PASAR RAMADAN; JANGAN KEJAR UNTUNG SEDIKIT, RUGI BESAR

>> Tuesday, June 24, 2014




                         Opick Ramadhan Tiba
 
PASAR RAMADAN: JANGAN KEJAR UNTUNG SEDIKIT, RUGI BANYAK!!



Bila tiba bulan Ramadan, ramai orang hendak berniaga, mecari rezeki selama sebulan hingga menjelang Aidilftri. Sebenarnya sejak lama dulu lagi bulan Ramadan bukan sahaja tempat umat Islam menambah ibadat, tapi juga tempat sebahagian dari mereka mencari rezeki.



Masalah permodalan, tidak ada modal, atau kurang modal kepada mereka yang ingin berniaga di Pasar Ramadan pada tahun 2014 ini, nampaknya tidak ada masalah lagi, kerana kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM45 juta untuk dipijamkan kepada mereka yang berminat berniaga di Pasar Ramadan sehingga RM3,000 seorang tanpa dikenakan sebarang faedah. Syaratnya dibayar balik dalam masa dua bulan.


Begitu ramai sekali orang kita yang hendak berniaga di bulan Ramadan, dan begitu ramai pula yang telah berniaga, maka timbullah panggilan Pasar Ramadan. Biasanya barang-barang yang popular di Pasar Ramadan ialah aneka makanan untuk berbuka, dan juga pakaian-pakaian untuk menyambut hari raya akan tiba di penghujung Ramadan.


Mereka yang ini ingin berniaga di Pasar Ramadan dan juga yang pernah berniaga di Pasar Ramadan di musim-musim yang lalu bukan semuanya mempunyai pengalaman atau pandai berniaga, khususnya yang paling ketara ialah peniaga makanan.


Kami bercakap ini berdasarkan pengalaman kami sejak bertahun-tahun yang lalu sebagai pelanggan atau pembeli di Pasar Ramadan. Malah kami juga pernah menjual colek ikan bakar di Pasar Ramadan. Namun begitu kami bukanlah pelanggan tetap setiap hari, tapi sekali sekala bila keadaan mendesak dan juga jika bila kami kepingin hendak makan sesuatu yang tidak sempat kami buat sendiri.


            Sebahagian dari cengkeh dalam sebiji pulut. Kenapa begitu banyak cengkeh?

Pada masa-masa yang lalu ada beberapa perkara yan tidak memuaskan hati malah menjengkelkan membeli makanan di Pasar Ramadan. Perkara ini berulang setiap tahun. Oleh sebab sebahagian daripada peniaga-peniaga makanan itu tidak mempunyai pengalaman dalam memasak makanan, maka makanan-makanan yang mmereka jual pun tidak memuaskan.


Ada di antara makanan-makanan itu stelah dimakan rasanya tidak serupakan dengan nama yang dikatakannya, malah entah apa-apa bahan yang digunakan sehinggakan mulut enggan menerimanya. Tidak sedap hampas. Umpamanya kata mereka kueh yang mereka jual itu kueh akok, tapi bila dimakan, akok pun bukan, bengkang pun bukan, demikian juga dengan makanan-makanan yang lain. Namun begitu tidak mengapa juga, asalkan ada  rasa kueh dan tekak boleh menerimanya.


Nasi adalah antara yang paling banyak dijual di Pasar-pasar Ramadan. Ada aneka jenis nasi untuk memenuhi nafsu selera pembeli. Nasi ini perlu juga diberi perhatian, kerana nasi yang dijual itu ada kala terlalu keras, dan ada pula terlampau lembek, kerana air yang digunakan untuk menanak nasi itu tidak sesuai dengan beras, akibat kurang pengalaman dalam memasak. Dan ini boleh mambantutkan selera pembeli.


Yang berkait rapat dengan nasi ialah lauk-pauknya. Aneka jenis lauk disediakan untuk menggemarkan pembeli. Lauk-pauk ini pula ada berbagai-bagai rasa yang tidak menentu, entah apa jenis masakannya, kadang-kadang tidak dapat dipastikan. Gulai pun bukan, kerutuk pun bukan, entah apa namanya.


Selain itu bahan-bahan masakan, seperti ikan atau daging, atau ayam yang dijadikan lauk itu, tidak kurang terdiri daripada bahan-bahan yang telah rosak, terutama yang keras melampau atau berbau, mungkin kerana penyimpanan tidak sempurna.


Tidak memadai dengan itu, kami juga sering bertemu makanan-makanan yang telah basi dijual di Pasar Ramadan. Perkara ini mungkin kerana makanan-makanan yang tidak habis sehari dua hari yang lepas terus dijual untuk mengelak kerugian, ataupun cara memasak yang kurang sempurna, seperti terlalu awal, menyebabkan makanan menjadi tidak tahan dan basi.


Bayanglah bagaimana kalau nasi yang dibungkus untuk makan sekeluarga yang di beli di Pasar Ramadan itu semuanya didapati basi ketika waktu berbuka telah masuk. Kami pernah mengalami hal ini. Yang kasihan jika ada kanak-kanak  yang baru belajar berjinak-jinak dengan puasa.


Selain daripada makanan-makanan, air-air minuman juga ada air minuman yang telah rosak, basi dan masam, seperti air orenj atau air soya. Dalam bekasnya, air yang bercampur dengan ketulan ais itu kelihatan elok, tapi bila dibawa balik ke rumah, di waktu berbuka didapati telah berubah rasa, masam basi, dan berlendir.


Biasanya makanan-makanan Pasar Ramadan ini selesa dibeli, tanpa dibimbangi telah basi atau rosak, iaitu sehari dua di awal Ramadan, dan selepas itu pada umumnya tidak ada jaminan lagi makanan akan cukup baik, kecuali anda membeli daripada penjual yang anda kenali atau biasa dengan anda.


Para peniaga patut sentiasa ingat, janganlah sentiasa mengejar untung yang berlebihan atau mengejar pendapatan secara tidak wajar. Jangan rosakkan Ramadan anda, jangan kuruskan puasa anda dengan penjualan barang-barang yang kita tahu telah rosak, telah basi, tapi sengaja kita sorok-sorokkan untuk mendapat untung yang sedikit jika dibandingkan dengan kerugian di akhirat kelak.

JANGANLAH KEJAR UNTUNG SEDKIT, TAPI RUGI BANYAK!

 





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP