleng-oleng di tengah muka kuala.




Tapi bagaimana keadaan sebenarnya kehidupan nelayan di situ tidak dapat diselami? Kunjungan singkat saya tidak dapat menerokainya. Namun begitu dari tinjauan-tinjauan singkat ke sekolah-sekolah di sekitar, menunjukkan kebanyakan pelajar-pelajarnya datang dari keluarga yang tidak menggemarkan hati. Wallahua’lam.


Di antara motor-motor itu saya kira ada motor penambang untuk mengangkut orang pergi dan balik ke seberang sana. Ada sebuah wakaf dididirkan di gigii sungai itu tempat penumpang menunggu bot untuk ke seberang atau tempat berehat-rehat sambil menyedut udara sungai yang segar dan nyaman.




Ada sederet bangunan kayu yang menempatkan kedai runcit dan kedai kopi tempat menjual nasi belauk. Letaknya bersebelahan dengan pagar kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Kemudian bersambung dengan petak-petak tempat parkir kereta. Kebanyakannya telah lusuh. Pada masa dulu LKIM ini masih belum wujud lagi di situ. Saya pun tidak sempat masuk meninjau ke dalam kompleks LKIM.

Tidak berapa jauh daripada kompleks LKIM itu ada sebidang tanah kosong yang luas yang sebahagainya digunakan untuk parkir kereta. Bangsal-bangsal kereta yang simpel juga dibina di tepi-tepinya. Kereta mewah pun ada diparkir di situ. Saya tidak sempat bertanya, ke manakah tuan-tuan kereta itu pergi selepas mereka memparkirkan kereta di situ? Adakah mereka para pelancung yang pergi memancing atau mereka ke mana? Ia masih menjadi tanda tanya kepada saya?



Pada suatu masa yang lama dulu, kami ikut serta dalam rombongan yang diketuai oleh [Dato’] Yusuf Zaky Yaacob tuan punya Syarikat Dian menaiki sebuah bot yang agak besar, berteduh yang disewa untuk pergi berkelah. Beliau membawa keluarganya. Tidak ramai sebenarnya yang ikut serta. Kami berhenti berkelah di kawan Kuala Besar dan makan di tebing sungai yang tidak saya tahu lagi di mana sekarang. Pada waktu itu pandangan tebing sungai Kelantan dari Kota Bharu ke Kuala Besar memang cukup menarik.



Sebenarnya saya ada mempunyai seorang rakan lama yang tinggal di Kuala Besar ini. Namanya Aziz. Saya tidak sempat mencarinya. Saya tidak tahu lagi di mana beliau sekarang. Keadaan taburan rumah kediaman telah jauh berubah. Kali terakhir saya bertemu beliau ialah waktu beliau menjadi pemandu teksi Lapangan Terbang Pengkalan Chepa. Katanya dia sukakan kerjanya itu.


SK Che Latif




Kalau kita hendak ke Kuala Besar, dari jalan besar Kota Bharu-Pantai Cinta Berahi atau Pantai Cahanya Bulan yang dulunya juga dikenali dengan nama Pantai Semut Api, bila sampai di Kedai Buloh kita hendaklah masuk ke simpang kiri, di mana kita akan melewati dua buah sekolah, iaitu Sekolah Kedai Buloh dan Sekolah Che Latif. Sekolah Kedai Buloh tercuruk ke dalam sedikit.


Kerana ada urusan penting yang harus dikejar di Tumpat kami terpaksa segera meninggalkan Kuala Besar yang tidak sempat kami terokai lebih jauh, dalam kembara yang begitu singkat, dan hanya sekadar mampu memenuhi nostalgia zaman lampau yang masih terbayang dalam benak.

Walau apapun: Inilah sebahagian dari bumi tanah airku yang tercinta dengan segala apa kurniaan Allah yang terdapat di dalamnya. Semoga ianya terus melangkah maju, sejajar dengan negara yang lebih setengah abad merdeka, dengan segala penduduknya untuk menikmati hasil kemerdekaan.
 

Berkaitan:


PANTAI CINTA BERAHI
YANG KEMALAPAN CINTA

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP