Rahsia Jadi Papa

>> Saturday, October 30, 2010



RAHSIA nak jadi Papa Kedana?

Kita kadang-kadang terdengar orang berkata, “Biar papa, asal bergaya”. Ini bererti orang yang berkata ini rela menjadi manusia yang papa dan melarat asalkan dia dapat bergaya, menunjuk-nunjukkan kepada orang tentang kehebatannya dalam berbelanja, umpamanya untuk membeli pakaian mewah di luar daripada kemampuannya, atau membuat kenduri-kendara yang terlalu mewah di luar dayanya dan berbagai-bagai aktiviti lagi.

Orang yang bertekad begini rela bergadai bergolok, atau berhutang, dengan bank-bank, ceti-ceti atau along- along atau sesiapa sahaja yang sanggup memberi hutang untuk merealisasikan maksudnya itu, walaupun dia tahu dan faham, dia akan mengalami kemalaratan selepas bergaya. Benarlah, “Biar papa, asal bergaya”.

Orang ini sebenarnya bukan sahaja seorang yang bodoh, tapi juga seorang yang bongkak dan sombong, yang rela berkorban bukan pada tempatnya. Bagaimana tak bodoh sombong kalau duit hanya ada RM100.00. tapi berbelanja sampai RM1000.00? Tujuannya semata-mata untuk dilihat dan dipuji orang sebagai orang yang ada status, yang berduit, yang hebat dan bergaya. Akibatnya menderita sepanjang hayat.

Kata-kata bodoh sombong itu juga dengan jelas menunjukkan bahawa boros adalah salah satu rahsia yang boleh melontarkan seseorang ke dalam lautan kemiskinan dan kepapaan-papa-kedana. Ertinya berbelanja di luar kemampuan. Modal kecil, tapi belanja besar. Nak dipeluk bukit dengan dua tangan. Aduh!

Perangai yang hampir serupa dengannya ialah orang bersikap terlalu boros, menghambur duit ke sana ke mari, bukan untuk bermegah-megah, tapi lebih kepada sifat melampau dalam berbelanja untuk menyenangkan hati sendiri, seperti membeli barang-barang berjenama yang tidak perlu, yang menyebabkan dompet menjadi licin-licau dan terpaksa berhutang ke hulu ke hilir untuk menampung kehidupan yang telah morat-maret kerana keborosan diri sendiri.

Kalau tak percaya cubalah jadikan diri anda seorang pemboros. Nanti kehidupan anda susah dan menjadi tidak keruan. Hutang di sekeliling pinggang. Anda tidak dapat bergerak bebas, kerana diburu oleh ceti atau along dan ajen-ajenya yang sanggup bertindak kejam jika anda enggan melunaskan hutang mereka.

Selain itu ada lagi beberapa petua yang ditinggalkan oleh orang-orang tua kita berupa rahsia untuk menjadi manusia miskin dan papa kedana jika kita mengamalkannya. Justeru itu jika anda melazimkannya bererti anda sengaja menempah papa-kedana. Cubalah amalkan jika anda mencita-citakan untuk menjadi manusia yang papa kedana?

Sembahayang

Sembahayang atau solat adalah satu kewajipan asasi kita sebagai seorang Islam; ia termasuk dalam rukun Islam yang lima. Tidak sembahayang ertinya menanggung dosa besar. Justeru itu setiap orang Islam perlu mengambil berat tentang solat.

Jangan permudah-mudahkan solat lima waktu. Jangan solat hanya ketika berasa hendak sembahayang, dan meninggalkannya bila merasa malas. Jangan melambat-lambatkan waktu sembahayang, sembahayang zohor menjelang Asar, atau sembahayang Asar menjelang Maghrib dan sembahayang Maghrib pula menjelang Isa’. Merbahaya.

Berbuat demikian bukan sahaja bererti menempah dosa, tapi juga membariskan diri anda sebagai seorang calon untuk menjadi papa-kedana.

Mengambil Wudhuk

Sebelum solat kita diwajibkan mengambil wudhuk terlebih dahulu, kerana tanpa wudhuk, sembahayang kita tidak shah. Kalau di masjid atau di surau-surau ada disediakan tempat mengambil wudhuk yang khas untuk memudahkan para jemaah mereka mengambil wudhuk.

Orang-orang tua kita mempunyai pantang larang dalam masa pengambilan wudhuk ini. Antaranya kita dilarang mengambil wudhuk di tempat orang membuang air kecil atau air besar, bukan sahaja kerana tempat itu kotor, tapi juga kerana mereka percaya amalan tersebut boleh menyebabkan seseorang menjadi papa-kedana.

Sembahayang Jemaah

Bersembahayang jemaah di masjid memang dituntut, kalau tidak boleh setiap lima waktu sehari semalam, beberapa waktu hendaklah diusahakan, seperti sembahayng Asar, Maghrib dan Subuh. Tapi ingat, ketika anda solat Subuh di masjid, anda janganlah bersegera meninggalkan masjid, apa lagi kalau pak imam pun masih belum selesai berdoa. Tunggulah dan sabarlah sekejap dan jangan terlalu tergesa-gesa meninggal masjid selepas solat Subuh.

Berbuat demikian bererti anda meneydiakan diri anda untuk menjadi papa-kedana.Awaslah.

Para ibu bapa

Para ibu bapa jangan sama sekali mendoakan buruk untuk anak-anak mereka. Walau bagaimana marah sekali ibu bapa terhadap anak-anak mereka, kerana tidak menurut perintah mereka, jangan sama sekali mendoakan keburukan untuk anak-anak yang mungkin mempunyai pendirian yang berlainan. Sebaliknya berdoalah untuk kebaikan mereka, semoga Allah membukakan pintu akal dan hati mereka untuk menjadi anak yang baik dan saleh.

Kita merasa amat sedih mendengar ada ibu-ibu yang menyumpah seranah anak-anak mereka walaupun melakukan kesilapan yang kecil, dan mungkin pula dengan tidak sengaja, namun dengan lantang si ibu menyatakan dia akan berdoa supaya anaknya ditimpa musibah. Perbuatan seperti itu bererti menempah penyesalan andainya doa jahatnya itu dikabulkan Allah, dan dia pula menjadi papa-kedana kerana tindakannya yang tidak wajar itu.

Anak-anak

Sebaliknya anak-anak pula perlu mendoakan kebaikan untuk kedua ibu bapa mereka supaya mendapat kebahagian dunia dan akhirat. Allah memerintah kita supaya mendoakan kebaikan untuk kedua ibu bapa kita. Justeru ada mereka yang berpendapat sebarang doa kita yang tidak disertakan dengan doa kepada ibu bapa akan tertatahan, tidak diangkat ke hadarat Allah S.A.W.T

Di samping itu meninggalkan doa kebajikan untuk kedua ibu bapa juga boleh menyebabkan kepapaan, kerana melupakan jasa-jasa ibu bapa yang amat besar kepada mereka.

Kedekut

Bersifat jimat yang melampau-lampau, hingga termasuk golongan kedekut juga amat tidak disukai, kerana ia boleh mengundang musibah. Ia lawan dari sifat boros. Orang kedekut bukan sahaja sayang untuk membelanja kerana orang lain, malah untuk diri sendiripun mereka teragak-agak untuk berbelanja, walaupun perkara-perkara itu sudah terang menjadi keperluan kepadanya.

Ada beberapa pepatah mengenai orang kedekut, antaranya “seperti tangkai jering”, dan “basuh tangan, petat abu”, dan sebagainya. Orang-orang kedekut seperti itu keberatan untuk mengeluarkan perbelanjaan untuk keluarganya sendiri walaupun itu memang sudah menjadi kewajipannya. Dia bimbang hartanya menjadi susut, kerana itu dia selalu berusaha untuk menambahkannya.

Kami pernah memiliki seorang jiran yang kedekut. Kalau dia membeli di pasar, dia hanya membeli ikan-ikan kecil yang banyak mengandungi tulang, seperti ikan tamban, kemudian bila sampai ke rumah, ikan itu disangkutnya dahulu di tiang rumah buat beberapa waktu supaya ikan itu menjadi buruk terlebih dahlu sebelum dimasak dan terasa gatal mulut ketika memakannya. Tujuannya berbuat demikian supaya mereka yang memakannya, termasuk dirinya sendiri tidak begitu berselera untuk makan. Dan dia hanya makan dua kali sehari, makan pagi dienjaknya sampai agak tengah hari dan makan malam pula agak jauh malam sedikit supaya pagi besoknya tidak cepat lapar.

Sifat kedekut yang melampau seperti ini sudah tentu mengundang padah, ditimpa penyakit atau mendapat papa-kedana.

Ragam Tidur

Tidur itu satu keperluan. Semua orang tidur pada waktu malam. Ada berbagai-bagai ragam orang tidur. Ada orang tidur berpakaian lengkap, iaitu memakai kain, seluar dan baju, dan ada pula orang tidur berkain, tapi tak berbaju. Tapi hati-hati, pantang sama sekali tidur dengan bertelanjang bogel tanpa seurat benang pun, kerana mengikut orang-orang tua berbuat demikian boleh menempah papa-kedana.

Ada orang kencing sambil duduk mencangkung dan ada pula orang yang kencing sambil berdiri [cara yang tidak sopan]. Tapi jangan kencing dengan bertelanjang bogel seperti kanak-kanak kecil yang tak tahu apa-apa.

Biasanya kencing sambil telanjang itu dilakukan bila seseorang hendak mandi berbogel di dalam bilik mandi, dan di dalamnya ada pula tandas. Bila terasa nak kencing, maka lalu dikencingnya sambil berbogel. Maka perbuatan itu mengikut orang-orang tua boleh menimpa akibat yang sama, menjadi papa-kedana.

Selepas Bersetubuh

Ada sesetengah orang pula selepas menikmati persetubuhan, malas untuk mandi hadas besar atau mandi junub. Mereka suka mengambil masa dengan berlengah-lengah dan melakukan berbagai-bagai aktiviti dalam dalam junub, termasuk makan dan minum. Kadang-kadang kerana malas untuk mandi junub di waktu pagi, terutama di hari minggu, solat subuh pun tercicir begitu sahaja. Orang-orang tua kita pantang makan dan minum ketika berjunub kerana kepada mereka buruk padahnya, nanti dilamar papa-kedana. Oleh itu bersegeralah mandi junub,jangan bertangguh-tangguh tanpa sebab.

Apa salahnya selepas bersetubuh anda kedua bersegera untuk mandi junub, dan jika ada ruang lebih enak kalau mandi bersama, saling gosok menggosok antara satu lain yang dapat menambahkan lagi kemesraan dan kasih sayang suami isteri yang akan meninggalkan ingatan yang lama dan berpanjangan.

Makan dan minum

Makan dan minum adalah satu keperluan untuk hidup. Ada beberapa cara pula orang menikmati makanan mereka. Kebanyakan manusia hari suka makan bermeja, dengan duduk di atas kerusi, ada yang suka duduk bersela di atas lantai, dan tak kurang pula ada yang suka makan sambil berjalan-jalan tanpa silu dan malu. Dan ada pula di kalangan orang-orang atasan suka makan sambil mengiring atau menyingging atas rusuk atau lambungnya, sambil makan sambil berehat-rehat dan berbual-bual mesra, atau sambil menonton talivishen. Jauhkan makan sambil menyingging atas rusuk, jika anda tidak ingin dijengak oleh petaka papa-kedana. Itu pesan orang-orang tua.

Biasanya kalau kita makan, baik nasi atau roti atau lain-lain makanan mesti yang ada jatuh atau tumpah dari piring atau pingan kita ke atas meja atau lantai. Dan biasanya kita biarkan sahaja makanan-makanan yang tumpah itu untuk disapu dan dibuang atau dimasukkan ke dalam tong sampah.

Amalan ini sebenarnya tidak bagus, dan membazirkan rezeki yang Allah kurniakan kepada kita, sedangkan membazir teman syaitan. Perbuatan ini juga menurut kepercayaan orang-orang tua bererti kita melamar padah untuk menjadi papa-kedana. Justeru itu jika ada makanan yang tumpah, segerlah pungut dan dimakan semula, kecuali lantainya amat kotor menyebabkan makanan yang tumpah ke atasnya tidak lagi layak di makan.

Pada suatu masa dahulu kami bersahabat dengan seorang Imam. Pada masa itu umurnya telah lanjut. Pada waktu tengah hari, biasanya kami makan bersama. Setiap kali ada makanan saya yang tumpah di atas lantai, baik nasi atau atau lauk, dia segera memungut dan memakannya bersama dengan nasi dalam pinggannya. Begitulah setiap hari jika kami makan bersama. Kami kagum dan menghormatinya.

Mencungkil Gigi

Ada sesetengah orang, selepas makan terpaksa mencolek atau mencungkil giginya untuk membuang sisa-sisa makanan yang melekat pada giginya yang tidak begitu normal lagi. Di sesetengah resturan memang ada disedikan pencungkil gigi yang khas. Tapi jika tidak ada mereka akan menggunakan apa sahaja yang patut untuk mencungkil giginya, seperti batang korek api, kotak rokok, lidi penyucuk satai, malah juga batang kemucup yang dikutip di tepi longkang.

Ada seorang sahabat saya membawa pencungkil gigi khas yang disimpan dalam dompetnya, dan jika perlu selepas makan dia mengeluarkan pencungkil gigi itu tanpa perlu mencari-carinya lagi. Selepas guna disimpannya balik.

Sebenarnya mengikut petua orang-orang tua mencungkil gigi dengan semua benda yang boleh dicapai tidaklah baik, antaranya kerana dipercayai dapat menjadi salah satu sebab ditimpa bencana papa-kedana.

Basuh Tangan

Selapas makan tangan perlu dibasuh sebagaimana tangan dibasuh terlebih dahulu sebelum makan. Kalau makan di rumah atau di resturan memang ada air untuk membasuh tangan, tapi makan nasi bungkus di tempat orang bergotong-royong atau di majlis-majlis keramaian di tempat-tempat terbuka, kadang-kadang air tidak disediakan ataupun kalau ada pun tidaklah mencukupi.

Dalam keadaan tidak berair seperti itu, ada sesetengah orang akan menggunakan tanah, selut ataupun lumpur yang terdapat di sekeliing mereka untuk membasuh tangan selepas makan sebagai pengganti air.

Amalan ini tidak bagus, kerana mengikut orang-orang tua boleh menyebabkan seseorang menjadi papa-kedana.

Bersih Rumah

Setiap buah rumah tinggal perlu dibersihkan daripada kekotoran untuk hidup sihat dan selesa. Biasanya kita menggunakan penyapu yang khas untuk mencuci rumah kita, dan hari ini sebahagian besar daripada kita tak pakai penyapu lagi, kita pakai alat penyedut yang khas menggunakan tenaga elektrik-vacum cleaner. Namun begitu ada juga sebahagian dari kita tidak menggunakan alat tersebut, tapi masih menggunakan alat kovensional, penyaput sabut, lidi yang diberkas dan sebagainya. Mana-mana peralatan pun tidak menjadi masalah, asalkan rumah kita bersih dari sampah dan tidak berdebu yang boleh mempengaruhi kasihtan kita sekeluarga. Tapi ada yang perlu dipantang, jangan menyapu rumah dengan pakaian yang kita pakai, sebagaimana dilakukan oleh sesetengah orang yang ingin menyelesaikan perkara dengan mudah, terutama untuk mengeringkan air yang tumpah di atas lantai, baju dan seluar yang hendak dibasuhlah yang mereka gunakan. Kalau anda berbuat demikian, berhentilah perbuatan itu dengan segera, kerana natijahnya tidak bagus bukan sahaja boleh merusakkan pakaian anda, tapi juga boleh menjadi penyebab anda papa-kedana.

Anda juga dilarang mngamalkan menyapu rumah di malam hari, kerana waktu malam adalah waktu untuk berihat, beribadat dan tidur. Walau bagaimanapun, mungkin ada dari kita yang suka menyapu rumah pada waktu malam, kerana rumah mereka mempunyai cukup lampu yang terang bnderang untuk melihat dengan jelas segala sampah dan debu yang berada dalam rumah. Lagipun mereka gunakan vacium cleaner. Tapi amalan menyapu rumah di waktu malam ini tidak diperkenankan oleh orang-orang tua kita, kerana dipercayai boleh menjadi punca papa-kedana.

Sebaliknya ada orang yang tidak suka ataupun malas untuk menjaga kebersihan rumahtangga mereka. Justeru rumah mereka bukan sahaja dipenuhi dengan debu-debu, tapi juga dengan sampah sarap yang berlonggok atau bertaburan, dengan bakul sampah dalam rumah mereka penuh melimpah tanpa dibuang. Tandas mereka usah dikatakan, menjijikkan dan dengan lantai rumah berlendir-taber, segan untuk dipijak.

Dalam menjaga kebersihan rumah anda dilarang sama sekali membiarkan rumah anda penuh dengan sesawang atau sarang labah-labah yang bergayut di bumbung atau tersangkut di dinding-dinding. Ia bukan sahaja mengotorkan rumah, tapi juga untuk mengelak anda daripada menjadi seorang calon golongan papa-kedana.

Rumah yang kotor seperti ini bererti mengundang penyakit, menolak rezeki, dan menempah papa-kedana, dan Malaikat rahmatpun tidak sukakan kekotoran. Dan jika ada tetamu yang bertandang ke rumah secara mendadak sudah tentu memalukan.

Menghormati Orang-orang Tua

Satu lagi amalan yang mengundang papa-kedana ialah berjalan pergi-mari di hadapan orang-orang tua tanpa hormat kepada mereka. Perbuatan seperti ini sudah tentu tidak beradab sopan, lebih-lebih lagi kalau orang tua itu ialah kedua ibu bapa sendiri yang perlu dihormati dan disopani.

Ajarlah diri kita dan juga anak kita menghormati orang-orang tua, terutama ibu bapa. Tidak perlu berjalan pergi-mari di hadapan orang-orang tua kalau tidak mustahak, hormatilah mereka dengan sewajarnya.

Ada sesetengah orang suka memanggil ibu atau bapanya dengan nama mereka yang sebenar seperti mereka memanggil nama kawan-kawan mereka. Biasanya perkara ini berlaku bila si anak itu dipelihara dan dibesarkan oleh orang lain, seperti nenek atau datok. Umpamanya kalau ibu bernama Aminah dipanggilnya sahaja “Aminah”, dan demikian juga kalau ayahnya bernama Jaafar, dipanggilnya “Jaafar”, dan demikianlah seterusnya. Sedangkan mereka sepatutunya memanggil orang tuanya dengan panggilan yang sopan dan mesra, seperti ibu, mama, ummi, ataupun ayah, papa, dan seumpamanya dari panggilan yang hormat.

Memanggil kedua orang tua dengan nama mereka seperti itu bukan sahaja tidak sopan, tapi juga samalah ertinya mengundang papa-kedana.

Pintu Rumah

Setiap buah rumah ada mempunyai pintu yang digunakan untuk keluar masuk rumah. Biasanya daun pintu dibuat dua keping ataupun sekeping, dan biasanya dahulu pintu-pintu diperbuat dari kayu. Tapi hari ini ada daun pintu yang diperbuat dari kaca, besi dan sebagainya.

Adalah menjadi pantangan kepada siapa sahaja untuk bergantung pada daun-daun pintu, bukan sahaja untuk mencegahnya daripada mengalami kerosakan, kerana tertanggal enselnya, tapi juga kerana perbuatan itu boleh menjadi sebab kepada musibah menjadi papa-kedana. Demikian pantang larang orang-orang tua kita.

Dengan tujuan yang sama juga anda dilarang daripada duduk di atas bingkai pintu.

Memakai Pakaian

Memakai pakaian adalah satu keperluan untuk mmenjaga keselamatan badan dan juga menutup aurat, baik lelaki atau perempuan. Kalau anda keluar di khalayak ramai tanpa pakaian, anda akan dikatakan gila atau tidak siuman, dan anda boleh ditahan oleh pihak berkuasa untuk didakawa atau diseret ke e hospital sakit jiwa.

Kadang-kadang setelah kita lengkap berpakaian, barulah kita menyedari bahawa pakaian yang kita pakai itu telah terkoyak sedikit di mana-mana bahagian, seperti di bahagian tangan baju dan perlu dijahit. Justeru kerana malas untuk menanggalkan baju itu, maka kita pun terus mencari jarum dan benang, dan langsung menjahit tempat yang koyak itu pada pakaian yan mash terlekat pada badan kita.

Perbuatan demikian menjadi pantang larang kepada orang-orang tua kita, kerana ia bukan sahaja boleh membahayakan kesihatan kerana tercucuk jarum pada badan kita, tapi juga boleh mengundang bencana untuk menjadi papa-kedana.

Basuh Muka

Selepas membasuh muka kerana mengambil wudhuk dan sebagainya, kita biasanya mengelap atau menyapu muka kita itu supaya kering. Kalau tidak ada tuala untuk berbuat demikian, biasanya kita mengambil jalan mudah, iaitu menggunakan pakaian yang sedang kita pakai untuk mengeringkannya, seperti menggunakan kain sarung atau lengan baju untuk menggelapkan muka kita itu.

Sebenarnya perbuatan itu menjadi pantang larang kepada orang-orang tua kita, bukan sahaja kerana dapat merosakkan pakaian, tapi juga untuk mengelak daripada mejadi papa-kedana yang memang tidak diingini.

Pergi Pasar

Biasanya untuk mendapat bekalan makanan harian kita pergi ke pasar-pasar, atau ke pasar-pasar raya yang ada disegenap tempat pada hari ini. Walau bagaimanapun anda dilarang daripada pergi ke pasar itu terlalu awal, hingga terpaksa menunggu-nunggu dan berdiri-diri di pintu pasar raya yang masih belum dibuka ketika sampai, kemudian berebut-rebut pula untuk masuk. Sudahlah pergi terlalu awal, mereka terus berleka-leka dalam pasar hingga mengambil masa yang terlalu lama atau lambat untuk keluar daripadanya.

Orang-orang tua melarang berbuat demikian, kerana ia bukan sahaja boleh merugikan masa dan juga wang ringgit, tapi juga boleh menyebabkan anda menjadi papa-kedana.

Anda juga dipantang membeli makanan-makanan yang telah rosak, seperti buah-buah yang busuk, roti-roti yang tidak baik bentuknya dan sebagainya, kerana berbuat demikian bererti anda menempah papa-kedana.

Dalam hal ini anda juga dilarang membeli daripada peminta-peminta sedekah yang mencari makan cara meminta-minta. Ini untuk mengelak anda daripada terjebak dalam papa-kedana.

Menulis

Menulis dengan menggunakan seberkas pensil atau pen yang diikat adalah dilarang. Biasanya pen-pen atau pensil-pensil itu diikat beberapa batang dengan menggunakan getah pengikat, biasanya dari pensil atau pen yang berlainan warna dakwatnya. Tujuannya untuk memudahkan penggunaannya bila perlu dan lebih mudah untuk disimpan dan lebih selamat dari kehilangan daripada menyimpannya secara berasingan.

Adalah dipercayai bahawa menulis dengan menggunakan seberkas pensil atau pen seperti itu boleh menimpakan musibah menjadi papa-kedana, kerana itu perlu dijauhi. Demikian petua orang-orang tua.

Mnyisir Rambut

Menyisir atau menyikat rambut adalah amalan zaman berzaman, terutama kepada kaum wanita. Kalau tidak disisir, terutama selepas mandi, rambut akan menjadi bergeroser atau kusut-masai yang akan menyebabkan wajah seseorang wanita kelihatan buruk, dan tidak kemas untuk ditutupkan dengan tudung kepala.

Walau bagaimanapun, sisir atau sikat yang telah patah, atau gigi-gigi sisir yang telah rompong pantang digunakan, kerana itu perlu dibuang segera dari simpanan, kerana menggunakan sisir yang patah atau rompong itu bererti mengundang kepapaan.

Demikian juga dengan cermin yang telah pecah, pantang digunakan untuk bercermin, kerana dipercayai boleh menimpakan akibat buruk yang sama kepada pengguna-penggunanya.

Pakai Serban

Sejak kebelakangan ini kian ramai kaum lelaki yang menutup kepala mereka dengan serban, terutama dari kalangan para pendakwah. Tapi orang-orang tua kita dahulu pantang membelit serban sambil duduk, kerana mereka percaya boleh menjadi salah sebab papa-kedana.

Dengan sebab yang sama juga mereka pantang memakai seluar sambil berdiri. Dalam satu segi memakai seluar sambil berdiri boleh membahayakan terutama kepada mereka yang kurang sihat atau ibu-ibu yang sarat mengandung, kerana boleh menyebabkan mereka terjatuh, ketika berdiri di atas sebelah kaki, sedangkan kaki sebelah kaki menyorong ke dalam kaki seluar. Justeru itu berhati-hatilah. Di samping itu ia juga dipercayai boleh membawa keapda bencana papa-kedana.

Lembab

Bersikap malas, lembab dan lambat untuk bertindak juga amat merugikan. Orang-orang seperti ini pergerakannya terlalu perlahan, orang sudah berlalu 100 batu, dia baru melangkah beberapa langkah, orang lain sudah lama menyelesai sesuatu pekerjaan, tapi dia baru masih di tahap permulaan; kerjanya lambat, orang sudah lama selesi makan dan meninggal hidangan, tapi dia masih terhangguk-hangguk di meja makan.........Apa yang ditunggu oleh orang yang seperti ini kalau tidak papa-kedana.

Keadaan menjadi bertambah buruk, kiranya si lembab ini mempunyai sikap ambil mudah, atau tidak serius dalam setiap urusannya. Ia melakukan sesuatu dengan cara sambil-lewa sahaja, berhasil atau tidak bukanlah menjadi perhitungannya, asal dikerjakan sudahlah. Apa yang diharap-harap oleh orang-orang seperti ini kalau tidak papa-kedana yang memang layak dimiliknya?

Di samping itu ada lagi beberapa pantang di kalangan orang-orang tua kita, seperti pantang membakar kulit bawang merah atau bawang puith. Perkara ini mungkin berlaku kepada suri-suri rumah yang menggunakan dapur tradisi, iaitu bahan bakar kayu api. Untuk memudahkan urusan, kulit-kulit bawang yang dikupas itu biasanya dicamparkan ke dalam api yang sedang membara di atas dapur. Ataupun dicampur dengan berbagai-bagai sampah yang lain untuk dibakar di belakang rumah nanti. Perbuatan ini dipantangkan untuk menjauhkkan daripada dijengah oleh papa-kedana.

Tapi hari ini bagi penduduk-penduduk bandar tidak berlaku lagi, kerana sampah yang mereka kumpul, akan dipungut oleh lori sampah Majlis Perbandaran untuk dibuang ke tempat pelupusan sampah yang telah disediakan. Lagipun perbuatan membakar itu mungkin boleh menjadi kesalahan dari segi undang-undang untuk mencegah pencemaran alam.

Bekas Air

Bekas-bekas, seperti bejana, tempayan dan sebagainya hendaklah sentiasa ditutup. Anda tidak samasekali digalak mendedahkannya baik waktu siang atau malam. Selain bekas yang tidak ditutup itu mendedahkan kandungannya kepada kuman-kuman dan kekotoran, ia juga dipercayai mengundang kepapaan, kerana tidak ada sebab anda tidak menutup bekas tersebut, kecuali kerana kecuaian atau kemalasan.

Anda juga dilarang memadamkan pelita dengan meniupnya dengan mulut. Lebih utama dipadamkan secara mengipasnya dengan tangan atau benda-benda lain. Tapi hari ini, di mana penggunaan elektrik hampir merata, penggunaan pelita untuk menerangi kegelapan malam, hampir tidak ada lagi, kecuali kepada mereka yang tinggal terlalu jauh di pendalaman, ataupun kepada mereka yang pergi berrekerasi di hutan-hutan rimba terpencil yang jauh dari tempat tinggal manusia, ataupun mereka menyalakan pelita-pelita minyak tanah menjelang hari raya mengeliingi rumah-rumah mereka sebagai salah satu cara sambutan. Walau bagaimanapun anda dilarang menghembuskannya dengan mulut untuk memadamkanya kerana boleh membawa kepada musibah papa-kedana,

Walau bagaimanapun andainya anda ditakdirkan menjadi manusia yang papa kedana [minta dijauhkan Allah] jangan sama sekali anda mempergunakan kepapaan anda itu sebagai senjata untuk melakukan kemunkaran untuk meraih rezeki secara haram yang boleh menyebabkan keadaan anda bertambah parah. Justeru anda bukan sahaja papa harta benda, tapi juga dengan berbuat kemunkaran itu bererti anda menjadi papa rohaninya, kedana jiwanya yang mencetuskan kemurkaan Allah kepada anda.

Berusahalah, berubahlah dan berdoalah semoga Allah memperkenankannya!Amin!

Petua-petua ini selain daripada disampaikan oleh orang-orang tua kepada anak-anak dan cucunya secara turun-temurun, memang juga terdapat dalam beberapa buah kitab, antaranya kitab lama “Pelita Penuntut”. Tinggal lagi hendak beramal atau tidak.

Mana yang baik jadikan sempadan. Mana yang tak baik dibuang padang.
xxxxxxxxx

Renungilah:
-“Barangsiapa yang memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, menyenangi kerana Allah, membenci kerana Allah, menikah kerana Allah, maka sungguh sempurnlah keimanannya”. HR:Abu Daud.

-“Barangsiapa melazimkan istighfar, Allah akan menghadirkan penyelesaian di dalam setiap kesulitan, peluang di tengah kesempitan dan rezeki yang tidak terduga”. HR:Abu Daud.

Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP