Masjid Nabawi Segar Dalam Kenangan

>> Tuesday, October 19, 2010





Masjid Nabawi Segar Dalam Kenangan

DARI Lapangan Terbang Jedah, kami menaiki bas menuju ke Madinah. Setelah sampai di Madinah dan setelah barang-barang kami yang diturunkan dari bas diangkatkan ke bilik hotel tempat kami tinggal, saya dan isteri, Asiah [ya Allah limpahilah rahmatMu ke atasnya] dan juga teman-teman lain para jemaaah haji terus turun dari hotel dan menuju ke Masjid Nabawi yang letaknya dekat dengan hotel kami tinggal itu- hanya dipisah oleh satu kawasan lapang. Alhamdulillah hotel kami terlalu dekat dengan Masjid Nabawi.

Kami merasa amat gembira bila memasuki Masjid Nabawi. Dada terasa sebak keharuan. Inilah pertama kali sepanjang hidup kami, kami beroleh kesempantan menjejak kaki di masjid yang mulia ini dan dengan harapan akan datang lagi.

Selepas menunaikan solat, saya dan isteri membuat tinjauan kilat setakat yang mampu di sekitar dalaman Masjid Nabawi. Kami cari Makam Nabi saw. dan kawasan yang dipanggil Raudhah di mana tempat doa yang amat mustajab. Setiap kali pergi ke Masjid Nabawi di kawasan Raudhah itulah kami tuju untuk bersolat dan sebagainya.

Setelah tiga hari berada di Madinah kami dibawa melawat ke tempat-tempat bersejarah di luar kota Madinah bersama-sama dengan para jemaah yang lain. Di suatu tempat saya telah membeli seutas tasbih yang berwarna seperti zamrud. Warna dan bentuknya kelihatan cantik dan menarik. Setiap kali pergi ke Mesjid Nabawi tasbih itulah saya bawa untuk berzikir.

Pada suatu waktu, selepas solat Maghrib di Masjid Nabawi saya mengeluar tasbih itu dari poket baju dan mulai menggunanya untuk membilang zikir. Tiba-tiba terlintas dalam benak saya rasa kagum dengan keindahan tasbih itu.

Tapi dengan sekelip mata saya beristghfar meminta ampun kepada Allah kerana berfikir seperti itu. Saya merasa saya telah berbuat salah merasa bangga yang tidak kena pada tempatnya.

Saya terus berulang-ulang kali minta ampun kepada Allah.

Pagi esoknya ketika hendak pergi solat Subuh, saya cari mencari tasbih itu untuk dibawa ke Masjid. Tapi tidak ketemu lagi. Ia sudah hilang, dan terus hilang hingga kami berangkat ke tanah suci Mekah.

Saya teringat peristiwa semalamnya, lalu menceritakannya kepada isteri saya [semoga Alah cucuri rahmat ke atasnya] yang juga sedang bersiap-siap untuk pergi ke masjid.

“Patutlah tu ia hilang”, katanya dengan mengulum senyum. “Betullah tu! Syukurlah ia hilang”. Sambungnya lagi.

Saya juga merasa apa yang dikatakannya memang benar. Terasa bodohnya. Syukurlah ia hilang, “Alhamdulillah”, kata saya, dan mengajak isteri keluar bilik untuk solat di Masjid Nabawi, dengan solat taubatnya sekali.

Satu peristiwa lagi yang agak unit juga berlaku. Pada suatu hari saya menjadi terlalu sensitif dengan angin. Bila saya melalui kawasan lapang di antara hotel dan Masjid Nabawi itu berkebetulan angin bertiup, saya akan merasa seluruh kulit badan saya, termasuk di dalam pakaian, pedih-pedih halus yang tidak menyelesakan. Tapi tidak ada pula tanda-tanda gatal.

Mula-mulanya saya merasa tidak ada apa-apa dan berharap perkara biasa dan ia akan hilang dengan sendirinya. Tapi rupanya tidak. Setiap kali kena tiupan angin, saya merasa panas pedih yang tidak menyelesakan,

Saya pun merenung-renung mencari sebab-sebabnya. Mungkin ada sesuatu yang tidak wajar telah saya lakukan. Saya pun teringat, petang itu selepas solat Asar, saya melihat di hadapan saya ada seseorang sedang sujud. Saya lihat kedua belah kakinya telah pecah-pecah dan membengkak yang kelihatan kemerah-merahan.

Terlintas dalam benak saya satu fikiran yang kurang wajar terhadap lelaki yang kakinya pecah-pecah dan bengkak itu. Tapi saya segera beristighfar meminta ampun kepada Allah kerana lintas fikiran syaitan seperti itu. Namun begitu, akibatnya terpaksa saya tanggung. Dan begitulah yang saya alami bila keluar dari Masjid Nabawi.

Menyedari hal ini saya terus memohon keampunan kepada Allah, dan juga solat taubat dan solat hajat di Masjid Nabawi memohon keampuan dan keredhaan atas segala keterlanjuran saya. Alhamdulillah dua hari kemudian gangguan itu telah hilang dan tidak lagi datang. Selepas itu saya boleh terdedah kepada angin tanpa mendapat apa-apa kesan sampingan yang buruk, kecuali merasa kesejukan.

Demikianlah di antara peristiwa yang masih terus menjadi ingatan kepada saya ketika berada di Madinah selama beberapa hari sebelum berangkat ke Mekah.

Justeru itu saya selalu memperingatkan diri saya dan keluarga saya supaya selalu berhati-hati bukan sahaja dalam kata-kata dan perbuatan, tapi juga di dalam hati kita, bukan sahaja ketika di Tanah Suci Mekah, tapi juga di mana-mana sahaja supaya kita sentiasa berada dalam keadaan selamat. Lintasan-lintasan fikiran itu sebenarnya amat merbahaya, kerana lintasan-lintasan itulah yang selalunya menganggu kita dalam solat yang menghanyutkan kita keluar dari solat yang sedang kita dirikan.

Masjid Nabawi adalah sebuah masjid yang tidak asing lagi kepada umat Islam kerana mempunyai berbagai-bagai keistimewaan yang tidak terdapat di masjid-masjid lain di seluruh dunia ini, sejak dahulu hingga sekarang, dan juga di masa-masa akan datang. Itulah Masjid Nabawi.

Sesiapa sahaja yang sembahayang di masjid yang mulia ini akan dikurniakan ganjaran pahala yang berganda-ganda. Sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad Ibnu Huzaimah dan Hakim berbunyi, ”“Solat di masjidku [Masjid Nabawi] ini lebih utama 1000 kali berbanding solat di masjid lainnya.

Sabda Baginda saw. lagi, sesiapa berpuasa Ramadhan sebulan di Madinah adalah seumpama berpuasa seribu bulan di tempat lain. Dan bersembahayang Jumaat di Masjid Madinah adalah seperti seribu kali sembahayang Jumaat di tempat lain”.

Sabda Baginda saw. lagi yang bermaksud, “Sesiapa yang bersembahayang lima waktu di masjidku sebanyak 40 waktu tidak pernah luput walau satu waktu pun, nescaya dilepaskan dari azab neraka dan azab kubur”.

Taraf Masjid Nabawi adalah kedua selepas Masjdilharam di Mekah. Ianya sebuah masjid suci yang bersejarah dalam Islam, terletak di tengah-tengah kota Madinah, di Saudi Arabia.

Sejarah Pembinaannya

Masjid Nabawi mulai dibina pada tahun pertama Hijriah [622 M] setelah Baginda Rasulullah saw. berhijrah dari Makkah ke Madinah. Tanah tapak masjid itu dibeli oleh Baginda Rasulullah saw. daripada dua anak yatim beranama Sahal dan Suhail.

Baginda saw. adalah manusia pertama meletak batu asas pembinaan masjid Nabawi itu, kemudian diikuti oleh para sahabat,Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali.

Bangunan asal masjid itu amalah simpel; tiangnya batang kurma, atapnya diperbuat daripada pelepah dan daun kurma, sementara pagarnya berasaskan batu tanah.

Ia dibina secara bergotong-royong di kalangan umat Islam, satu amalan yang patut terus dihidupkan di sepanjang zaman dalam masyarakat Islam, baik di kampung ataupun di bandar.

Ketika Baginda Rasulullah saw. sedang mengangkat tanah yang kelihatan begitu berat, beliau ditegur oleh seorang penduduk Madinah, dan meminta beliau memberikan tanah itu kepadanya untuk dipikul.

Baginda bukan sahaja tidak menyerahkan tanah tersebut kepada penegurnya, malah berkata dengan sopan, “Biarlah aku mengangkatnya, engkau angkatlah tanah yang lain. Di mata Tuhan, engkau tidaklah lebih rendah dariku”.

Masjid itu siap dibina dalam masa kira-kira 12 hari sahaja dalam keadaan yang sungguh sederhana. Selepas itu, selaras dengan perkembangan semasa, Masjid Nabawi telah mengalamai berbagai-bagai perubahan sejajar dengan perkembangan semasa. Bila arah Kiblat telah diubah dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram di Mekah, maka Masjid Nabawi telah dibina dengan sebuah Mihrab pada tahun 2 Hijriah.

Selepas itu Masjid Nabawi mengalami berbagai-bagai perubahan lagi hingga ke hari ini.

Raudhah

Yang paling istimewa yang terdapat di Masjid Nabawi ialah Makam Rasulullah saw. yang terletak di dalam masjid tersebut

Di samping itu dalam masjid itu terdapat satu kawasan yang dipanggil Raudhah. Kawasan Raudhah ditandakan dengan tiang-tiang berwarna putih yang letaknya antara makam Rasululah saw. [dulunya rumah Bagind saw] dengan mimbar.

Sebenarnya perkataan Raudhah itu bererti taman, iaitu sebuah taman yang terdapat di Syurga yang penuh dengan pokok-pokok yang menghijau dan beraneka jenis buah-buahan.

Ada juga wanita-wanita Islam yang dinamakan oleh orang tua mereka dengan nama Raudhah mengambil sempena nama Raudhah tersebut. Alangkah baiknya, kalau setiap wanita yang bernama Raudhah itu merupakan seorang manusia yang dapat memberi manfaat kepada seluruh umat manusia.

Raudhah adalah merupakan tempat yang paling mustajab untuk berdoa, berasarkan sabda Baginda Rasulullah saw”Aantara rumahku dan mimbarku adalah Raudhah di antara taman-taman Syurga”.

Para jemaah haji dianggap tidak lengkap ziarahnya ke tanah Arab sekiranya mereka tidak mereka berkunjung ke Masjid Nabawi dan seterusnya ke Makam Rasulullah saw. yang terdapat di dalamnya.

“Selamat tinggal wahai Rasulullah. Berpisahlah kita wahai Rasulullah. Amanlah dikau wahai kekasih Allah.

“Semoga Allah tidak menjadikan pertemuan kita sebagai hari terakhir denganmu untuk menzirahimu ataupun berada di sisimu. Kecuali Allah imengurniakan kebajikan sihat walafiat dan selamat, jika ada umur lagi, Insya-Allah aku akan datang menemuimu semula.

“Tapi jika aku mati dahulu, maka sekarang aku tinggalkan di samping ikrar sumpah setiaku dari hari ini hinggalah ke hari kiamat, iaitu pengakuanku yang sungguh-sungguh, bahawa tiada Tuhan lain yang disembah dengan sebenar-benarnya kecuali Allah Tuhan yang Maha Esa tidak ada sekutu bagiNya dan aku menyaksikan dengan sesungguhnya bahawa Nabi Muhammad adalah hambaNya dan pesuruhNya.

Maha Suci Tuhanmu Tuhan yang mempunyai kemuliaan dari segala yang mereka sifatkan”.

Demikinlah Madinah kami tinggalkan untuk meneruskan perjalanan le Mekah, dengan harapan yang memenuhi setiap rongga hati kami untuk datang lagi di masa-masa akan datang, khususnya untuk berkunjung ke Makam Rasulullah saw.

Sesunguhnya Baginda Rasulullah saw. pernah besabda, “Sesiapa yang menzirahi kuburku tetpalah beroleh syafatku”.

“Sesiapa yang datang mengerjakan haji tetapi tidak datang menziarahiku, maka sesungguhnya ia renggang dariku [bencikan aku].

Siapakah antara kita yang waras tidak inginkan syafaat Baginda Rasulllah saw di akhirat nanti?

Sesiapa yang mampu dan belum menunai ibadat haji segeralah berbuat demikian, jangan beralasan belum “sampai seru”, nanti rugi besar di dunia dan di akhirat.
xxxxxxxxx

Renungilah:
-"Tidak boleh wanita bermusafir dua hari kecuali bersamanya suami ataupun mahram".-Hadis dalam Shahihan.

-"Wanita tidak boleh bermusafir kecuali bersasma mahram". Hadis dalam Shahihan.

-"Sekiranya usia kamu panjang, nescaya kamu akan melihat wanita yang menunggang unta bertolak daripada Hirah hingga sampai Tawaf di Ka'bah, dan tidak takut sesiapapun kecauli Allah".HR:Bukhari

Bisik Pondok Rahmat
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP