Mencarai Muassasah Di Mina

>> Friday, October 1, 2010



PENGALAMAN Mencari Muassasah Di Mina Dalam Lautan Manusia

PADA hari ke-9 Zul-Hijjah setelah berpakaian ihram kami para jemaah haji berkumpul di Padang Arafah, yang terletak kira-kira 22 km arah ke tenggara kota Makkah.

Pada hari ke-10 Zul-Hijjah pula kami dikehendaki berada di Mina untuk melontar Jamratul Aqabah. Berikutnya pada malam 11, 12 dan 13 Zul-Hijjah [Hari Tasyrik] kami para jamaah haji pula diwajibkan bermalam di Mina, yang letaknya kira-kira 6 km sahaja dari kota Makkah.

Setelah selesai menjalankan kerja-kerja melontar di Mina barulah kami kembali semula ke Makkah untuk mengerjakan tawaf, sei dan akhirnya menguggurkan rambut dengan jalan dicukur atau digunting sebagai lambang membuang dosa. Maka dengan itu selesailah ibadat haji seseorang.

Justru pada pagi 10 Zulhijjah dari Makkah kami bersiap sedia untuk bertolak ke Mina. Selepas sarapan pagi, kami semua berada di sisi bas yang akan membawa kami ke Mina. Saya bersama dengan isteri,Asiah Yaacob [ya Allah limpahilah rahmatMu ke atasnya] termasuk mereka yang menjadi tetamu Allah dalam rombongan itu.

Bila bas yang akan membawa kami ke Mina itu telah penuh dengan penumpang tetamu Allah, bas pun memulakan perjalananya. Pada malamnya, kami telah terlebih dahulu diberitahu, kami akan melalui jalan yang dijangka tidak begitu sibuk seperti jalan yang biasa supaya kami lebih cepat sampai ke Mina.

Beberapa hari yang lalu kami juga telah diberitahu jumlah bakal-bakal haji yang akan tiba di Makkah mungkin akan meningkat begitu ramai dan bilangannya dijangka berganda-ganda lebih ramai daripada biasa, kerana hari Wukuf pada tahun itu dijangka jatuh pada hari Jummat. Mengikut kepercayaan umum, wukuf hari Jumaat ialah haji mabrur. Justeru jalan menuju ke Mina dijangka akan tersumbat, maka bas yang akan membawa kami ke sana ini dirancang melalui jalan lain yang tidak begitu biasa digunakan orang.

Pada mula-mulanya bas memang dapat begerak laju seperti biasa. Tapi makin lama perjalanan bas makin perlahanan kerana kesesakan lalu lintas. Dan akhirnya orang yang berjalan kaki lebih cepat daripada perjalanan bas. Jalan raya bukan sahaja penuh dengan kenderaan, tapi juga penuh sesak dengan orang-orang yang berjalan kaki yang melempah ke atas jalan..

Akhirnya bas tidak lagi dapat bergerak, kerana dilimpahi dengan banjir manusia yang bergerak macam ulat kepanasan menjadi batas-batas menghalang pergerakan kenderaan. Bas terpaksa diberhentikan. Ketua rombongan, Ustaz Abdul Ghani, Pengarah Batuta Travel lalu membuat pengumuman, “Kita dah tak boleh pergi. Jalan tersumbat. Kita terpaksa berhenti di sini sahaja”.

Setelah berhenti sejenak, dia menyambung, “Dari sini kita terpaksa berjalan kaki. Tempatnya tidak berapa jauh lagi dari sini. Dari sini kita boleh nampak masjid yang kubahnya berwara hijau, dekat situlah Muassasah kita. Semua boleh turun”.

Kami pun turun seorang demi seorang. Sebaik-baik sahaja kami turun, [saya dan isteri] dari bas, kami terus berada di tengah-tengah gelombang lautan manusia. Kami cuba mencari-cari dengan mata kami masjid yang dikatakan oleh Usta Abdul Ghani itu, ia kelihatan berbalam-balam sahaja, nampak tak nampak, dalam panas matahari yang mulai terik itu.

Semua kami mengambil jalan masing-masing. Kami berpisah. Dan saya hanya berdua dengan isteri saya. Mencari jalan ke tempat yang dituju. Carilah terlebih dahulu masjid yang ditunjukkan itu, yang kelihatan kubahnya dari tempat kami berada. Di mana letaknya kami tidak tahu. Kami hanya tahu, kami sedang mencari Muassasah kami di Mina.

Yang kami tahu, Mina itu suatu tempat yang terletak di antara Padang Arafah dan Makkah, di mana mereka yang mengerjakan haji dikehendaki tiba di Mina pada hari ke sepuluh Zulhijjah untuk melakukan lontaran di Jamartul-Aqabah. Jemaah haji juga dikehendaki bemalam di situ pada malam ke sebelas, kedua belas dan ketiga belas yang dipanggil malam-malam hari Tasyriq sebelum kembali semula ke Makkah.

Kemudiannya kami baru mengetahui masjid di Mina yang menjadi pedoman kami itu ialah Masjid Namerah.

Kami begerak perlahan-lahan mencelah-celah di kalangan manusia yang terlalu ramai. Ada sekali terlintas rasa gerun melihat pergerakan manusia yang tidak menentu arah itu. Kita tidak mengetahui ke mana hala tuju mereka. Ada menuju ke utara, ada ke selatan, ada ke timur dan ada ke barat. Mengikut hal masing-masing.

Pada suatu kawasan yang agak lengang sedikit, kami melihat ada sekumpulan manusia yang bertubuh agak besar, berjanggut dan kuat sedang mara ke arah bertentangan dengan kami. Sambil berjalan sambil memekek dan bertindak ganas. Mereka telah bertindak merobohkan dinding-dinding zink yang terletak di tepi jalan itu, dan merempuh apa-apa sahaja yang menghalang perjalanan merkea. Tapi belum sampai ke tempat kami berada, kumpulan tersebut telah memesungkan hala tujuanya ke arah sebelah kanan kami. Justeru tidaklah perlu lagi kami mengelak dari bertembung dengan mereka. Walau bagaimanapun saya dan isteri telah bersedia untuk mengelak daripada bertembung.

Lautan mansia yang begitu ramai, dengan perilaku yang berbeza dalam cuaca panas itu mengingatkan kami kepada padang Mahsyar di akhirat nanti yang tidak dapat digambarkan kehaibatannya.

Ada banyak Hadis-hadis Baginda S.A.W. yang menggambarkan kedasyatan Mahsyar itu. Dalam sebuah Hadis dari Aisyah r.a. beliau berkata, “Manusia berkumpul di Padang Mahsyar dalam keadaan telanjang, tidak pakai alas kaki dan penutup kepala [seperti ketika dilahirkan]”. Kemudian saya tanya beliau, “Lelaki dan perempuan dikumpulkan di satu tempat dalam keadaan telanjang? Bererti yang satu sama lain saling melihat. Rasulullah menjawab, “Mereka tidak teringat melihat hal orang lain lagi kerana suasana yang lebih dahsyat”.

Dalam sebuah Hadis lagi pula, dari Uqbah bin Amir, beliau berkata, “Saya mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda, “Matahari sungguh dekat dari bumi sehingga orang kepanasan dan berpeluh; Ada yang peluhnya sampai tumit, ada yang peluhnya sampai betisnya, ada yang sampai lututnya, ada yang sampai buntutnya, ada yang sampai lambungnya, ada yang sampai bahunya, ada yang sampai lehernya, ada yang sampai mulutnya, malah ada yang sampai tenggelam dalam peluhnya”.

Hanya orang-orang yang banyak amal dan bersih dari dosa sahaja akan terlepas dari penyeksaan tersebut, iaitu tidak akan merasa kepanasan matahari walaupun letaknya sejengkal di atas kepala, dan tidak akan ditengelami oleh banjir peluh.

Kami terus berjalan menyusuri celah-celah manusia. Tidak ada seorang pun yang dikenali yang kami temui dalam perjalanan yang sulit itu. Kami tak putus-putus berdoa semoga Allah menyelamatkan kami dan sampai ke tempat yang di tuju sebelum malam menjelang.

Untuk mencari masjid yang ditunjukkan itu pun tidaklah mudah, sebagaimana tidak mudahnya untuk mencari sebuah bangunan tinggi di kota raya yang kelihatan berdekatan walaupun sebenarnya kejauhan tanpa mengetahui jalan-jalan yang perlu kita ikuti untuk sampai ke sana. Lainlah kalau bangunan itu terletak di tengah-tengah padang kosong yang kita boleh mara ke arahnya tanpa terhalang oleh apa-apa pun.

Walau bagaimanapun kami tidak merasa kepenatan setelah begitu jauh berjalan dalam lautan mansia yang bertali arus. Akhirnya sampai juga kami ke masjid yang dituju. Tapi di mana pula Muassasah kami?

Sesudah solat zohor kami memulakan pencarian yang tidak ada pedoman lagi, hanya semata-mata berserah diri kepada Allah. Oleh sebab tidak tahu ke mana hendak dituju, kami melangkah mengikut sahaja seperti orang-orang lain juga, dengan harapan akan segera bertemu dengan tempat yang di tuju. Semuanya tak menentu arah. Ada ke sana ada ke mari. Kami terus berjalan tanpa pedoman, kecuali mengikut gerak hati dan berseah kepada Allah.

Setelah berjam-jam berputar-putar dalam lautan manusia dari sejak pagi lagi tempat yang dituju masih juga belum ditemui. Namun begitu kami masih mampu meneruskan pencariannya. dan tidak juga merasa lapar, walaupun belum makan tengah hari. Kami terus berjalan dan berjalan seperti ribuan orang lain juga.

Pada suatu ketika kami berselisih dengan sepasang suami isteri yang pada wajahnya seperti orang India atau Pakistan. Suaminya menahan kami dan menanya tempat yang mereka carai dalam bahasa Inggeris. Saya minta maaf dan memberitahu mereka, kami tidak tahu dan kami juga sedang dalam pencarian.

Sebelum kami berpisah, dengan bahasa isyarat tangan lelaki itu meminta air daripada kami, kerana pada masa itu di tangan saya ada sebuah botol besar air minuman. Saya tidak pasti air itu saya bawa dari hotelkah atau kami beli dalam perjalanan tadi?

Saya segera menghulurkan botol air itu kepadanya. Kedua-dua suami itupun meneguknya untuk menghilang dahaga masing-masing. Setelah mengucap terimakasih kami pun berpisah dan meneruskan pencarian masing-masing.

Tidak lamai kemudian seorang lelaki menahan kami. Dari loghat percakapannya dia orang Indonesia. Dia menanya tempat yang dicarinya. Kami beritahu kepdanya kami pun tak tahu, dan kami juga Muasassah kami.

Sebelum kami berpisah dia menyatakan dia dahaga dan meminta air kami. Kami hulurkan botol air itu kepadanya. Dia terus meneguknya. Kemudian dia menyerahkan kembali botol itu yang tidak begitu banyak lagi mengandungi air yang berbaki.

Saya menyambutnya. Tapi isteri saya yang berada di sebelah memberi isyarat dengan tangan supaya saya mengembalikan semula botol air tersebut kepada lelaki iu. “Berikan semua kepadanya”. Katanya.

Lelaki itu menyambut botol air itu dan mengucap teima kasih dan terus berlau menyambung pencariannya.

Kami meneruskan perjalanan. Kami merasa kami telah lebih dari sekali melalui jalan yang sama pada hari itu. Tidak berapa jauh dari situ, kami mengambil jalan ke simpang kiri mengikut petunjuk hati kami. Setelah berjalan beberapa minit sahaja kami merasa orang ramai semacam tidak bergerak lagi dalam mencari arah tujuan, malah ada di antara mereka yang mundar mandir di situ.

Kalau tidak silap ingatan saya, di tepi jalan itu ada bangsa-bangsal tempat orang menjual makanan. Kami ikut berhenti di situ memerhati apa yang dibuat oleh orang ramai. Bila sampai di sebuah bangsal terlintas dalam fikiran kami untuk mencari orang-orang yang kami kenali, yang mungkin datang dalam satu kumpulan dengan kami, ataupun orang sengeri yang kami kenali yang mungkin berada di situ.

Untuk tujuan tersebut, saya meminta izin untuk berpecah sekejap dengan isteri, dan berjanji dalam beberapa minit kemudian akan datang semula ke tempat yang sama. Kami masih belum tahu apakah langkah selanjutnya jika tempat yang dituju masih belum ditemui, sedangkan hari sudah kian petang? Seperti biasa dia memperingatkan saya supaya berhati-hati dan tidak tersesat.

Bila sampai tempoh yang dijanjikan, saya terlebih dahulu kembali ke tempat asal kami berjanji untuk berjumpa dan saya tidak berhasil bertemu dengan sesiapa pun yang saya kenali. Sejurus kemudian isteri saya pun datang, di wajahnya terpancar kesenangan.

“Bagaiaman?”, tanya saya tak sabar.

“Dah jumpa dengan......”. Dia menyebut nama seseorang yang ditemuinya sekejap tadi, tapi telah saya lupa.

Saya terus mengasak bertanya, “Habis mana tempatnya?”.

Dengan tersenyum dia menunjukkan dengan tangannya ke arah seberang jalan di hadapan tempat kami berdiri itu, sambil berkata, “Tu!”. Pintu masuk ke Muassasah itu betul-betul bertentangan dengan tempat kami berdiri di tepi jalan itu Di atas pintu gerbangnya antara lain bertulis, “MUASASSAH HAJI ASIA TENGGARA” Malaysia.

“Alhamdulillah”, kataku menarik nafas lega.”Alhamdulillah, syukur kepada Allah”.

Kejadian ini mungkin ada pertaliannya dengan pemberian sedekah kami berupa sebotol air yang tidak lagi penuh isinya kepada tiga orang hamba Allah yang kehausan dalam perjalanan tadi. Sebab antara fadhilah sedekah ialah dapat menjaga keburukan daripada menimpa si pemberi sedekah.

Dari Abu Umamah, Rasuluuah S.A.W. bersabda, “Pelaku kebaikan dapat mencegah kejadian buruk, bersedekah secara rahsia dapat mencegahkan kemurkaan Tuhan, dan silaturrahim dapat memanjang usia”.HR:Tabarani.

Sebuah Hdis lagi, daripda Abu Hurairah r.a. meriwayatkan Rasulullah S.A.W. bersabda, “Setiap hari ada dua malaikat yang diturunkan. Satu malaikat berdoa, “Ya Allah berilah ganti bagi orang yang menginfakkan [hartanya]”. Sedangkan malaikat yang lain itu berkata, “Ya Allah berilah kerosakan bagi orang yang menahan [hartanya]. HR:Bukhari & Muslim.

Nasib baik pula khemah kami itu letaknya tidak berapa jauh dari pintu besar Musasah itu. Luas dan ada penghawa dingin. Cukup selesa. Di luar sana pula, kalau tak silap ingatan saya, tak jauh dari Muassasah itu ada pasar lambak di sebatang jalan yang menjual berbagai-bagai jenis sovenir.

Pada suatu ketika di Mina seorang tetamu Allah yang tidak dikenali dengan mengguna bahasa isyarat meminta untuk bergambar dengan saya. Maka saya pun meminta isteri saya menjadi jurukameranya. Dan itulah gambarnya yang diterakan di sini.
xxxx

Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP