Apakah yang Anda lakukan pada hari raya?
>> Saturday, November 20, 2010
APAKAH yang kita lakukan pada Hari Raya? Periksalah diri sendiri.
HARI raya telah beberapa hari berlalu. Namun nur hari raya terus bersinar, dan semangat hari raya terus bersemarak. Kita saling kunjung mengunjung antara satu sama lain, memilin kasih sayang, bermaaf-maafan, mengeratkan silaturahim, saling doa mendoakan, dengan membawa semangat hari raya bersama-sama kita.
Seperti lumrah, kita sambut ketibaan Aidiladha dengan hati terbuka, lapang seluas langit lazuardi dengan bermandikan kegembiraan yang memenuhi setiap rongga jiwa kita. Allah mengurniakan hari yang agung ini kepada kita untuk diraikan dengan cara yang sebaik-baiknya, selaras dengan ketentuan syariat untuk membendung tangan dan kaki kita daripda terdorong ke lubuk kemaksiatan yang akan mengundang petaka.
Kita gembira menyambut Aidladha, tapi kegembiraan itu berlangsung dalam wadah-wadah yang murni tanpa terpengaruh dengan rangsangan nafsu yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan kita umat manusia supaya tergelincir dari landasan keimanan kepada Allah.
Cuba cermin diri, periksa diri sendiri, kaji diri sendiri, apakah yang telah kita lakukan ketika menyambut pembukaan tirai Aidiladha? Adakah kita menyambutnya dengan penuh adat kesopanan? Atau sebaliknya kita sambutnya dengan acara yang penuh kemungkaran, beraksi mengikut rentak nafsu yang telah dirasuk setan?
Adakah pada malam dan hari Adha yang mulia itu kita habiskan dengan berpoya-poya di kelab-kelab malam, di disko-disko atau di pub-pub untuk beria gembira. Kita menghabiskan masa kita di situ dengan meneguk air berbusa, menagih dadah dan sebagainya?
Atau kita habiskan malam-malam mulia yang panjang itu dengan berpeluk-pelukan antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim? Atau menghabiskan masa dengan bercumbu rayu dengan kekasih, dengan teman wanita atau berkepit-kepit dengan teman sosial? Atau mengheret kaki di lantai mengikut rentak lagu dan muzik, seirama dan sejiwa?
Kemudian kita akhiri hari yang mulia itu dengan tidur di ranjang bersama dengan lelaki atau wanita yang bukan suami atau bukan isteri kita yang sah, tegasnya dengan melakukan perzinaan yang dikutuk oleh Allah S.W.T
Jika anda berbuat demikian bererti anda menyambut Aidiladha dengan cara yang tidak beradab tertib, tidak bersopan, malah amat buruk, kerana melakukan dosa-dosa yang terkutuk di malam yang mulia
Jika anda melakukan segala perkara yang terkutuk itu, tunggulah laknat Allah akan menimpa anda. Tunggulah saat anda menangis tak berlagu, meratapi nasib buruk yang anda sendiri menempah dan melakarinya.
Di hari yang mulia ini kita sepatutnya memperbanyakkan lagi ucapan Salawat kepada Baginda Rasulullah S.A.W.. Salawat itu amat banyak kelebihannya dan mempunyai berbagai-bagai rahisa yang tersembunyi, baik kepentingan dunia dan juga kebajikan akhirat dunia yang kekal dan abadi di mana setiap manusia yang hidup di dunia ini akan menemuinya.
Ibnul Mulqan, daripada Nabi S.A.W. berkata, “Barangsiapa memberi Salawat kepadaku, sesungguhnya Malaikat memberi Salawat kepadanya. Barangsiapa yang telah diberi Salawat oleh Malaikat, maka Allah memberi Salawat kepdanya. Sekiranya Tuhan telah memberi Salwat kepadanya, maka tidak ada apa lagi yang tidak diterimanya daripada tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan lautan. Segala pohon, tumbuh-tumbuhan, burung-burung, binatang-binatang buas dan jinak, melainkan semuanya memberikan Salawat kepadanya”.
Di hari yang mulia ini kita juga sepatutnya memperbanyakkan bacaan tahmid, tasbih, memperbanyakkan zikir kepada Allah, serta juga membaca al-Quran.
Abu Umamah al-Bahili berkata, “Aku mendengar Rasulllah S.A.W. bersabda, maksudnya, “Bacalah al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya”.HR:Muslim.
Dan, “Sesungguhnya orang yang di dalam hatinya tidak mengandungi al-Quran umpama sebuah rumah yang roboh”. HR:Tirmizi.
Di samping itu kita juga sepatutnya memperbanyakkan beristighfar, memohon keampunan kepada Alllah di atas segala kesalahan dan dosa-dosa yang telah dilakukan sepanjang masa-masa yang lalu. Banyak kerterlanjuraan yang telah kita lakukan setiap hari yang kita lalui, menerusi mata kita, lidah kita, telinga kita, tangan kita, kaki kita, malah segala anggota kita dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Semuanya tidak terlepas dari dosa, samada disedari atau tidak disedari. Segala dosa-dosa itu kita pohon diberikan keampunan oleh Allah, dibersihkan jiwa dan raga kita dari segala dosa.
Jangan-jangan bersalawat pun kita tidak, bertasbih pun kita tidak, berzikir pun tidak, beristighfar pun tidak, baca al-Quran pun tidak, tapi sebaliknya kita menghabiskan masa kita bermain mercun dengan anak-anak, menonton tv dari pagi sampai ke malam, memasang cd untuk mendengar berbagai-bagai lagu yang kononnya untuk memeriahkan hari yang mulia itu.
Allah berfirman, “Maka bersabarlah kamu kerana sesungguhnya janji Allah itu benar dan mohonlah keampunan untuk dosamu dan bertasbihlah seraya memuji Tuhanmu pada waktu petang dan pagi”. Al-Mukmin: 55.
Pihak TV pula mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini dengan menysuun dan menonjolkan program-program yang hebat-hebat, yang hampir seluruhnya mendedahkan aurat para pesertanya, khususnya pelakon-pelakon drama dan para penyanyi dengan gerak-geri yang “indah” untuk menggoda penuntun supaya tidak meninggalkan kaca TV. Buka di sana, koyak di sini, londeh di situ, menonjol di sini, kempis di situ, lurah di di sini. Ke mana para penonton akan dibawa pada hari yang mulia ini?
Dalam hal ini kita ada kebebasan, kita boleh memilih antara dua jalan, kita nak ikut nafsu sarakah kitakah atau kita nak kita seruan Malaikat yang akan membawa kita menuju ke jalan Allah? Tidak ada sesiapapun memaksa kita, kecuali nafsu kita dan diri kita sendiri. Justeru kita tidak boleh mempersalahkan sesiapa andainya kita memilih jalan yang salah.
Adakah kita tahu, di sekitar kita, di kampung kita ini ada orang susah, orang-orang miskin, ada anak-anak yatim dan piatu yang memerlukan pembelaan? Kalau kita sedar, adakah kita telah menghulurkan bantuan kepada mereka, membantu mereka, meringan beban hidup mereka, terutama pada hari baik ini?
Sedangkan berbuat baik kepada anak yatim itu amat besar ganjarannya, dan ianya merupakan ajaran Rasulullah yang harus dicontohinya. Baginda S.A.W. pernah bersabda tentang ganjaran berbuat baik kepada anak yatimnya dengan katanya, “Aku dan orang yang menanggung [memelihara] anak yatim [dengan baik] ada di Syurga bagaikan ini......[sambil memberi isyarat
dengan merentangkan kedua-dua jari telunjuk dan jari tengahnya”HR;Bukhari.
Mengenai orang susah dan miskin, kita bukan sahaja tidak membantu mereka, menolong mereka, malah sebelah mata pun kita tak pandang mereka, kerana kita membutakan mata kita daripada melihat mereka. Kalau kita pandang pun, kita pandang dengan mata yang serong, dengan hati yang penuh kebencian, kehinaan, kekcurigaan penghukuman buruk, dan penuh prasangka, kerana mereka susah dan tidak berharta, hidup melarat seperti sampah masyarakat
Kita tidak cuba mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini untuk mengubah sikap buruk kita terhadap fakir dan miskin, malah pandangan kita terhadap mereka bertambah keji dan hina, untuk menghulurkan bantuan jauh sekali.
Ketika kita mengadakan jamuan, kita undang ramai orang dari jauh dan dekat, tapi kita segan untuk mengundng jiran sekampung kita yang susah dan miskin, takut merosakkan majlis kita. Kita perhinakan orang miskin sebegitu rupa.
Kita lupa kepada sabda Baginda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Mencintai orang-orang fakir itu termasuk pekerti para nabi dan bencikan orang-orang fakir itu termasuk pekerti para Fir’aun”.
Dan sabda baginda lagi, maksdunya, “Seburuk-buruk makanan adaah makanan jamuan di mana golongan kaya sahaja yang diundang kepadanya dan ditinggalkan golongan fakir”.HR:Bukhari & Muslim.
Adakah kita telah memaafkan orang-orang yang berbuat salah kepada kita, terutama mengambil sempena hari baik ini? Ataupun kita berusaha mendamaikan orang-orang bersengeketa atau berseteru terutama di kalangan keluarga sendiri?
Tapi malang kiranya, kita bukan sahaja enggan memaafkan orang yang bersalah terhadap kita, malah bertindak mengapi-ngapikan orang yang sedang bersengketa, mengipas-ngipas mereka supaya keadaan menjadi tambah panas, dengan melakukan berbagai-bagai fitnah dan umpat mengumpat yang keji dan hina. Walau kita tidak mempunyai apa-apa kepentingan, tapi kita tidak suka melihat orang berdamai, dan hidup dalam kerukunan, kerana hati kita telah dikuasai oleh syaitan. Kta telah kehilangan semangat mahabbah dan kasih sayang.
Di hari baik ini dan mulai ini, kita sepatutnya menzirahi kaum kerabat, saudara mara, dan megnhubungi silaturahim, serta mengukuhkan perpaduan di kalangan umat Islam. Kalau kita ada rumah sendiripun, ibu bapa jangan dipinggirkan, sanak saudara jangan diketepikan. Kalau mereka telah meninggal, kunjungilah pusara mereka, dan berdoalah untuk mereka, dan itulah yang diharap-harapkan oleh orang yang telah meninggal dunia.
Sebenarnya cinta sejati, kasih sejati, sayang sejati antara anak dan ibu bapa, antara suami dan isteri dan antara saudara dan mara, hanya baru dapat dibuktikan dengan sebenar-benarnya bila salah seorang daripadanya meninggal dunia, kerana pada waktu itu kebaikan yang dilakukan oleh seseorang yang hidup untuk seseorang yang telah meninggal dunia itu, adalah semata-mata untuk kebaikan si mati, justeru si mati tidak lagi dapat memberi apa-apa kebajikan kepada orang yang hidup, sebagaimana ketika hidupnya dahulu, baik ia seorang ibu, anak, isteri, suami, saudara mara, seorang kekasih dan sebagainya. Itulah sebabnya barangkali, pusara tidak begitu dikunjungi, walaupun pada hari yang mulia ini, kerana orang mati telah hilang dari pandangan dan tidak ada apa lagi yang dapat diberikan oleh mereka kepada orang yang hdiup.
Seterusnya pada malam-malam Adha yang mulia itu adakah kita pernah menletakkan dahi kita ke lantai untuk solat tahajud dan solat tasbih, ataupun kita lebih suka berkumpul di hadapan peti TV dengan rancangan-rancangan hiburan hingga tertidur sampai ke pagi ?
Tanyalah diri sendiri, tanyalah diri sendiri, apa yang telah kita lakukan di sepanjang hari Adha itu? Kaji dan kajilah, hisab dan hisablah, sebelum kita dikaji, sebelum kita dihisab di hari pengadilan nanti?
Dan sekiranya kita melakukan amal soleh, mengingatikan Allah siang dan malam, maka teruslah berbuat demikian walaupun Aidiladha telah berlalu. Semoga kita mendapat keberkatan, berbahagia di dunia dan berbahagia di akhirat. Dan sekiranya kita melakukan perkara-perkara munkar, segeralah bertaubat, kembali ke pangkal jalan, minta ampun kepada Allah, dan jangan ulangi lagi.
Amin
Renungilah:
-“Hai sekalian manusia, sesungguhnya telah hancur orang-orang sebelum kamu kerana apabila ada orang bangsawan di antara mereka mencuri, mereka membebaskannya. Tetapi apabila ada orang yang lemah [rakyat biasa] di antara mereka mencuri, mereka menjatuhkan hukuman ke atasnya”.HR:Bukhari & Muslim.
-“Sungguh akan terjadi sepeninggalanku nanti monopoli kekuasaan dan hal-hal yang kamu mengingkarinya”. Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, lalu bagaimanakah engkau memerintahkan kepada kami?”. Baginda bersabda, “Kamu tunaikan hak yang menjadi kewajipanmu dan mintalah kepada Allah apa yang menjadi hakmu”.HR:Bukhari & Muslim.
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment