JAWI TETAP BERTAKHTA DI HATI
>> Sunday, July 6, 2014
JAWI TETAP BERTAKHTA DI HATI
Sejak kira-kira dua bulan lebih yang lalu sampai ke hari ini hampir saban hari
saya berkubang dengan majalah-majalah dan buku-buku yang sampai kini masih
berselerak di rumah saya. Tujuan saya ialah untuk mengemas buku-buku itu setelah
diserang oleh anai-anai dan juga untuk mencari sebuah buku yang saya janjikan
dengan seseorang.
Alhamdulillah dalam kerja-kerja yang membosankan itu saya menemui beberapa bahan lama yang saya telah terlupa, antaranya buku-buku dan majalah-majalah lama yang terdapat dalam simpanan saya. Ada antaranya bertarikh pada tahun 1930-an, dalam tulisan Jawi dan rumi.
Saya juga bersyukur kerana buku yang saya janjikan dengan seseorang itu,
telah saya temui dengan cara yang tidak diduga-duga pada pagi ini. Sebenarnya
hati saya tidak merasa senang selama buku itu tidak saya temui. Nanti akan saya
kirimkan kepada beliau bila suasana mengizinkan nanti. Insya-Allah.
Buku itu dalam tulisan Jawi berjodol “PERAYAAN-PERAYAAN KEMERDEKAAN IBU
KOTA PERSEKUTUAN”.
Di antara buku-buku aksra Jawi itu ada beberapa buah daripadanya merupakan kumpulan
buku dalam tulisn Jawi yang pertama saya beli untuk memenuhi keinginan memabca
saya. Masa itu saya masih bersekolah Melayu di kampung, dan saya masih belum
pasti bagaimana saya boleh membeli buku itu di bandar Kota Bharu yang letaknya
kira-kira dua belas kilometer dari kampung saya, Kg. Salor.
Salah sebuah daripada buku itu berjodol “Berfikir Sepanjang Jalan”, oleh
seorang penulis bernama Mohammad Ridhuan Haji Ahmad Kubang Kerian atau nama
samarannya “MARHA”. Ianya diterbitkan pada tahun 1955. Siapakah MARHA
sebenarnya? Di sebelah dalam kulit buku itu saya catat nama saya dan alamat
saya, Sekolah Melayu Salor, Kota Bharu Kelantan bersama dengan selogan MERDEKA
BONG.
Sebenarnya pada waktu itu saya baru sahaja pandai menulis dan membaca tulisan
Jawi hasil dari usaha sendiri. Saya ingat lagi, di kampung saya pada zaman itu ada
sebuah kedai kopi yang setiap hari berlanggan dengan akhbar Utusan Melayu.
Kedai itu kepunyaai seorang Said, iaitu Said Agil namanya dan isterinya yang
terkenal dengan panggilan “Mak Cik Wok”, setiap pagi menjual nasi belauk.
Sebahagian kecil dari mereka yang
masuk kedai itu, biasanya cikgu-cikgu akan membaca akhbar Utusan Melayu,
yang saya rasa satu-satunya akhbar yang teredapat di kampung saya pada waktu itu. Pada masa itu didorong oleh
keinginan untuk menjadi penulis saya perlu banyak membaca, sedangkan bahan-bahan
bacaan pada itu kebanyakannya terdapat
dalam tulisan Jawi. Lalu saya mengambil tekad untuk belajar menulis dan membaca
Jawi kerana waktu itu saya belum pandai Jawi.
Lebih-lebih lagi selepas membaca sebuah buku karya Allahyarham Bapa HAMKA, yang masih belum saya ingat jodolnya, saya mendapat motivasi dan terus belajar Jawi. Setiap petang, ketika orang ramai berkurangan dalam kedai itu, saya masuk ke kedai itu membaca akhbar Utusan Melayu bertulisan Jawi itu. Lebih-lebih lagi dalam Bulan Puasa, walaupun tidak menjual, kecuali air batu tongkol untuk berbuka, kedai kopi itu tetap dibuka, dan orang-orang dewasa yang datang sibuk dengan bermain aji atau catur, waktu itulah peluang terbuka untuk saya membaca Utusan Melayu
Saya tidak tahu bagaimana prosesnya saya boleh membaca dan memahaminya.
Biasanya selepas dua tiga hari akhbar ini akan digunakan oleh Mak Cik Wok
untuk membungkus nasi belauk. Kertas pembungkus nasi belauk ini saya baca dan
saya koyak mana-mana berita yang pendek, empat lima para lalu saya simpan.
Sambil membaca keratan akhbar itu di rumah, saya juga menyalin dan meniru
tulisan dan ejaan pada akhbar Utusan Melayu itu. Hari demi hari, saya berbuat
demikian sehingga saya boleh membaca dan menulis Jawi yang sebelum itu begitu
asing kepada saya. Saya tidak ingat berapa lama saya mengambil masa untuk pandai
membaca dan menulis Jawi, tapi saya rasa saya tidak mengambil masa yang lama.
.
.
Namun begitu, tulisan Jawi saya tidak elok, tapi huruf-hurufnya jelas dan boleh
dibaca oleh orang lain, cumanya cara penulisannya sahaja tidak cantik.
Allahyarhman Ustaz [Dato’] Yusuff Zaky Yaacob, ketika saya mula bertugas di
DIAN memanggil tulisan Jawi saya itu, “tulisan patah pinggang’, kerana keadaan
hurufnya tidak kemas dan sewajarnya.
Alhamdulillah, walau bagaimana pun saya bersyukur, dengan usaha-usaha
seterusnya, saya boleh menguasai tulisan Jawi dan membaca kitab-kitab Jawi
sekadarnya sampai ke hari ini.
Maka sejak itu JAWI bertakhta di lubuk hati saya hingga ke hari ini
walaupun telah menjadi korban masa di tanah air kita oleh tangan kita sendiri.
0 comments:
Post a Comment