Sejarah Ringkas Pembukaan Kg.Salor

>> Wednesday, September 22, 2010






SEJARAH Ringkas Pembukaan Kg. Salor

KG. Salor letaknya dalam daerah Salor, kira-kira 12 km dari Kota Bharu. Luasnya kira-kira 12 kilometer persegi. Adalah dipercayai perkataan Salur itu berasal daripada perkataan “alur” atau “salur”, iaitu sebuah saluran air yang terdapat di kawasan sawah padi yang luas di kampung tersebut. Jalan utama dari Kota Bharu ke Pasir Mas melintasi saluran ini dan di atasnya dibina sebuah jambatan yang dikenali dengan panggilan “Gertak Lembu”.

Ada pendapat mengatakan Kg. Salor telah dibuka sekitar tahun 1960-an oleh penduduk-penduduk tempatan yang masih belum diketahui dari manakah asal-usul mereka, dan siapakah peneroka yang pertama? Para peneroka itu membuka tanah-tanah di situ dengan menebas-menebang segala hutan dan semak samun untuk dijadikan tempat kediaman dan tanah-tanah pertanian.

Sudah tentu kawasan yang menjadi pilihan mereka ialah di tepi-tepi sungai, kerana sungai merupakan punca untuk mendapat makanan, dan merupakan jalan utama untuk bergerak dari setempat ke setempat sebelum pembinaan jalan-jalan darat.

Pada mula-mulanya para peneroka itu mendirikan bangsal-bangsal dan pondok-pondok kediaman di tebing-tebing sungai di situ. Sejauh yang diketahui tidak ada rumah rakit yang dibina di situ. Rumah-rumah mereka berjauhan antara satu sama lain yang terletak berjajar di sepanjang tebing sungai.

Seperti biasa, pada mula-mulanya mereka mendirikan tempat kediaman mereka dengan menggunakan bahan-bahan yang simpel yang mereka perolehi dari alam sekitar, iaitu terdiri dari kayu-kayan dan buluh-buluh yang memang banyak tumbuh di Kg. Salor hingga ke hari ini.

Sumber air pula, untuk kegunaan masakan dan pembersihan dan mandi-manda mereka dengan mudah memperolehinya dari sungai yang berhampiran dengan penempatan mereka, di samping menggali telaga-telaga untuk mendapat air. Pada masa itu air sungai adalah masih dalam keadaan bersih tanpa tercemar oleh berbagai-bagai bahan yang beracun seperti zaman kini.

Kemudiannya bilangan mereka bertambah ramai. Justeru rumah-rumah kediaman mereka bertambah baik keadaannya dan lebih selamat untuk dihuni.

Dengan itu lebih banyak tanah-tanah pertanian yang mereka buka. Bukan sahaja tanah-tanah untuk berkebun, tapi juga mereka membuka tanah-tanah sawah untuk ditanam dengan padi untuk memenuhi keperluan mereka kepada makanan. Dan pekerjaan utama mereka pada masa itu juga bertanam padi.

Di samping bertani sebahagian daripada mereka pula terlibat dalam perniagaan secara kecil-kecilan di tebing sungai. Sebuah pasar telah didrikan di tebing sungai, dan kini telah lama tidak ada lagi kerana telah tenggelam dalam hakisan tebing sungai. Memang banyak tanah-tanah di tebing sungai Kg. Salor ini sudah tidak ada lagi ditelan hakisan sungai, termasuk tanah-tanah dan rumah milik keluarga penulis.

Sejak itu penduduk-penduduk Kg. Salor kian bertambah ramai. Penduduk-penduduk yang berhampiran dengan Kg. Salor ikut berhijrah, terutama sekali kerana terlibat dalam pembukaan tanah sawah uuntuk penanaman padi. Pekerjaan utama penduduk Kg. Salor ialah menanam padi. Di antara mereka yang berhijrah itu ada yang datang dari Kg. Tok Jerulung, Kg. Teluk Kandis dan Kg. Gua.

Seperti biasa pada peringkat permulaannya, penduduk di sesebuah desa atau kampung merupakan kumpulan kecil yang terdiri daripada beberapa keluarga sahaja. Justeru pada awal tahun 1900-an penduduknya dianggar terdiri daripada 25 buah kelurga sahaja.

Kemudian penduduk Kg. Salor mempunyai seorang raja pemerintahnya yang tersendiri. Ini tidaklah dihairankan, kerana pada masa yang lalu, negeri Kelantan banyak mempunyai raja-raja yang memerintah di sesuatu tempat, seperti Raja Jembal, Raja Kubang Labu, dan sebagainya.

Istana Raja Salor terletak di pinggir Sungai Kelantan. Di situlah baginda bersemayam. Di situ terdapat beberapa buah pusara di mana salah sebuah daripadanya dipercayai pusara Raja Salor dan yang lain-lainya dipercayai pusara panglima-panglima dan hulubalang-hulubalang baginda. Mereka semua menjadi mangsa pembunuhan Raja Kota Bharu kerana dituduh menderhaka.

Menurut cerita lisan, Raja Salor berasal dari Selatan Thailand yang berhijrah ke Kelantan dan memohon perkenan Raja Kota Bharu untuk bernaung di bawah jajahan takluknya. Setelah mendapat perkenan, Baginda pun beraja di Kg. Salor. Walau bagaimana pun sehingga kini setahu penulis, belum pernah ada kajian yang teliti yang dibuat mengenai sejarah Raja Salor. Demikian juga tidaklah diketahui dengan tepat bilakah Raja Salor itu menjadi raja di situ?

Walau bagaimanapun pemerintahan Raja Salor itu telah berakhir bila semua mereka diperintah supaya dibunuh oleh Sultan Muhammad 11 yang memerintah Kelantan dari tahun 1837 hingga 1886, kerana mereka telah dituduh menderhaka.

Nampaknya penduduk Kg. Salor tidak terlibat secara langsung dalam pembunuhan itu. Mereka terus menjalani hidup seperti biasa hingga ke hari ini, dengan mewarisi kepiluan yang telah dialami oleh nenek moyang mereka sebelumnya.

Orang-orang China telah datang ke Kg. Salor sebelum Perang Dunia Ke-2. Mereka berniaga secara kecil-kecilan, antaranya membuka kedai runcit dan kedai kopi. Salah sebuah keluarga peniaga China yang terkenal sebelum Perang ialah Ong Kong, dan kemudiannya mereka berpindah ke Kuala Krai dan menjalankan perniagaan di sana, dan keluarga mereka masih terdapat hingga ke hari ini di Kuala Krai.

Hubungan kaum di antara warga China dan Melayu terjalin dengan amat baik. Kehidupan seharian orang China tak ubah seperti orang Melayu, saling jenguk menjenguk ketika sakit, ketika ada ibu-ibu yang bersalin, jemput menjemput ketika mengadakan majlis perkahwinan, dan berkerja dan bergotong ruyung ketika diminta. Jika ada anggota yang sakit, tok bomoh Melayu juga mereka panggil. Perbezaan agama tidak menghalang mereka untuk hidup harmoni antara satu sama lain.

Pada masa itu seperti kebanyakan tempat-tempat lain juga, sungai adalah menjadi sistem pengangkutan utama kepada penduduk-penduduk Kg. Salor. Mereka berpergian dari satu tempat ke satu tempat, dari satu kampung ke satu kampung dengan menggunakan perhau-perahu kecil yang mereka kayuh sendiri. Tujuan mereka ialah untuk membeli barang-barang keperluan harian, menjual barang-barang hasil usaha mereka dan juga untuk melawat sanak saudara.

Bagi mereka yang tidak mempunyai perahu, mereka menggunakan denai-denai ikut jalan darat untuk pergi ke sesebuah kampung yang berhampiran. Seperti biasa denai itu sempit sahaja, selebar kira-kira 0.5 meter di celah-celah semak samun, atau di celah-celah belukar di kiri kanannya.

Justeru bekalan elektrik masik belum ada, mereka menggunakan pelita minyak tanah untuk menerangi rumah pada waktu malam. Untuk berjalan malam pula mereka menggunakan kaghok, iaitu daun-daun kelapa yang diikat kemas, kemudian dinyalakan api untuk menerangi jalan.

Di musim hujan pula, mereka yang tidak mempunyai terendak atau saman, akan menggunakan daun keladi yang lebar atau sepelepah daun pisang untuk berteduh ketika berjalan dalam hujan. Walaupun tidak memuaskan, tapi cukuplah untuk melindungi kepala dan sedikit tubuh dari basah ditimpa hujan.

Kedudukannya yang terletak di tepi sungai itu menjadi pemangkin kepada Kg. Salor untuk cepat berkembang maju, termasuk juga dalam bidang perniagaan, hingga merupakan sebuah pusat perdagangan daerah yang terkenal.

Tapi bila jalan raya telah siap dibina pada tahun 1930 untuk menghubung antara bahagian Selatan dan utara negeri Kelantan, melalui Kg. Salor untuk menyeberangi Sg. Kelantan untuk ke Pasir Mas, penggunaan sungai sebagai sistem pengangkutan bertambah kurang.

Dan bila Jambatan Sultan Yahya siap dibina untuk menghubungkan antara bandar Kota Bharu dan di Pasir Mas – Tumpat menerusi Pasir Pekan kedudukan Kg. Salor sebagai pusat perniagaan daerah telah terancam. Akhirnya Kedai Salor yang baru yang terletak di tepi jalan utama itu [dulunya pasar itu terletak di tepi sungai] menjadi kedai mati, yang ditinggalkan sepi sendirian sampai ke hari ini.

Di samping pasar, sebuah masjid juga dibina di tepi sungai untuk umat Islam menunaikan ibadat mereka. Kemudian pada tahun 1925, masjid lama itu telah diroboh untuk dibina sebuah masjid baru, kira-kira 50 meter dari situ. Masjid itu masih ada dan digunakan hingga sekarang dan dikenali dengan panggilan “Masjid Salor”.

Kemudian sebuah sekolah Melayu telah dibina di atas tapak masjid lama yang dirobohkan itu.

Sekitar tahun 1920-an Tuan Hj. Che Leh [kemudian terkenal dengan Wak Leh] membuka institusi sekolah pondok untuk beliau mengajar. Pembukaan pondok ini bukan sahaja mendapat sambutan hangat daripada penduduk tempatan, malah juga dari tempat-tempat yang jauh dari seluruh negeri Kelantan, seperti daripada Manik Urai, K.Krai. Adalah dipercayai Hj. Che Leh ini adalah murid kepada Tok Kenali sebelum melanjutkan pelajarannya ke Makkah. Pondok itu didirikan atas tanah milik beliau sendiri, kemudian bila pondok itu telah tiada lagi, maka tapak pondok itu telah dijadikan rumah kediaman keluarganya.

Pada sekitar tahun 1940an bas dan motokar telah digunakan sebagai penganggkutan awam untuk membawa penumpang dari Kg. Salor ke Kota Bharu atau dari Salor ke Sebarang Pasir Mas. Ataupun sebaliknya.

Pada tahun 1938 Sekolah Melayu yang terletak di tepi sungai itu telah dipindah ke tapak barunya yang ada sekarang, tepi jalan utama, Kota Bharu-Pasir Mas.

Sebagaimana biasa sebagai sebuah penempatan, ia ditadbir oleh seorang penggawa, seorang penghulu yang menjadi pembantu penggawa dan seorang imam yang menjaga hal ehwal agama penduduknya. Mereka semua dilantik oleh pihak berkuasa kerajaan negeri.

Sampai ke hari ini sebahagian besar daripada penduduknya masih terlibat dalam kerja-kerja pertanian di sawah padi yang luasnya kira-kira 800 ekar. Namun begitu, keluasan tanah-tanah padi itu kian susut tahun demi tahun, kerana meningkatnya pembinaan rumah-rumah di atas tanah sawah padi yang terletak di tepi-tepi jalan. Sementara generasi muda pula melibatkan diri dalam berbagai-bagai bidang pekerjaan, bekerja dengan kerajaan, bekerja sendiri, berniaga, menjadi guru dan sebagainya, bukan sahaja di negeri Kelantan, malah di luar negeri dan juga berada di luar negara.

Keterangan Gambar

Atas sebelah kiri: Berlatar belakang Sungai.Kg.Salor yang cetek airnya

Atas kanan:Sawah padi yang melaut luasnya.

xxxxxxxxx

Renungilah:
Rasulullah S.A.W. ditanya tentang kelakuan apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam syurga? Jawab baginda, “Takwa kepada Allah dan keindahan akhlak,” dan ketika baginda ditanya, “Apakah yang paling banyak memasukkan orang ke dalam neraka?”. Baginda menjawab, “Kejahatan mulut dan kemaluan”.

Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman:Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

9 comments:

Anonymous,  October 6, 2012 at 5:10 PM  

terima kasih :D
boleh tolong carikan sejarah kg baru, kota bharu?

Anonymous,  December 28, 2012 at 8:05 PM  

rasanya kg salor ni dah lama bertapak, arwah bapa saya lahir 1925 di kg salor, n arwah datuk dia pun tinggal di kg salor jugak

hafiz mohamed February 18, 2013 at 10:19 AM  
This comment has been removed by the author.
lloni May 26, 2013 at 2:10 AM  

as salam hafiz...demo ni anak arwah ayah haji ko..

Hisham March 29, 2014 at 11:20 PM  

Ish...lamp too tengok Kubota...terkenang semasa dulu. Musim mengetam paling meriah.

syahril September 13, 2018 at 11:50 PM  

salam saim sobat warih waroh jauh2 dari keluargo Zakaria (awe ya) bin Abu Bakar (Pok Bakar)

M. Ibrahim June 25, 2019 at 7:51 PM  

Ambo jiran, penulis esei ini.

M. Ibrahim June 25, 2019 at 7:52 PM  

Beliau abang kpd En. Marruf

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP