Di Ambang Aidiladha
>> Tuesday, November 16, 2010
“Di Ambang Aidiladha
Besok 10 Zulhijah.
Hari ini, hari Selasa, 9 Zulhijjah 16 November], kita rakyat Malaysia berada di ambang Raya Adha yang berkunjung setiap tahun sejak ribuan tahun yang lampau
Seperi biasa, besok adalah hari raya Adha akan membuka tirainya ke serata alam ini, merinjiskan aroma wangi yang tersebar ke seluruh pelosok maya ini.
Kebetulan besok hari Rabu, antara hari-hari yang amat besar ertinya dalam kehidupan kami sekeluarga, hari yang tidak dapat kami lupakan selagi hayat dikandung badan.
Hari Rabulah, kira-kira setahun lebih yang lalu, isteriku dan ibu kepada anak-anakku, Asiah sekuntum mawar di taman hati kami, telah luruh ke pangkuan Ilahi.
Beliau telah layu menyusuli pemergian bondaku beberapa tahun yang lalu, dan pemergian ibunya kira-kira setahun yang lalu. Ya Allah cucurilah rahmatMu ke atas mereka semuanya.
Titimangsanya: 8 Rejab 1430 bersamaan 1 Julai 2009.
.
Ya Allah, Tuhan yang Maha Pengampun, Pengasih dan Penyayang, ampunilah, redalah dan limpahilah rahmatMu ke atasnya.
Inilah untuk kedua kalinya, kami menyambut kunjungan Adha yang indah ini tanpa orang yang kami kasihi di sisi, yang biasanya menghidupkan hari yang mulia itu dengan pengisian murni, penuh dengan mahabah dan kasih sayang yang terlukis di hati sepanjang zaman.
Aku merasa aku seolah-olah menunggu sesuatu, sesuatu sejak lebih dari setahun yang lalu....Sesuatu yang dapat kurasa kehadirannya, tapi tidak dapat dilihat dan disentuh ke-adaannya. Justeru itu hatiku sentiasa berada dalam pelukan penungguan yang tidak berhujung.
Dalam penungguan yang tidak bertepi inilah menyebabkan kita menjadi ralik dan tenteram menerima keputusan Ilahi yang Maha Adil dan Maha Bijaksana. Itulah takdir Ilahi yang tidak ada siapa dapat mengubahnya
Apa yang Allah putuskan, ia akan menjadi penentuan yang mutlak, samada ia selari dengan kehendak kita ataupun sebaliknya. Kita hambaNya, hamba yang mutlak dalam erti kata sebenarnya.
Dalam penungguan itulah, yang ditunggu-tunggu itu dikatakan, terasa ada, tapi tiada; terasa tiada, tapi ada pada hakikatnya. Ianya bukan ilusi, tapi kenyataan.
Cucu saya, Sofia Zaini dari masa ke masa, menanyakan tentang isteriku, iaitu neneknya yang panggilan mesranya di kalangan mereka ialah “Wan”.
Dia biasanya memulakan dialog, “Ya [panggilan nama mesranya] sayang Wan”, dan berhenti sejenak.”Ya sayang Wan”. Berhenti lagi.
Kemudian berkata lagi, “Tapi Wan sudah matikan!”. Selepas berhenti senejenak dia akan bertanya, “Bila Wan nak balik?”. Sebuah pertanyaan yang menyuntik hati dengan keharuan dan kerinduan yang mengetarkan perasaan.
Biasanya saya buat-buat tak dengar sahaja pertanyaannya itu. Membiarkan ianya berlalu begitu sahaja tanpa jawapan. “Lambat lagikan Wan pulang ‘atok”. Jawabnya sendiri.
Saya hanya menjawab “Ya” dengan suara dalam kerongkong sambil menganggkuk kepala.
Kadang-kadang saya juga terlajak bertanya balik, “Ya sayang Wankah?”. Dia dengan pasti menjawab, “Ya, sayang! Tapi Wan sudah matikan?”.
Cucu saya ini walaupun usianya baru masuk tiga tahun, tapi petah bercakap, tak akan kalah.
Suatu senja hari Khamis, saya dan cucu saya itu berada di hadapan rumah. Tanpa di suruh dia menyusun beberapa pasang kasut dan selipar abang dan kakaknya yang berselerak di kaki tangga.
Tapi sepasang selipar Jepun berwarna merah diletaknya berasingan mengahadap ke luar rumah. Saya lalu secara main-main bertanya, “Ni selipar siapa ni?”.
Dia dengan spontan menjawab, “Selipar Wan. Kan Wan nak balik”, katanya. Jawapan yang membuat saya kekagetan. Kecut hati dibuatnya.
Malam hari raya dan malam Jumaat adalah antara malam-malam mulia yang kami merasa akan kehadirannya bersama kami untuk menjenguk kami yang masih diberikan usia oleh Allah ini.
Adalah diriwayatkan bahawa pada suatu ketika Salman Al-Faarisi bertemu dengan Abdullah bin Salam [yang banyak mengetahui berita menerusi kitab-kitab Samaawi sebelum Islam], lalu salah seorang daripada mereka berkata kepada yang seorang lagi, “Andainya engkau pergi menjumpai Tuhan engkau [mati] sebelumku, maka beritakanlah kepadaku apa yang engkau temui?”. Salah seorang daripadanya menjawab,”Akan dapat bertemukah orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati?”.
Maka jawab lawanya, “Ya, oang-orang Mukmin itu, sesungguhnya ruh-ruh mereka terletak dalam syurga, mereka berjalan ke mana yang mereka kehendaki”. HR:Ibnu Abi Ad-Dunya & Al-Baihaqi.
Salmaan Al-Faarisi juga pernah memberitakan, “Sekalian ruh orang Mukmin itu berada di dalam Barzakh di bumi, mereka berjalan ke mana yang mereka kehendaki. Manakala ruh orang-orang kafir adalah berada dalam Sijjin”. HR:Ibnu Al-Mubaarak.
Malik bin Anas memberitakan, katanya, “Saya mendapat berita bahawa sekalian ruh orang Mukmin itu dikirim [dibiarkan] bersiar-siar ke mana selera yang dikehendakinya”. HR:Ibnu Abi Ad-Dun-ya.
Dan seterusnya:
Ibnu Abbas ra pula berkata, “Jika datang hari raya, hari Asyura, hari Jumaat yang pertama dari bulan Rejab, malam Nisfu Syaaban, Lailatul Qadar dan malam Jumaat, ruh semua mayat keluar dari kubur dan mereka berdiri di pintu rumahnya sambil berkata:
“Belas kasihanlah kamu semua kepada kami di malam yang berkat ini dengan sedekah satu suap, sebab kami memberikan sedekah. Jika kamu bakhil dengan sedekah dan kamu sekalian tidak mahu memberikannya, hendaklah kamu mengingatkan kami dengan bacaan surah al-Fatihah di malam yang penuh keberkatan ini.
“Adakah seorang belas kasihan kepada kami. Apakah salah seorang ada yang mengenangkan ratapan kami, wahai orang yang menempati rumah kami, wahai orang yang menikmati wanita [isteri kami], wahai orang yang berdiri memperluas mahligai kami dalam kesempitan kubur kami, wahai orang yang membahagikan harta benda kami.
“Jika mayat memperolehi sedekah dan doa daripada mereka, maka ia kembali dengan riang gembira, dan jika ia tidak memperoleh, maka ia pulang dengan sedih dan duka serta terhalang, dan berputus asa”.
Ada sebuah Hadis tentang sedekah untuk si mati itu bermaksud, “Bahawa engkau bersedekah untuk orang mati kami dengan satu sedekah, maka seorang malaikat akan membawa sedekah itu kepadanya dalam satu bekas yang bercahaya, lalu berdiri di atas kuburnya seraya menyeru, “Hai empunya kubur, sesungguhnya kelurga kamu membrikan hadiah kepada kamu. Inilah hadiahnya”. Lalu masuklah malaikat itu ke dalam kuburnya serta dibukannya hadiah itu dan diterangkan kubur itu.
“Berkatalah hamba itu, “Semoga Allah membalas kebaikan untuk keluargaku”.
“Kemudian berkatalah jiran-jirannya di dalam kubur, “Kami tidak meninggalkan kaum keluarga yang ingat kepada kami”, lalu berdukacitallah jiran-jirannya dan bersukacitalah dia”.
Insya-Allah pagi besok, selepas solat Adha, sperti biasa kami sekeluarga akan berangkat ke pusaraya, Kubur Pohon Rambai, Salor di mana jasad orang-orang kami kasihi di semadikan untuk selama-lamanya. Di situ jugalah bondaku, abangku dan keluarga-keluarga yang lain disemadikan untuk menunggu hari Pengadilan di hadapan Allah yang Maha Berkuasa.
“Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapakku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”. Ibrahim:41.
Mengikut riwayatnya orang-orang yang kita kasihi walaupun berada di alam ghaib, tapi menyedari dan mengenali kita yang mengunjungi mereka, dan insya-Allah memperolehi faedah daripada doa-doa yang disampaikan dengan ikhlas untuk mereka, terutama dari anak-anak mereka sendiri. Insya-Allah.
Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.
Selepas menziarahi pusara, insya-Allah seperti biasa kami akan mulakan kembara raya ke rumah-rumah saudara mara, dan sanak saudara, bermaaf-maafan lahir dan batin dan diiringi dengan doa dan restu semoga berbahagia di dunia dan berbahagia di akhirat. Semoga Aidiladha membawa seribu rahmat ke atas kita semua. Amin!
Amin!
Xxxxxxxxx
Renungilah
-“Sabar itu ada empat jenis, iaitu sabar menjalankan kewajipan-kewajipan, sabar menanggung kemsikinan, musibah dan penganiayaan. Sabar menjalankan kewajipan bererti mendapat taufik [dari Allah], sabar menanggung musibah bererti mendapat pahala [dari Allah]. Sabar menahan penganiayaan orang bererti dicintai [Allah]. Dan sabar menanggung kemiskinan bererti mendapat keredhaan Allah”. Maksud Hadis.
Xxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment