RABI'AH AL-ADAWIYYAH

>> Monday, August 10, 2020

 

RABI’AH  AL-ADAWIYYAH  PENGASAS “MAHABAH ALLAH”


 



Bilangan ahli sufi wanita tidaklah ramai seperti ahli sufi lelaki, dan seorang daripada bilangan yang sedikit itu ialah Rabi’ah Al-Adawiyyah.

 

 



Beliau mempunyai berbagai-bagai panggilan nama,seperti Hazrat Bibi Rabiah,  dan Raibatul  Adawiyah dan lain-lain.

 

 



Beliau dikenang sebagai seorang  ahli sufi yang berjasa  memperkenalkan Cinta Allah dalam ilmu kesufian yang merupakan tingkat atau makam ahli sufi dalam usaha mereka mencari keredhaan Ilahi.

 



Beliau dilahirkan di Basrah, sebuah bandar yang kedua terbesar  di Iraq. Ada pendapat mengatakan dia dilahirkan pada tahun 713 M, dan ada yang mengatakan pada tahun 717 M, iaitu bersamaan dengan 95H  atau 99 Hijrah.

 

 

 

Rabi’ah mempunyai empat orang adik beradik dan beliau adalah anak keempat. Keluarganya miskin, dan tidak mampu  membeli minyak untuk memasang lampu rumahnya di malam hari. Mereka juga tidak mempunyai sehelai kain pun untuk membalut tubuh Rabi’ah yang  masih kecil itu.

 

 



Pada suatu malam bapa Rabi’ah yang miskin itu bermimpi berjumpa dengan Rasulullah SAW, dan dalam mimpi itu Baginda SAW memberitahu bapa Rabi’ah bahawa anaknya itu akan menjadi seorang yang dikasihi Allah dan akan memimpin ramai orang-orang Islam ke jalan yang lurus.

 




Mimpi itu juga membawa bapa Rabi’ah bertemu dengan Amir Basrah yang memberikan wang  kepadanya sebanyak empat ratus dirham dan memberitahunya supaya dia datang lagi kiranya dia memerlukan bantuannya.

 

 



Pada suatu masa Rabi’ah menumpang sebuah kafilah. Tapi kemudiannya kafilah itu telah diserang penyamun. Ketua penyamun itu telah menangkap Rabi’ah dan menjadikannya sebagai barang rampasan dan dijual di pasar hamba abdi.

 

 



Beliau telah dibeli oleh seorang lelaki untuk dijadikannya hamba.

 

 



Tinggallah Rabi’ah bersama lelaki tersebut sebagai seorang hamba. Sehingga tibalah pada suatu malam, tuannya mendengar Rabi’ah berdoa kepada Allah dan  mengadu nasib yang menimpanya kepada Allah. Dalam doa itu antara lain katanya kiranya dia tidak menjadi hamba manusia, maka sudah tentu dapatlah dia beribadat  kepada Allah siang dan malam.

 

 



Doa Rabi’ah itu terdengar oleh tuannya dan  menyentuh hatinya

 

 



Tuannya juga melihat sebuah pelita yang menyala terang-benderang  tanpa tersangkut di mana-mana, tapi tergantung-gantung di awan-awan dalam bilik Rabiah dan menerangi biliknya itu.

 

 



Pagi keesokannya, tuannya telah menemui Rabi’ah menawarkan kepadanya dua pilihan, iaitu tinggal di rumah itu sebagai tuan dan dia pula menjadi hamba kepada Rabi’ah, ataupun Rabi’ah  keluar dari rumah itu sebagai manusia yang bebas tanpa syarat..

 

 



Rabi’ah memilih kebebasan dan lalu meninggalkan rumah itu untuk hidup bebas sendirian.

 

 



Beliau hidup semasa dengan beberapa ahli sufi yang termasyur, seperti  Ibrahim Adham, Hasan Al-Basri, Sufian An-Nuri dan Malik bin Dinar.

 

 



Di antara berbagai-bagai madah Rabi’ah yang termahsyur ialah sebuah doa beliau kepada  Allah yang bermaksud, sekiranya dia beribadat kepada Allah kerana takutkan neraka, maka wajarlah kepadanya untuk  dibakar dengan api neraka itu, dan sekiranya dia beribadat kerana berkhendakkan syurga, maka wajarlah syurga itu diharamkan kepadanya, tapi jika dia beribadat semata-mata kerana cintanya kepada Allah, maka janganlah dia dihalang  daripada melihat wajah Allah yang sebenarnya.

 

 



Beliau meninggal di Basrah, dalam usia kira-kira lapanpuluh lapan tahun, itu sekitar tahun 801 M bersamaan dengan 185 Hijrah.




Jenazahnya dikebumikan  di Jerusalem, sebuah kota di Timur Tengah di mana sejak beberapa tahun kebelakangnan ini Jerusalem terletak di bawah pemerintahan Yahudi sepenuhnya.

 




Pondok Rahmat

10 Ogos  2020/

20 Zulhijjah 1441

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP