HUKUMAN SEBAT DALAM ISLAM
>> Saturday, May 31, 2014
HUKUMAN SEBAT DALAM ISLAM
ISLAM adalah agama yang sempurna, menjamin kebahagian hidup insan di dunia
dan di akhirat. Oleh itu sudah tentu, Islam mempunyai peraturan dan
undang-undang yang tersendiri untuk menjamin kebahagian hidup manusia di dunia
di akhirat. Orang-orang yang berbuat kesalahan mesti didakwa dan dihukum jika
didapati bersalah.
.
.
Antara hukuman-hukuman yang diperuntukan oleh Islam ialah hukum sebat. Bila
disebut hukum sebat kebanykan kita akan terbayang kepada hukum sebat yang
dijalankan di penjara-penjara sekarang, bila pesalah telah dijatuhkan hukuman
oleh para hakim.
Sebenarnya hukum sebat dalam Islam berbeza dengan hukum sebat yang berjalan
di penjara-penjara sekarang. Perbezaan itu terdapat dalam cara-cara melakukan
sebatan, alat-alat sebatan, anggota-anggota yang boleh disebat.dan sebagainya.
Rencana HUKUM SEBAT DALAM ISLAM ini walau pun singkat, tapi boleh memberi
kefahaman yang jelas kepada mereka yang membacanya. Rencana ini ditulis pada tahun 1985 oleh seorang ilmuan
Islam, Dato’ Haji Daud bin Muhammad. Beliau pernah memegang jawatan Ketua
Penyelia Agama Kelantan, Kadi Besar Kelantan dan kini Ketua Hakim Syarie
Mahkamah Syariah Negeri Kelantan.
Ikutilah sepenuhnya tulisan beliau itu.
Aanggpan Masyarakat
Anggapan sesetengah masyarakat hari ini terhadap hukuman sebat yang
terkandung dalam hukumm dan perundangan Islam telah dipengaruhi oleh keadaan
hukuman sebat yang dilaksanakan di penjara-penjara sekarang. Lebih-lebih lagi dari
segi alat pemukul [rotan], cara pukulan dan kesakitan yang dialami oleh
penerimanya dan berbagai-bagai lagi.
Dalam risalah yang kecil ini dijelaskan secara ringkas tentang hukuman sebat sebagaimana yang dikehendaki oleh Ugama Islam terutamanya yang berhubung dengan alat sebat, cara-caranya dan anggota-anggota yang boleh dipukul [disebat].
Hukuman sebat dikenakan sebagai seksaan bagi kesalahan jenayah yang menyentuh maruah, akal dan kehormatan. Mengikut istilah Fuqaha:
Ianya bertujuan antara lain-lainya:
1.Sesiapa yang menerima hukuman itu atau melihatnya akan menjauhi jenayah itu sejauh-jauhnya.
2.Membersihkan masyarakat dari perbuatan dan tabiat yang keji dan hina.
3.Mengamankan masyarakat dari bahaya dan ancaman penjenayah.
4.Untuk menjadi contoh tauladan yang paling berguna untuk mengatasi
perbuatan-prbuatan jenayah.
5.Supaya mereka akan merasa kecut hati untuk mendekati perbuatan-perbuatan
yang keji itu lagi.
Hukuman Sebat:
Hukuman sebat terbahagi kepada dua bahagian:
1.Sebat dalam masalah hudud iaitu seksaan yang telah ditetapkan oleh Allah
yang wajib dilaksanakan sebagai menunaikan hak dan perintah Allah SWT.
2.Sebat dalam masalah ta’zir, iaitu kesalahan-kesalahan yang dikenakan
dengan satu atau lebih daripada seksaan-seksaan ta’zir, selain daripada seksaan
hudud, qisas, diat dan kifarat, dan erti ta’zir itu ialah denda yang menjadi
pengajaran.
Syaruk tidak menetapkan sesuatu seksaan atau hukuman tertentu bagi kesalahan ta’zir dan cukup serta memadai
dengan menetapkan kumpulan hukuman dari serendah-rendahnya kepada
seberat-beratnya dan sesudah itu diserahkan kepada pihak pemerintah untuk
memilih dan menentukan mana-mana hukum-hukum yang sesuai mengikut suasana dan
keadaan masalah itu sendiri.
Jenis-Jenis Kesalahan Hudud
Jenis-jenis kesalahan hudud yang telah ditetapkan hukuman sebat ialah:
1.Zina
Firman Allah, maksudnya:
“Orang-orang perempuan dan lelaki yang berzina hendaklah
dijatuhkan hukuman sebat tiap-tiap seorang dari keduanya dengan seratus kali
sebat”. An-Nur:2.
Yang dimaksdukan dengan penzina perempuan dan penzina lelaki yang dikenakan
hukuman sebat seratus kali itu ialah khusus untuk penzina yang belum berkahwin,
ertinya yang belum merasai persetubuhan halal, iaitu dengan cara berkahwin, ada
pun penzina yang telah berkahwin hukumannya ialah rejam. Ini adalah berdasarkan
hadis berikut.
Sabda Rasulullah maksudnya:
“Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah SAW semasa baginda berada di dalam masjid lalu
beliau memanggil Rasulullah seraya berkata: Wahai Rasulullah sesungguhnya aku
telah melakukan perbuatan zina”.
Maka Rasulullah
berpaling daripadanya sehingga diulang pengakuannya sebanyak empat kali.
Maka apabila lelaki berkenaan telah berbuat pengakuan ke atas dirinya sebanyak empat kali Rasulullah SAW memanggilnya lalu bersabda: “Adakah engkau gila?”.
Jawab lelaki itu”Tudak”.
Nabi bersabda lagi: “Adakah engkau telah kahwin?”.
“Ya”.
Maka Nabi bersabda:”Bawalah dia dan jalan hukuman rejam”.
Menuduh Zina
Firman Allah, maksudnya:
“Dan mereka yang melemparkan tuduhan zina ke atas
perempuan-perempuan yang bersih, kemudian mereka tidak dapat membawa dan
membuktikan dengan empat orang saksi
maka hendaklah dikenakan ke atas mereka yang menuduh hukuman sebat lapan
puluh kali”. An-Nur: 4.
Mengikut kaedah dalam perundangan Islam bahawa sesiapa yang menuduh
seseorang dengan apa jua perbuatan yang haram, tertanggung ke atasnya [wajib]
membuktikan kebenarannya. Dan jika gagal atau enggan hendaklah dikenakan
seksaan.
Melemparkan tuduhan zina ke atas seseorang adalah perbuatan yang menyentuh
maruah dan kehormatan seseorang. Sangat berat untuk ditanggung oleh mana-mana
orang yang tidak bersalah. Sangat banyak akibat yang timbul dari sesuatu
tuduhan zina yang melulu ke atas seseorang. Perbuatan itu akan melahirkan
kemarahan, persengketaan serta meruntuhkan ruamhtangga dan masyarakat.
Anak-anak yang lahir dari seseorang yang tertuduh zina akan menjadi mangsa.
Kerukunan dan kebahagian suami isteri akan rubuh dan hancur berkecai.
Oleh itu amat wajar orang yang membuat tuduhan palsu itu dihukum sebat
dengan lapan puluh kali sebat.
3.Minum Arak
Firman Allah, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, patung dan tenunan
nasib adalah keji dan kotor dari pekerjaan syaitan, maka hendaklah kamu jauhi
semuanya itu”. Al-Maidah:90
Sabda Nabi SAW, maksudnya:
“Setiap yang memabukkan adalah arak dan semua jenis arak
hukumnya haram”.
Dan lagi satu hadis, maksudnya:
“Dari Abu Said Al-Khudri dan Ali bahawa Nabi SAW telah
menghukum empat puluh kali sebat dalam kes minum arak”.
Islam mengharamkan arak kerana ianya merupakan ibu segala keburukan,
kejahatan dan sebagainya. Ianya boleh membinasakan diri, akal dan harta di
samping perbuatan orang yang selalu minum arak itu amat keji sama seperti orang
yang menyembah berhala.
Sabda Nabi SAW, maksudnya:
“Orang yang ketagih arak itu adalah seperti penyembah
berhala”.
Oleh kerana minuman arak itu adalah dari perbuatan dan pekerjaan syaitan
yang amat keji, maka Rasulullah SAW telah menghukum ke atas peminum arak dengan
empat puluh kali sebat sama ada peminum yang mabuk atau pun tidak.
Kesalahan Ta’zir
Firman Allah, maksudnya:
“Dan wanita-wanita yang kamu takut nusyuznya [derhakanya]
maka nasihatilah mereka dan pulaukanlah diri dari tempat tidur mereka dan
pukullah mereka”. An-Nisak: 34
Ayat tersebut merupakan hujjah dan dalil bagi ahli-ahli perundangan Islam
bahawa hukuman sebat boleh dikenakan ke atas kesalahan-kesalahan ta’zir dan
sebat merupakan hukuman utama dalam kesalahan-kesalahan ta’zir yang serius
untuk memberi pengajaran yang tepat dan berkesan kepada penjenayah-penjenayah
yang merbahaya yang sudah sebati dengan kesalahan-kesalahan itu. Keistimewaan
hukuman ini ianya tidak membebankan pihak berkuasa [kerajaan] dan tidak menghalang pesalah sesudah
menjalani hukuman dari berusaha menjalankan pekerjaan dan sebagainya dan tidak
pula terpaksa meninggal dan membiarkan ahli keluarganya menempuh berbagai-bagai
kesusahan dan keperitan hidup mencari nafkah dan sebagainya seperti dalam kes
hukuman penjara kerana hukuman sebat dilaksanakan serta merta setelah
disabitkan kesalahannya dan sudah itu dibebaskannya untuk membolehkan mereka
menjalani kehidupan biasa bersama-sama keluarganya;
Kadar Hukuman Sebat
Ulamak Syafii berpendapat bahawa hukuman sebat dalam kesalahan ta’zir tidak
boleh melebihi sekurang-kurang hukuman hudud. Ertinya hukuman ta’zir dengan
rotan [sebat] ke atas seseorang pesalah hendaklah kurang dripada empat puluh
kali sebat.
Sabda Nabi SAW, maksudnya:
“Sesiapa yang melebihi had sakatan dalam kesalahan bukan
hudud maka ianya termasuk bersama-sama golongan orang yang melampaui batas”.
Alat Sebat
Alat sebat tidaklah dalam satu jenis dan satu bentuk sahaja. Sebat boleh
dijalankan dengan mengguna rotan atau pelepah tamar atau ranting kayu atau pun
hujung kain semuanya boleh digunakan. Ulamak telah sepakat mengatakan bahawa
untuk menyebat peminum arak maka sudah cukup dan tercapai maksdunya dengan
menggunakan hujung kain atau pelepah tamar.
Sekiranya digunakan rotan dan sebagainya itu maka hendaklah yang sederhana
ukurannya, jangan terlalu muda atau terlalu tua dan tidak yang berbuku-buku
atau pecah-pecah atau seumpamanya, supaya tidak boleh mencederakan atau
menyebabkan luka parah ke atas pesalah. Ini kerana tujuan yang sebenar hukuman
sebat bukan hendak membinasakan pesalah tetapi bertujuan mencegah dan melarang
serta memberi pengajaran kepadanya.
“Diriwayatkan oleh Malik dari Zaid bin Aslam katanya:”Seorang lelaki telah
mengaku berzina di zaman Rasulullah SAW maka Rasulullah meminta sebatang
tongkat untuk disebat lelaki itu, apabila tongkat yang dikehendaki dikemukakan
kepada baginda Rasulullah didapati tongkat itu pecah-pecah, lalu baginda minta
tongkat yang lain, apa bila tongkat yang kedua dibawa kepadanya didapati pula
tongkat itu daripada dahan kayu yang baru dipotong. Rasulullah SAW menolaknya
lagi dan meminta tongkat yang lain. Akhirnya diberi kepada baginda tongkat yang
sangat sederhana yang tidak keras, Rasulullah menerimanya dan memerintahkan
supaya disebat dengannya”.
Cara Melakukan Sebat
Ketika melaksanakan hukuman sebat, hendaklah dengan cara sebatan yang
sederhana. Orang yang menyebat tidak boleh mengangkat tangannya hingga ke paras
kepalanya atau dengan lain perkataan ia tidak boleh mengangkat tinggi tangannya
sehingga nampak putih ketiaknya dan disebat berturut-turut supaya sampai kepada
matalamat dan tujuannya.
Anggota-anggota Yang boleh Dipukul
Pukulan hendaklah diatur supaya kena merata-rata anggota tubuh badan pesalah itu, kecuali muka, kepala dan dada ditegah sama sekali memukulnya dan tidaklah boleh disebat hanya setempat sahaja.
Keadaan Pesalah
Ketika menjalani hukuman, pesalah lelaki dikehendaki berdiri manakala pesalah perempuan dalam keadaan duduk, dan tidak boleh dilucutkan pakaian biasa mereka yang menutup aurat seperti baju, seluar, kain sarung dan sebagainya. Dikecualikan pakaian-pakaian yang tebal atau beralas yang boleh menghalang dari rasa sakit yang menjadi matlamat utama dan terpenting dalam hukuman sebat dan jika mereka berpakaian demikian “tebal” hendaklah diganti dengan pakaian yang nipis “sederhana”.
Pesalah Mengandung
Dan jika pesalah mengandung, hendaklah ditunggu sehingga melahirkan anak
sama ada anak kandungan itu daripada perbuatan zina atau tidak dan sembuh dari
sakit beranak serta suci dari darah nifas dan tenaganya sudah pulih. Ini
berdasarkan kepada hadis berikut yang bermaksud:
“Dari Saidina Ali r.a. bahawa beliau berkata: “Bahawa seorang umat [hamba] Rasulullah SAW telah berzina, maka Rasulullah SAW telah mengarahkan kepadaku supaya aku jalankan hukuman sebat ke atasnya sedangkan ianya masih baru melahirkan anak, maka aku bimbang jika aku jalankan sebat ke atasnya akan membunuhnya, lalu aku beritahu keadaan itu kepada Rasulullah SAW, maka sabda Rasulullah, “Biarlah dahulu dia sehingga sembuh dari sakit beranaknya, kemudian bolehlah sesudah itu kamu jalankan hukuman ke atasnya”.
Pesalah Sakit
Jika didapati pesalah dalam kedaan sakit dan penyakitnya ada harapan untuk sembuh maka hendaklah ditunggu sehingga dia betul-betul sembuh, kerana jika dijalankan juga semasa pesalah itu sedang sakit akan bertambah berat penyakitnya dan mungkin boleh membinasakannnya. Sebaliknya jika penyakitnya tidak ada harapan langsung untuk sembuh bolehlah dijalankan hukuman sebat serta merta tanpa menunggu dan membuang masa lagi tetapi dengan satu syarat, bahawa rotan yang digunakan tidak akan membinasakannya. Oleh itu hendaklah meggunakan ranting kayu atau rotan yang kecil atau pelepah tamar yang kecil dan jika ukuran ini juga dibimbang akan membawa maut kepadanya maka bolehlah dikumpul seratus ranting kayu atau seumpamanya dan diikat dalam satu ikatan dan disebat dengannya satu kali. Cara begini pernah disuruh oleh Rasulullah SAW supaya dilakukan ke atas seorang lelaki yang berzina yang sakit berat tidak mempunyai harapan untuk sembuh.
Maksudnya:
“Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menyuruh
supaya dijalankan hukuman sebat ke atas seorang lelaki yang sedang sakit merana
dengan satu pukulan dengan seratus mayang tamar yang diikat [seikat] kerana
lelaki itu telah melakukan perbuatan zina”.
Ini kerana pesalah yang sakit merana yang tidak mempunyai harapan untuk
sembuh itu sama ada dibiarkan tanpa dijalankan hukuman sebat kerana penyakitnya
atau dilaksanakan sepenuhnya, maka sudah pasti jika dilaksanakan sepenuhnya
akan membawa maut kepadanya dan dalam keadaan begini diambil jalan tengah,
iaitu disebat satu kali dengan seratus mayang tamar atau seumpamanya yang diikat
dengan satu ikatan sahaja.
Friman Allah, maksudnya:
“Dan ambillah dengan tanganmu seikat jerami kemudian
pukullah dengannya dan janganlah engkau menyalahi sumpahmu itu”.-Sad: 44
Dengan cara yang semikian adalah lebih baik dari dibiarkan tanpa menjalani
hukuman atau dibunuh pesalah yang sakit yang tidak sampai kepada hukuman yang
wajib dibunuh.
Pelaksanaan Hukum Sebat Dihenti?
Hukumn sebat dihenti dan tidak boleh dilaksanakan apabila timbul dan
berbangkit sesuatu yang boleh mengugurkan hukuman hudud iaitu:
1.Apabila pesalah menarik pengakuannya sebelum dilaksanakan hukuman jika
hukuman sebat kerana zina dijatuhakn berikutan dari pengakuannya sama ada
pengakuannya itu dibuat secara langsung atau tidak.
2.Apabila saksi-saksi mengubah pendirian dan menarik balik kesaksian mereka
sebelum dilaksanakan hukuman sama ada secara beramai-ramai atau sebahagian
darinya sekiranya bilangan saksi yang tinggal kurang dari empat orang.
Masa Dan Tempat Melaksanakan Hukuman
Tidak boleh dijalan hukuman sebat dalam masa dan keadaan cuaca yang sangat
panas atau sejuk jika dibimbang boleh membawa kebinasaan kepada pesalah dan
bagi kesalahan hudud adalah dikehendaki supaya dijalankan hukuman sebat di
hadapan orang-orang mukmin.
Firman Allah, maksudnya:
“Dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka disaksikan oleh
sekumpulan dari orang-orang yang beriman”.-An-Nur: 2.
Yang dimaksudkan dengan sekumpulan itu mengikut pendapat Mujahid: seorang
lelaki dan ke atas sehingga sampai kepada seribu orang.
Manakala Ibnu Ziad pula berkata: “Bahawa tak dapat tidak mesti dihadiri
sekurang-kurangnya oleh empat orang dari kalangan orang-orang yang beriman
sebagai qias dengan empat orang saksi dalam kes zina”. Dan pendapat Ibnu Ziad
ini selaras dan sama dengan pendapat Imam Malik dan Imam Syafii.
Akhirnya dengan terlaksananya hukuman sebat maka tercapailah kebaikan dan kepentingan umum [orang ramai] kerana Islam memandang kebaikan dan muslihat orang ramai itu lebih utama dari muslihat perseorangan dan dengan itu juga terhindarlah kerosakan, keruntuhan moral dan sebagainya dan seterusnya terciptalah kemuliaan dan kebahagian serta sentiasa mendapat inayah, rahmat dan pertolongan Allah amin.
0 comments:
Post a Comment