Padah Berbohong [Dari alam ghaib].Setelah dikemaskini pada 6 Oktober dengan peristiwa terbaru menimpa seorang lelaki...

>> Saturday, October 2, 2010


“JANGAN Bohong, Ya Bang”.

Pada pagi itu Shamsudin [bukan nama sebenar] bersiap-siap untuk masuk hutan tidak berapa jauh dari rumahnya. Tujuannya untuk mencari rotan. Petang semalam dia telah berjanji dengan beberapa orang kawan-kawannya untuk berkumpul dan berjumpa di kedai kopi, Pak Sin di tepi jalan besar. Dari situ mereka akan berjalan kaki bermula dari kaki bukit, tak berapa jauh letaknya dari kedai kopi Pak Sin.

Isterinya membekalkanya dengan nasi lauk ikan goring yang dalam sebuah bekas plastik, dan sebotol teh o nifis minuman kegemanrannya. Dia memakai baju lengan panjang, seluar panjang dan kasut kain yang tinggi untuk menjaga keselamatannya daripada serangan serangga-serangga yang banyak di dalam hutan. Kepalanya pula ditutup dengan topi bersudu. Sebuah golok yang tajam terikat di pinggangnya yang lilit pula dengan kain batik lepas yang kalau perlu boleh dibuat semutal di atas kepala.

Shamsuddin mempunyai tiga orang anak, dan seorang daripadanya baru boleh bertateh untuk belajar berjalan. Ketika dia hendak turun dari rumah, anaknya yang kecil itu memegang seluarnya sambil merengek-rengek. Shamsuddin lalu mendokong dan mencium anaknya itu, kemudian menyerah kepada isterinya, “Jangan menangis, ayah pergi sekejap sahaja, nanti ayah bawa balik buah keranji”. Pujuk Shamsuddin.

Ketika menerima anak itu dari tangan Shamsuddin, isterinya berpesan, “Jaga diri baik-baik. Jangan balik lewat sangat nanti sesat dalam hutan”.

Shamsuddin tidak berkata apa-apa, hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Selepas mencubit pipi anaknya itu dia pun melangkah keluar pintu, “Ayah pergi dahulu, ya”, katanya.

Shamsuddin mengambil motosikal Honda yang terletak di bawah pokok rambutan di laman rumah lalu menghidupkannya. Sejurus kemudian dia hilang daripada pandangan isterinya menuju ke jalan besar tempat dia dan kawan-kawannya berjanji untuk bertemu di Kedai Kopi Pak Sin.

Setelah semua berkumpul, mereka pun berjalan menuju ke hutan tempat biasa mereka mencari rotan. Mereka berlima semuanya, kawan baik dan jiran sekampung di tanah rancangan itu. Masa itu kira-kira pukul 9.00 pagi, embun yang melekat di daun-daun pun masih belum kering.

Tidak berapa lama berjalan dalam hutan, mereka pun bertemu dengan satu kawasan yang banyak ditumbuhi oleh pokok-pokok rotan yang elok-elok. Mereka berlima pun membuat keputusan untuk memotong rotan-rotan di situ sahaja, tak payah masuk jauh ke dalam hutan lagi.

Untuk memilih rotan-rotan yang terbaik mereka terpaksa berpisah antara satu sama lain. Shamsuddin pun bila melihat begitu banyak pokok-pokok rotan terus berjalan menuyusurinya, kerana makin jauh dia pergi, makin banyak rotan yang ditemuinya. Cantik-cantik pula tu.

Dia tidak tahu berapa lama dia berjalan, sedar-sedar dia keseorangan dalam hutan. Dia amat terkejut. Dia melaung memanggil nama kawan-kawannya lepas seorang, seorang, tapi sepi, tidak siapa yang menyahut panggilannya.

Dia cuba mencari jalan balik ke tempat dia meninggalkan kawan-kawannya tadi, tapi tidak tahu ke arah mana. Pokok-pokok hutan serupa sahaja, dia tidak pernah membuat sebarang tanda pengecaman seperti biasa, dengan mematah ranting-ranting pokok dan sebagainya sebagai penunjuk arah.

Dia duduk bersandar di sebatang pokok besar, sambil berfikir-fikir apa yang patut dilakukannya. Hari sudah tentu makin lama makin gelap, dan dia keseorangan dalam hutan itu.

Dia membuka nasi bekalannya, tapi tidak pula berselera untuk makan. Lalu menutupnya balik, dan meneguk sedikit teh o yang dibekalkan oleh isterinya tadi.

Entah berapa lama dia tersandar di situ, mungkin dia tertidur, keadaan dalam hutan itu bertambah gelap. Dia mengambil keputusan untuk terus berjalan, mudah-mudahan bertemu dengan jalan keluar, ataupun bertemu dengan orang-orang yang mencarinya bila diberi oleh kawan-kawannya dia sesat dan tertinggal dalam hutan.

Tiba-tiba dia sampai ke satu kawasan perumahan yang belum pernah dilhatnya. Keadaan rumah-rumahnya tersusun dan laman rumahnya di hiasai pokok-pokok bnnga yang cantik di samping pokok-pokok buahan yang memagari sekeliling rumah.

“Di mana aku?”, Dia bertanya dirinya sendiri kehairanan. “Mimpikah aku ini?”. Sambil menggosok-gosokkan matanya dengan pergelangan lengan.

Dalam keadaan tertanya-tanya itu, dia terkejut tiba-tiba diberi salam oleh seseorang yang entah dari mana datangnya. Setelah mendengar penjelasan Shamsuddin, lelaki itu mengajak Shamsuddin pergi ke rumahnya. Hari pun dah jauh petang ke mana nak pergi lagi?

Sejurus kemudian dia mendengar suara azan mendayu-dayu dari masjid yang terletak di tengah-tengah kampung itu. Kebetulan lelaki itu seorang duda yang tinggal sendirian di rumah itu, dia mengajak Shamsuddin pergi ke masjid untuk solat Maghrib.

Di masjid Shamsuddin melihat ramai jemaah yang semabahayang. Tidak seperti masjid di kampungnya, nak cari sepuluh orang pun susah setiap kali waktu sembahayang lima kali sehari. Kecuali hari Jumaat.

Orang tua, yang membahasakan dirinya Pak Said memperkenalkannya kepada beberapa orang jemaah yang sempat mereka temui selepas sembahyang Isya’. Selepas sembahayang Maghrib ada kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Tok Iman masjid.

Selepas makan malam, Shamsuddin dan orang tua, tuan rumah berbual-bual dengan Shamsuddin hingga jauh malam. Perbualan mereka cukup mesra, seolah-olah mereka telah lama biasa, dan macam keluarga sendiri. Shamsuddin menceritakan tentang dirinya dan keluarganya, dan orang tua itu pula menceritakan tentang keluarganya.

Pagi besok selepas sembahayang subuh dan selepas sarapan. Shamsuddin mengikut orang tua itu pergi ke kebun buah-buahannya. Ada bermacam-macam pokok buah-buahan yang ditanamnya. Pokok-pokok rambutan sedang berbuah dengan lebat dan hampir masak.

Waktu tengah hari mereka balik untuk makan tengah hari yang dimasak oleh anak gadis orang tua itu yang tinggal bersama dengan kakaknya di sebelah rumah. Mereka solat berjemaah di masjid, dan selepas solat Asar mereka pergi semula ke kebun untuk menengkok kolam-kolam ikan orang tua itu.

Demikian hari-hari berlalu. Entah bagaimana tidak teringat pula Shamsudn din kepada isteri dan anak-anaknya di rumah. Dia tidak tahu sudah berapa lama dia tinggal di situ. Dia merasa masa terus berjalan pentas.

Dia senang hati dengan masyarakat di situ hidup aman tenteram. Semangat kerja sama dan gotong royong masih hidup subur. Setiap waktu sembahayang masjid ramai dengan jamaah. Di perkampungan itu ada sebuah sekolah agama. Selama dia berada di situ belum pernah lagi dia mendengar atau melihat kejadian-kejadian jenayah berlaku. Tok imam itu adalah juga menjadi ketua kampung mereka.

Akhirnya Shamsuddin jatuh cinta dengan anak orang tua itu. Cintanya berbalas, dan direstui pula orang tua itu. Gadis itu adalah salah seorang gadis yang tercantik di kampung tersebut.

Tarikh perkahwinan mereka pun ditetapkan. Beberapa hari sebelum mereka diijabkabulkan, gadis cantik itu berkata kepada Shanmsuddin di hadapan ayahnya, “Saya rela kahwin dengan abang dengan satu syarat.....”

Sebelum sempat gadis itu meneruskan kata-katanya Shamsuddin telah memintas bertanya dengan hati agak berdebar, “Apa syaratnya”.

“Syaratnya bang tidak boleh bercakap bohong. Dalam apa keadaan sekali pun abang tak boleh berbohong. Kalau abang berbohong, putuslah hubungan kita suami isteri”.

Shamsuddin bersetuju dan berjanji tidak akan berbohong seperti diminta oleh bakal isterinya yang cantik manis itu.

Selepas berkahwin mereka berdua hidup dengan aman damai sebagai suami isteri yang kasih mengasihi antara satu sama lain. Akhirnya mereka dikurniakan dengan seorang cahaya mata perempuan yang comel, mewarisi wajah ibunya yang manis menawan.

Kini anak itu telah menjangkau usia hampir setahun. Pada suatu hari isteri Shamsuddin meminta Shamsuddin menjaga anaknya itu yang tidak begitu sihat, kerana dia hendak memasak untuk makan tengah hari mereka.

Anak kecil itu tidak berhenti menrengek-rengek dan menangis. Puas dipujuk dengan beragai-bagai cara oleh Shamsuddin tapi anak itu tidak juga mahu berhenti menangis. Berbagai-bagai pujukan tidak juga berjaya, malah anak itu terus juga menangis.

Akhirnya antara lain keluarlah kata-kata dari mulut Shamsuddin untuk memujuk anaknya, “Diammlah nak, ibu tak ada di rumah, ibu pergi..............”.

Belum sempat Shamsuddin menghabiskan kata-katanya itu, isterinya pun dengan memegang sebelas sodek di tangan kanan muncul dari dapur dan berkata, “Cukuplah tu bang, cukuplah bang.....”.

Shamsuddin tersentak besar. Kemudian dengan sedih isterinya berkata, “Ingatlah pada janji abang.....Abang berjanji tidak akan berbohong dalam keadaan apa sekalipun,...... tapi ini abang telah berbohong kepada anak abang....”

Shamsuddin dengan sedih memohon maaf kepada isterinya. Tapi isterinya itu dengan sedih terus berkata, “Nampaknya setakat ini sahajalah hubungan kita bang..........Takdir menentukan nasib kita....”.

Shamsuddin menangis menyesali apa yang telah berlaku. Tapi terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, celaka padahnya. Dia memeluk anaknya dengan air mata yang berderaian, kemudian tertidur dengan anak itu yang berada dalam dakapannya.

Berapa lama dia tertidur dia tidak tahu. Tapi bila dia tersedar dan membuka matanya, dia tidak lagi berada di rumah bersama dengan anak dan isterinya. Dia kini berada di sebuah denai yang rasa-rasa pernah dilaluinya suatu masa yang lalu. Dia menyusuri denai itu, dan akhirnya sampai ke jalan besar, berhampiran dengan Kedai Kopi Pak Sin.

Orang-orang yang berada di situ terkejut melihat Shamsuddin. Selama ini mereka sangka Shamsuddin telah mati. Sudah lebih lima tahun Shamsuddin menghilang tanpa diketahui. Dan hari ini secara tiba-tiba dia muncul.

“Betulkan sudah lima tahun saya tak balik. Saya rasa baru sekejap sahaja saya pergi”, Tanya Shamsuddin ragu-ragu dan kebingongan kepada orang di Kedai Kopi Pak Sin.

“Ya.Ya. Kau pergi ke mana Din?’. Tanya Pak Sin. “Duduk, kita minum air”.

Shamsuddin lalu melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi, kemudian menceritakan secara ringkas peristiwa yang telah berlaku ka atasnya. Sementara itu kenangannya melayang terhadap isteri anak perempuannya di dalam hutan sana. Tapi perkahwinannya dengan gadis cantik itu tidak diceritakan kepada sesiapa pun, tidak juga kepada isteri dan anak-anaknya kecuali kepada beberapa orang kawan baiknya sahaja.

Walaupun dia telah kembali ke pangkuan keluarganya, isteri dan anak-anaknya yang tetap setia menunggi, tapi dia tetap tidak dapat melupakan isteri dan anaknya di hutan sana, dan menaruh harapan pada suatu masa nanti mereka akan bertemu kembali.

Isteri di sisi tetap disayang, dan isteri yang jauh masih dirindu. Entah mereka akan bertemu atau tidak hanya takdir Allah yang akan menentukan.

Dan kisah ini penulis perolehi dari salah seorang kawan baik kepada kawan baik Shamsuddin yang mengkisahkannya kepada penulis.

Di mana Shamsuddin sekarang? Entahlah!
xxxxxxxx

Kisah Lelaki Muncul Dari Alam Ghaib

Kisah terbaru berhubung dengan manusia dan alam ghaib baru sahaja berlaku beberapa hari yang lalu di Gua Musang. Dalam peristiwa itu mengikut laporan akhbar, seorang lelaki, Hasan Dolah berusia 90 tahun telah "ghaib" selama beberapa hari dalam kebun getahnya diKampung Pasir Tumbuh, Gua Musang.

Hassan dilaporkan hilang pada hari Jumaat 1 Oktober 2010 setelah berkunjung ke kebun getahnya itu untuk melepas rindu kerana sudah 3 tahun tidak menjenguknya, kerana keuzuran. Dia pergi seorang diri dengan bertongkat berjalan sejauh 2 kilometer dari rumahnya. Sejak itu dia tidak pernah pulang-pulang ke rumahnya.

Satu gerakan mencarinya telah dilancarkan oleh ahli-ahli keluarga, penduduk-penduduk kampung dan Pasukan Bomba dan Penyelamat Gua Musang. Tapi mereka gagal mengesanya selama 5 hari, sehingga hari Selasa 5 Oktober. Pada tengah hari itu dia tiba-tiba muncul secara misteri di hadapan pasukan penyelamat yang sedang mencarinya di kebun getahnya dalam keadaan letih dengan bertongkat sambil memegang beberapa tangkai buah dokong dalam tanganya.

Mengulas penemuan itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Che Rusli Che Sulaiman dilaporkan berkata bahawa mereka telah berulang kali mencari mangsa di tempat yang sama tapi gagal menemuinya.

Katanya, "Hairan juga tiba-tiba warga emas itu muncul di depan pasukan penyelamat bersama penduduk kampung dalam keadaan selamat".

Sementara itu, Hassan bula dilaporkan berkata sebelum ditemui, dia nampak orang ramai serta pasukan penyelamat mencarinya, tapi mulutnya semacam terkunci untuk memanggil mereka.

Katanya, "Saya mungkin berada di alam ghaib dan tidak dapat melaung kepada orang ramai yang sedang mencari saya".

Adakah penjelasan lain yang boleh dibuat mengenai kisah kehilangan Hassan Dolah ini? Demikian juga dengan kisah yang saya paparkan sebelum ini mengenai seorang lelaki telah hilang selama beberapa tahun, berkahwin di alam ghaib, dan dikurnikan seorang anak,dan kemudian secara tiba-tiba muncul semula di alam nyata kerana sebab-sebab tertentu?

Adakah sesiapa yang berani menafikan kewujudan perisitwa-peristiwa di alam ghaib ini?

Renungilah:
xxxxxxxxxx
-“Barangsiapa yang mengeluarkan seorang Muslim dari suatu kesussahan di antara kesusahan-kesusahan dunia, maka Allah akan mengeluarkannya dari satu kesusahan di antara kesusahan pada hari kiamat”. HR:Muslim.

-Barangsiapa yang berbahagia jika Allah menyelamatkannya dari kesusahan hari kiamat, maka hendaklah ia memberi kemudahan kepada orang yang sedang kesusahan”.HR:Muslim.

Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman:Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP