Asiah Yaacob Dalam Sorotan S Othman Kelantan
>> Sunday, September 26, 2010
ASIAH Yaacob
Dalam Sorotan [SN] S.Othman Kelantan
ASIAH Yaacob seorang pengiat budaya dan aktivits masyarakat yang tidak asing lagi di negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Semasa mudanya beliau merupakan salah seorang deklamator sajak yang berpotensi dan mendapat sanjungan khalayak.
Beliau pernah memegang berbagai-bagai jawatan dalam pertubuhan-pertubuhan NGO dan salah satu daripada jawatan yang dipegangnya ialah Penolong Setiausaha Perkumpulan Perempuan Negeri Kelantan [W.I] bersama Allahyarmah Cikgu Nik Fatimah Abdul Karim yang menjadi Setiausahanya. Sepanjang memegang jawatan tersebut, dengan tunjuk ajar Cikgu Nik Fatimah, beliau telah berjaya mengadakan berbagai-bagai aktiviti yang menarik dan mendapat sambutan.
Sebagai seorang penyair muda dan deklamator, beliau pernah mendapat sorotan daripada [Sastrawan Negara] Allahyarham S.Othman Kelantan dalam sebuah esseinya yang berjodol “Sajak-sajak yang membangkitkan perasaan” yang tersiar dalam DIAN bilangan 22 1968. Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya.
Sebagai kenangan kasih, penulis kutip kembali pandangan SN S.Othman Kelantan tentang beliau yang terdapat dalam rencana tersebut. Untuk lebih adil dan lengkap, penulis salin sepenuhnya essei SN S. Othman Kelantan yang melibatkan penyair-penyair lain yang mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam bidang masing-masing hari ini.
Asiah Yaacob dilahirkan pada 30 Jun 1952 dan kembali ke rahmatullah pada 1 Julai 2009 bersamaan dengan 8 Rejab 1430, meninggalkan suami Mohd. Zain Saleh dan 4 orang anak, Arham Zaini, Noorbaiti Zaini, Ahmad Faris Zaini dan Ahmad Syaibani Zaini. Dan meninggalkan satu cita-cita besar yang diwarisi oleh keluarga Zaini dan masih lagi belum telaksana buat masa ini.
Ya Allah limpahilah rahmatMu ke atasnya.
xxxxxx
Dan ikutilah seterusnya essei [SN ]S.Othman Kelantan itu:
"Negara tanpa perwira bukanlah negara dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Perwira adalah menjadi turus atau tiang bagi tegaknya negara itu. Dalam zaman moden sekarang, perwira-perwira atau askar-askar adalah dianggap yang terpenting sekali dalam mewujudkan keamanan dan pengeluasan daerah. Untuk mewujudkan keamanan atau meluaskan daerah politik pemerintahan tentu sahaja memakan korban yang bukan sedikit. Keadaan ini berlaku dengan haibat sekarang. Mana-mana bahagian dunia diduduki oleh manusia-manusia yang disebut perwira atau askar-askar ini. Mereka mengorbankan harta benda, jiwa raganya demi kepentingan negara, bangsa dan ideologi yang diarahkan oleh pemerintah-pemerintah mereka.
Dalam keadaan yang disebutkan di atas itu berlaku juga di tanah air kita. Dalam ketenangan konfrontasi yang berakhir, setelah bertahun-tahun “putih” menyelimuti kehidupan rakyat dari ancaman komunis, tiba-tiba seperti sebuah bom di tengah-tengah ketenangan, peristiwa berdarah berlaku di Keruh-Betung. Pewira-perwira tanah air telah menjadi korban dari serangan mendadak oleh gerombolan-gerombolan yang hari akhir-akhir ini telah memperlihatkan taring dan rahangnya. Peristiwa yang berdarah, yang diikuti oleh teriak dan tangis anak-anak dan janda-janda itu mendapat simpati yang amat besar di kalangan rakyat. Di mana-mana didapati simpati, baik dari kerajaan sendiri atau dari rakyat biasa
Atas simpati terhadap pengorbanan yang dilakukan oleh perwira-perwira kita itu, maka MINGGUAN KOTA BHARU, sebuah mingguan tempatan, telah mengadakan “Malam Perwira” untuk memungut derma bagi bukti simpati terhadap janda-janda dan anak-anak perwira yang gugur. Malam Perwira itu dipenuhi dengan acara-acara syarahan, deklmasi sajak dan cerpen serta disulami dengan sebuah tablo. Semua acara itu bertemakan kepahlawanan perwira-perwira mengawal keamanan negara. [Dalam rencana ini kita khusus hanya membicarakan sajak sahaja].
Sajak-sajak yang dideklamasikan malam itu memperlihatkan kesanggupan deklamator-deklamatornya menyampaikan perasaan hatinya kepada orang ramai. Sajak-sajak yang disampaikan itu adalah ciptaan-ciptaanya sendiri. Seni deklamasi yang kian subur sekarang, memunculkan bakat-bakat penyajak yang amat menyakinkan. Deklamator-deklamator malam itu adalah Abu Bakar Surin, [Pemergianmu Pahlawan], Asiah Yaacob [Gugurnya Seorang Parwira], Wan Muhammad Wan Yunus [Mereka Yang Gugur], Muhammad Kamil Hj. Abdul Majid [Tafakur], Tuan Zahrah Ismail [Prajurit] dan Muhammad Sahir Abdullah [18 September 1968].*
Penyair-penyair yang berbakat ini mendeklamasikannya sendiri sajak-sajaknya dengan gelora jiwa yang berombak-ombak. Dengarlah apa kata Abu Bakar Surin dalam “Pemergian Pahlawan”:
“Ayuh kawan, kumpulkan tenaga perpaduan
Demikian juga terhambur dari rasa hati kaum belia
Kerana hitam membakar bumi ini
Perlu diperjuangkan sebagai suatu kemastian
Bukan semata-mata pada sumpah dan ikrar yang berjela.
Pemergianmu pahlawan tetap kami rasakan kesedihannya
Walaupun kian lama jasadmu sebati di bumi bertuah ini
Tapi engkau adalah segumpal semangat
Yang dinyalakan dari bunga-bunga api kemanusiaan
Semata-mata untuk damai memagari hak pertiwi.
Betapa merdunya suara Abu Bakar yang mencetuskan kesedaran kemanusiaan, bahawa prajurit-prajurit yang mempertahankan tanahair itu adalah gumpalan-gumpalan semangat “yang dinyalakan dari bunga-bunga api kemanusian”. Dalm ertinya yang luas, bahawa prawira-prawira itu adalah dilahirkan untuk mempertahankan hak-hak kemanusiaan dan keamanan tiap-tiap negara. Dengan rasa penuh keinsafan Abu Bakar menamatkan dendangnya dengan penuh sayu:
“Maka terimalah ini sepotong ayat suci untukmu
Alfatihah sebagai penyejuk dari rasa kemanusiaan kami
Semoga damailah rohmu, kawan, di sisi Tuhan Rabbul ‘alamin.
Peristiwa yang paling menyedihkan sekali ialah kisah yang didendangkan oleh Asiah Yaacob dalam “Gugurnya Seorang Perwira” tentang bagaimana perasaan hati seorang gadis yang sedang menunggu kepulangan bakal suaminya yang dilepaskan dengan dada berdebar ke medan perang:
“Tempoh pagi, kulepaskan kanda pergi
Dengan bibir berukir dan mata berkaca
Perasaan berbaur antara biru dan merah
Gegaran hati melepaskan kanda ke garis depan
Memburu pengkhianat, mempertahankan bangsa dan watan
Tapi kukoyak juga sekuntum senyum pahit
Terasa kembang hati yang kucup
Melepas kanda perwira bangsa ke medan juang.
Dan apabila gadis telah melepaskan bakal suaminya pergi ke medan perjuangan, dia sentiasa merasa tidak sedap hati:
“Detik-detik berlalu berat terseksa jiwaku
Pantai hati berdebur selalu dibantai ngilu
Debar yang kian hebat menggempur
Kukenangkan kanda dalam linangan air mata
Terlihat-lihat aku darah yang tumpah”.
Alangkah pilunya hati apabila kemudian:
Kanda pulang hanya mayat
Ditunggu kasihmu di pinggir pusara pengganti pelamin
Kelu lidahku di saat-saat terakhir
Mahligai yang runtuh”.
Mahligai yang diimpi-impikan itu telah runtuh sama sekali. Dan inilah kemucak dari segala kesedihan. Dan semua ini akan ditanggung oleh semua orang yang disebut perwira dan orang-orang yang bertemankan perwira.
Kesayuan Asiah Yaacob tidak demikian dengan Wan Muhammad Wan Yunus dalam sajaknya “Mereka Yang Gugur”. Wan Muhammad memperlihatkan jiwa perwira yang sesungguh-sungguhnya.
“Bila genderang berbunyi
Iramanya sedu bersahadu
Kehebatan maut mengirim irama
Bergetar ke daerah abadi
Bahawa di celah-celah kemusnahan ada muzik
Bahawa dalam air mata ada kilauan keagungan
Dalam lipatan hati itu
Ada hasrat dan ketegasan bertunjak
Yang boleh tersungkur di mana-mana
Pada mengebar bendera kebebasan meski sendirian.
Perwira atau prajurit tetap mempertahankan tanah airnya walaupun secara persendirian. Sebab keamanan tiap-tiap negara itu adalah kewajipan seluruhnya, terutama perwira-perwira tanah air, samada yang bergaji atau tidak. Dan untuk mereka yang bersifat demikian, Wan Muhammad mendendangkan lagunya:
“Ini doa kuhulurkan
Biar selalunya dalam dakapan Malaikat
Ke kudusan dalam dakapan iman
Ganjaran Fridaus
Kan Tuhan selalu berkata:
Mereka selalu hidup dalam dakap mesra.
Benarlah demikian, bahawa perjuangan itu bukan untuk dinilai oleh manusia, akan tetapi untuk dilihat oleh Tuhan dengan ganjaran Syurga Firdaus. Dan dengan penuh perasaan Wan Muhammad berpesan:
“Kepada mudawan
Ku hulurkan sajak ini
Untuk ditatap penuh perasaan
Keutuhan bangsa ini
Kebebasan bangsa ini
Pertahankan dalam kelajuan potret zaman.
Kamu pewaris bapa-bapa yang tersungkur
Dan anak-anak zaman
Kepingin berpesta di taman Firdaus].
Apa yang diucap oleh Wan Muhammad benar sekali, bahawa anak-anak yang tinggal ditanah air ini adalah pewaris dari suatu perjuangan yang gigih sejak zaman berzaman, mewarisi perjuangan Tok Janggut, Bahaman, Haji Abdul Rahman, Maharaja Lela dan lain-lain pejuang negara yang sudah terkorban di tangan musuh.
Dalam sajak ini terdapat asonasi seperti “iramanya sedu bersahadu” dan terdapat juga siratan falsafah yang mendalam dalam bait itu. Misalnya, “Di celah kemusnahan ada muzik” dan “Dalam air mata ada kilau keagungan”. Kedua-duanya memberi erti bahawa dari perjuangan [gugur dan mati] akan melahirkan keamanan [muzik] kepada banyak orang. Demikian juga dengan prajurit tangis anak-anak dan janda-janda oleh kematian ayah dan suami mempunyai pengorbanan dan kegembiraan kerana megah bahawa ayah-ayah dan suaminya adalah pahlawan-pahlawan tanahair yang mati tidak sia-sia.
Demikian juga Muhammad Kamil Hj. Abdul Majid dalam sajaknya “Tafakur” mendendangkan bahawa perwira adalah orang-orang yang benar-benar bertanggungjawab mengamankan dunia ini. Katanya:
“Kala ribut mendurja melanda tanah ibunda
Perwira gagah bersemangat Jebat terus mara
Biar musuh bersenjata moden namun melutut tidak sekali,
Tiada gentar tulang terkulai, darah dan nanah tumpah di bumi
Demi kedamaian umat sejagat! Pahlawan satria
Gugurnya kau bagi kuntum-kuntum di musim bunga
Di langit zaman kau ukir sinar tajli
Menyuluh memancar ke seluruh dada pertiwi”.
Muhammad Kamil mempunyai bakat yang besar sebagai penyair. Dia dapat merasakan betapa besarnya pengorbanan yang dilaksanakan oleh prajurit-prajurit. Dan kerana memikirkan bahawa telah ramai anak-anak yang telah menjadi yatim, maka berserulah beliau dengan nada serius dan bersemangat:
“Akulah mewakili anak-anak zaman ini
Melaungkan kepada seluruh bapak-bapak menteri
Hulurkan kepada mereka nafas-nafas untuk bertunjang
Bukannya cukup dengan hanya tugu tinggi menjulang”
Memanglah demikian. Dengan mendirikan tugu peringatan dan dibuat istiadat memperingati pahlawan-pahlawan yang gugur ketika hari-hari besar tidaklah cukup. Tugu peringatan bukanlah boleh menjamin anak-anak perwira yang yatim. Tidak. Hanya jaminan pemerintah bahwa setiap anak-anak perwira yang gugur dalam mempertahankan negara akan dibela sahajalah, baharu sebenarnya penghargaan pemerintah terhadap pahlawan-pahlawannya.
Oleh sebab semua sajak-sajak yang dideklamasikan ini semuanya bertemakan hal-hal perwira maka isinya seakan-akan sama sahaja. Akan tetapi sajak Muhammad Kamil ini mempunyai keindahannya sebagai sebuah sajak yang baik. Dalam bait yang pertama terdapat asonansi dan alitrasi yang kebanyakan oleh penyair-penyair hal ini diabaikan. Bait ini sekali gus memperlihatkan dua anasir bunyi yang menyegarkan ini. Misalnya “Ribut mendurja melanda tanah ibunda” dan “Tiada gentar tulang-tulang terkulai darah dan nanah tumpah di bumi”. Lihatlah ulangan “M” dalam “mendurja melanda” dan ulang huruf-hurut “T” dalam “Tiada gentar tulang terkulai” serta “tumpah”. Demikian juga dalam “Darah dan nanah tumpah di bumi”. Anasir bunyi yang mnerbitkan alitrasi dan asonansi ini menyegarkan sesebuah sajak yang dicipta oleh penyair kita. Apa lagi sajak-sajak itu dideklamasikan dengan suara dan nada yang betul.
Sajak yang terakhir dibacakan oleh Tuan Zahrah Ismail dalam jodol “Prajurit”. Tuan Zahrah berdendang:
“Kita anak merdeka lahir dari api perjuangan
Tanah ini kita punya dan tidak ada kongsinya
Pohon-pohon dan anak-anak lambang dari segala keamanan
Semua hasil dari perjuangan yang tidak henti-hentinya”.
Kerana memikirkan bahawa perwira adalah pejuang-pejuang yang sejati, maka Tuan Zahrah dengan tidak ragu-ragu mengatakan bahawa:
“Kami anak merdeka lahir dari perjuangan budiman
Selamanya merasa lebih mulia dari pejuang-pejuang dalam Parlimen!”
Pertanyaan bahawa siapakah yang lebih berjasa antara prajurit-prajurit yang memanggul senjata dan gugur dalam medan perjuangan dengan pejuang-pejuang dalam Parlimen, sebenarnya tidak timbul. Kerana masing-masing mempunyai medannya yang tersendiri. Tapi bagi Tuan Zahrah, prajurit-prajurit yang memanggul senjata itulah yang dipandang tinggi dan paling dimuliakan.
Sajak khusus yang dibacakan terasing dalam “Malam Perwira” itu disampaikan oleh Muhammad Shahir Abdullah dengan jodol “18 Haribulan September 1968”, iaitu tanggal Marcos menandatangani undang-undang memasukkan Sabah ke dalam Wilayah Philipina [Sajak itu disiarkan sepenuhnya dalam Dian pada halaman 74-75]. Sajak “18 Haribulan September 1968” ini khusus untuk mengutuk Marcus. Muhammad Shahir berkata dengan nada yang garang:
“Wahai Marcus!
Aku tahu gerak dan kilat hatimu penandatanganan 18 haribulan September 1968
Itu politikmu,itu polisi pilihanrayamu
Tapi Sabah bukan milikmu
Itu darah dan denyut nadi kami
Itu nyawa dan seluruhnya perasaan kami.
Dan dengan semangat yang berkobar-kobar, Muhammad Shahir terus melahirkan semangat perwira untuk mempertahankan tanah air ini dari diperkosa oleh kuasa asing dengan lantang dia melaungkan kesatuan seluruh rakyat Malaysia, bahawa:
“Marcus
Kami sepuluh juta umat sanggup mati
Kami sanggup hancur menjadi debu
Kami sanggup segala-segalanya
Demi cita-cita mempertahankan Malaysia merdeka”.
Sesungguhnya sajak Malam Perwira adalah benar-benar mendirikan bulu roma, menegangkan urat saraf, menaikkan semangat untuk tegak dan terus berjuang demi mempertahankan tanahair.
Bakat-bakat yang berpengharapan besar seperti Muhammad Kamil Haji Abdul Majid, Wan Muhammad Wan Yunus dan Asiah Yaacob adalah lahir dari suatu gelombang perkembangan yang dipupuk terus oleh peraduan-peraduan dan malam-malam deklamasi secara menghidupkan seni deklamasi yang sekarang kelihatan agak tidak diperhatikan, tidak seperti cabang-cabang seni yang lain. Dan kedudukan akhbar tempatan seperti di kota ini, Kota Bharu, bakat-bakat yang mempunyai harapan besar itu akan dapat mengasahkan bakatnya dengan sungguh-sungguh. Dan dengan sekali gus, penyair-penyair muda di atas menimba bahan-bahan sajaknya dari peristiwa Keruh-Betung yang meledak dalam ketenangan kekecohan konfrontasi yang sudah berakhri.
Untuk mengakhiri ulasan singkat ini saya peturunkan sebuah sajak yang berjodol “Perwira”:
“Negara tanpamu
Bukan negara.
Kau tonggak
Kau pagar
Kau adalah:denyut dan degup jantung kami.
Negara tanpamu
Bukan negara.
Kau syaitan
Dari segala kemusnahan
Kau wali
Dari segala perdamaian.
Pemusnahan dunia ini
Dalam tanganmu
Perdamaian dunia ini
Dalam tanganmu.
Kau peluru. Kau bom.
Kau singa. Kau wali
Dan negara tanpamu
Bukan negara”.
Sekian peninggalan SN.S.Othman Kelantan yang kami hormati.
__________________________________________________________
* Penulis berharap mereka yang terlibat dalam penulisan S.Othman Kelantan ini sempat membacanya, termasuk juga mereka yang bersma-sama bertungkus lumus menjayakan rancangan malam itu dan para hadirin sekalian. Penulis memohon maaf kerana dua orang daripada penyajak dan deklamator malam tersebut, iaitu Abu Bakar Surin, dan Tuan Zahrah Ismail buat waktu ini telah terkeluar dari kotak ingatan penulis, sedangkan yang lain-lainya masih penulis ingat.
xxxx
Renunglah:
-“Siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah ia menghubungkan sillaturahim [kasih sayang persaudarannya]”. Musttafaq ‘alaih.
-“Berbaktilah kepada Allah dan hubungkanlah tali persaudaran kamu, kerana yang demikian itu lebih kekal buat kamu di dunia dan lebih baik bagi kamu di Akhirat”. HR:Ibn Jarir.
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai kasih. Sekalung Harmoni.
0 comments:
Post a Comment