Rogol Mangsa Derita Sepanjang Hayat

>> Wednesday, November 24, 2010


ROGOL: Mangsa Derita Sepanjang Hayat

[Bahagian Ke-2]

Rogol adalah suatu perbuatan zalim dan terkutuk, yang menimpakan kesan yang buruk terhadap wanita yang menjadi mangsanya. Kesan-kesan buruk itu merangkumi lahir dan batin, rohani dan jasmani seseorang wanita yang malang itu.


Fizikal


Dari segi fizikal, mangsa mungkin mengalami kecederaan pada mana-mana bahagian anggota badannya akibat kegelojohan para perogol yang telah bertukar menjadi sandingan haiwan dan syaitan; antara anggota yang mungkin mengalami kecederaan ialah mulut, pipi, tengkuk, dan tetek.


Mangsa juga mungkin mengalami kecederaan pada anggota sulitnya, seperti terkoyak kerana keganasan para perogol untuk melepaskan nafsu syaitannya.


Dan yang lebih malang lagi, mangsa mungkin juga ditimpa oleh berbagai-bagai penyakit berjangkit, seperti siflis, kencing nanah atau lebih teruk lagi dijangkiti oleh panyakit AIDS dan sebagainya yang dihidapi oleh perogol yang kejam itu.


Kuman-kuman penyakit yang dibawa oleh perogol itu yang telah menjangikiti mangsa rogol kalau tidak dirawat dengan sewajarnya mungkin menjangkiti anggota-anggota seksual mangsa rogol, seperti pada anggota rahim dan juga anggota-anggota lain.


Namun begitu, bukan semua mangsa rogol dijangkiti oleh penyakit-penyakit fizikal seperti itu.


Kesan Psikologi


Mangsa rogol akan mendapat kesan psikologi yang amat teruk, menanggung penderitaan jiwa yang tidak dapat digambarkan, yang sukar untuk hilang dalam masa yang singkat, malah mungkin akan berkekalan buat selama-lamanya di sepanjang hayat. Walaupun luka telah sembuh, tapi parut mungkin akan berkekalan di sepanjang hayat.


Mangsa rogol akan diselubungi oleh rasa malu dan hina diri dan aib yang tidak dapat digambarkan.


Mangsa rogol sentiasa hidup dalam kesedihan dan kemurungan yang berpanjangan.


Mangsa rogol merasa amat kecewa dan mungkin merasa putus asa untuk meneruskan hidup ini yang dengan sekelip mata telah bertukar menjadi mimpi ngeri yang menakutkan.


Mangsa rogol mungkin bertukar menjadi seorang yang sensitif, perungus dan lekas marah dengan perkara-perkara yang kecil sekalipun. Menyebabkan dirinya dan orang-orang sekitarnya tidak dapat hidup dengan tenteram.


Mangsa rogol mungkin menyimpan perasaan dendam kepada semua lelaki, kerana pada anggapanya semua lelaki adalah makhluk yang jahat dan ganas. Justeru itu kalau dia masih belum berkawhin, kemungkinan dia akan terus membujang seumur hidupnya.


Mangsa rogol mungkin sepanjang masa merasa tidak selamat dan berada dalam ketakutan, yang menyebabkan kehidupannya menjadi tidak tenteram.


Mangsa mungkin merasa tidak selesa atau merasa takut untuk melakukan hubungan seks walaupun dengan suami sendiri kerana dihantui oleh peristiwa cemar itu. Hanya dengan kebijaksanaaan suaminya sahaja perkara itu mungkin dapat diatasi.


Mangsa rogol mungkin menjadi lebih agresif, liar dan mungkin terlibat dalam kegiatan pelacuran atau jenayah-jenayah yang lain sebagai saluran untuk melepaskan dendam yang bertongkol di hatinya.


Mangsa rogol juga mungkin terfikir untuk membunuh diri dengan harapan untuk menamatkan penderitaan yang ditanggungnya itu. Langkah yang amat buruk untuk diambil oleh mana-mana mangsa rogol.


Seorang wanita yang dirogol dengan “izinnya” menanggung penderitaan yang amat pedih sepanjang hayatnya. Perkara itu berlaku di bawah pengaruh sihir seorang lelaki yang jahat. Di bawah pengaruh sihir itu dia menyerahkan apa sahaja yang diminta oleh lelaki durjana itu, termasuklah kerhormatannya sendiri, kerana merasa kasihan dan sayang yang amat luar biasa terhadap penggoda terkutuk itu. Waktu itu dia tidak nampak apa-apa lagi larangan-larangan dan keaiban untuk berbuat perkara-perkara yang mungkar. Tapi bila sihir yang membelitnya itu dirungkaikan, dia kembali sedar, segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Namun begitu, dan walaupun kemukaran yang dilakukannya itu tanpa kerelaannya, tapi dia sentiasa diharu oleh rasa kesal, sedih, kecewa, bersalah dan malu kerana akibat kecuaiannya perkara yang buruk itu telah menimpa ke atasnya menyebabkan beliau merana sepanjang hayatnya. Walaupun dia telah bertaubat, tapi taubatnya tidak dapat menghapuskan ketakutan hatinya terhadap Allah, menyebabkan dia selalu meratap, beristigfhar dan bertaubat kepada Allah memohon keampunanNya.


Wanita itu telah berubah menjadi seorang yang kuat pegangan agamanya, menjadi manusia yang sabar, beriman dan bertakwa yang selalu mengingati Allah dalam mencari keredaanNya. Segala apa yang telah berlaku itu sudah tidak dapat diubah lagi, ia telah menjadi masa yang keras beku yang tidak dapat dicairkan lagi, hanya tergantung kepada kebijaksanaan kita sebagai makhluk untuk menghadapinya dengan saksama dan wajar sejajar dengan kehendak syariat Allah.


Justeru jika anda berkebetulan mengenal mangsa rogol, janganlah anda memandangnya dengan kehinaan dan keaiban terhadap mereka yang bernasib amat malang itu. Jangan sama sekali mencurahkan cuka ke hati mereka yang telah parah lukanya itu. Pandang dan layan mereka dengan penuh simpati dan kasih sayang yang akan merupakan sokongan moral kepada mereka yang amat bernilai. Ingatlah, mereka sama sekali tidak memintanya, tidak mengharapnya, tapi nasib telah membawa mereka ke hujung jalan yang gelap, kerana sebab yang mungkin mereka ketahui dan mungkin juga mereka tidak mengetahuinya.


Insya-Allah.


xxxxxxxxx

Renunglah:


-“Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah suatu kebaikan [keuntungan], maka ia diberikan penderitaan”.HR:Bukhari.


-“Apabila Allah menghendaki kebaikan pada hambaNya, nescaya Dia mempercepatkan seksa [penderitaan] kepadanya di dunia. Dan apabila Allah menghendaki kebinasaan kepada hambaNya, nescaya Dia akan menahan pembalasan dosa daripadanya hingga akan dilakukan kelak pada hari kiamat”. Hadis besumber dari Anas Radhiallahu’anhu.


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP