Akbar Pengasas Agama Baru

>> Thursday, November 4, 2010



AKBAR Maharaja Moghul Pengasas Agama Baru- Din-Ilahi

BILA kita berbicara tentang sejarah Islam di India, sudah tentu Kerajaan Moghul merupakan salah satu topik yang menarik untuk dibicarakan, di mana salah seorang daripada maharajanya yang berkuasa dan berjaya kepada kecermelangan kerajaan Moghul ialah Akbar.

Akbar, pemerintah ketiga Kerajaan Moghul, India dilahirkan pada Oktober 1542, di Umarkot, sebuah pekan di Sind Utara. Nama penuhnya Abu al-Fath Jalalu-Din. Ayahnya Maharaja Moghul yang kedua, Humayun dan ibunya Hamida Begum.

Sejarah menunjukkan Akbar adalah seorang maharaja dan negawaran Moghul yang ulung, dan seorang pemerintah yang menjadi penaung kepada seni dan sastera di zamannya. Beliau amat meminati syair, karya-karya sastera yang lain, meminati sejarah dan falsafah, dan juga menyintai sarjana-sarjana ilmu pengetahuan. Beliau melayan semua rakyatnya sama rata tanpa mengira mereka Islam atau bukan Islam.

Tapi Akbar juga seorang Islam yang liberal, dan menjadikan fahaman liberalnya itu sebagai agenda hidupnya, yang telah berjaya menimpakan kerosakan yang besar terhadap akidah umat Islam, khususnya di bumi India.

Beliau menaiki singgahsana takhta Kerajaan Moghul India pada 14 Febuari 1556 mengganti ayahandanya Humayun yang mangkat akibat terjatuh dari tangga di perpustakaannya. Pada masa itu Akbar berusia 14 tahun bersama dengan penasihatnya, Bairan Khan berada di Punjab kerana terlibat dalam peperangan dengan Sikandar Shah. Setelah mendengar khabar kematian Humayun, penasihat beliua, Bairan Khan dengan serta merta mengisytiharkan Akbar sebagai Maharaja Moghul yang ketiga mengganti ayahanda Humayun pada bulan Febuari 1556 dalam satu upacara yang ringkas yang diadakan di sebuah taman di Kalanaur.

Sebelum itu ketika berusia 9 tahun beliau telah dilantik menjadi gabenor di Ghazni mengganti bapa saudaranya Hindal yang meninggal dunia. Kemudian pada ahun 1555 beliau telah dilantik menjadi putera mahkota dan gebenor di Lahore. Di samping itu ayahandanya juga telah melantik Bairan Khan sebagai pengasuh dan penasihat Akbar.

Oleh aebab pada masa itu beliau masih muda belia, maka pemerintahan Kerajaan Moghul telah dinaungi oleh penasihatnya itu. Sebenarya Bairam Khan yang telah memahkotakannya sebagai maharaja itu adalah bekas pegawai peribadi kepada ayahandanya Humayun. Di samping itu Bairan Khan juga telah mendirikan rumahtangga dengan seorang puteri saudara perempuan ayahandanya, Humayun.

Pada masa Akbar menaiki singgahsana takhta kerajaan itu Akbar terpakasa berdepan dengan berbagai-bagai problem dalam negeri, termasuklah penentangan-penentangan politik sebelum benar-benar berjaya mengambilalih pemerintahan kerajaan Moghul yang diwarisinya itu.

Bairan Khan sebagai pengasuh dan penasihat Akbar telah melantik seorang sarjana Farsi menjadi guru kepada Akbar. Sarjana Farsi inilah yang bertanggungjawab mendidik Akbar bersikap liberal terhadap agama. Ajaran ini telah mempengaruhi sepanjang hidup Akbar di kemudian hari.

Sebenarnya Akbar termasuk dolongan manusia yang pintar. Tapi beliau tidak berminat dengan pelajaran. Dan lebih suka kepada sukan daripada belajar, seperti sukan memburu, menembak dan menunggang kuda

Akbar mempunyai seorang ibu angkat bernama Mahan Agna. Ketika berusia 18 tahun, atas nasihat Mahan Agna beliau mendesak Bairan Khan supaya meletak jawatan atas alasan sudah lanjut usianya, dan menawarkan kepadanya supaya menunai ibadat haji di Makkah. Tapi tanpa disedarinya Akbar telah melantik Pir Muhammad sebagai pengiring Bairan Khan ke Makkah, sedangkan Pir Muhammad adalah musuh Bairan Khan. Tindakan Akbar itu mencetuskan kemarahan Bairan Khan lalu bangkit memberontak. Tapi pemberontakan itu telah dipatahkan oleh Akbar dan Bairan Khan telah dapat diberkas. Walau bagaimanapun Akbar telah memberi kemaafan kepada Bairan Khan dan memberi kemudahan untuk meneruskan rancangannya naik haji. Tapi dalam perjalanan ke Makkah, Bairan Khan mati ditikam oleh seorang Afghan yang menyertai kafilahnya itu.

Walau bagaimanapun, Abdul Rahim anak Bairan Khan telah dikembalikan ke Delhi dan dilantik oleh Akbar menjadi salah seorang pembesarnya.

Ibu angkatnya, Maha Anga pula mempunyai seorang anak lelaki yang patuh kepadanya, iaitu Adham Khan yang mempunyai angkatan perang di Malwa. Adham Khan seorang yang degil, selalu bertindak mengenepikan perintah-perintah Akbar, kerana itu dia telah dijatuhkan hukum bunuh. Tindakan itu meracun hati ibu angkatnya Magna Khan, menyebabkan dia jatuh sakit yang membawa kepada kematiannya.

Akbar adalah pembina empayar Moghul yang telah berjaya mengembangkan kerajaan Moghul dengan gilang-gemilang dan merupakan seorang negarawan yang ulung. Dengan kepintarannya beliau berjaya menguasai kembal Delhi, Agra, Kabul, Kasymir, Bihar, Benggala, Orissa dan sebahagian besar Dekan untuk membentuk sebuah kerjaan Moghul yang kuat.

Justeru itu beliau adalah seorang tokoh penting dalam sejarah India, khsusnya sejarah kerajaan Moghul di India dengan kejayaannya yang begitu membanggakan.

Bersikap Liberal

Tapi dalam bidang keagamaan beliau mempunyai sikap yang amat liberal dan amat tolerasni dalam bidang keagamaan. Beliau tidak mengamalkan paksaan dalam beragama, dan memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk memeluk mana-mana agama yang mereka sukai.

Tapi menurut kepercayaan beliau setiap agama masing-masing mempunyai kebenarannya sendiri, dan percaya tuhan yang serupa terdapat dalam semua agama, kerana itu tuhan yang sama itu terdapat di masjid, di gereja dan di kuil Hindu ataupun di pagoda.

Justeru itu Akbar membenarkan penganut-penganut agama Hindu menjalankan amalan keagamaan mereka secara terbuka, dan beliau juga memberi kebebasan kepada mereka untuk menyebarkan agama Hindu di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.

Beliau juga membenarkan orang-orang Hindu yang masuk Islam kerana terpakasa kembali kepada agama asal mereka, jika mereka mahu. Tidak ada tindakan akan dikenakan ke atas mereka.

Penganut-penganut agama Krsitian juga diberikan kebebsan penuh untuk menyebar agama mereka tanpa halangan, dan dibenarkan secara bebas membina gereja-gereja di tempat-tempat yang menjadi pilihan mereka.

Semua jawatan dalam pentadbiran kerajaan Moghul dibuka kepada semua bangsa dan dari semua penganut agama.

Tindakan Akbar yang berani ini merupakan satu langkah ke jurang, yang telah berjaya menjatuhkan martabat agama Islam sebagai sebuah agama yang dominan di sebuah negara Islam kepada kedudukan setara dengan semua agama lain, seperti agama Hindu, Kristian dan sebagainya yang terdapat di India.

Din Ilahi

Sejarah hidup Akbar menunjukkan bahwa beliau adalah seorang yang amat berminat dalam perdebatan mengenai agama. Justeru di istananya, di kota Fatehpur Sikri pada tahun 1575, didirikan Ibadat Khanah, iaitu sebuah tempat peribadatan di mana beliau mendengar perdebatan antara ulama-ulama Islam. Sudah tentu para ulama itu tidak sepakat antara sama lain dan saling tuduh menuduh di kalangan mereka, kerana masing-masing mempunyai pendapat tersendiri yang berbeza-beza.

Ini membuat Akbar menjadi pening dan keliru. Untuk mengatasi hal ini Akbar mengundang tokoh-tokoh agama lain yang bukan Islam yang terdapat di India pada waktu itu untuk menyertai perdebatan tersebut, antaranya tokoh-tokoh agama Nasrani, Majusi, Jain dan Hindu untuk ikut menyertai perdebatan agama itu. Sudah tentu keadaan menjadi bertambah kalut dengan berbagai-bagai pendapat yang berlainan dan bercanggah antara satu sama lain.

Keadaan ini membuat Akbar bertambah bingung dan keliru, dan menyebabkan keyakinannya terhadap mana-mana agama menjadi malap. Akhirnya Akbar dalam kebingongan itu Akbar merasa adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menyelesaikan konflik antara agama itu.

Maka tercetuslah dalam fikirannya untuk mencipta Din-Ilahi dengan tujuan untuk menyatukan beragai-bagai bangsa yang memeluk berbagai-bagai agama yang berbeza-beza itu berdasarkan platfrom agama. Akbar berharap Din-Ilhai menjadi sebuah agama kebangsaan yang dapat diterima oleh semua rakyatnya, baik orang Islam atau Hindu, sebagaimana kita di Malaysia mnejadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dapat diterima oleh semua rakyat negara ini dengan harapan dapat menyatupadukan mereka dengan lebih erat.

Menurut Akbar semua penganut berbagai-bagai agama itu hendaklah mengambil perkara-perakara yang baik yang terdapat pada setiap agama untuk dijadikan pedoman kepada mereka. Di samping itu, beliau juga mengharapkan mereka menghapuskan perasaan dendam kesumat antara satu sama lain.

Justeru itu Din Ilahi adalah merupakan sebuah konsep pemujaan tuhan yang merangkumi semua aspek yang dianggap baik yang terdapat dalam semua agama utama yang terdapat di India di kala itu. Ini memberi erti kosep itu dibentuk daripada berbagai-bagai gabungan unsur yang terdapat dalam berbagai-bagai agama itu, baik berbentk mistik, falsafah dan pemujaan terhadap benda-bendai dan juga segala unsur yang dianggap baik yang terdapat di dalam sesebuah agama itu.

Kalau dibuat kajian akan terbukti bahawa Din Ilahi ini tidak mempunyai pegangan yang khsusus mengenai agama, dan tidak mempunyai ajaran untuk mengenali tuhan secara khusus, tidak mempunyai sebarang kitab agama dan jauh sekali daripada mempunyai nabi. Din-Ilahi mementingkan unsur Maharaja, dan Maharaja pada masa itu adalah Akbar. Justeru itu Din-Ilahi lebih sesuai dikatakan sebagai sebuah peraturan hidup dan bukannya sebuah agama dalam erti kata sebenarnya.

Antara ciri-ciri ajaran Din-Ilahi ialah:

-Umat Islam dilarang sembahayang jemaah.

-Umat Islam dilarang mengkemundangkan azan.

-Umat Islam dilarang naik haji ke Makkah.

-Umat Islam dilarang menggunakan nama-nama nabi.

-Umat Islam dilarang makan daging lembu.

Di samping itu Akbar telah mengambil beberapa tindakan berikut:

Menghapuskan cukai jizyah yang dikenakan kepada orang bukan Islam pada tahun 1564

Memberhentikan penghantaran sejumlah wang yang besar ke Makkah dan Madinah.

Mengenepikan penggunaan tahun Hijriah pada tahun 1584.

Tidak cukup dengan itu, Akbar bertindak meruntuhkan masjid-masjid bila beliau memerlukan wang.

Selaras dengaan larangannya melaungkan azan beliau telah meruntuhkan menara-menara masjid tempat melaungkan azan.

Ada masjid-masjid telah ditukar fungsinya oleh Akbar dijadikan kandang kuda, dan sesetengahnya pula diserahkan kepada orang-orang Hindu.

Beliau juga melarang orang-oang Islam mencukur misai mereka, dan sebaliknya dilarang menyimpan janggut.

Beliau telah menghentikan amalah berpuasa, dan juga menamatkan perayaan-perayaan Islam yang lain.

Akbar tidak menggalakkan pengajian bahasa Arab, sedangkan bahasa Arab adalah bahasa al-Quran.

Konsep Yang Salah

Konsep yang ditaja oleh Akbar dalam Din-Ilahi ini adalah salah, dan merosakkan akidah Islam, serta melemahkan sendi-sendi agama Islam. Ia memberi erti agama Islam itu tidak lagi lengkap dan sempurna, dan memerlukan sokongan daripada agama-agama lain. Sedangkan agama Islam agama yang lengkap dan sempurna, dan diciptakan oleh Allah sesuai dengan segala tempat dan zaman dan mampu menerima segala perubahan.

Sedangkan Allah telah menegaskan dalam kitab suci al-Quran bahawa agama yang benar di sisi Allah hanya satu, iaitu agama Islam:

“Sesungguhnya agama [yang benar dan diredai] di sisi Allah ialah Islam”. Ali Imran:19.

Dengan itu bererti agama-agama yang lain dari Islam adalah agama yang batil, sesat dan menyesatkan. Allah mengancam mereka yang mencari agama selain dari Islam dengan ancaman seksa neraka di akhirat kelak.

Allah berfirman:”Dan sesiapa yang mencari ugama selain dari ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi”.Ali Imran:85.

Din-Ilahi amat merbahaya, bukan sahaja kerana boleh merosakkan akidah seseorang, tapi juga boleh memecahbelahkan kesatuan umat Islam dan mencetuskan berbagai-bagai keraguan terhadap kesempurnaan agama Islam itu

Dan hari ini sikap liberal Islam telah menjadi penyakit menular yang amat merbahaya dan merupakan jahiliah moden yang merosak akidah.

Saya terkenang pada tahun 1960-an dahulu, saya berada di kelas peralihan di sebuah maktab untuk mengikuti pengajian dalam bahasa Inggeris. Salah seorang daripada guru kami, iaitu guru sejarah, setiap kali masuk kelas kami untuk mengajar akan mencari ruang untuk mengucapkan dalam bahasa Inggeris kata-kata yang bermaksud “Semua agama adalah sama, tidak mengira agama apa-apa sekalipun”. Sedangkan hampir seratus peratus pelajar-pelajar dalam kelas itu trdiri daripada anak-anak orang Islam. Tidak ada siapa di antara yang menyanggah kata-kata guru itu, mungkin kerana kami belum menguasai bahasa Inggeris yang baru sahaja kami mempelajarinya untuk berhujah. Namun begitu, saya rasa pada peringkat awalnya ada sebahagian daripada kami mempercayainya, berdasarkan mereka sering menjadikan kata-kata guru itu sebagai hujah bila bercakap tentang agama Islam.

Tujuan saya mengutara kisah ini untuk menunjukkan bagaiama mudahnya pendapat-pendapat yang bercanggah dengan Islam itu mempengaruhi umat Islam, terutama orang-orang yang cetek pengetahuannya tentang Islam, dan jika disampaikan dalam suasana-suasana tertentu. Justeru itu hubaya-hubaya dan berhati-hatilah supaya tidak tersalah terima sesuatu yang boleh merosakkan akidah, terutama pada hari ini yang begitu banyak meddia-meddia yang boleh digunakan untuk menyampaikan sesuatu mesej ke segenap pelosok dunia dan dalam masa yang amat pentas.

Latar Belakang Din-Ilahi

Kalau melihat sejarah latar belakang kehidupan Akbar tidaklah hairan kita dengan sikapnya yang begitu liberal dalam beragama dan sanggup mencipta sebuah agama baru, Din-Ilahi. Dia dilahir dan dibesarkan dalam suasana yang amat liberal sekali.

Ayahnya Humayun ialah seorang ahli Sunnah, sedangkan ibunya pula Humaida Begum, seorang Syiah. Akbar dilahirkan ketika orang tuanya dalam pelarian di wilayah Sind yang kuat dengan pengaruh Sufi. Pada permulaan kelahirannya Akbar hidup di rumah seorang ketua Hindu.

Pengasuh, pembimbing dan penasihat Akbar, dari sejak kecil hingga memegang tampuk kekuasaan iaitu Bairan Khan, seorang Syiah.

Bairan Khan mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Akbar, termasuklah dalam pembentukan dasar keagamaan Akbar yang liberal.

Ini dengan jelas menunjukkan bahawa persekitaran dan warisan mempunyai pengaruh yang besar terhadap Akbar, termasuklah dalam pembentukan sikapnya yang amat liberal dalam agama itu.

Guru-guru Akbar mempunyai pengaruh yang besar terhadap Akbar, Salah seorang daripada gurunya itu ialah, Mir Abdul Latif yang mempunyai sikap yang amat leiberal terahdap agama. Justeru itu orang-orang Hindustan mengangapnya sebagai seorang Syiah, sedangkan orang Iran menganggapnynya seorang Sunnah. Beliaulah orang yang bertanggungjawab mengajar prinsip Suleh-i-kul yang bermaksud keagamaan sejagat attu toleransi agama yang amat diminati oleh Akbar.

Di samping itu terdapat lagi tiga orang guru yang juga berpengaruh terhadap beliau, iaitu Abu Fazi, abangnya Abu Faisi dan bapa mereka Sheikh Mubarak. Ketiga-tiga mereka merupakan tokoh-tokoh yang berfikiran bebas, dan ketiga-tiga mereka memegang jawatan penasihat kepada Akbar dan amat berpengaruh di istana beliau.

Di samping itu menurut Akbar kekuatan Kerajaan Moghul tidak dapat bertahan lama dengan hanya bergantung kepada kekuatan Islam sahaja, kerana itu perlu mendapat sokongan yang lebih kuat daripada orang-orang Hindu. Dan Din-Ilahi inilah namapaknya merupakan salah satu wadah untuk mendapat sokongan orang-orang Hindu.

Ditolak

Kerana itu Din-Ilahi telah ditolak oleh kebanyakan umat Islam. Sebahagian besar daripada pengikut-pengikut Din-Ilahi ialah terdiri daripada pegawai-pegawai istana Akbar sendiri. Sebaliknya orang-orang Hindu pula menyokongnya lebih kepada sebab-sebab politik daripada kerana akidah.

Ulama-ulama Islam tidak senang dengan tindakan Akbar, lalu bangkit menentang beliau, dan mengeluarkan fatwa bahawa Akbar telah murtad. Malah ada di antara ulama-ulama itu telah melancarkan perang jihad ke atas Akbar, antara mereka ialah Sheikh Ahmad Sirhind dan Mullah Muhammad Yazdi, kadi di Jaunpur.

Tidak seperti agama ciptaan Mirza Ghulam Ahmad, iaitu Ahmadiah yang terus hidup dan berkembang, kerana mendapat dokongan padu daripada penjajah British dan Yahudi demi untuk menghancurkan agama dan umat Islam. Din-Ilahhi telah hilang ditelan masa selepas kematian Akbar.

Akhirnya Akbar meninggal dunia pada bulan Oktober 1665 di Agra. Puteranya yang bernama Putera Salim telah menaiki takhta kerajaan di Agra dengan gelaran Nuruddin Jehangir [1605-1627]. Walaupun pada masa pemerintahan Jehangir, Din-Ilahi sudah tidak ada lagi, tapi kesan- kesan buruk yang ditinggalkannya, kesan-kesan kerosakan akidah umat Islam yang ditinggalkannya, tidaklah mudah hilang begitu sahaja seperti sehelai daun kering dihanyut banjir, dan ia memakan masa dan tenaga pula untuk membersihkannya oleh umat Islam yang terkemudian, terutama para ulamanya.
xxxxx
Renungilah:

Abu Ya’la menceritakan dari Anas, bahawa Nabi SAW. Pernah menerangkan dalam sebuah Hadis Qudsi:”Tuhan berkata ada empat perkara. Seperkara bagiKu, seperkara bagimu, seperkara antaraKu dan kamu dan seperkara untuk kamu dan hamba.

“Adapun perkara yang teruntuk bagiKu semata-mata ialah: Jangan engkau persekutukan Daku dengan sesuatu.

“Adapun perkara yang teruntuk bagimu: Segala apa yang amalkan, nescaya Aku akan membalasnya.

“Adapun perkara antaraKu dan antara kamu: Daripadamu doa dan daripadaKu perkenan.

“Dan adapun perkara engkau dan hambaKu: Hendaklah engkau merelakan sesuatu baginya sebagaimana engkau menyukai dirimu sendiri”.

Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

1 comments:

Anonymous,  August 2, 2012 at 6:18 PM  

Terima kasih pondok rahmat telah lama saya mencari berkaitan agama Din Illahi ni.....Alhamdulillah satu info yang baik.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP