AIDILFITRI HANGUS DIBAKAR MERCUN
>> Monday, July 28, 2014
AIDILFITRI
DIBAKAR MERCUN
Salah
satu tanda ketibaan hari-hari raya dalam masyarakat kita hari ini adalah bunyi
ledakan mercun yang gegak gempita mengegar seluruh suasana syahdu hari raya.
Malah mercun ini telah meletus sebelum lagi ketibaan hari raya sebagai mengalu-alukan kunjungannya, dan menjadi
lebih gempita di malam hari raya seperti semalam.
Kalau dulu mainan mercun ini hanya berlegar di sekitar kawasan perbandaran atau di pinggir-pinggir perbandaran, tapi sejak kebelakangan ini letupan-letupannya telah jauh menyantuni sampai ke ceruk-ceruk desa. Desa-desa yang selama ini tenang dengan suara takbir sepanjang hari raya, telah dicemari oleh gempa-gempa kebisingan mercun yang mengeluarkan asap-asapnya yang tidak menyelerakan hidung selain bunyinya yang menyumbat telinga.
Bermain
mercun bukanlah amalan tradisi orang-orang Melayu kita, tapi amalan bangsa lain
yang kita contohi untuk dijadikan sebahagian daripada kehidupan beragama kita.
Lama sebelum masyarakat kita mengenal mercun, anak-anak tradisional kita
menyambut hari raya dengan meriam buloh yang berdentan-dentum di
kampung-kampung. Namun begitu ledakannya tidaklah menganggu orang ramai seperti
mercun, kerana biasanya meriam buloh diletak jauh dari rumah orang, lagi pun meriam
buluh tidaklah besar bilangannya seperti penggunaan mercun, dan belanja untuk
membinanyanya tidak pula besar seperti membeli mercun.
Tapi
permainan meriam buloh terpaksa diharamkan kerana sejak ke belakangannya kerap
menimbulkan masalah, mencederaparahkan pemain-pemiannya, kebanyakannya
kanak-kanak yang tidak mengerti cara selamat penggunaannya. Demikian juga pada
mula-mulanya pembakaran mercun tidak dilarang, demikian juga penjualannya, tapi
oleh sebab ianya sering menimpakan bencana kecederaan, maka penggunaannya
terpaksa juga diharamkan oleh pihak berkuasa.
Namun
begitu, walaupun penggunaan mercun telah diharamkan, tapi anak-anak kita masih
ramai bermain mercun setiap kali tiba hari raya yang mulia, sedang meriam buloh
tidak lagi kedengaran digunakan. Tangkapan yang dibuat terhadap para penjual
mercun dan dikenakan hukuman yang sewajarnya oleh mahkamah, tidaklah mematahkan
hati penjual-penjual para peniaga mercun untuk mencari duit lebih walaupun
menjual barang haram. Itulah sebabnya kita rasa dan lihat penggunaan mercun
masih meluas dalam masyarakat kita setiap kali menjenlang hari raya.
Seperti
biasa, letupan-letupan mercun, terutamanya di malam raya, dapat didengar
sepanjang malam, dari jauh dan dekat. Ia bukan sahaja boleh menganggu para
penduduk setempat di rumah-rumah mereka, tapi juga menganggu orang-orang yang
bersolat, beramal ibadat di surau-surau dan masjid-masjid yang terletak di
sekitar perumahan, di kampung-kampung dan desa dengan bunyi yang memekak telinga
ketika umat Islam sedang solat berjemaah.
Ada ahli jemaah bersungut kesal dengan nada yang keras bahawa bunyi mercun ini lebih hebat dari bunyi bom yang membakar bumi Palestin, menganggu mereka yang sedang bersolat.
Ada pula ahli-ahli jemaah mendakwa bunyi mercun dekat rumahnya itu selepas berhenti sekejap selepas Isyak, dan disambung semula kira-kira pukul tiga pagi, dan tidak berhenti walaupun azan Subuh telah dikumandangkan. Katanya semalaman itu dia tidak dapat melelapkan mata, kerana mereka rumah jiran yang bermain mercun itu berdekatan dengan rumahnya.
Ada pula
yang sangat marah, dan sanggup melemparkan kutukan, “Bermain mercun ini
permainan syaitan. Mainan orang kafir. Kenapa kita tiru? Membazir duit sahaja.
Ada mercun yang harganya mencecah sampai beratus ringgit setiap satu. Bodoh
sungguh kita”.
Selain
itu berbagai-bagai sungutan dan celaan lagi terhadap pemain-pemain mercun yang
dapat kita dengar daripada umat Islam yang memang wajar tidak membenarkan
orang-orang Islam bermain mercun, kerana membazir dan juga merbahaya yang
sering menimpa pemainnya setiap tahun di hari yang mulia ini. Kenapa kita masih
tidak pernah serik-serik dan nampak sengaja berusaha untuk menempah bencana?
Yang
amat dikesali ialah kenapa para ibu bapa mengizin malah menggalakan anak-anak
mereka bermain mercun yang telah diketahui mempunyai risiko yang tinggi itu?
Malah ada di antara mereka yang sengaja membeli mercun untuk dihadiahkan kepada
anak-anak dan cucu-cucu mereka untuk bergembira sepanjang hari raya.
Andainya mereka adakan sambutan hari raya di mana sanak saudara berkumpul untuk menyatukan keluarga, maka salah satu tidak rasmi acara yang tidak mesti ketinggalan ialah membakar mercun di kalangan kanak-kanak. Ada sahaja mereka yang membeli dan membawa mercun ke majlis tersebut. Tapi bila tiba masanya, yang membakar mercun bukan lagi kanak-kanak, tapi telah diambilalih oleh orang-orang dewasa, di mana kanak-kanak hanya menjadi penonton dan gembira melihat orang-orang tua bermain mercun seperti mereka juga.
Pelik? Tidak. Kerana inilah realiti yang sebenarnya umat Islam di Malaysia hari ini.
Walau bagaimanapun, di celah-celah dentuman mercun yang membakar Aidilfitri itu, masih juga terdengar alunan takbir hari raya yang bergema dari masjid-masjid dan surau-surau dengan memberi pengertian dan efek yang mungkin berbeza-beza terhadap setiap hati dan jiwa mereka yang mendengarnya
Lagu mana ni?
Allahu
Akbar.
0 comments:
Post a Comment