Kenangan Aidilfitri

>> Friday, September 10, 2010


Kenangan Idilfitri


SUDAH beberapa hari, hati ini terasa dihiris kesepian menjelang Aidilfitri yang akan berlabuh menutup tirai bulan Ramdan.

Di sebalik kegembiran menyambut ketibaan Aidiilfitri, terasa kelowongan yang menyembilu sudut-sudut hati.

Ada sesuatu kekosongan yang telah ditinggalkan dalam kesepian yang tidak terisi.

Bunyi gema takbir raya yang selang menyelang dari kejauhan menitip kerinduan yang tidak berhujung dan bertepi. Menyemarak di pelabuhan rindu di larut senja yang kelam.

Dengan ombak besar berdebur melanda pantai hati yang merindui sebutir bintang yang telah kehilangan kerlipannya kerana gugur di lautan dalam yang penuh kemisterian.

Bayu-bayu terus berdesir menggamit di pantai hati membisik lagu-lagu kerinduan yang tidak tercapai. Perahu-perahu telah meluncur laju dalam ombak besar meninggalkan pengkalan dalam larutan kesepian.

Tidak ada apa lagi yang tinggal selain diri yang mengiggil dalam kesejukan amukan badai rindu di larut senja di pengkalan usang. Menghiris hati dalam gamitan keindahan yang mewarnai lembaran-lembaran silam.

Sekuntum mawar pujaan telah gugur berselerakan di kaki masa menuju keabadian dalam perhitugan Maha Pencipta yang Maha Terbilang. Hanya kelopak-kelopak kenangan yang tinggal di pantai kelam, menuggu jelmaan fajar membawa seribu keindahan.

Namun pelabuhan yang ditinggalkan sendirian terus diselimuti oleh kesepian yang menghunjam, melihat kelopak-kelopak mawar yang berserakan ditelan arus dan gelombang menapaki setiap corak kehidupan insan.

Lalu menyembam wajah ke lumpur di pelabuhan, selepas fajar menyingsing dan selepas senja tenggelam, mencari keredaan Maha Pencipta.

Alunan takbir Aidilfitri yang menitip hati, mendamba kenangan, menyedarkan diri, sendiri-sendiri di pengakalan, sendiri-sendiri di perantauan dan sendiri-sendiri akan pulang......menunggu masa mengucap selamat berpergian.

Yang tinggal hanya harapan dan yang ada hanya doa yang sentiasa mengembang di bibir dan subur di hati mengharapkan kasih dan sayang yang abadi.

Semoga jejak-jejak di pelabuhan akan menjadi warisan di pantai-pantai hati dalam lorekan indah yang menggamit kerinduan dengan dua tangan sentiasa terangkat memohon keredaan dan keampunan untuk hamba-hamba tersayang.

“Wahai Tuhanku, kasihilah ayah dan bundaku sebagaimana mereka berdua mendidik aku semasa kecilku”.

Amin.
xxxxxx

Renungilah:
“Dari Abdullah bin Mas’ud, ia berkata, “Aku bertanya kepada Nabi, “Perbuatan apakah yang paling dicintai Allah?”.
Maka Baginda bersabda, “Solat pada waktunya”.
Ibnu Mas’und berkata, “Kemudian apa lagi?”.
Maka Baginda bersabda, “Kemudian berbakti kepada kedua orang tua”.HR:Al-Bukhari.
xxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP