PUASA ANTARA IBADAH DAN TARBIAH

>> Monday, June 30, 2014





                                         Hijjaz-Ramadhan Bulan Berkat
 
PUASA ANTARA IBADAH DAN TARBIAH



Saban hari sejak kira-kira dua minggu yang lalu, ketika seorang hamba Allah membuka pintu rumahnya untuk ke masjid, dia akan mendengar alunan bacaan ayat suci al-Quraan berkemundang dari segenap penjuru kediamannya, ada yang deras kendengarannya, dan juga yang perlahan-lahan, dan ada juga yang sayup-sayup yang tenggelam timbul dibawa arus angin pagi yang nyaman.


Ada masjid yang tidak pernah melantunkan ngajian al-Quran pun kedengaran bergema dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran pada setiap waktu menjelang Subuh sejak kebelakangan ini. Ada bacaan yang dipancarkan dari alat-alat perakam dan juga yang dibaca khusus secara langsung oleh qari sendiri. Semuanya menggetar hati. Membangkitkan kesayuan dan kehibaan di waktu pagi yang syahdu.


Ini semua menandakan bulan yang mulia, bulan Ramadan telah menghampiri  dengan membawa seeribu keberkatan. Semoga suasana yang ceria iman ini akan terus berkembang subur sepanjang bulan Ramadan yang mulia dan disambut oleh setiap hamba Allah yang mendengarnya dengan penuh kesyukuran dan kerelaan.


Hari ini Isnin dua Ramadan empat belas tiga puluh lima, bersamaan tiga puluh Julai dua kosong satu empat, maka bererti telah dua hari kita umat Islm menunaikan ibadat puasa yang diwajibkan ke atas kita umat Islam. Semoga Allah menerima ibadat puasa kita bersama-sama dengan segala amalan soleh kita yang lain. Amin.


Nampaknya para jumaah yang bersolat Subuh di masjid sejak dua hari yang lalu telah meningkat dua kali ganda. Alhamdulillah. Demikianlah bulan Ramadan ini bulan yang penuh dengan keberkatan.


Selepas solat Subuh dan kembali ke rumah, hamba Allah itu menunaikan hajatnya untuk membaca sebuah risalah kecil yang dipungutnya dari celah-celah kumpulan buku-buku di rumahnya. Risalah itu telah dua dekad lebih usianya dan hasil tulisan [Dato’] Mohd Shukri bin Mohamad, ketika beliau masih  bergelar Ustaz dan menjadi Pegawai Ugama Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiada Melayu Kelantan. Dia kenal dengan cendakiawan Islam penulis riasalah ini yang kini telah bergelar Dato’ dan memegang jawatan agama yang tinggi, iaitu Mufti Kerajaan Kelantan.



Dia membaca risalah itu di meja yang sejak kebelakangan ini sering digunakannya untuk menjalankan kerjanya.


Beginilah apa yang dibacanya:

 Dato' Shukri Mohamad




“Muqaddimah


Dalam suatu syarahan, Rasulullah S.A.W. menerangkan keutamaan dan keistimewaan  bulan Ramadan antara lain kandungan syarahan itu berbunyi yang maksudnya:


“Wahai manusia sesungguhnya kamu akan dipayungi oleh bulan yang agung, penuh dengan keberkatan, iaitu bulan di dalamnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang Allah menjadikan fardu puasa dan sembahayang tarawih di malamnya sebagai amalan sunat. Sesisapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang mengerjakan tujuh puluh fardu di bulan yang lain. Ramadan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu pahalanya adalah syurga.  Ramadan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambahkan rezeki para mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka di dalamnya kepada orang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan pembebasan dirinya dari api neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka itu, untuknya pahala sama seperti pahala orang yang mengrjakan puasa itu tanpa sedikitpun kurang”.


Taarif Puasa


Puasa menurut bahasa ialah “Memohon diri dari sesuatu perkara dan meninggalkan sesuatu perkara”.


Menurut syara’, puasa ialah “Menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga maghrib kerana mengharapkan balasan daripada Allah dan menyiapkan diri ke arah taqwa dengan cara mendidik kehendak dan pemerhatian terhadap Allah”.


Perkataan “as-SAUM” adalah suatu alamat khusus dengan syariah bagi sesuatu ibadat untuk menjaga fikiran, perasaan, akhlak dan taabud.


Keistimewaan Puasa


-Puasa adalah seperempat iman.


Sabda Nabi:


“Puasa itu separuh kesabaran”.


Dan:


 “Kesabaran itu separuh iman”.


-Pahala Puasa Disandarkan Kepada Allah Sendiri


Hadis Qudsi menyebut:


“Setiap kebajikan dibalas dengan sepuluh kali, sampai kepada tujuh ratus kali, kecuali puasa. Maka puasa itu adalah bagi-Ku dan Aku akan membalasnya”.


-Orang Yang Berpuasa Lebih Disayangi Allah


Sabda Rasulullah:


“Demi Tuhan yang diriku ini dengan tangan-Nya, bau busuk mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi di sisi Allah dari bau harum kasturi”.


-Orang Yang Berpuasa Selamat Dari Api Neraka


Rasulullah bersabda:


“Tiada seseorang hamba itu berpuasa suatu hari di jalan Allah, melainkan Allah menjauhi mukanya dari api Neraka selama tujuh puluh tahun”.


-Puasa Menghapuskan Dosa-Dosa Kecil


Rasulullah bersabda:


“Sembahayang lima waktu, sembahayang Jumaat hingga ke Jumaat dan puasa Ramadan hingga ke Ramadan menutup segala dosa yang terjadi”.


RUKUN PUASA


-Niat


Wajib beriat dalam hati dan sunat dilafazakan dengan lidah. Wajib berniat puasa kepada setiap hari dalam bulan Puasa, kerana setiap hari dikira sebagai ibadat yang berpisah dalam masing-masing ibadah memerlukan niat. Wajib pada malam hari tempohnya bermula sesudah tenggelam matahari sampai ke terbit fajar.


Niat puasa Ramadan dengan menghadirkan niat dalam hati:


“Aku berniat puasa hari esok kerana menunaikan fardu Ramadan tahun ini kerana Allah Taala”.


Memadai kalau niat secara umum tanpa meniatkan hari esok:


“Aku berniat puasa sebulan Ramadan seluruhnya”.


Niat seperti di atas sah puasa untuk hari pertama, walaupun tidak menyebut esok hari,


Menahan Diri Dari Perkara-Perkara yang Membatalkan Puasa


-Diwajibkan kita menahan diri dari makan dan minum dan bersetubuh sejak dari terbit fajar hingga terbenam matahari.


-Tidak mengeluarkan mani dengan sengaja.


-Menahan diri dari muntah yang disengajakan.


-Memasukkan sesuatu ke dalam yang dinamakan rongga.


Orang Yang Berpuasa


Bagi orang yang berpuasa disyaratkan


-Beragama Islam


-Tetap dalam berakal, dari tebit fajar sampai maghrib.


-Suci dari haid dan nifas dari terbit fajar sampai maghrb.


-Kesempurnaan Puasa


-Menjaga pandangan mata jangan sampai melihat kepada perkara-perkara yang diharamkan dan yang makruh.


-Menjaga lidah dan menuturkan perkataan yang sia-sia. Berdusta, mengumpat, kata-kata permusuhan, kata-kata yang ria.


-Mencegah pendengaran dari mendengar perkara-perkara yang haram dan yang makruh di dengar. Tiap-tiap yang haram dicuapkan maka haram pula untuk didengar.


-Mengawal anggota-anggota tubuh yang lain dari melaku sebarang dosa, seperti menjaga perut dari memakan yang haram dan syubhat.


-Tidak membanyakkan makan minum yang halal sewaktu berbuka puasa.


-Hati sentiasa menaruh ingat di antara takut dan harapan. Takut kalau-kalau puasanya tidak diterima Tuhan, di samping itu menaruh harapan semoga puasanya diterima Tuhan.


Amalan-Amalan Sokongan Kepada Puasa


Banyakkan amalan-amalan kebajikan yang istimewa yang patut kita lakukan untuk menambahkan kekuatan iman kita, antaranya:


Sabda Rasulullah:


“Sesungguhnya Allah Maha banyak pemberian menyayangi kepada pemberian yang banyak lagi Maha Pemurah menyayangi kemurahan”.


Sabda Rasulullah:


“Seutama-utama sedekah, ialah sedekah di bulan Ramadan”.


Sabda Rasulullah:


“Sesiapa memberikan makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, niscaya dia memperoleh pahala sama seperti yang diperolehi oleh orang yang berpuasa dengan tidak mengurang sedikit pun”.


-Memperbanyakkan bacaan al-Quran. Abdullah bin Mas’ud berkata Rasulullah bersabda:


“Sesiapa membaca satu huruf al-Quran [kitab Allah] dia memperolehi  satu kebajikan, satu kebajikaan bersamaan dengan sepuluh pahala, saya tidak mengatakan Alif, Lam, Mim itu satu huruf, tetapi Ali satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”.


Sabda Rasulullah:


“Seutama-utama ibadat umatku ialah membaca al-Quran”.


Sembahayang Tarawih dinamakan juga Qiam Ramadan. Sah dikerjakan secara sendiri di rumah dan sangat baik dikerjakan secara berjemaah di masjid atau di surau-surau.


Abu Hurairah memberitahu:


“Sesungguhnya Rasulullah saw selalu memberi galakan kepada para sahabat untuk mengerjakan Qiam Ramadan. Tanpa mewajibkan ke atas mereka itu”.


Sabda Rasulullah:

“Sesiapa yang Qiam Ramadan kerana keimanan kepada Allah dan mengharapkan pahala, keampunan serta keredaan-Nya, niscaya diampuni dosanya yang telah lalu”.


-Membanyakkan doa.


Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad daripada Abu Hurairah, Nabi bersabda:


“Tiga golongan orang yang tidak ditolak doa mereka; orang yang berpuasa hingga berbuka, ketua negara yang adil dan orang yang  dizalami. Allah mengangkat doanya ke atas awan membuka pintu-pintu langit, serta Allah berfirman, “Demi Kebesaran-Ku pasti Aku menolong engkau walaupun setelah berlalu sesuatu waktu”.


Doa yang patut dipohonkan di antaranya:


-Mengerjakan Umrah.


Banyak hadis yang menjelaskan keutamaan mengerjakan umrah di Bulan Ramadan.


Sabda Rasulullah s.a.w.


“Sesungguhnya mengerjakan umrah di Bulan Ramadan, mengimbangi satu haji atau satu haji bersama-samaKu”.


Penutup


Pelajarilah dengan sebaik-baiknya, apa yang perlu dilakukan semasa menjalankan ibadah puasa supaya ianya dapat memenuhi dan menjadi ibadat dan sekali gus dapat mendidik dan mentarbiah diri kita. Semoga amalan puasa kita dengan aman-amalan soleh yang kita lakukan akan menjadi saksi di hadapan Allah Rabbul Jalil.


Wallahu A’lam”.








                                         Masjid Di Indonesia

Semoga sesiapa jua yang membaca risalah ini akan dapat memetik manfaat untuk menambahkan pengetahuan mereka dan juga dalam membina ibadat puasa mereka.


























0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP