Pengertian Sebuah TANDAS [Setelas dikemaskini pada 23 November 2010]

>> Sunday, October 3, 2010



Pengertian Sebuah Tandas

TANDAS ialah bangunan, bilik atau ruang tempat kita membuang keluar bahan-bahan yang tidak perlu dari badan kita, dalam bentuk air kencing [ dalam bahasa yang sopannya disebut air kecil] dan tahi [dalam bahasa yang sopannya disebut najis]. Dari segi kesihatan, jika bahan-bahan ini tidak dikeluarkan, ia boleh membawa penyakit kepada seseorang.

Justeru bila seseorang nak berak, tidak disebut “saya nak berak”, tapi dalam bahasa sopan disebut “saya nak buang air besar”, demikian juga jika nak kencing, tidak disebut “saya nak kencing”, tapi disebut dalam bahasa yang lebih sopan “saya nak buang air kecil”.

Tapi ada pula sesetengah orang yang tidak menyebut nak berak, atau nak buang air besar, tapi disebut “nak be” [ diejanya “b” dan “e”, iaitu singkatan daripada ejaan perkataan “berak”. Perkataan “e’ itupun disebut memberat kepada sebutan huruf “a”, jadi “b-a”.

Malah ada pula orang tak menyebut semuanya itu, tapi disebutnya “nak melepas” dengan maksud hendak membuar air besar.

Atau kalau untuk bayi pula disebut “nak “ouk-ouk”, yang dirujukkan kepada perbuatan menerang ketika bayi hendak membuang air besar.

Sebelum daripada penggunaan perkataan tandas secara meluas sebagai tempat membuang sisa-sisa badan yang tidak perlu itu, masyarakat kita biasanya menggunakan perkataan “jambam” untuk maksud yang sama.

Tapi entah kenapa pula, perkataan jamban itu sedikit demi sedikit telah hilang penggunaannya dalam kehidupan harian. Hari ini hampir tidak terdengar lagi perkataan “saya nak pergi ke jambam”, sebaliknya yang dikatakan ialah, “Saya nak pergi ke tandas”, atau lebih educated sedikit dikatakan “saya nak ke toilet”.

Mungkin perkataan "jamban" yang masih kekal digunakan ialah ketika menyebut kiasan yang berbunyi, "Seperti ikan juara di bawah jamban".

Perkataan “toilet” dalam bahasa Inggeris itu, seperti juga perkataan “tandas” dalam bahasa Melayu mempunyai beberapa erti yang berlainan, tapi salah satu daripadanya ialah “jamban”.

Dalam penulisan pula, terutama pada papan-papan kenyataan untuk menunjukkan arah ke tandas, tidak ada lagi penggunaan perkataan “jamban”, tapi yang rata-rata digunakan ialah perkataan “tandas”.

Untuk tandas awam pula, tandas untuk orang lelaki dan tandas untuk orang wanita diasingkan, tujuannya untuk mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingini, terutama daripada ancaman lelaki yang gatal yang suka mengendap dan mencabul, khususnya di zaman mutakhir ini.

Biasanyag penunjuk arah itu ditulisnya dengan perkataan “Tandas lelaki” dan “Tandas wanita”, atau "Tandas perempuan".

Tapi ada pula mereka yang tidak menggunakan perkataan seperti itu, sebaliknya menggunakan lambang-lambang tertentu, seperti bentuk-bentuk badan wanita dan bentuk-bentuk badan lelaki, atau kepala yang memaki topi atau songkok untuk tandas lelaki dan kepala tak bertutup untuk tandas wanita.

Pada masa yang tidak lama dahulu tidak jarang juga penggunaan gambar sebatang rokok yang menyala berasap untuk menunjukkan tandas lelaki dan tanpa lambang untuk tandas wanita.

Di tempat-tempat sophikated pula tandas-tandas untuk orang awam yang biasa dibezakan dengan tandas awam untuk orang-orang yang berpangkat atau berdarjat. Saya pernah melihat kenyataan yang terpampang menunjukan tandas untuk orang kenaam di sebuah bangunan tandas di Putrajaya.

Tabiat orang masuk tandas ini pula ada beragam-ragam.

Ada orang selepas berak, tidak ditarik atau ditekan punat flash lalu ditinggalnya tahi dalam mangkuk tandas atau bergenang dalam air yang bertakung dalam lubang tandas.

Ada pula selepas membasuh berak pada punggungnya, dia terus keluar tanpa menutup paipnya, menyebabkan airnya terus keluar, mugkin ke dalam lubang tandas atau keluar membasah sekitar tandas.

Ada pula yang meninggalkan tahinya bersembur di lantai jamban kerana cerah perut, dan tidak pula dibersihkannya.

Ada pula selepas berak terus meninggalkan tandas dengan meninggalkan seluar dalamnya tersangkut pada paku di pintu, pada penyakut pakaian atau disangkutnya pada paip flash tandas.

Ada pula selepas selesai melepas ketika hendak keluar dicurinya pula penyelak pintu tandas, menyulitkan orang lain yang hendak buang air, kerana pintu tidak boleh dikunci dari dalam lagi.

Justeru ketika hendak masuk tandas awam jangan anda lupa sediakan sebatang ballpen dalam poket baju, kalau perlu boleh digunakan sebagai penyelak pintu tandas. Kalau tidak, anda tidak akan merasa selesa untuk membuang air besar, takut-takut pintu dibuka orang.

Ada pula selepas keluar tandas meninggalkan habuk-habuk rokok dan puting rokok bertaburan dalam mangkuk tandas dan di atas lantai tanpa diflash atau dijirus air untuk menghilangkannya.

Pada masa dahulu, kaum wanita pula bila masuk tandas sering menyumbat tuala haidnya ke dalam lubang mangkuk tandas yang menyebabkan tandas tersebut sering tersumbat, kerana itu pemilik tandas terpaksa memberi notis peringatan “Jangan buang/sumbat tuala anda dalam tandas”, dan lalu disediakannya tong sampah.

Tapi hari ini sebagai ganti tuala wanita, tuala bayi sering ditinggalkannya merata-rata tempat dalam kawasan tandas walaupun tong sampah disediakan. Tapi itupun nasib baik, kerana tak disuambatnya tuala bayi itu dalam lubang mangkuk tandas.

Sebahagian kaum lelaki pula termasuk orang-orang Islam, terutama dari kalangan orang muda yang kencing tapi tak dibasuh anunya walaupun air disediakan, mereka hanya sekadar mengoyang-goyang anuunya itu berapa kali, terus pakai seluar dan terus keluar tandas.

Barangkali mereka tidak mengetahui pandangan agama mereka tentang hukum penyucian najis? Macam mana mereka nak solat?

Ada pula sesetengah orang perlu membaca ketika masuk tandas, kerana itu mereka membawa masuk bersama mereka akhbar atau majalah untuk dibaca sambil melepas. Tapi selepas keluar dari tandas mereka tidak pula menyambung tabiat gemar membaca itu dalam kehidupan seharian mereka.

Ada pula mereka suka menyanyi sambil membuang air besar.Alangkahnya seronok mereka dalam tandas.

Ada pula dari kita lupa langsung ketika berada dalam tandas, kecuali jika mereka terkandas ketika hendak melepas air kecil atau air besar, lalu menyebut nama Allah berulang-ulang kali tak segan dan silu lagi.

Jenis-jenis Tandas

Tandas, seperti benda-benda lain juga ada beberapa jenis. Pada masa dahlu tandas yang populer ialah tandas bergerak, iaitu di dalam semak-samun untuk mereka yang tinggal di darat, di tepi pantai untuk mereka yang tinggal di pesisir, dalam air untuk mereka yang tinggal di kawasan tebing sungai dan berbagai-bagai kawasan tersembunyi lagi supaya tidak terpandang oleh orang ketika mereka sedang melepas.

Pada masa yang tidak begitu lama dahulu ada mereka yang suka berak di waktu malam di tepi denai bersemak yang sering digunakan oleh penduduk-penduduk kampung. Oleh sebab tak tertahan dengan perbuatan mereka itu, seseorang kanak-kanak yang bertemu tahi yang ditinggal di tepi denai itu, akan balik ke rumah, dan menulis dengan tulisan yang besar di atas sekeping kertas perkataan “DI SINI BUKAN TEMPAT BERAK”, lalu dilekatkan pada sebatang kayu atau bilah buluh dan dipacakkannya di atas tahi tadi. Perbuatan ini akan menjadi heboh sekampung.

Lebih menjijikkan lagi, kalau tahi itu telah dikaih-kaih oleh ayam-ayam yang kelaparan keluar mencari makan.

Walau bagaimana pun cara ini biasanya didapati berkesan untuk menghalang orang daripada berak di tepi jalan.

Biasa juga ada sesetengah dari mereka yang berak di tepi-tepi jalan raya, di bahu-bahu jalan berumput yang akan ditemui oleh kanak-kanak yang berjalan kaki untuk ke sekolah di waktu pagi. Malah kalau nasib tak baik, mereka akan terpijak tahi-tahi itu untuk dibawa ke sekolah.

Dan yang tidak kurang populernya mereka yang menggunakan landasan-landasan kereta api sebagai tandas terbuka. Biasanya landasan kereta api ini jarang digunakan orang untuk lalu-lalang, terutama yang terletak di kawassan-kakwasan semak-samun atau hutan keliling- kelalangnya.

Menurut sumber Bangsa-bangsa Bersatu [PBB], di negara India sahaja walaupun telah 60 tahun merdeka, masih terdapat seramai 600 juta atau 55 peratus rakyat negara itu masih menggunakan tandas bergerak dan terbuka kerana mereka tidak mempunyai kemudahan tandas yang mencukupi baik tandas bersendirian atau tandas awam.

Tandas bergerak mempunyai bencana-bencana yang tersendiri. Ia bukan sahaja mengeluarkan bau yang busuk, tapi juga menyebar kuman-kuman penyakit yang merbahaya yang mungkin terdapat dalam najis seseorang, terutama penyakit cirit-birit. Mengikut UNICF penyakit ciri-birit ini telah berjaya membunuh seramai 1000 orang kanak-kanak yang berusia di bawah 5 tahun setiap hari di India.

Pernahkah anda mendengar adanya pertubuhan yang khusus perhubung dengan tandas di peringkat dunia? Pertubuhan itu terkenal dengan nama “Pertubuhan Tandas Sedunia” [WTO] yang diasaskan oleh seorang yang bernama Jack Sim dan kini menjadi presiden pertubuhan itu. Pada 19 November 2009 beliau telah mengumumkan sebagai Hari Tandas Sedunia di Mumbai, India.

Mengikut laporan, di negeri Haryana, yang terletak di utara India, penduduknya telah melancarkan satu kempen yang temanya, “Tiada Tandas, Tiada Isteri” yang menggesa kaum wanita supaya menolak lamaran seseorang lelaki yang rumahnya tidak dilengkapkan dengan tandas. Kempen ini dilaporkan telah berjaya.

Presiden Pertubuhan Tandas Sedunia itu pernah di antara lain menegaskan tentang keperluan tandas kepada penduduk sesebuah negara. Katanya, “Orang pergi ke tandas lebih kerap daripada melakukan hubungan seks. Semua orang terpaksa pergi ke tandas”.

Katanya lagi, “Ia sewajarnya menjadi pengalaman yang perlu selesa, selamat, bersih dan sihat, ia tidak boleh membawa masaalah kepada kesihatan anda dan kita perlu merasa terikat secara emosi dengan tandas”.

Ada pula mereka yang takut hendak turun ke tanah pada waktu malam akan berak dalam kertas akhbar lalu melipatnya baik-baik dan melemparkannya keluar rumah menerusi tingkap.

Ataupun mereka berak dalam tempurung kemudian membungkusnya dengan akhbar dan membalingnya pula keluar rumah. Ini semua akibat rumah tidak bertandas. Akhir-akhir ini mereka guna pula plastik sebagai pembungkus najis mereka.

Kisah terbaru mengenai mengenai yang dibungkus dalam plastik dan dilemparkan ke rumah-rumah jiran telah berlaku di kondominium di Pandah Indah, Kuala Lumpur. Mengikut laporan akhbar, seorang pemuda yang tinggal bersama dengan keluarganya di kondominium tersebut telah melakukan perkara yang menjijikkan itu ke atas jiran-jirannya. Pemuda tersebut dilaporkan melakukan perbuatan tersebut sebanyak dua kali sehari yang amat menyusahkan jiran-jirannya yang terpaksa bertindak mencucikan najis-najisnya yang bereletak di atas dinding-dinding dan lanatai rumah.

Oleh kerana tidak tahan dengan perbuatan tersebut jiranya telah membuat laporan kepada pehak berkuasa polis untuk diambil tindakan. Ada mereka yang menuduh, remaja tersebut berbuat demikian untuk memenuhi syarat ilmu pelik yang dipelajarinya yang bercangah dengan ajaran Islam.

Kepada mereka yang rajin sedikit, mereka menggali lubang seperti telaga untuk dijadikan tandas, dengan meletaknya kayu-kayu palang atau membuat lantai papan di atasnya untuk berak. Sekelilingnya dipagar dengan daun kelapa atau guni-guni atau kain buruk supaya tidak kelihatan oleh orang bila dia mencangkung untuk berak.

Kepada mereka yang tinggal di kawasan tebing sungai pula akan menggunakan tandas rakit. Rakit itu biasanya dibuat dari buluh dan pelantaiannya diperbuat dari kayu untuk digunakan sebagai tempat membasuh pakaian, dan arah ke belakangnya sedikit dibina bilik-bilik tandas yang najisnya jatuh ke dalam sungai bila digunakan. Kalau sungai itu banyak ikan, maka berebut-rebut ikan juara atau kerai menyambar tahi yang jatuh ke dalam air.

Tapi tandas dalam sungai menganggu orang-orang yang tinggal di sebelah hilirnya, kerana tahi-tahi yang tidak hancur akan hanyut sampai ke pengkalan tempat mereka mandi-manda dan akan mengenai badan mereka yang mandi. Ia membawa kotoran dan kuman-kuman penyakit yang membahayakan kesihatan pengguna-penggunanaya.

Kadang-kadang berlaku juga perkara-perkara lucu dan mengaibkab bila ada lelaki yang suka menggendap. Mereka rela duduk dalam air di bawah tandas untuk mengintai wanita yahg masuk untuk berak. Kadang-kadang berlaku kekecuhan akibat perbuatan yang tidak bermoral itu.

Kemudian bila keadaan bertambah maju sedikit, dibuat pula tandas yang menggunakan mangkuk yang dijurus air selepas digunakan supaya najis itu masukkan ke dalam lubang dan menghilang. Ia dipanggil tandas cucur atau jirus. Tandas ini dibina dalam rumah atau behampiran rumah.

Bila keadaan bertambah maju lagi, dibina pula tandas yang mengguna flash yang ditarik tali atau ditekan punatnya yang akan mengeluarkan semburan air untuk menghilang najis dalam mangkuk. Tandas seperti ini yang banyak digunakan pada hari ini, baik tandas sendirian atau tandas awam.

Pada masa permulaan penggunaannya dahulu, ada tersebar cerita-cerita tentang sesetengah pesakit yang pergi ke rumah sakit menggunakan air dalam mangkuk tandas untuk membasuh tangan dan muka mereka, kerana melihat airnya bersih, walaupun air paip disedikan dalam bilik tandas itu.

Antara air dan tandas adalah penting, saling kait mengait, lebih-lebih lagi bagi kita umat Islam yang tinggal di negara ini. Selepas membuang air kecil atau besar kita memerlukan air untuk mencucuinya.

Tapi kadang-kadang ada tandas-tandas awam di negara ini tidak mempunyai air walaupun bekalan airnya banyak, terutama kerana kerosakan kepala paip atau batang paip yang menyalurkan air telah rosak.

Justeru itu setiap kali masuk tandas, anda hendaklah mempastikan terlebih dahulu airnya ada, terutama ketika hendak membuang air besar. Kalau bekalan air tak ada, tapi anda sudah berak, tentulah anda akan mengalami pengalaman yang pahit.

Sebaliknya ada pula pembuka paipnya telah rosak. Dua hari yang lalu saya pergi ke salah sebuah pasar raya yang terbesar di negeri Cik Siti Wan Kembang. Saya masuk ke sebuah tandasnya untuk membung air kecil. Waktu membuka paip airnya memanglah ok, air keluar dengan baik. Tapi waktu menutupnya, kerana penguncinya telah rosak, saya telah terlajak memutarnya melepasi tempat yang sebenanrnya, maka memancutlah keluar air dengan derasnya dari muncung paip itu, sampai keluar bilik tandas. Seperti biasa sebelum sempat saya memegangnya, getah kecil paip itu melompat-lompat seperti cacing kepanasan memancutkan air keluar. Sekujur badan saya telah basah dibuatnya, dan terkena juga orang yang berada di luar tandas. Saya terpaksa segera balik ke rumah untuk mandi dan membasuh pakaian yang telah tercemar itu. Perkara itu sebenarnya tidak berlaku sekiranya saya tidak memutar kepala paip itu lebih dari hadnya.

Peritiwa inilah menggerakkan hati saya untuk menulis rencana mengenai tandas ini untuk dikongsi bersama dengan peminat yang disayangi.

Kebersihan Tandas

Kebersihan sesebuah tandas itu amat perlu dijaga, baik tandas awam atau tandas persendirian. Walau bagaimana pun masih banyak lagi tandas-tandas awam di negara ini tidak terjaga kebersihannya, malah ada tandas yang kotor dan menjijikkan.

Menurut kajian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempantan [KPKT}Ada tandas-tandas awam di restoran terdapat sebanyak 200, 000 buah tandas awam di seluruh negara. Dan sebahagian besar daripada tandas-tandas itu berada dalam keadaan yang amat menjijikkan. Andainya kita masuk tandas terlebih dahulu sebelum makan, kemungkinan besar kita tidak lalu untuk makan lagi setelah melihat keadaan tandas yang amat menjijikkan itu.

Ada sesetengah tandas awam yang berbayar pun masih juga kotor, dengan sampah sarap, air bertakung, mangkuk najis yang berdaki, lantai yang berlumut. Pintu tandas tak boleh dikunci atau diselak dari dalam, malah ada pintu yang telah tertanggal enselnya. Ini memang biasa, dan pintu yang tidak mempunyai penyelak itu terpaksa disekat dengan beldi setelah diisi penuh dengan air untuk menghalang dibuka oleh orang yang ingin menggunaknya.

Tandas-tandas masjid juga bukan semuanya bersih. Ini amat mengaibkan, terutama kepada masjid-masjid yang terletak di tepi-tepi jalan raya yang sibuk, yang diguna oleh pelancaong-pelancong dari dalam dan luar negara.

Semua ini bukan semata-mata kesalahan pemilik-pemilik tandas itu, tapi pihak pengguna juga yang selalunya mengabaikan faktor kebersihan bila mereka menggunakan tandas, dengan tidak keberatan menyelerakkan sampah sarap dalam tandas.

Isteri saya, Asiah [ya Allah cucuri rahmat ke atasnya] amat cerewet dalam menggunakan tandas. Beliau rela tak masuk tandas, jika tandas itu menjijikkan. Biasanya saya akan membuat pemantauan terlebih dahulu jika kami memerlukan tandas awam dalam sesuatu perjalan kami. Jika saya menyatakan ok barulah dia masuk, dan kalau tidak, dia rela menangguhkan penyampain hajatnya untuk mencari tandas yang lain.

Baru-baru ini tidak begitu lama rencana ini dipublish Post dalam Blog ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan [KPKT] telah mengeluarkan kenyataan bahawa mutu tandas awam di negara kita masih belum memuaskan.

Sebelum itu Q Run, sebuah NGO [sebuah badan bukan kerajaan] yang telah membuat kajian tentang kebersihan tandas di seluruh negara untuk tahun 2010 mengatakan hanya 51.6 peratus tandas awam di Malaysia layak memperolehi mata satu atau dua bintang daripada markah penuh sebanyak 5 bintang, dan hanya 7 peratus layak memperoehi markah penuh 5 bintang.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan KPKT, Datuk Arpah Abdul Razak [Gambar Di atas] dengan tujuan untuk menggalakkan kesedaran kepentingan tandas bersih di kalangan masyarakat serta membudayakannya, maka pihak KPKT telah menganjurkan sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2010 dengan tema Budaya Tandas Bersih Amalan 1 Malaysia. Upacara berlangsung di Hotel Legend, Kuala Lumpur, dan rancangan ini telah dijalankan sejak tahun 2001 lagi bagi mencapai sasaran tandas kotor sifar menjelang 2020 nanti.

Ia juga merupakan sebahagian daripada sambutan Hari Tandas Sedunia yang diadakan setiap tahun paa 19 November.

Kebersihan tandas juga mempunyai kesan secara langsung ke atas ekonomi negara, kerana tandas yang tidak bersih atau kotor boleh menjejahkan wajah Malaysia di mata para pelancong asing yang berjumlah seramai 20 juta orang setiap tahun. Tandas-tandas yang kotor boleh menjejaskan kedatangan pelancong-pelancong asing yang kebanyakannya mementingkan tandas yang bersih.

Menurut Datuk Arpah sempena dengan sambutan Hari Tandas Sedunia itu juga KPKT telah menganjurkan Anugrah Tandas Bersih 1Malaysia, di mana pemenanngnya mendapt hadiah yang wang tunai yang akan digunakan untuk menyelanggarakan tandas di tempat mereka. Pertandinan itu dibahagikan kepada tujuh kategori, iaitu Tandas Awam Berasingan MILIK PBT, Stesen Minyak, Pusat Beli-belah, Institusi Pengajian Tinggi [IPT], Sekolah Menengah dan Sekolah-sekoah Rendah.

Alangkah baiknya, jika orang awam diberi peluang untuk mencalonkan mana-mana tandas yang mereka fikir bersih dan layak diprtandingkan, dan juga diberi peluang melaporkan tandas-tandas yang kotor untuk diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak yang berkuasa.

Kepentingan Tandas

Dalam satu-satu masyarakat bandar, seperti di kawasan-kawasan setinggan yang biasanya tidak mempunyai cukup tandas, mereka akan akan bergantung kepada tandas awam untuk kegunaan mereka. Namun begitu biasanya tandas awam pun tak mencukupi, di mana berpuluh-puluh orang terpaksa bergilir-gilir untuk menggunakan sebuah tandas.

Kita umat Islam ada mempunyai cara yang tersendiri ketika masuk dan keluar dari tandas untuk melepas hajat kita, baik hajat kecil atau hajat besar atau dalam bahasa hariannya untuk kencing atau berak.

Doa

Ketika masuk tandas kita diajar supaya membaca doa yang bermaksud, “Dengan nama Allah. Ya Allah aku berlindung dengan Mu daripada syaitan jantan dan syaitan betina”.

Dan selepas keluar dari tandas pula, kita dikehendaki membaca doa yang bermaksud, “Aku memohon keampunan daripadaMu”.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan supaya para pengguna di mana sahaja mengambil sikap lebih berhati-hati sedikit ketika berada dalam tandas, terutama kepada mereka yang menghadapi masalah-masalah kesejahteraan yang tertentu supaya tidak terjatuh dalam tandas, kerana musuh-musuh kita yang terdiri dari jin dan syaitan memang suka dan berusaha supaya kita jatuh dalam tandas sebagaimana pernah berlaku di masa-masa yang lalu.

Dan kita juga hendaklah ingat bahawa kita tidak boleh membuang air ke arah Kiblat, ke arah kita sujud ketika menghadap Allah, lebih-lebih lagi di tempat terbuka. Justeru itu alangkah baiknya jika anda membina rumah, pastikan arah hala tandas anda tidak ke Kiblat.

Marilah kita semua, baik pengguna atau empunya tandas, memberi prihatin yang lebih tehadap kebersihan tandas. Tandas bukan sahaja menjadi sumber kesihatan kita, tapi menggambarkan peribadi kita sebagai seorang insan dan juga sebagai seorang anggota masyarakat yang bertanggungjawab.
xxxxxxxxx

Renungilah:
Boleh Melihat Untuk Kahwin
-“Rasulullah SA.W. bersabda, “Apabila seseorang di antara kamu melamar seorang wanita, maka dibolehkan baginya untuk melihat wajah wanita itu, sekalipun wanita itu tidak mengetahuinya”.HR:Ahmad.

Berkahwin
-“Empat perkara yang menjadi perilaku pada utusan Allah, iaitu memakai bersih, memakai wangi-wangian, bersugi [menggosok gigi] dan berkahwin”.HR:Tarmizi & Abu Ayub.

Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP