Mencari Batu-batu Dalam Kehidupan [Setelah dikemaskini pada 12 Oktober 2010] Sejarah Ringkas Hajar Aswad

>> Saturday, September 18, 2010





NENCARI Batu-batu Dalam Kehidupan

“Dan kepunyaan Allahlah apa yang ada di langit dan apa yang di bumi”. An-Nisaa’ ayat 132.

Sesungguhnya segala apa yang ada di langit dan segala apa yang ada di bumi adalah milik Allah, dan



Allahlah yang menciptakannya. Justeru Allahlah Penguasa, Pemerintah, Pentadbir dan Penentu Nasib segala sesuatu itu, dari sekecil-kecil benda, membawa kepada sebesr-besar benda.

Allah menjadikan batu. Dan Allah jadikan batu-batu itu dalam berbagai-bagai jenis dan mempunyai berbagai-bagai jenis warna, kegunaan dan berada di berbagai-bagai jenis tempat yang berbeza-beza.

Mengikut kajian ada berbagai-bagai jenis logam atau galian yang yang bertanggung membentuk berbagai-bagai jenis batu yang berbeza-beza itu.

Batu itu amat penting kepada bumi ini. Batu adalah menjadi landasan kepada kerak bumi. Ia berada di mana-mana di dalam bumi. Jika perut bumi ini digali sejauh yang tertentu, di mana-mana atempat sahaja sudah tentu akan ditemui batu asas kerak bumi itu.

Di dalam dunia ini terdapat berbagai-bagai jenis batu, dan setiap batu mengandungi satu atau lebih bahan-bahan galian atan tambang.

Dalam ilmu sains ada satu bidang khusus yang mengkaji batu-batu yang dipanggil geologi..

Mengikut kajian sejak ribuan tahun yang lampau lagi, manusia telah menggunakan batu ciptaan Allah S.W.T. itu untuk menambahkan kesejahteraan hidup mereka, antaranya untuk membuat bangunan, membuat jalan-jalan, membuat jambatan dan sebagainya dari sekecil-kecil benda hingga sebesr-besar benda.

TIGA JENIS BATU

Secara umumnya batu-batu itu dapat dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu batu berapi [igneous], batu endapan atau keladak [sedimentary], dan batu yang telah berubah [ metamorphic].

Batu Berapi

Pada permulaannya batu berapi ini terletak jauh di dalam bumi dalam keadaan lebur atau cair yang dikenali dengan nama magma. Magma ini meruap naik ke permukaan, mungkin hasil daripada letupan gunug berapi atau mungkin juga kerana batu magma itu menjadi sejuk dan pejal dalam kerak bumi.

Batu Keladak

Batu keladak ini berlaku batu-batu yang dipecah-pecah oleh cuaca, lalu hanyut dibawa oleh air salji atau diterbangkan oleh angin. Batu-batu keladak ini terbenam di dasar tasik, sungai, dan menjadi bukit pasir dan terbenam di dasar lautan. Dalam masa jutaan tahun, batu-batu keladak itu menjadi padat dan membentuk lapisan-lapisan batu-batu keladak.

Batu Metamorphik [Batu hasil perubahan]

Batu ini dipanggil metamorphik kerana berubah keadaannya oleh panas dan atau oleh tekanan. Kepanasan mungkin berlaku waktu batu berapi sedang naik ke permukaan, dan tekanan pula mungkin berlaku bila batu itu terperas ketika gunung ganang sedang terbentuk.

Berdasar berbagai-bagai rupa, dan kandungan galian yang terdapat padanya dan juga berdasarkan berbagai-bagai kegunaannya batu-batu itu diberikan berbagai-bagai nama tertnetu pula.

Berdasarkan kepandaian manusia menggunakan alat dan senjata daripada batu, dan bukan logam, maka zaman itu terkenal dengan zamannya yang tersendiri, iaitu Zaman Batu.

BERBAGAI-BAGAI JENIS BATU

Dari penjelasan di atas kita ketahui bahawa Allah jadikan batu-batu itu mempunyai sejarah kitaran yang tersendiri untuk membentuk berbagai-bagai jenis batu.

-Batu Alas

Batu yang digunakan sebagai alas kaki untuk naik. Batu pelapit yang digunakan untuk meletak atau mengalas tiang-tiang rumah. Biasanya diperbuat dari simen, bercampur batu dan pasir. Simen itu sendiri diperbuat daripada batu kapur, tanah liat dan lain-lain yang anara lain gunanya untuk melekatkan batu bata.

-Batu Ambar

Sejenis batu yang terdapat di pantai dan boleh digunakan untuk membuat pipa atau paip rokok dan sebagainya.

-Batu Api

Batu pencetus api yang digunakan pada pemetik api untuk menyalakan api.

-Batu Apung

Batu yang berliang-liang kecil [porous] yang amat ringan dan tidak tenggelam jika diletak dalam air. Biasanya dijadikan debu untuk digunakan sebagai alat untuk mempelas atau menggosok benda-benda supaya menjadi berkilat. Batu Timbul. Pumice

-Batu Asah[an]

Batu yang diguna untuk mengasah atau menajam perkakas-perkakas seperti pisau, parang, golok dan sebagainya.

-Batu Asas

Batu yang digunakan sebagai dasar atau tapak untuk mendirikan bangunan, seperti rumah, kilang dan sebagainya.

-Batu Badar

Batu hablur yang digunakan untuk membuat permata cincin. Badar adalah suatu tempat di Madinah di mana berlakunya peperangan antara orang-orang Islam dengan orang-oang kafir Quraisy, yang berakhir dengan kemenangan umat Islam di bawah pimpinan Baginda Rasulullah saw, Yang dimaksduan dengan batu badar di ini ialah batu yang dibawa daripada Badar.

-Batu Bara

Batu bara ialah sejenis arang yang diambil dalam tanah yang digunakan sebagai bahan bakar, antaranya untuk mengerakkan jentera-jentera di kilang-kilang seperti petrol. Arang Batu.

-Batu Bata

Batu bata ialah panggilan kepada bata-bata yang diperbuat daripada campuran simen dengan pasir dan air dalam bentuk mampat setongkol-setongkol untuk dibuat bahan binaan, seperti rumah dan sebagainya.

-Batu Batan

Ialah batu karang, batu yang diperolehi dari dalam laut. Lihat Batu Karang.

-Batu Buyung

Sejenis anak batu yang diletak oleh bomoh dalam nasi di dalam periuk.

-Batu Belanda

Ialah permata buatan

-Batu Belerang

Sejenis benda keras, berwarna kuning, tapi mudah hancur dan mudah menyala, mengeluarkan cahaya api biru.

Dalam perubatan tradisional ia digunakan sebagai bahan untuk mengubat penyakit kudis gatal dan juga untuk menghalau ular dengan jalan menabur debu-debunya di tempat-tempat tertentu.

-Batu Berani

Batu yang mampu menarik benda-benda lain, seperti jarum ke arahnya. Magnet.

-Batu Bersurat

Batu yang mengandungi tulisan kuno yang memerlukan kepakaran untuk membacanya. Batu Bersurat yang terkenal di Malaysia ialah sebuah Batu Bersurat yang ditemui di Terengganu menggandungi catatan-catatan sejarah negri itu. Batu tulis.

-Batu Besi

Sejenis batu yang amat keras, berwarna abu-abu muda yang digunakan untuk membuat binaan, seperti rumah. Granit [granite].

-Batu Buai

Batu yang diletak dalam buaian untuk menghalau hantu-hantu yang jahat daripada menganggu bayi di dalam buaian.

-Batu Bukit

Batu bukit ialah batu yang diperolehi daripada bukit, biasanya dikisar menjadi kecil-kecil untuk dibuat jalan sebelum disapu dengan minyak tar.

-Batu Bulong

Permata yang kurang bermutu.

-Batu Canai

Sejenis batu yang digunakan untuk mengasah terutama bahan-bahan perubatan tradisional, seperti akar-akar kayu, batu-batu dan seumpamanya untuk dijadikan ubat sapu atau untuk ditits atau diminum. Amzi.

-Batu Dacing

Bahan yang diperbuat daripada timah atau besi yang digunakan untuk menimbang berat barang, batu timbang. Sekarang negara kita tidak lagi mengguna dacing untuk menimbang, tapi menggantinya dengan timbangan kilo.

-Batu Duga

Bahan yang diperbuat daripada timah dan lain-lain untuk mengukur ke dalaman laut.

-Batu Geliga

Batu geliga biasanya disebut geliga sahaja, ialah sejenis batu yang diperolehi daripada haiwan, biasanya ditemui dalam tali perut atau pundi-pundi hempedu haiwan yang kecil seperti kera, landak atau kambing jantan, atau ular yang dipanggil geliga ular.

Di samping geliga asli, ia dikatakan dapat dibuat secara tiruan daripada sejenis tulang yang direndam dalam darah.

Pada masa yang lalu ia dipakai sebagai azimat oleh penjenayah pada tali pinggang untuk perlindungan diri ketika mereka melakukan kerja-kerja jahat dan tidak bermoral.

Batu geliga juga dipercayai boleh didapati daripada rumpum pokok serai wangi, serai biasa yang berbunga, buah kelapa, dan pokok buluh.

Tapi seorang perawat tradisional diKK pernah memberitahu penulis, bahawa geliga daripada tumbuhan ini dapat diperbuat secara tiruan, bukan terjadi dengan sendiri, terutama geliga buluh atau geliga buah kelapa. Cukup mudah, katanya untuk membuatnya.

Pada umumnya batu-batu geliga itu dipercayai dapat melindungi pemakainya daripada terkena racun, dan juga dipercayai dapat menjadi penawar racun, kerana batu-batu geliga itu dipercayai dapat menghisap keluar racun-racun atau bisa-bisa gigitan binatang, khususnya ular.

Biasanya geliga-geliga itu diikat pada cincin untuk dipakai pada jari.

-Batu Giling

Batu giling ialah sejenis alat yang mengandungi dua bahagian, satu berbentuk bulat panjang sebagai penggilling, dan satu lagi berbentuk terhampar sebagai landasan untuk menggiling rempah ratus dan sebagainya.

-Batu Hampar

Iaitu batu yang keadaannya lebar dan rata terhampar seperti sebidang tikar.

-Batu Hidup

Iaitu sejenis batu yang dipercayai mempunyai kekuatan ghaib.

Atau batu yang tumbuh membesar dari masa ke masa.

Ada juga kepercayaan yang mengatakan batu hidup itu ialah sejenis batu nesan yang boleh berpindah-pindah dari setempat ke setempat di tanah perkuburan.

-Batu Jarak

Batu yang digunakan untuk menentukan ukuran jarak antara satu tempat dengan satu tempat, seperti jarak antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur. Kini negara kita tidak lagi menggunakan batu, tapi telah menukarnya kepada ukuran kilometer.

-Batu Jauhar

Batu permata yang kurang bermutu.

-Batu Jemala

Kepala. Batu kepala.

-Batu Johor

Ialah sejenis benda yang keras seperti batu, keadaannya bening seperti kaca. Hablur. Kristal.

-Batu Kail

Ia disebeut juga batu anting, iaitu batu yang biasanya diperbuat daripada timah yang diikat pada tali kail supaya mata kail yang mengandungi ikan itu tidak timbul dan tenggelam dan untuk memantapkannya ketika umpam yang disangkut di mata kail itu dilempar ke dalam sungai.

-Batu Kapur

Sejenis batu yang mengandungi kapur [limestone]. Kapur tulis, yang digunakan untuk menulis di papan hitam.

-Batu Karang

Ada dua jenis kejadian yang dipanggil batu karang.

a]Batu Karang Penyakit

Batu yang terdapat dalam badan manusia, iaitu dalam buah pinggang, saluran kencing atau pada hempedu. Kehadiran batu-batu ini merupakan sejenis penyakit yang dipanggil penyakit batu karang.

b]Batu Karang Laut

Sejenis batu yang didapati tumbuh dalam laut yang mempunyai berbagai-bagai jenis ukuran, bentuk dan warna.

Di Australia terdapat sebuah banjaran batu karang yang dikenali dengan nama ‘Great Barrier Reef” yang merupakan binaan semulajadi yang terbesar yang dibina oleh benda-benda hidup. Ia memanjang 2,000 km sepanjang Pantai Queensland. Ia mempunyai lebih daripada 400 jenis batu karang dan terdapat 1500 jenis ikan di sekitar batu karang itu.

-Batu Kawi

Batu kawi sejenis batu yang berwarna merah boleh didapati dalam sungai; mangganam.

Dari segi perubatan tradisional ia berguna untuk merawat penyakit campak. Batu kawi ini diasah dengan sedikit air, kemudian disapukan pada badan yang dinaiki campak itu. Ia dapat menghilangan rasa-rasa gatal dan menyelesakan.

-Batu Kepala

Kepala. Ia disebut juga batu jemala.

-Batu Kelikir

Ialah batu kerikir, iaitu batu yang keadaannya kecil-kecil. Anak batu.

-Batu Kepala

Kepala. Lihat batu jemala.

-Batu Kisaran

Kisaran batu yang digunakan untuk mengisar beras untuk dijadikan kueh atau bedak sejuk.
Dan juga bahan-bahan yang lain.

-Batu Lada

Batu krikil, iaitu batu yang halus. Gravel.

-Batu Ladung

Timah untuk memberat mata kail supaya tenggelam dan tidak terapung di permukaan air, serta untuk memantapkan ayunannya. Batu ajuk.

-Batu Lengan

Otot-otot di pangkal lengan. Batu otot.

-Batu Lesung

Penumbuk dan lesung.

-Batu Lintar

Batu lintar atau batu halilintar ialah sejenis batu yang berbentuk agak tajam dan pipis yang ditemui selepas berlaku panah lintar di sesuatu tempat.

Pada masa dahulu kami mempunyai sejenis batu yang dipercayai batu lintar, pusaka dari ayah penulis, Allahyarah Saleh Hj.Muhammad seorang “bomoh”. Tapi ketika kami berhijrah ke Kuala Lumpur, tinggal di Flet Keramat Jaya, batu itu hilang dari simpanan kami, kerana anak lelaki kami suka bermain-main dengannya.

-Batu Loncatan

Batu yang dijadikan tapak atau alasan ataupun lanadasan untuk melangkah atau melompat.

-Batu Manikam

Batu intan permata.

-Batu Marmar

Batu yang berwarna putih dan keras, biasanya digunakan untuk membuat lantai bangunan, seperti masjid.

-Batu Merah

Tanah liat yang berwarna merah.

-Batu Meroyan

Batu meroyan ialah sejenis penyakit yang dialami oleh kaum wanita selepas melahirkan anak. Salah satu daripada tanda-tandanya ialah menderita kemurungan yang teruk.

-Batu Nesan

Batu Nesan atau batu kubur iaitu batu yang dipacak di atas pusara, satu di bahagian kepala dan satu di sebelah kaki. Pada masa dahulu batu-batu itu merupakan batu-batu asli yang diambil dari bukit atau sungai. Tapi hari ini batu nisan itu telah dibuat dari simen.

Bentuk-bentuk batu-batu nesan itu menunjukan si mati itu seseorang lelaki atau perempuan. Kalau batu nisan itu bulat bentuknya melambangkan si mati itu seorang lelaki, tapi kalau leper atau bentuk nipis melambnagkan si mati seorang wanita.

Pada masa dahulu biasa juga, batu nesan itu diperbuat daripada kayu yang tahan dek hujan dan panas, dan tahan dimakan anai-anai, seperti kayu cengal yang menelan masa yang lama untuk musnah dimakan masa.

-Batu Otot

Batu lengan

-Batu Pejal

Ialah sejenis batu yang keras dan padat . Granit.

-Batu Pelinggan

Iaitu sejenis batu marmar yang berwarna.

-Batu Permata

Semua batu-batu yang berharga dimasukkan ke dalam golongan batu permata, seperti nilam, intan dan berlian, biasanya dijadikan perhiasan, seperti diikat pada cincin, gelang, rantai dan lain perhiasan, khususnya untuk pakaian kaum wanita.

Di samping itu ada pula batu-batu yang berharga itu, seperti zamrud yang dibuat biji-biji tasbih.

Ada pula mereka yang percaya batu-batu permata ini mempunyai khasiat-khasiat yang tersendiri kepada pemakainya, seperti sebagai pemanis, pelaris dan sebagainya, terutama setelah “dimasukkan” dengan ayat-ayat yang sesuai dengan tujuan pemakainya.

Penulis ada sedikit pengalaman berhubung dengan batu permata ini untuk dikongsi dengan pembaca. Peristiwa ini berlaku di Tanah Suci Makah.

Malam itu kami, penulis dan isteri Asiah [ya Allah cucurilah rahmat ke atasnya] dalam perjalanan pulang ke hotel dari Masjidilharam. Bila sampai dekat dengan hotel kami berhenti untuk membeli ayam panggan di sebuah kedai yang terletak dekat dengan hotel penginapan. Sementara isteri penulis menunggu giliran untuk membeli ayam panggan, penulis bersama-sama dengan beberapa orang lelaki lain berdiri di kaki lima kedai itu sambil mmerhati orang-orang yang lalu lalang.

Penulis terkejut bila seorang kanak-kanak dengan tergesas-gesa dan tiba-tiba menghampiri penulis dan membuka dua tapak tangan penulis, dan meletakkan sesuatu dalam tangan penulis kemudian menutupnya. Belum sempat lagi penulis membuka gengaman, datanglah seorang kanak-kanak lain pula membuka tangan penulis dan meletakkan sesuatu di dalamnya. Kemudian mereka lari meninggalkan penulis dan hilang lesap entah ke mana.

Kemudian bila penulis membuka kedua-dua gengaman penulis, alangkah terkejutnya kerana melihat berbagai-bagai jenis batu permata dalam berbagai-bagai bentuk dan warna berada dalam genggaman penulis.

Bila isteri penulis selesai membeli ayam dan menghampiri penulis, lalu penulis tunjukkan permata-permata itu kepadanya sambil mencerita apa yang berlaku sekejap tadi.

“Itulah”, katanya “Nak batu permata sangat, Tuhan dah bagi tu”. Ini menginggatkan penulis, pagi tadi penulis memang memberi tahu isteri penulis untuk membeli sebiji dua batu permata ketika balik dari Masjidilharam.

-Batu Pualam

Sejenis batu kapur yang keras, bersih dan keadaannya bercahaya, yang digunakan untuk membuat binaan. Marmar.

-Batu Sauh

Sejenis alat yang berat dan berkait diikat dengan tali dan ditambat pada perahu atau kapal, dan dilabuhkan ke dalam sungai atau laut untuk menahan perahu atau kapal tersebu daripada hanyut di bawa arus. Sauh.

-Batu Selambut

Sejenis permainan kanak-kanak yang menggunakan anak-anak batu yang dilambung dan disambut. Kalau jatuh dikira kalah.

-Batu Sempadan

Batu yang digunakan untuk menandakan sempadan antara satu lot tanah dengan satu lot tanah yang lain, atau antara sebuah negeri dengan sebuah negeri yang lain. Batu-batu tanda ini tidak diletak dengan sewenang-wenang, tapi diletak oleh pihak yang berwenang setelah melakukan kerja-kerja sukatan dan ukuran di atas tanah tersebut.

Pada masa yang lalu, tuan-tuan punya tanah itu akan menanam pula pokok-pokok di atas sempadan tanah yang telah ditandakan dengan batu sempadan atau batu tara itu. Biasanya pokok-pokok ini dari jenis pokok-pokok yang besar dan tinggi, seperti pokok kelapa, durian, pokok rambutan dan jering yang dahan-dahan dan ranting-rantingnya akan berkembang ke tanah orang lain yang bersebelahan.

Masalahnya akan timbul bila pemilik tanah sebelah berhasrat untuk mendirikan rumah di atas tanahnya itu, kerana kehadiran dahan-dahan dan ranting-ranting pokok itu, apa lagi pokok durian akan mengancam keselamtan mereka dan juga rumah mereka.

Bila mereka adukan hal itu kepada tuan tanah tersebut, maka mereka dengan selamba menjawab bahawa mereka sayangkan pokok itu kerana telah berpuluh-puluh tahun mengeluarkan hasil. Mereka hanya bersetuju untuk memotong atau menebangnya setelah ditawarkan dengan bayaran-bayaran yang tertentu yang bukan sedikit jumlahnya. Di samping itu mereka juga terpaksa membayar upah orang yang bekerja memotong atau menebang pokok-pokok yang pada hari ini bukan pula kecil jumlahnya.

Problem seperti ini pernah menimpa keluarga kami. Walaupun kami tidak bersalah, tapi demi kesejahteraan hidup kami, kami terpaksa akur dengan kehendak jiran tuan tanah sebelah rumah kami.

-Batu Serawak

Sejenis logam yang berwarna putih seperti perak, keadaannya rapuh, justeru mudah pecah.

-Batu Seremban

Sejenis permainan kanak-kanak menggunakan batu-batu.

-Batu Sungai

Batu-batu kecil yang diambil dari sungai dengan cara-cara tertentu untuk dijadikan bahan binaan, sperti bangunan-bangunan. Pada masa dahulu batu-batu ini diambil dengan menggunakan sejnis alat yang dinamakan" pnegokok” menggunakan tenaga manusia. Batu-batu yang dikokok itu dimasukkan ke dalam perahu, kemudian dibawa ke tebing sungai untuk dianggkut ke darat dengan nemikulnya di atas bahu selepas dimasukkan ke dalam tin minyak.

Pada masa dahulu Kg.Salor memang terkenal dengan pengeluar batu pasir, yang diangkut dengan cara tradisional seperti itu. Ada sebuah kawasan di tebing sungainya dikenali dengan nama “Pengkalan Batu” kerana di situlah batu-batu yang diambil dari sungai dilonggokkan sebelum dianggkuk dengan lori untuk dibawa ke mana-mana tempat yang diperlukan.

Pada musim etak banyak, kami kanak-kanak akan berkumpul di situ untuk mencari etak-etak yang terdapat dalam batu-batu itu dengan mengelak batu-batu di lapisan atasnya dan mencari etak-etak di celah-celah batu itu.

Di waktu petang, ketika mata hari terbenam kami kanak-kanak ssebelum turun mandi akan berkumpul di situ untuk bermain membaling batu ke tengah sungai, siapa yan jauh lemparannya? Penulis masih ingat pada suatu senja penulis berlawan baling batu ke tengah sungai dengan seorang kawan penulis bernama Cik Ghani. Tapi malang tak berbau, ketika giliran penulis membalingnya, Cik Ghani telah mara ke arah hadapan, kian dekat dengan tebing sungai, menyebabkan batu yang penulis balingkan itu secara tak senghaja terkena di rusuk kanan kepalanya, menyebabkannya luka dan keluar berdarah. Dia telah berlari balik ke rumahnya. Penulis dalam keadaan ketakutan ikut berjalan balik ke rumah, dan bila sampai ke rumah, ibu Cik Ghani telah berada di rumah penulis memberitahu kepada ibu penulis kepala anaknya berdarah terkena batu yang penulis baling. Penulis pun menceritakan perkara yang sebenarnya. Nasib baik perkara itu tidak berpanjangan dan berakhir di situ juga. Khabar-khabar mengatakan Cik Ghani berhijrah ke Pahang dan menetap di sana?

-Batu Tagar

Batu yang berasal dari angkasa, yang jatuh ke bumi bila berlaku tagar atau guruh di samping ribut petir. Tahi bintang.

-Batu Tara

Lihat Batu sempadan.

-Batu Timbang

Lihat Batu dacing.

-Batu Timbul

Lihat Batu Apung. Pumice

-Batu Tulis

a]Ialah papan batu, papan slit. Pada masa dahulu kanak-kanak tahun satu menggunakan papan batu untuk menulis, kerana pada masa itu buku-buku tulis masih belum banyak. Pensilnya juga diperbuat daripada batu. Selepas menulis ia perlu disapu untuk ditulis dengan yang lain pula.

Sewaktu belajar di Sekolah Melayu Salor dalam tahun satu penulis juga menggunakan papan batu untuk belajar. Pada suatu hari penulis mengikat pensil batu itu dengan getah urat dan mengikatnya pada pinggang penulis serta memasukkannya ke dalam poket seluar supaya ia tidak mudah hilang.

Petang itu ada mata pelajaran “senaman”. Guru kami [penulis telah lupa siapa] mengarah kami berlari dalam satu bulatan di tengah padang. Ketika sedang berlari itu, batu pensil terkeluar dari poket seluar penulis, dan terhenyut-henyut pada getah urat itu.

Akhirnya dengan tidak disedari pensil batu itu tertikam pada tepi kura-kura kaki sebelah kiri penulis. Sebahagian dripadanya telah patah dan tertinggal dalam kaki penulis. Selepas itu penulis tidak begitu sedar apa yang berlaku.

Penulis segera dibawa oleh ibu ke Hospital Besar Kota Bharu sejauh 8 batu dari kampung kami. Oleh sebab hari hampir malam dan kenderaan sukar, maka penulis telah dibawa dengan menaiki beca roda tiga yang dipanggil “teksi” waktu itu.

Penulis tidak tahu berapa lama beca yang digatih itu mengambil masa untuk sampai. Dan penulis telah lupa sia menggatihnya. Sepanjang masa itu penulis berada dalam keadaan separa sedar.

Sampai di Hospital Kota Bharu penulis telah dibius dan dibedah untuk membuang patahan pensil batu itu. Penulis juga tidak pernah bertanya ibu tentang kejadiani itu. Justeru penulis tidak tahu berapa lama penulis tidak sedarkan diri dalam masa pembedahan.

Tapi parut bekas pembedahan itu megambil masa yang cukup lama untuk hilang dari kaki penulis, malah sampai hari ini jika dilihat dengan teliti masih kelihatan samar-samar parut pembedahan itu.

b]Batu Tulis, iaitu batu yang mengandungi tulisan-tulisan kuno atau prasasti. Batu bersurat.

-Batu Tungku

a]Batu yang digunakan untuk meletak periuk, belanga dan sebagainya ketika memasak di atas api. Batu itu mungkin diambil dari batu bukit, atau diperbuat daripada batu bata, biasanya diatur dalam bentuk tiga bucu atau sudut. Batu dapur.

B]Batu yang digunakan untuk menungku anggota badan, terutama kaum wanita yang baru lepas bersalin. Batu ini diambil dari batu bukit ataupun dari sungai, yang baiknya berbentuk bulat dan memanjang sedikit supaya lebih terasa kesannya ketika menungku. Biasanya kerja menungku ini dijalankan oleh tukang-tukang tungku yang khas ataupun oleh bidan-bidan tradisional yang biasanya pandai mengurut dan juga menunggku ibu-ibu bersalin. Sebelum digunakan batu tunggku itu dibakar terlebih dahulu di atas api, kemudian dibungkus dengan kain yang terlebih dahulu dialas dengan daun-daun khusus, seperti daun mengkudu yang berkhasiat dan juga mengeluarkan aroma yang menyegarkan bila dibakar oleh tunggku panas.

-Batu Ubin

Sejenis batu daripada simen dan lain-lain yang digunakan untuk membuat lantai. Jubing

-Batu Ular

Geliga Ular, diperolehi daripada muntahan ular, berwarna hitam dan dicanai hingga berkilat. Geliga ular dipercayai dapat menawari bisa patukan ular, dengan jalan meletak geliga itu di atas tempat luka bekas patukan ular, dan ia dipercayai dapat meghisap bisa itu keluar. Ia juga dipercayai dapat mengeluar racun-racun tertentu dalam badan. Bezoar.

-Batu Uji[an]

Sejenis batu yang digunakan untuk menguji emas.

NAMA TUMBUHAN

Akar Batu

Akar batu [Byttmeria Maingayi], ialah sejenis tumbuhan menjalar. Masyarakat tradisional menggunakan akar batu untuk merawat bisul. Akar batu ditumbuk untuk dijadikan adunan pekat dan dipupuk atas bisul.

Sejenis tumbuhan beriisi seperti halia yang dipanggil taleb oleh orang-orang Asli yang tinggal di hutan-hutan Semenanjung. Orang-orang Asli memintal isinya untuk dijadikan gelang atau rantai lihir yang bila dipakai dipercayai dapat mendinding mereka dari hantu-hantu yang jahat.

-Batu Pelir Kambing

Batu pelir kambing ialah sejenis pokok menjalar yang tumbuh dalam lumpur di paya dan di tebing-tebing sungai yang airnya mengalami pasang surut.

Biasanya biji-bijinya yang kecil itu digunakan oleh penjenayah untuk meracun anjing-anjing yang menjaga rumah atau harta benda tuannya, meracun binatang-binatang ternakan dan juga digunakan untuk meracun gajah.

Sejenis tumbuhan lagi juga dipanggil pohon batu pelir kambing mempunyai bunga yang putih kekuningan dan mempunyai buah yang kecil berwarna merah dan berbentuk seakan-akan batu pelir kambing

Pokok ini beracun, dan masa dahulu pernah digunakan sebagai racun, setelah dicampur dengan air perahan pokok lekir dan keladi. Jika dimakan dengan makanan, racun ini boleh menyebabkan bengkak kerongkong dan urat-urat darah dan akhirnya boleh menyebabkan seseorang itu pengsan.

-Jambu Batu

Sejenis tumbuhan yang buahnya boleh dimakan. Biasanya mengandungi banyak biji atau butir, sebab itu ia juga dikenali dengan nama jambu butir banyak atau jambu biji. Guava.

BENDA-BENDA BERNAMA BATU

-Air Batu

Air biasa yang terdedah kepada suhu yang rendah, menyebabkannya menjadi keras atau beku. Di utara dan di Selatan dunia yang dipanggil Khutub Utara dan Khutub Selatan air batu terjadi dengan sendiri meliputi seluruh muka buminya.

Di samping itu ada pula air batu hasil diproses, seperti menerusi peti ais untuk kegunaan domestik, antaranya untuk diminum dengan berbagai-bagai minuman, untuk menyejukkan lauk-pauk dan buah-buahan supaya tahan lebih lama.

Mengamalkan meminum air batu tidaklah sihat, kerana ia boleh menganggu kesihatan seseorang.

-Arang Batu

Sejenis arang yang didapati dalam bumi, keras keadaannya dan digunakan sebagai bahan bakar, seperti untuk menjalankan kerja-kerja di kilang.

-Kisaran Batu

Lihat Batu Kisaran.

-Lesung Batu

Lesung batu ialah sejenis alat yang juga terdiri dari dua bahagian, iaitu satu berbentuk bulat, dipanggil alu batu lesung yang digunakan untuk menumbuk dan satu lagi berbentuk mendalam yang dipanggil lesung untuk diisi dengan bahan-bahan yang hendak ditumbuk, seperti lada dan garam untuk dibuat sambal lada atau rempah ratus sebagai mengganti batu giling.

BATU DALAM KIASAN

Iaitu kiasan yang menggunakan batu sebagai lambang atau kiasan, antaranya:

-Hati batu

Jika seseorang dikatakan hatinya “hati batu” maksudnya dia seorang yang keras hati, sukar untuk berubah.

-Batu Api

Jika seseorang dikatakan “Awak ni batu api” maksudnya orang itu seorang penghasut yang suka melaga-lagakan antara seorang dengan seorang, antara sepuak dengan sepuak supaya berselisih atau bergaduh.

Batu Asas

Batu asas dalam kiasan bererti dasar sesuatu fahaman, perjuangan dan sebagainya.

-Batu Duga

Ujian.

-Batu Loncatan

Orang, tempat atau keadaan yang dipergunakan untuk mencapai sesuatu, seperti nama, pangkat, dan sebagainya.

-Batu Pelesing

Jika seseorang dikatakan “Awak ni seperti batu pelesing”, maksudnya walaupun orang itu kecil tapi mempunyai hati yang keras.

-Batu Penghalang

Halangan

-Batu Sendi

Dasar atau asas kepada sesuatu.

-Batu Uji[an]

Dugaan. Cubaan. Cabaran

-Batu bulat tak bersanding

Jika seseorang dikatakan “Seperti batu bulat tak bersanding”, maksudnya orang itu walaupun nampaknya mempunyai sikap yang lemah lembut, tapi hatinya keras membantu.

-Batu Hitam tak bersanding.

Sama dengan erti batu bulat tak bersanding.

-Batu direbus masakan empuk.

Jika seseorang dikatakan “Batu direbus masakan masak”, maksudnya orang yang dikatakan itu adalah seorang yang bodoh dan tidak mungkin dapat diajar.

-Seperti batu jatuh ke lubuk.

Jika seseorang itu dikatakan "Seperti batu jatuh ke lubuk”, maksudnya orang itu telah hilang lenyap entah ke mana tak dapat dikesan lagi.

-Batu kecil berguling naik, batu besar berguling turun.

Jika seseorang diibaratkan “Batu kecil berguling naik, batu besar berguling turun", maksudnya orang itu asalnya seorang yang hina tapi telah menjadi mulia kerana mempunyai banyak harta, sebaliknya orang lain yang asalnya mulia menjadi hina kerana tidak mempunyai harta.

-Batu pun empok, jangankan hati manusia.

Jika seseorang dinasihat supaya bersikap lemah lembut dan dikatakan kepadanya “Batu pun empok, jangankan hati manusia”, maksudnya orang itu dinasihatkan supaya menggunakan perkataan yang sopan dan lemah lembut untuk menawan hati orang yang mendengarnya.

-Batu yang keras air pelekoknya,

Jika seseorang dinasihatkan dengan kata-kata “Batu yang keras air pelekoknya”, maksudnya orang itu diberi nasihat bahawa orang yang keras hati itu hanya dapat dipujuk atau dilembutkan hatinya dengan kata-kata yang lemah lembut.

-Batu yang selalu bergolek itu tidak dihinggapi lumut.

Jika seseorang itu dikatakan, “Batu yang selalu bergolek itu tidak dihinggapi lumut”, maksudnya orang itu seorang yang tidak tetap mata pencariannya kerana itu tidak berpeluang untuk menjadi kaya.

-Berbunyi batu, berbunyilah dia.

Jika seseorang dikatakan “Berbunyi batu, berbunyilah dia”, maksudnya orang itu telah terkunci mulutnya untuk berkata-kata, kerana kesalahannya telah terbongkar.

-Lempar batu sembunyi tangan

Jika seseorang itu dikatakan “Lempar batu sembunyi tangan”, maksudnya orang itu telah melakukan sesuatu kejahatan atau kemunkaran tapi bersikap menyepi diri seolah-olah dia tidak tahu menahu tentang kejadian munkar yang telah dilakukannya itu.

-Tiada terkajang batu di pulau.

Jika seseorang dikatakan “Tiada terkajang batu di pulau”, maksudnya memberi peringatan kepada orang itu bahawa tidak ada sesiapa pun yang mampu melayan kemahuan atau kehendak setiap orang yang sudah tentu beragam-ragam dan berbeza-beza.

-Untung sabut timbul untung batu tenggelam

Jika seseorang itu dikatakan kepadanya," Untung sabut timbul, untuk batu tenggelam”, maksudnya, kalau orang itu memang bernasib baik, niscaya dia akan memperoleh keberuntungan atau kejayaan, tapi kalau nasibnya tidak baik, dia akan menemui kegagalan atau kekecewaan.

-Tiada beban batu digalas

Jika seseorang itu dikatakan "tiaada beban batu digalas" maksudnya orang itu suka mencari kesusahan.

-Membantu

a]Menjadi keras seperti batu, seperti tanah basah yang terbiar di bawah panas mata hari untuk masa yang lama.

b]Jika seseorang dikatakan “Dia diam membantu”, maksudnya orang itu tidak mahu bercakap apa-apa. Membisu.

-Kepala Batu

Jika seseorang dikatakan “Berkepala batu”, maksudnya orang itu seorang yang degil atau keras kepala.

BATU YANG MULIA

-Hajarul-Aswad

Hajar ertinya batu dan Aswad ertinya hitam. Maka Hajarul-Aswad ertinya batu hitam. Batu ini terletak di sudut sebelah timur bangunan Kaabah, setinggi kira-kira 1 meter, 50 sentimeter daripada permukaan bumi.

Batu Hitam ini adalah satu-satunya kesan dari binaan asal Kaabah yang telah didirikan oleh Nabi Ibrahim as.

Ia merupakan tanda kepada tempat permulaan dan pengakhiran pusingan tawaf.

Orang-orang yang mengerjakan tawaf biasanya berebut-rebut untuk mengucup Hajarul-Aswad atau batu hitam ini.Mengucap Hajarul Aswad adalah sunat kepada merea. Jika tidak dapat mengucupnya kerana orang ramai bersesak-sesak memadailah dengan melakukan Istilam, iaitu membuat isyarat melambai Batu Aswad kemudian mengucup tangan itu seolah-olah mengucup Hajarul Aswad.

Mengikut sejarah, pada asalnya Batu Aswad itu terletak di atas Gunung Qubais [Jabal Qubais] yang terletak berhampiran dengan Kaabah. Batu itu disimpan itu atas perintah Allah kepada Malikat kerana dunia akan dilanda oleh taufan Nabi Nuh.Kemudian Nabi Ibrahim 'Alaihissalam meletak batu itu di sudut Kaabah.

Hajar Aswad ini asalnya berwarna putih, lebih putih dari susu dan salju. Akibat daripada sentuhan tangan-tangan kaum musyirikin dan pembuat-pembuat maksiat,maka batu yang putih itu telah berubah warna menjadi hitam.

Batu itu yang asal setongkol telah pecah menjadi tiga bahagian akibat kebakaran yang berlaku dalam zaman Abdulah bin Zubir. Beliau telah bertindak mengikat batu yang pecah itu dengan perak untuk menjadikannya satu semula.

Kemudian Batu Hitam itu pecah lagi kepada 15 bahagian sebagaimana yang pada hari ini. Ia telah diikat semula dalam satu bulatan yang melengkung seperti sebuah kuali untuk memudahkan orang megucupnya. Namun begitu yang dapat dilihat pada batu itu dengan jelas sekarang hanya tiga bahagian sahaja.

Pengalaman

Peritiwa ini berlaku di Tanah Suci Makah. Malam itu selepas selesai Tawaf, penulis dan isteri, Asiah [ya Allah cucurilah rahmat-Mu ke atasnya] berihat sekejap di salah sudut di Masjidilharam sambil memerhati gelombang-gelombang manusia bertawaf mengeliling Kaabah. Tiba-tiba seorang pemuda muncul di hadapan, dan berkata dalam loghat Indonesia dan menanya kami adakah kami sudah berkesempatan mencium Hajarul Aswad? Kemudian dia menawarkan khdimatnya untuk membantu kami menciumnya. Katanya dengan membuat sekatan dengan kawan-kawannya kami akan dpat mencium Hjarul Aswad. Untuk tujuan tersebut dikenakan bayaran 50 rial seorang. Dia seterusnya menjelaskan, bayaran tak perlu bayar dahulu, selepas berjaya baru bayar, dan kalau tidak berjaya, tidak perlu bayar apa-apa. Penulis telah lupa kenapa penulis menolak tawaran itu, dan kemungkinan besar waktu itu penulis tidak membawa cukup wang untuk membayar untuk dua orang, penulis dan isteri penulis. Memanglah untuk pergi ke Masjidilharam kami hanya membawa wang sekadarnya sahaja untuk keperluan kami.

Batu Sembahan

Ada pula sesetengah manusia yang sesat telah memahat atau mengukir batu-batu pejal dalam berbagai-bagai jenis rupa, baik haiwan atau manusia tumbuh-tumbuhan dan sebagainya dari hasil imaginasi mereka yang dipanggil patung.

Ada segolongan manusia menggunakan patung-patung itu sebagai perhiasan di halaman rumah atau di dalam rumah mereka, seperti patung ular, burung, biawak dan juga patung manusia.

Di samping itu ada pula segolongan manusia mengambil patung-patung itu untuk dijadikan sembahan, sebagai tuhan-tuhan mereka sebagaimana telah lama berlaku dalam sejarah manusia.

Menyembah patung adalah sesat dalam Islam, kerana tidak ada Tuhan yang disembah mealinkan Allah.

BATU DALAM LEGENDA

Dalam masyarakat kita di Malaysia, ada dua legenda yang termasyur berhubung dengan batu, iaitu legenda Batu Belah Batu Bertangkup dan kisah Si Tenggang.

Dalam cerita Batu Belah Batu Bertangkup seorang ibu yang kepunan telur ikan tebakul yang habis dimakan oleh anaknya telah terkurban bila dia menyerah dirinya kepada batu belah itu untuk dijadikan habuan.

Dalam cerita Si Tenggang pula, seorang lelaki yang menderhaka kepada ibunya, kerana tidak mengakui ibunya yang miskin sedangkan dia seorang yang kaya. Isterinya juga turut menghina ibunya itu.

Akhirnya turunlah ribut, hujan, kilat dan petir sabung menyabung yang menenggelamkan tongkang besar yang dinaiki oleh Si Tenggang dan orang-orangnya. Bila keadaan alam kembali reda, kedua-dua suami isteri yang derhaka itu didapati telah bertukar menjadi batu.

NAMA-NAMA TEMPAT

-Batu Arang

Suatu tempat di negeri Selangor yang letaknya dekat dengan Sungai Buloh, Rawang dan Batang Berjuntai. Pada masa dahulu terkenal sebagai kawasan melombong arang batu di Selangor, iaitu sebelum Perang Dunia Ke-2 hingga tahun 1960-an. Tapi sekarang tidak lagi, Batu Arang tidak lagi mengeluar arang batu. Ia terkenal sebagai pengeluar batu bata. Dan di Batu Arang banyak mempunyai ladang-ladang sawit.

-Batu Buruk

Batu Buruk ialah pantai yang indah dan amat terkenal di seluruh negeri Terengganu. Letaknya di pinggir bandar Kuala Terengganu. Pasirnya putih terhampar sejauh mata memandang dengan pokok-pokok rhu berbaris di belakangnya dengan gisikan daunnya yang dihembus bayu laut yang menyegarkan. Sesuai untuk berkelah, bermain layang-layang tapi merbahaya untuk mandi.

-Batu Gajah,

-Sebuah bandar di negeri Perak, kira-kira 24 km daripada Ipoh, ibu negeri Perak. Ia dinamakan Batu Gajah mengamnbil sempena dua buah batu yang meryerupai gajah. Orang-orang di situ percaya patung-patung gajah itu senghaja di buat untuk menakut-nakutkan gajah daripada merosakkan kebun-kebun tebu penduduk Batu Gajah. Jumlah penduduknya seramai 3400 orang dan kebanyakan mereka adalah China.

-Sebuah bandar kecil yang terletak dalam Jajahan Tanah Merah, Kelantan.

-Batu Kikir

Sebuah bandar kecil di negeri Sembilan. Ia terletak di antara Kuala Pilah dan Bahau.

-Batu Kurau.

Sebuah mukim yang terletak dalam daerah Larut Matang, kira-kira 20 km daripada bandar Taiping, ibu negeri Perak. Mukim ini telah dibuka sejak ahun 1850-an lagi.

-Batu Lada

Nama sebuah kampung yang terletak dalam Jajahan Kuala Krai, Kelantan.

-Batu Pahat

Sebuah Daerah di Johor yang terletak Selatan Tenggara Muar, Selatan Barat Daya Kluang, Barat Laut Pontian dan Selatan Segamat.

-Batu Putih

Sebuah pulau kecil yang letaknya 7.7 batu nautikal di luar Pantai Tanjung Penyusoh di Johor. Besarnya kira-kira separuh daripada sebuah padang bola. Kerajaan Singapura memanggilnya Pedra Branca, dalam bahasa Portugis bererti Batu Putih.

Sejak tahun 1980 pulau Batu Putih menjadi pertikaian milik antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura. Kedua-dua negara bersetuju membawa pertikaian tersebut ke Mahkamah Keadlan Antarabangda [ICJ] Bangsa-bangsa Bersatu. Pada 23 Mei, 2008 mahkamah tersebut telah membuat keputusan Batu Putih adalah milik Kerajaan Singapura dengan majoriti 12-4.

Keputusan itu dikatakan dibuat berdasarkan fakta sejarah,perundangan antarabangsa dan kesan-kesan pertindihan tuntutan tersebut.

-Batu Caves

Sebuah bukit batu kapur dan bergua, terletak dalam daerah Gombak, kira-kira 13 km dari ibu negara Kuala Lumpur. Batu Caves menjadi tempat suci bagi orang Hindu di Malaysia. Di situ terdapat kuil-kuil gua. Dan kini menjadi salah satu tempat pelancongan di Malaysia.

-Batu Feringgi

Sebuah pantai peranginan di Pulau Pinang. Letaknya di jalan pantai, di Barat Laut, ibu negeri Pulai Pinang, George Town.

Penulis dan keluarga pernah bermalam di Batu Feringgi. Benarkah kalau penulis katakan sebahagian besar daripada pantai yang cantik itu telah terkepung oleh bangunan-bangunan yang terdiri dari rumah, apartmen dan hotel-hotel di sebelah atasnya di mana pagar-pagar keselamatan bangunan-bangunan itu menghalang orang-orang awam untuk turun ke pantai?

Kalau benar, tidak bolehkah sesuatu dilakukan untuk mendedahkan pantai yang indah itu kepada orang ramai yang ingin mengunjunginya?

-Batu Penyu

Ada sebuah batu di negeri Terengganu yang berupa seperti seekor penyu. Batu penyu itu terletak di atas Bukit Che Hawa, Rantau Abang, Kuala Terengganu.

Mengikut legendanya batu itu berasal dari seekor penyu betina yang mendarat di kawasan Kg. Rantau Abang, dipercayai merayau-rayau ssambil mencari sepohon pokok yang harum baunya, dan akhirnya tersesat di atas Bukit Che Hawa. Oleh sebab penyu itu terlalu leka mencari-cari,hingga tibalah waktu menjelang subuh.

Maka dengan takdir Allah, maka penyu itupun betukar menjadi batu. Dan keadaannya masih dapat dilihat hingga sekarang di atas Bukit Che Hawa itu.

Mengikut kepercayaan masyarakat penyu amat sedih dengan peristiwa dengan seekor daripada kawan mereka telah bertukar menjadi batu itu. Dengan itu setiap tahun penyu-penyu itu akan naik mendarat di pantai Rantau Abang untuk menziarahi datok nenek mereka yang telah menjadi batu itu. Penyu-penyu itu mengambil kesempatan bertelur di situ, dan dipercayai dengan harapan bila telur-telur itu menetas dan anak-anak penyu itu membesar nanti mereka semua akan menyambung tradisi menziarahi nenek moyang mereka yang telah bertukar menjadi batu itu.

Merka legendanya setiap tahun ada seekor penyu akan naik ke darat dan mengorbankan diri mereka dalam sebuah paya di Kg. Rantau Abang sebagai kenangan kepada salah seekor nenek moyang mereka tellah bertukar menjadi batu.

Kalau penyu-penyu dalam legenda itu amat prihatin dengan nasib yang menimpa orang-orang tua mereka, maka amatlah peliknya kalau manusia yang dikurniakan oleh Allah dengan akal dan fikiran sanggup membelakangi orang tua dan keluarga meeka yang amat berjasa kepada mereka? Renunglah!
xxxxxxxx

Renungilah:

Rasulullah Sallahllahu 'alaihi wasallam bersabda:

-"Kesombongan itu merupakan sifat yang khusus bagi Tuhan kita. Maka jauhilah kesombongan dan bertaqwalah"

-"Mahukah aku khabarkan kepada kamu orang-orang yang menjadi ahli neraka? Iaitu tiap-tiap orang yang kejam, rakus dan sombong".

-"Sombonglah kepada orang yang sombong, kerana sombong kepada orang yang sombong adalah sedekah".
xxxxx

Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih. Sekalung harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP