>> Friday, October 22, 2010






Kembara Dari KK ke KT

Dalam Kembara

Dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Kala Trengganu, pada hari Rabu 20 Oktober 2010, kami singgah di sebuah warung di Bukit Bakar, Machang untuk membeli sedikit bekalan untuk dikunyah dalam kereta yang dinaiki oleh lima orang, saya, menantu yang memandu dan tiga orang cucu. Da lam warung itu saya nampak seorang Ustaz sedang melangkah masuk, tapi melihat kereta kami berhenti di hadapan warung, dia berhernti sambil mengangkat sebelah tangan serta memberi salam pada kami.

Beliau melangkah ke kereta kami sambil menghulur tangan kepada saya untuk bersalam menerusi tingkap kereta yang saya buka, lalu bertanya kami hendak ke mana? Saya jelaskan kami hendak ke Kuala Terengganu. Dia bertanya lagi, adakah kami hendak menghantar orang nak naik haji? Saya jelaskan kami hanya brtujuan berjalan-jalan sahaja untuk menyertai anak perempuan saya yang membuat rombongan murid-murid Sekolah Kebangsaan Sungai Embak, Kuala Krai [KK] melawat ke Terengganu dan mereka semua sudah pun bertolak pagi tadi.

Saya terperasaan beliau mengintai-ngintai tempat duduk sebelah kiri saya dalam kereta, kemudian bertanya, “Mana Mak Cik?”. Yang dimaksudkan dengan Mak Cik itu ialah isteri saya, Asiah yang tidak kelihatan di dalam kereta. Saya buat pura-pura tak mendengar pertanyaannya itu, tapi dia bertanya lagi, “Mana Mak Cik? Mak Cik dah pergi dahulukah?”.

Saya mengiakan. Tidak sampai hati saya hendak memberitahu Mak Cik yang ditanyanya itu telah pulang ke rahmatullah kira-kira setahun lebih yang lalu. Kemungkinan dia telah lupa, atau mungkin juga dia tidak sedar tentang pemergian isteri saya itu [semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya].

Bila dia masuk ke dalam warung dan bertemu dengan menantu saya yang sedang membeli makanan, saya dengar dia bertanya, “Mak Cik dah pergikan?. Saya rasa beliau pun memberi jawapan yang sama dengan jawapan yang saya berikan.

Demikianlah di mana kami pergi, orang-orang yang mengenali kami, dan masih belum menetahui isteri saya telah pergi ke pangkuan Ilahi akan bertanya, mana Yah, man Kak Yah, atau mana Mak Cik Yah dan sebagainya........... pertanyaan yang membuat kami sebak kerana begitu dekatnya allahyarahmah di hati-hati mereka...kecuali di hati-hati mereka yang dirasuk syaitan menyebabkan hati mereka disarangi dengan kecemburuan terhadap kebahagian kami hingga sanggup melakukan kezaliman terhadap kami........ Saya selalu berdoa, semoga Allah memberi ganjaran yang setempal kepada si penzalim dan memberi mereka merasa bagaimana pedihnya hati kami telah mereka kerjakan.......

Bila kereta berjalan semula saya terus tertidur dan bila tersedar kami telah berada di Setiu, di simpang lampu jalan menuju ke Penarik, jalan tepi pantai menuju ke Kuala Terengganu. Kenangan saya terus melayang. Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu ini tidaklah asing bagi kami, kerana pada masa yang lalu saya dan isteri saya sering melaluinya untuk ke Kuala Trengganu, Ke Kuantan dan juga ke Johor. Di Kuala Trengganu ada adik saya, tapi telah meninggal dunia, di Kuantan kami dan bisan, ada sepupu dan keluarga dekat dan jauh, dan Johor ada anak saudara kami dan anak lelaki kami, sebelum bertukar ke Sabah pernah bertugas di hulu negeri Johor, di Teluk Sengat.

Justeru saya percaya tidak ada masjid atau surau yang terletak di sepanjang jalan, terutama jalan KB-KT yang tidak pernah kami singgah untuk bersolat, demikian juga tidak ada warung yang laku yang tidak pernah kami berhenti untuk menikmati hidangannya, terutama warung nasi dagang. Saya dapat merasa abagaimana gembiranya kami kalau hari ini, Rabu 20 Oktober 2010 isteri saya yang dikasihi ada bersama kami dalam kembara ini. Alangkah indahnya kenangan ini mengusik-ngusik hatiku.

Fikiran saya terus melayang-layang jauh, menghimbau zaman lampau yang hanya tinggal dalam kenangan silam........yang hanya boleh dirasai oleh pungguk yang kerinduan ditinggal kekasih yang tak mungkin muncul lagi. Pernah pada suatu hari, baru-bru kahwin dulu, saya pandu kereta dari KB dengan isteri di samping, sambil berbual-bual mesra sedar-sedar kami sampai di Kuala Terengganu tanpa tujuan, dan setelah berpusing sekejap bandar KT kira-kira 40 tahun lalu, kami pun terus balik ke KB.

Di luar kereta yang bergerak laju itu, sasya terpandang papan kenyataan Sungai Udang, saya segera teringat, ketika belajar dalam tingkatan dua, saya dan beberapa orang kawan pernah bebasikal dari KB ke Trengganu. Kembara. Saya tak ingat lagi siapa-siapa bersama dengan saya hari itu, kecuali seorang bernama Wan Saleh rakan sekelas [itupun kalau tak silap]. Sebenarnya kami tak tahu ke mana nak pergi, sahaja cari advancar. Ketika kami sampai di Kg. Sungai Udang itu hari sudah senja, jalan sudah gelap, kami tak tahu berapa jauh lagi hendak sampai ke Kuala Trengganu. Nak berhenti tapi di mana?, Pada masa itu belum banyak rumah di sepnjang KB-KT, bukan seperti hari ini.

Saya merasa kaki saya telah kebas kerana mengayuh basikal sehari suntuk hari itu, tak rasa apa-apa lagi, walaupun dicubit. Namun begitu saya masih mampu berkeras dan terus mengayuh basikal. Saya merasa bertambah kuat kembali bila saya memulakan berzikir “Laillahaillah” di dalam hati senada dengan kayuhan kaki saya. Dan dengan itu saya boleh terus mengauh basikal tua itu tanpa merasa keletihan atau kekakuan.

Tiba-tiba kami mendengar suara azan tidak jauh dari tempat kami berada itu. Kami berhenti mengayuh basikal dan berbicang setelah pasti suara azan itu datangnya dari satu arah yang kelihatan ada lampu yang menyala. Setelah berjalan sambil mengheret basikal masing-masing menuuju ke arah tersebut, dan nasib baik dapat beretmu dengan seseorang, kalau tak silap saya iman madarasah tersebut. Selepas sembahayang berjemaah dengan empat lima orang penduduk di situ, kami pun menceritakan tjuan kami berbasikal itu, dan hasrat untuk menumpang bermalam di situ.

Beliau menjemput kami ke rumahnya tidak jauh dari situ dan mempelawa kami tidur di rumahnya, serta menjamu kami makan malam. Kami amat berterima kasih kepada beliau. Pagi besoknya selepas solat subuh dan sarapan pagi, kami pun meneruskan perjalanan kami ke KT.

Selepas itu kami tidak lagi pernah berjumpa dengan hamba Allah yang baik dan murah hati. Maklumlah masa itu kami masih belajar, hanya berahun-tahun kemudian, selepas bekerja barulah kami berpeluang datang ke KT. Waktu itu keadaan sudah banyak berubah, saya tidak lagi dapat mengesan di manakah letaknya madrasah dan rumah yang saya tumpang tidur hari itu? Sampai hari ini saya masih tidak pasti, di manakah madarah dan sumah itu terletak dan yang pastinya rumah itu terletak di sebelah kanan menghala ke Terengganu.

Bila sampai ke KT, ke mana pula kami nak pergi? Di mana kami nak menginap untuk semalam dua? Nasib baik seorang sahabat di kampung, yang kami panggil Nab, namanya Zainab, seorang guru lepasan Maktab Perguruna Melaka memberi nama dan alamat seorang kawan seperguruannya di Kuala Terengganu. Saya masih ingat lagi namanya Hasnah Muda, dan mempunyai seorang adik lelaki yang sudah saya lupa namanya. Kami dizinkan bemalam di rumah beliau, dan adik beliau itulah yang melayan kami.

Di mana tempatnya? Saya sudah tidak begitu ingat lagi, kemngkinan besar di sekitar Batu Buruk. Yang saya pasti, rumahnya di tepi jalan, dan tidak jauh dari pantai, serta tidak pula begitu jauh daripada bandar KT.

Saya rasa, saya hanya tinggal dua hari di KT. Tapi bila nak balik, saya terpaksa balik sendirain, kerana kawan saya tu tidak ingin balik lagi, kerana dia ingin menyertai kempen-kempen pilhanraya di Kuala Trengganu. Pada masa itu Dato Onn sedang berkempen di KL. Oleh sebab seorang diri, saya bertolak awal dari Trengganu. Cubalah bayangkan, pada masa itu di kiri kanan jalan penuh hutan rimba, dan penggunna-pengguna jalan raya tidak banyak seperti hari ini, hanya sekali sekala berselisih dengan kenderaan di jalanan yang sepi itu. Beruk dan kera kelihatan bergayut-gayutan di pokok-pokok di tepi jalan.

Untuk menguatkan semangat saya selitkan sebilah pisau skaut yang kecil di handel basikal itu. Sambil mengayuh basikal itu, saya terus berzikir kepada Allah untuk meneguhkan hati dan memohon keselamatan....Alhamdulillahnya saya sampai juga ke rumah pada hari yang sama.

Demikianlah fikiran saya terus menggembara, dan akhirnya kami sampai ke tempat yang dituju sebuah penginapan yang terletak di sekitar Batu Buruk, Kuala Trengganu, di mana kenangan itu saya garapkan di laptop saya untuk diposted ke Blog Pondok Rahmat sebagai satu himbauan zaman lampau yang penuh kemeriahan.

Hari ini kami sekeluarga tinggal di chalet Sri Indah di Batu Buruk.

Muzium Terengganu

Hari pertama murid-murid mereka telah dibawa melawat Muzium Terengganu, iaitu salah sebuah Muzium yang terbesar di Malaysia. Ia terletak di Bukit Losong, di atas kawasan seluas 27 hektar yang merupakan sebuah kompleks yang dirasmikan pada 20 April 1996 [2 Hulhijah 1416] oleh Sultan Terengganu, Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Bilah Shah.

Ia merangkumi 4 blok, iaitu Muzium Utama, Muzium Maritim, 5 buah rumah tradisional dan kawasan landskap, dan di dalamnya terdapat berbagai-bagai galeri, antaranya Galeri Islam, Galeri Tekstil, Galeri DiRaja, Galeri Sejarah, Galeri Kraft, Galeri Pertroleum dan Galeri Ilmu Kejadian.

Taman Tamadun Islam

Kemudian mereka dibawa melawat Taman Tamadun Islam [Islamic Civilisation Park] yang terletak di atas Pulau Wan Man, Kuala Terengganu seluas, 23 kilometer.

Ia memaparkan keunikan koleksi meonumen-monumen hasil seni bina Islam yang terkenal di seluruh dunia. Justeru ia boleh menyumbangkan input yang berguna di bidang pendidikan di samping menjadi daya tarikan kepada para pelancung.

Ia mempunyai dua zon, iaitu Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam. Di Komplleks Taman Tamadun Islam terdapat 21 replika bangunan yang berkaitan dengan sejarah Islam dari segenap ceruk dunia, antaranya seperti Batu Tergantung di Palestine, Masjidil Haram di Saudi Arabia, Al-Hambra di Sepanyol, Taj Mahal, di India dan sebaginya.

Pulau Warisan

Sebelah malamnya meeka dibawa melawat Pulau Warisan [Herritage Island], iaitu pulau buatan manusia, yang terletak di muara Sungai Terengganu, berhampiran dengan Kedai Payang dan Kampung China. Pulau ini salah satu tempat menjadi tumpuan pelacnung.

Mengikut rancanganya pulau ini akan dilengkapkan dengan bahan kebudayaan dan kesenian untuk menjadi tarikan pelancung.

Planetarium Terengganu

KeesukN, Khamis mereka dibawa melawat Planetarium Terengganu yang terletak di Pusat Dagangan Terengganu, dikelolakan oleh sebuah agensi kerajaan negeri, Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu [PSKT] yang dirasmikan pada 22 Mac 2005.

Planetarium Terengganu merupakan sebuah institusi pendidikan yang berguna untuk masyarakat, khususnya para pelajar dan ibu bapa untuk membuat rujukan mengenai bidang astronomi di seluruh dunia.

Pasar Payang

Melawat Pasar Payang, iaitu Pasar Pusat atau Pasar Besar, Terengganu. Ia terkenal juga dengan panggilan Pasar Kedai Payang, atau panggilan tempata-nya Kedai Tempayan, mengikut loghat Terengganu.

Ia terletak di tepi Sungai Terengganu, dekat jeti Shabandar, dimana para pelancung menunggu untuk menaiki bot untuk membawa mereka melawat ke pulau-pulau yang menjadi pilihan mereka.

Pasar Payang, sebuah pasar di mana masyarakat Trengganu khasnya, memasarkan berbagai-bagai barang-barang tradisional mereka yang telah lama wujudnya di Kuala Terengganu. Ia terdiri daripada bangunan dua tingkat, tingkat bawah untuk gerai-gerai basah dan kuih-muih tradisi Terengganu. Di tingkat atasnya pula terdapat berbagai-bagai jenis barang.

Pada masa dahulu, kalau kami datang ke Terengganu saya dan isteri, Asiah [Ya Allah cucuri rahmat ke atasnya] jarang tidak berkunjung ke Pasar Payang ketika hendak balik ke Kota Bharu untuk membeli barang-barang tempatan Teregganu, termasuk telur penyu dan kain batik Terengganu.

Bukit Puteri

Mereka juga dijadual untuk melawat sebuah tempat bersejarah, iaitu Bukit Puteri yang terletak berhampiran muara Sungai Terengganu dan di sekelilingnya terdapat tempat-tempat bersejarah, seperti Istana Maziah, Masjid Abidin dan Pasar Kedai Payang.

Bukit Puteri mempunyai kedudukan sejarah yang tersendiri dalam lemabaran sejarah negeri Terengganu Darul Imam. Di atas bukit ini terdapat beberapa artifak-artifak kekal berkaitan dengan sejarah negeri Terengganu, seperti Kubu Pertahanan, Genta, Singgahsana, Meriam Beranak dan sebagainya untuk menjadi penilitian generasi sekarang dan akan datang.

Lewat petang baru bertolak balik ke Kuala Krai dan selamat sampai dalam keadaan selamat. Adalah diharap kembara ini bukan sahaja menjadi kembara penghibur, tapi merupakan kembara pendidikan dari segi rohani dan jasmaninya. Kerana kita hendaklah sentiasa ingat bahawa di sebalik segala sesuatu itu, di sebalik segala kejayaan yang dicapai oleh manusia maka Allahlah yang menjadi penentu segala-galanya.

Amin.

Seri Indah, Batu Buruk
Khamis 21 Oktober 2010.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP