Nostalgia Hari Raya Di Kg. Salor

>> Monday, September 6, 2010



Ketiga-tiga yang dikasihi telah tiada. Adikku Saffiah, isteriku Asiah, ibuku Maimunah



NOSTALGIA Hari Raya Di Kg. Salor



BULAN Ramdan telah berada di penghujungnya dan hari Raya Idilfitri akan menyusul dengan segala keberkatannya membawa sinar kegembiraan dan pengharapan kepada seluruh umat Islam di serata dunia.

Menjelang hari raya seperti ini, lumrahnya kenanganku akan menghimbau jauh ke zaman lampau, zaman kanak-kanakku yang penuh dengan kegembiraan, tinggal di sebuah desa yang permai, Kampung Salor. Di situlah aku dilahir dan dibesarkan, serta menerima pendidikan awalku.

Aku tinggal bersama dengan keluargaku, ibu dan ayahku, dan adik-beradikku di sebuah rumah yang terletak berhampiran dengan tebing Sungai Kelantan. Aduhai, kini rumah itu telah menjadi rumah usang, yang hampir menyembah bumi kerana ditinggalkan sepi sendirian selepas ibuku, Maimunah kembali ke rahmatullah beberapa tahun yang lalu.[Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya].

Setiap kali menziarahi rumah usang itu, hatiku sentiasa berkocak dengan berbagai-bagai perasaan dan keharuan, dibayangi oleh kenangan-kenangan zaman lampau ketika bersama ayah dan ibu dan saudara-saudara yang sebahagian besarnya masih ada.

Aku dan Allahyarhmah isteriku, Asiah Yaacob [ya Allah cucurilah rahmatMu ke atasnya] pernah cuba bermesra-mesra dengan rumah usang itu buat beberapa waktu selepas ibu meninggal, tapi usaha kami tidak berjaya dan kami terpaksa mengalah kepada keadaan, lalu kembali semula ke rumah kami sendiri di Padang Bongor, Binjai, Kota Bharu.

Biasanya kira-kira seminggu menjelang hari raya, kami kanak-kanak lelaki sibuk bermain dengan meriam buluh. Untuk mencari pokok buluh di kampung, memang tidak sukar, kerana pada masa itu pokok puluh ada di sekeliling kampung. Keluargaku pun ada memiliki sekeping tanah kecil yang hanya ditumbuhi oleh pokok-pokok buluh sahaja sampai ke hari ini, letaknya bersempadan dengan Tanah Perkuburan Pohon Rambai.

Batang buluh untuk dibuat meriam itu dipilih dari pokok buluh yang tua, tebal dan besar dan dipotong sepanjang beberapa kaki. Ia diletupkan dengan menggunakan bahan minyak tanah yang dicampur dengan sedikit minyak petrol untuk memudahkannya menyambar api bila dicucuh. Kalau menggunakan minyak tanah sahaja, minyak tanah itu terpaksa dipanaskan terlebih dahulu setelah dimasukkan ke dalam meriam buluh dengan menyalakan api di bahagian bawahnya supaya ia mudah menyambar api bila dicucuh menerusi sebuah lubang kecil yang ditebuk bahagian atas pada meriam buluh itu untuk tujuan tersebut.

Biasanya penyucuh itu diperbuat daripada sekeping buluh yamg kecil dibalut dengan sedikit kain di hujungnya kemudian dicelup ke dalam minyak tanah yang berada dalam meriam buluh itu, seterusnya dicuch kepada api, biasanya daripada pelita minyak tanah yang dinyala dan diletakkan berhampiran dengan tempat itu.

Bila api yang dicucuh itu disambar oleh minyak panas di dalam meriam buluh itu, maka ia pun meletup mengeluarkan bunyi yang kuat.

Justeru itu tempat bermain meriam buluh agak jauh sedikit dari rumah supaya tidak memberi gangguan. Sementelah pula orang-orang tua biasanya tidak campur tangan dalam permainan kami, kalau ada pun mereka hanya memberi nasihat supaya bermain dengan hati-hati supaya tidak membahayakan.

Untuk menyiapkan sebuah meriam buluh, maka batang buluh yang telah siap dipotong itu,hendaklah dibuang terlebih dahulu ruas atau buku bahagian dalamnya untuk membuatnya bergelongong atau berlubang sepanjang potongan buluh itu untuk membolehkannya meletup.

Kemudiannya bila karbit mudah diperolehi kami menggunakan pula karbit sebagai bahan bakar yang diketuk kecil-kecil kemudian di masukkan ke dalam meriam buluh yang telah disikan dengan air terlebih dahulu. Bila dicucuh dengan api barulah ia meletup dan bunyinya akan kedengaran di seluruh kampung. Bahan ini amat merbahaya untuk digunakan kerana ia amat mudah meletup.Biasanya karbid digunakan untuk memeram pisang sampai ke hari ini.

Kadang-kadang untuk memeriahkan lagi, kami meletak tin susu kosong atau belahan tempurung di mucung meriam buluh itu, seolah-olah peluru dan bila meriam itu diletupkan maka, tin kosong atau tempurung itu akan berterbangan ke arah yang dihalakan.

Pada masa itu bermain meriam buluh masih belum diharamkan dan mercun pun sukar untuk diperolehi. Biasanya pada masa itu mercun hanya digunakan oleh orang-orang Cina untuk merayakan hari besar mereka sahaja. Dan bila kerajaan mengeluarkan larangan bermain meriam buluh kami semua mematuhinya, tidak lagi bermain dengan meriam buluh itu.

Permainan meriam buluh ini mempunyai risiko yang merbahaya, kerana kalau tidak hati-hati ia boleh mencederakan, membakar muka atau badan, dan lebih bahaya lagi kalau meriam itu pecah dan meletup dan pemainnya ketika itu berada di sisi kanan atau kirinya, bukannya di bahagian belakangnya.

Salah seorang adik saya pernah terbakar sedikit bahagian mukanya, kerana disambar api ketika meniup di lubang penyucuh meriam buluh itu untuk mengeluarkan asap yang tersumbat di dalammnya. Rupa-rupanya ketika dia meniup itu api di dalamnya masih belum padam, lalu ditendang keluar ikut lubang yang ditiupnya itu lalu membakar bulu keningnya.

Kadang-kadang kami menghalakan meriam buluh itu ke arah sungai, dan bunyinya akan bergema beberapa kilometer melintasi sungai Kelantan. Dan biasanya kanak-kanak di seberang sungai sanapun akan membalas tembakan kami dengan meriam buluh mereka pula. Walaupun kedudukannya bebeberapa batu jauhnya, tapi letupannya masih dapat didengar dengan jelas, terutama di waktu malam.

Demikianlah tingkah meningkah tembakan dari jauh dengan kawan-kawan yang tidak pernah kami kenali sepanjang hidup kami di seberang sungai sana, dan ini menambahkan kelekaan kami bermain hingga sampai larut malam.

Aku masih ingat lagi, pada suatu malam raya, aku pernah mengikuti kawan-kawan yang lebih tua sedikit, membawa sebuah meriam buluh mengelilingi kampung, dan melepaskan tembakan di tempat-tempat yang tertentu. Meriam buluh itu juga dibuat secara serta merta pada malam itu juga dengan menebangnya daripada sebuah rumpun buluh yang terletak di tebing sungai.

Walau bagaimanapun, permainan meriam buluh kami terikat dengan waktu solat. Jika tiba waktu solat Zohor, Asar, Maghrib atau Isa’ kami berhenti meletupkan meriam kami. Kalau dalam bulan Ramadan kami akan berhenti menjelang waktu Maghrib dan akan memulakannya semula selepas solat Tarawih.

Pada masa itu pokok buluh memang banyak tumbuh di sekeliling kampung, dan kebanyakannya hidup terbiar tanpa dipergunakan seperti sepatutnya. Penggunaan yang jelas dapat dilihat ialah untuk membuat pagar yang diperbuat daripada bilah-bilah buluh yang disirat dengan cara yang tertentu supaya kuat.

Ada beberapa jenis buluh yang terdapat di sekitar kampung pada masa itu. Ada sejenis buluh yang dipanggil “buluh ulu” yang banyak tumbuh di sekitar kampung dan banyak dipergunakan sebagai tulang belakang atap sagu, sebagai pagar, lantai dan tiang jemuran, dan dinding rumah.Kanak-kanak pula membuatnya sebagai kerangka layang-layang mereka.

Buluh minyak, iaitu buluh yang batangnya kelihatan bersih berkilat, tapi batangnya agak kecil dan agak tebal, kerana itu tidak banyak dipergunakan.

Buluh duri, iaitu pohon buluh yang mempunyai banyak duri-duri yang tajam, jumlahnya tidak banyak, dan kerana berduri ia sukar untuk ditebang, malah hampir tidak digunakan, lagipun mengikut kepercayaan orang-orang tua, hantu-hantu dikatakan suka tinggal di rumpun buluh duri. Tambah misteri lagi kerana pokok-pokok buluh duri, kadang-kadang kedengaran meletup pada waktu malam, dan kadang-kadang juga sebahagian daripada batangnya merundug ke tanah pada malam hari.

Buluh betung, ialah sejenis buluh yang besar batangnya dan amat terbatas bilangannya yang ada di kampung kami. Buluh inilah amat disukai untuk membuat meriam buluh kerana lubang batangnya yang besar itu.

Sejenis buluh lagi ialah puluh peleting, iaitu sejenis buluh yang kecil, halus dan panjang, yang ditanam di sekeliling rumah untuk dijadikan pagar. Batangnya biasa digunakan untuk membuat jurang mengail ikan kerana keadaannya yang panjang dan agak lembut dan boleh dilentur di bahagian hujungnya.

Untuk mainan pula ia dibuat “senapang” dengan jalan membuang ruas atau buku di kiri kanannya supaya berlubang untuk dijadikan senapanag buluh yang pelurunya diperbuat daripada kertas surat khabar yang direndam dalam air. Kemduian kertas akhbar yang basah itu digentel-gentel bulat dan disumbat ke dalam senapang itu, kemudian dirocoh dengan sebatang penyocoh yang diperbuat daripada sebilah buluh yang diraut bulat dan telus disumbat ke dalam lubang senapang itu dan diberi berhulu untuk memegangnya. Hulunya pula diperbuat daripada buluh peleting juga di mana sebahagian daripada buluh penyocoh itu disumbat kemas ke dalamnya supaya mudah digunakan.

Selain dari bermain meriam buluh, kami juga bermain dengan sejenis “pistol” mainan yang diperbuat dari sebatang lidi basikal. Lidi basikal itu dibengkokkan seakan-akan angka 7, dan hujung sebelah lagi dilipatkan sedikit untuk dijadikan tempat pemegang. Pada hujung di bahagian depannya dipasang dengan kepala lidi basikal untuk disumbat dengan sedikit bahan bakar gesek atau korek api, kemudian disumbatkan dengan sebahagian daripada mata paku yang diikat dengan getah urat pada kepalanya, dan bila paku yang melekat pada kepala lidi basikal itu diketuk ia akan mengeluarkan bunyi kecil yang tidak membahayakan. Ia hanya mengeluarkan sedikit asap dan bau hangit bahan api macis yang terbakar.

Kadang-kakdang, kawan-kawan kami yang nakal akan “meletupkan” pistol ini berhampiran dengan seseorang tanpa disedarinya, semata-mata untuk mengejutkannya sebagai guraun untuk dijadikan bahan ketawa.

Biasanya kawan-kawan kami dari kaum Cina juga turut bermain bersama-sama kami di musim raya ini. Pada masa itu ada beberapa keluarga bangsa China yang tinggal di persekitaran kampung kami, tapi sekarang mereka telah pindah kerana mencari penghidupan yang lebih baik dan selesa.

Aku sendiri mempunyai beberapa orang kawan baik dari orang-orang China itu dan sudah lama kami berpisah sejak aku melanjutkan pelajaran dan belajar di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu dan kemudiannya masing-masing kami membawa haluan hidup sendiri. Kami belajar dalam satu kelas di Sekolah Kebangsaan Salor. Bila kami belajar agama Islam, mereka tidak keluar meninggalkkan kelas, tapi terus mengikutinya bersama kami. Antara mereka ialah Ah Chee, Ah Chok [khabarnya mereka berada di Kota Bharu], Su Yong [khabarnya berada di Sarawak], “Hassan” khabarnya berada di Kuala Krai, dan seorang lagi telah lama memeluk Islam bersama dengan dua orang kakaknya.

Sementara itu menjelang lebaran, pakaian-pakaian baru juga telah disediakan untuk menyambut hari raya yang mulia itu. Ibulah yang bersusah payah menyiapkan untuk kami. Biasanya ibu menempahnya dari tukang jahit di kampung yang kebetulanya adiknya sendiri yang kami panggil “Pak Muda”.

Pada malam hari raya, ibu menyediakan masakan istimewa untuk kami. Kalau tidak nasi kerabu, nasi dagang ibu sediakan. Kalau nasi dagang, lauknya daging gulai dan ikan gulai dan sambal nyur goring yang ditumbuk. Kalau nasi kerabu daging bakar, ikan goreng dan ikan panggang tawar bersama kerpok. Kadang-kadang ditambah pula nasi kapit [nasi himpit] berkuah kacang. Alangkah enaknya menjamu selera di pagi raya. Alangkah sedapnya masakan ibu yang akan jadi kenangan sepanjang masa.

Seperti biasa pembasuh mulutnya ialah pulut bakar atau pulut lepa [pulut panjang] yang berintikan sambal daging. Ibuku memang terkenal sebagai seorang pembuat pulut bakar di mana pulut buatannya dijual dan mendapat sambutan sampai ke Labok dan Batu 30, Machang menerusi nenekku, Mek Som yang menjalankan perniagaan runcit secara bergerak.

Selepas sarapan di rumah, kami juga ikut memenuhi undangan jiran-jiran terdekat yang mengadakan jamuan hari raya selepas solat raya. Sudah tentu yang dijamu nasi juga.

Kemudian segelintir orang-orang tua akan melakukan ziarah ke tanah perkuburan saudara mara mereka yang telah meniggal dunia. Kubur itu terletak berhmpiran dengan rumah kami. Penziarah kubur itu biasanya menjemput seorang lebai pergi bersama mereka ke kubur untuk berdoa arwah. Kami kanak-kanak akan ikut beramai-ramai di belakang mereka ke kubur.

Selepas doa dibacakan, penziarah kubur akan menghulur sedekah kepada kami, 5 sen, 10 sen dan paling banyak 20 sen. Pada masa itu duit 5 sen pun berharga, dan boleh digunakan untuk membeli coklat dan seumpamanya. Tapi hari ini cucu kami yang berusia tak sampai tiga tahun pun tahu menilai harga duit 5 sen, tidak boleh digunakan untuk membeli apa-apa.

Kadang-kadang juga duit-duit siling itu dilambung dan jatuh bertaburan di atas kubur, dan kami kanak-kanak akan berebut-rebut untuk mendapatkanya. Mana-mana yang tidak mendapatnya akan diberikannya juga oleh penziarah kubur itu. Yang pastinya semua kami dapat, sekurang-urang 5 sen seorang.

Tapi sejak kebelakangan ini penziarah kubur pun amat merosot, tidak ramai seperti dahulu, baik pada hari Jumaat ataupun hari raya. Kebanykan kubur-kubur tidak terjaga, dibiarkan rumput memanjang, kalau tidak dibersihkan oleh penjaga kubur yang bertugas secara sukarela.

Hari ini manusia telah melupakan kubur, tempat semua orang akan kembali. Selepas sarapan di pagi raya mereka lebih suka terpacak di atas kerusi di hadapan peti TV untuk mengikuti progrem-progrem khas yang menarik disediakan untuk penuntun sepanjang musim raya. Di situlah mereka berhari raya kalau tidak menziarah ke rumah sanak saudara.

Dahulu lain sekarang lain. Keadaan telah banyak mengubah manusia. Demikian jugalah dengan sambutan hari raya, telah banyak mengalami perubahan.

Selepas berumahtangga dan tinggal berasingan, setiap pagi raya, selepas solat raya, kami sekeluarga, isteri dan anak-anak akan balik ke kampung berhari raya dengan ibu dan ayah, dan adik beradik. Selepas beraya dengan saudara mara dan jiran-jiran terdekat kami akan pergi pula ke rumah isteriku di Pasir Mas untuk beraya dengan mertua dan keluarga mertuaku di sana. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas mereka semua.

Tapi sekarang rumah pusaka di kampung itu telah hampir menyembah bumi. Tidak dapat dimasuki lagi, takut-takut runtuh menimpa badan. Demikan hidup ini, dari tiada, kepada ada, dan dari ada, kepada tiada, menuju kemusnahan. Kadang-kadang berlaku kemusnahan yang belum sampai masa yang sepatutnya. Itulah suratan takdir. Apa yang dapat kami buat selain daripada membiarkan air mata menitisi pipi.

Hanya pada waktu larut petang, baru kami sampai ke rumah untuk beraya di rumah kami sendiri. Begitulah tahun demi tahun sejak aku berkeluarga sehingga isteriku kembali ke rahmatullah kira-kira setahun yang lalu. Ya Allah limpahilah rahmatMu ke atasnya.

Dan pesta bermain meriam buluh ini akan berakhir selepas kira-kira dua hari raya berlalu. Meriam buluh akan ditinggalkan, dan bila tiba hari raya akan datang pula baru akan muncul kembali di persada kampung.

Walau bagaimanapun, kita manusia jangan jadi seperti meriam buluh, hanya bunyi sahaja kuat, tapi tidak membawa apa-apa makna, tiada berkesan. Jangan dikatakan orang “seperti meriam buluh”, hanya mempunyai suara yang kuat dan lantang, tapi tidak membawa apa-apa hasil, hanya kosong belaka.

Semua ini hanya ada dalam kenangan. Kehidupan di kampung telah jauh berubah. Kebanyakan para belia telah meninggalkan kampung untuk mencari pelajaran dan memburu kehidupan yang lebih baik, kerana kampung tidak lagi mampu memberi kemudahan seperti di bandar-bandar. Tidakkan semua orang muda nak jadi petani yang keluasan tanahnya pun tidak pernah bertambah sejak ratusan tahun yang lalu.

Walau bagaimanapun, setiap menjelang raya, kebanyakan perantau-perantau itu akan kembali ke kampung untuk beraya bersama keluarga, ayah dan bonda, sanak dan saudara dan berada dalam suasana kampung yang aman dan damai walaupun telah tercalar sedikit oleh fahaman politik yang berbeza. Inilah realiti hari ini.

Walau bagaimanapun kampung-kampung tidak seperti dahulu lagi. Balik kampung hari ini bukan bererti balik ke dalam susana kampung tiga puluh atau empat puluh tahun yang lampau. Bukan bererti balik ke zaman meriam buluh atau pistol lidi basikal. Kita hidup dalam suasana baru yang penuh dengan cabaran yang akan memusnahkan sesiapa sahaja yang alpa dalam mengaharung pancaroba kehidupan zaman baru ini. Awas dan waspadalah.

Wahai kampungku. Semoga aura hari raya yang mulia ini akan melabuh tirainya ke atasmu membawa seribu rahmat kepada semua mereka yang masih hidup atau telah mati dalam masa yang berpanjangan. Wahai Allah limpahilah kami dengan rahmatMu yang tidak bertepi betebaran di seluruh buana ini.

Amin.
xxxxxx

Renungilah:
Baginda Rasulullah saw. bersabda, maksudnya, .“Sesungguhnya Allah memiliki sejumlah persemayaman di bumiNya,iaitu di hati para hambaNya. Oleh itu, hati yang paling disukaiNya, ialah hati yang lembut, jernih dan kukuh “.HR:al-Nu’man ibn Basyir.

Makksud hati yang lembut itu ialah berlemah lembut dengan saudaranya.
Makksud hati yang jernih itu bersih dari akhlak buruk dan tercela,
Maksud dari hati yang kukuh itu ialah hati yang disokong oleh zat Allah.

Bisik Pondok Rahmat.
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

1 comments:

M. Ibrahim November 18, 2011 at 4:50 PM  

Aku pun rindu kampung laman, Kampung Salor.

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP