MENINJAU BUAH KURMA DI MEDAN TUAN PADANG
>> Tuesday, June 17, 2014
Waktu kami sampai di Medan Tuan Padang [Bulatan Jam Besar]Kota Bharu, pagi tadi, [Selasa 17 Julai 2014] jam baru pukul sembilan
pagi. Saya lihat orang ramai sudah pun mula berlegar-legar di medan itu untuk
meninjau pokok kurma berbuah dengan dengan mata kepala mereka sendiri. Kisah
pokok kurma berbuah ini sudah beberap hari menjadi berita di seluruh negara.
Mereka datang silih berganti, terdiri daripada berbagai peringkat usia, tua, muda, dan kanak-kanak, lelaki dan perempuan, kebanyakannya bersama keluarga. Mereka tidak pula keberatan untuk mengambil gambar, dan bergambar dengan pokok-pokok kurma yang berbuah itu.
Saya pun tumpang semangkok. Saya datang bersama cucu yang belum biasa dengan kamera, tapi nasib baik ada seorang gadis comel menawarkan bantuan mengambil gambar saya di bawah teduhan pokok kurma yang berbuah itu tanpa diminta.
Terdulu dari saya seorang wanita berkata kepada suaminya sambil menyerahkan telefon bimbit kepada suaminya, “Tolong ambil gambar saya, saya nak tunjukkan kepada mereka di sana pokok kurma berbuah lebat di Kota Bharu”.
Cuaca pagi itu redup. Tidak ada wajah matahari. Malah ketika kami sampai
itu hujan telah berdebu, tapi tidak sampai membasahkan pakaian. Dalam keadaan
seperti itu memang selesa untuk berjalan-jalan. Dalam suasana dingin yang
nyaman, tanpa hujan dan panas.
Seorang penjalan kaki yang tidak dikenali memanggil saya dalam perjalanan ke Bulatan Jam Besar, dan meluahkan hatinya, “Cuaca pagi ini sedap [selesa]. Payah kita nak cari keadaan seperti ini. Sudah berapa lama kemarau panjang, orang menanam padi pun tak tumbuh, mengharap tali air saja tidak mencukupi, kalau hujan tidak turun”. Saya hanya mengiakan dan terus berjalan.
Sebelum ke Bulatan Jam Besar kami singgah sarapan pagi di sebuah resturan
makanan India. Waktu itu orang ramai sedang makan, Melayu dan India. Saya minta
thosai dan cucu saya minta roti canai. Tapi rasa thosainya tidak selaras dengan
selera saya, tidak seperti thosai yang pernah saya makan, terutama di KL. Saya
adalah seorang peminat thosai yang kental.
Bulatan Jam Besar ini suatu tempat yang strategik, ia merupakan mercu tanda masuk ke Bandar Kota Bharu, ibu Negeri Kelantan Darulnaim. Dulunya ia terkenal dengan nama Medan Tuan Padang, di mana pokok kurma ditanam dan mengeluarkan buah yang lebat itu. Tapi oleh sebab nama itu kurang dipopularkan, maka bila menara jam itu dibina dan dipasangkan dengan jam, maka orang pun menyebut tempat itu sebagai “Bulatan Jam Besar”, dan menjadi popular hingga sekarang.
Pokok-pokok kurma tersebut ditanam di medan itu sebagai hiasan landskap.
Menurut pihak berkuasa MPKB sebanyak tujuh
puluh tujuh pohon kurma telah ditanam kira-kira tujuh tahun yang lalu dan
sepuluh pohon daripadanya kini sedang berbuah dengan lebat dan dijangka masak
pada bulan Ramadan, kira-kira dua minggu dari sekarang. Orang ramai dilarang
mengambil buah yang berada di atas pokok, dan mereka hanya dibenar mengambilnya
mana-mana buah yang luruh atau guggur.
Dari segi syara’ siapakah sebenarnya yang berhak memakan buah-buah kurma
itu?
Dan dari segi undang-undang negeri atau negara siapakah pula yang berhak
memakannya? [Sebab negara itu mempunyai dua undang-undang].
Dan saya juga bertanya tidak bolehkan nama asalnya Medan Tuan Padang itu dihidupkan,
kerana ia mempunyai pertalian dengan sejarah negeri ini?
Kami tidak lama berada di Bulatan Jam Besar atau Medan Tuan Padang,
sementara waktu itu pakaian kami pula terasa kian lembab oleh udara dingin yang
kian membasah dengan titik-titik air yang kian memberai walaupun belum hujan dalam erti kata yang sebenarnya.
Namun begitu para pengunjung terus juga datang tanpa henti-henti walaupun tidak
dalam kumpulan yang ramai. Mereka ingin melihat pokok yang berasal dari negara
berpadang pasir di Asia-Barat ini boleh tumbuh dan berbuah di Kelantan?
Dalam perjalanan meninggalkan Medan Tuan Padang ini, saya teringatkan
seorang kawan saya yang cuba menaman sepohon pokok kumra yang tumbuh dari
semaiannya beberapa tahun yang lalu. Mula-mula dia tanam pokok itu di halaman
rumah sewanya dekat rumah saya. Tapi beberapa bulan kemudian, dia terpaksa berpindah
agak jauh sedikit, dan pokok kurma itu digali dan ditanam pula di rumahnya yang
baru itu. Beberapa bulan kemudian pula dia, terpakasa berpindah lagi ke luar
negeri, pokok kurma itu digali dan dibawa pindah bersama-samanya. Waktu itu
pokok kurmanya masih belum besar. Kemudian dia pindah balik pula ke negeri asalnya,
dan kali ini saya tidak pasti, apakah nasib pokok kurmanya itu, adakah ikut
sama berpindah, atau ditinggalkan di rumahnya di sana atau pun telah mati.
Walau bagaimana pun, hendaknya selepas ini, tidak adalah rakyat negeri ini yang tergila-gila menanam pokok kurma di rumah-rumah mereka. Tidak seperti masa-masa yang lalu, kalau ada orang lain berjaya pelihara ikan telepia, orang ramai pun berebut pelihara ikan telepia, kalau ada orang berjaya pelihara ayam serama, mereka pun sibuk ikut pelihara ayam serama, kalau ada orang berajaya tanam pokok dukung, maka mereka pun berebut-rebut menanam pokok dukung, hinggakan buah dukung tidak bernilai lagi di pasaran. Sikap suka bertewas ini, kadang-kadang baik dan kadang-kadang merugikan. Hanya akal dan fikiran waras sahaja dapat membezkannya.
0 comments:
Post a Comment