AKSB ANCAMAN POTONG AIR SEMPENA BULAN RAMADAN
>> Tuesday, July 1, 2014
TERIMA KASIH AKSB KERANA ANCAMAN POTONG AIR SEMPENA BULAN RAMADAN
Petang kelmarin [hari ini Selasa, satu Julai, dua kosong satu empat],
ketika hendak melangkah keluar dari masjid, saya ternampak ada selonggok kertas
di tepi pintu, biasanya di awal bulan mulia ini terdiri dari Imsakiah Ramadan
yang dihadiahkan oleh syarikat-syarikat atau para peniaga yang mengambil
kesempatan mempromosikan barang-barang dagangan mereka bersama dengan kertas Imsakiah
itu.
Tapi kali ini bila melihatnya, jangkaan saya meleset, kerana ianya bukan
Imsakiah dagang, tapi merupakan sebuah pengumunan pemotongan air di bulan
Ramadan daripada Air Kelantan Sdn Bhd
[AKSB], sebuah syarikat kepunyaan kerajaan Negeri Kelantan.
Saya melihat dua tiga orang ahli jemaah duduk dekat tiang berhampiran pintu sedang membaca pengumuman tersebut, dan sempat mendengar salah seorang mereka membuat komen, “Nak potong air, kalau hutang tak bayar, tapi bagaimana dengan bekalan air yang mereka sediakan? Rumah saya selalu tak ada air.....”.
Saya tidak berksempatan untuk mendengar percakapan mereka selanjutnya,
kerana saya ingin segera pulang, sebab di luar sana langit gelap, awan hitam
bertompok-tompok menandakan hujan akan segera turun mencurah. Saya ada sesuatu
keperluan yang hendak disegerakan. Sebaik-baik sampai ke rumah hujan pun turun
mencurah-curah.
Saya ulangi membaca pengumuman pendek itu. Tujuannya memang baik untuk
memungut hutang. Dijelaskan juga bencana-bencana yang akan menimpa ke atas mereka
yang tidak membayar hutang. Dan tindakan AKSB terhadap mereka yang berhutang itu. Namun begitu, dalam kepala saya tercetus
pertanyaan, kenapa pada bulan Ramadan? Kenapa tidak pada bulan lain?
Sedangkan kita semua sedia maklum di penghujung bulan Ramadan, akan menyusul hari
raya Idilfitri. Hari yang menuntut perbelanjaan yang lebih dari biasa untuk
persediaan menyambut ketibaan hari yang mulia itu. Sepatutnya kalau ada
sumbangan atau bonus yang hendak diberikan, maka inilah salah satu masanya yang
sesuai dihulurkan kepada sebahagian dari mereka.
Apakah ancaman AKSB ini tidak bererti “Menahan lukah di pergentingan?”.
Saya teringat pada suatu waktu tidak begitu lama dulu, ketika keluarga saya hendak membina kediaman baru dalam Jajahan Kota Bharu, beberapa orang jiran memberitahu ketika dibangkitkan soal bekalan air. Kata mereka bekalan air kerajaan amat kohor [perlahan] hanya menitik sahaja. Kalau perlukan air, hendaklah ditadah pada pukul 12.00 tengah malam ke atas dan disimpan dalam bekas untuk kegunaan keesokan harinya.
Saya juga teringat, ketika kami tinggal di sebuah kawasan perumahan
beberapa tahun yang lalu juga dalam Jajahan Kota Bharu, bekalan air jarang
terputus, tapi airnya sahaja tidak senonoh, sentiasa berkarat dan berlumpur
selama bertahun-tahun. Saya pernah mengumpul air-air itu dalam beberapa peringkat
waktu dalam sehari untuk perhatian pihak berkenaan, tapi kerana kemalasan
mengambil inisiatif saya tidak pernah berjaya menyerahkannya. Tapi pada hari
ini saya percaya perkara seperti sudah tidak berlaku lagi.
Demikian juga, ketika kami tinggal di Sungai Durian, Kuala Krai selama bertahun-tahun bekalan airnya sentiasa terputus, bukan beberapa jam, tapi berhari-hari, malah kadang-kadang makan minggu, tanpa sebarang notis diberikan sampai ke awal tahun 2014 ini sehingga kami pindah ke tempat baru. Untuk mengatasinya kami terpakasa menyediakan beberapa buah tong besar untuk diisikan dengan air, walaupun ruangan untuk menyimpan tong itu amat terbatas sekali. Air kegunaan makan minum pula kami terpakasa membelinya dari kedai-kedai, termasuk air botol. Saya harap hari ini, keadaannya telah berubah baik.
Oleh itu alangkah lebih baiknya jika pihak AKSB membuat tinjauan yang lebih aggrisif terhadap bekalan air yang mereka sediakan kepada para pengguna, bukan sekadar menunggu laporan para pengguna, yang kita tahu pada umumnya mentalitinya malas bertindak. Tapi lebih suka mengomel atau merungut di tepi-tepi jalan dan di kedai-kedai kopi.
Namun begitu, jika berlaku kepincangan bekalan air di negeri ini, nama baik kerajaan negeri juga yang akan tercemar. Akan dikutuk rakyat.
Ini sudah pasti, kerana AKSB adalah sebuah syarikat yang bertanggung jawab mengendalikan pengurusan air di negeri ini, dan AKSB adalah hak milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan, dimana Pengerusi Lembaga Pengarahnya sekarang ialah YB Dato’ Hj. Hanifa bin Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Utiliti Dan Teknologi Maklumat Kerajaan Kelantan. Ia ditubuhkan pada 9 Mac 1994, dan ditukar namanya dari Kelantan Water [Malaysia] Sdn. Bhd. kepada Air Kelantan Sdn. Bhd [AKSB] pada 11 Mei 1999 hingga sekarang.
Izinkanlah saya salin sepenuhnya amaran itu:
“KEPADA PELANGGAN YANG DIHORMATI...
BERSEMPENA DENGAN BULAN RAMADHAN YANG MULIA INI,
PIHAK AKSB KOTA BHARU SELATAN AKAN MENJALANKAN AKTIVITI OPERASI PEMOTONGAN METER KE ATAS AKAUN YANG MEMPUNYAI TUNGGAKAN BILL.
“SESUNGGUHNYA DIRI SESEORANG MUKMIN TERGANTUNG KERANA HUTANGNYA SEHINGGA HUTANG ITU DILUNASKAN”.
OLEH ITU, BAGI MENGELAKKAN SEBARANG KESULITAN, KAMI MEMINTA KERJASAMA BAIK PENGGUNA UNTUK MENJELASKAN TUNGGAKAN SEBELUM AKTIVITI PEMOTONGAN DIJALANKAN.
SEKIAN, TERIMA KASIH....
SEBARANG PERTANYAAN SILA HUBUNGI KAMI DI TALIAN 09-7470584 @09-7470260 – PN ZALIHA ZULAIKHA.
SABDA NABI BERMAKSUD:
“DIAMPUNI SEMUA DOSA ORANG YANG MATI SYAHID KECUALI HUTANG”. HADIS RIWAYAT MUSLIM
Pengumuman ini tidak bertarikh, dan tidak ada nama orang yang bertanggungjawab mengeluarkannya, tapi di atsasnya ada tertera gambar logo AKSB..
Demikian luahan fikiran kami sebagai rakyat Kelantan yang prihatin untuk
mendapat perhatian.
0 comments:
Post a Comment