Dua Kali Lima:Nujum Pak Belalang

>> Thursday, September 23, 2010


DUA Kali Lima: Nujum Pak Belalang

BILA saya melangkah masuk ke rumah anak saya di Tasik Puteri, dua orang cucu saya sedang menonton TV. Mereka sedang mengikuti cerita Nujum Pak Belalang. Waktu itu Pak Belalang sedang menghadap raja dan di hadapannya ada sebuah mangkuk berisi air untuk mencari harta raja yang telah hilang dilarikan pencuri.

Raja disuruh meninjau ke dalam mangkuk untuk melihat hartanya itu dan diberi amaran, sesiapa yang tak nampak, orang itu pendek umur. Mahu tak mahu raja dan semua yang melihatnya mengaku dia nampak, tapi soalnya di mana?

Saya lalu duduk di kerusi agak jauh dari kaca TV untuk membaca akhbar yang baru sya beli di Medan Tasik Puteri. Tapi belum sempat lipatan akhbar itu saya buka, fikiran saya tiba-tiba melayang kepada perisitiwa yang berlaku kira-kira 40 tahun yang lalu. Masa itu saya masih belum berkahwin.

Pada suatu pagi, ketika itu saya baru sampai ke pejabat, seorang rakan sekerja yang saya panggil “Abang x” segera menemui saya dan meminta tolong saya menghantarnya ke sesuatu tempat untuk berjumpa dengan seseorang. Bila ditanya di mana dan siapa, dia enggan memberitahu hanya berkata, “Tolonglah, dan ikut Abang sahajalah”.

Saya memandu kereta mengkut arahannya. Dari Jalan Tengku Chik kami menuju ke jalan Kuala Krai, dan bila melewati Wakaf Che Yeh, dia menyuruh saya memprlahankan kereta. Tak jauh dari situ dia minta saya belok ke kiri masuk sebuah jalan yang belum bertar, dan tak berapa jauh dari jalan itu kami pun sampai ke sebuah perkampungan. Hari ini saya tidak tahu lagi di mana tempat tersebut, kerana masa selama 40 tahun telah banyak mengubah keadaan.

Abang minta saya berhenti di hadapan sebuah rumah. Abang x keluar dari kereta dan memberi salam kepada orang di atas rumah. Salamnya di jawab, seorang lelaki yang muncul di ambang pintu mempersilakannya naik. Lelaki itu berusia kira-kira 50-an tahun, bertubuh gempal.

Saya ikut Abang x menaiki tangga di belakangnya. Setelah kami bersalaman lelaki itu membentang sebidang tikar mengkuang dan mempersilakan kami duduk. Abang x lalu menceritakan tujuan kedatangannya itu.

Lelaki itu lalu meminta isterinya membawa segelas air kepadanya. Selepas menjampi air itu, dia memanggil seseorang yang berada di dapur rumah supaya keluar.

Dari arah dapur keluar seorang gadis sunti dalam lingkungan usia belasan tahun, berpakaian cara kampung.

Lelaki itu meminta kanak-kanak perempuan itu duduk menghadapi gelas yang berisi air itu, dan menyuruhnya memerhati apa yang dia nampak dalam gelas itu.

Setelah diminta berkali-kali kanak-kanak itupun memerhati dalam gelas tersebut, buat seketika kemudian, di kedengaran menjawab, “Tak nampak apa-apa pun”.

“Tenguk baik-baik. Tenguk lagi”. Kata lelaki itu. Setelah merenungnya beberapa ketika,jawapan yang sama juga diberikan oleh kanak-kanak itu.

“Tenguk sekali lagi baik-baik. Tak kan tak nampak apa-apa”. Desak lelaki itu.

Kanak-kanak itu melakukan apa yang disuruh, tapi jawapannya yang sama juga.

Maka lelaki itu pun bertanya, “Mu tak ambil air sembahayangkah tadi?”.

Bila kanak-kanak itu mengiakan, dia menyuruh kanak-kanak pergi ke dapur mengambil air sembahayang dan keluar semula.

Sejurus kemudian kanak-kanak itu keluar dengan muka dan lengannya masih basah kerana mengambil air sembahayang. Dia disuruh semula melihat ke dalam gelas tadi.

Setelah melihatnya, jawapan yang sama juga diberi, “Tak nampak apa-apa pun”.

Lelaki itu memnyuruhnya membuat berulang-ulang kali, tapi jawapannya sama sahaja. Tak nampak apa-apa.

Akhirnya lelaki itu pun berkata, “ Mu mari cemarkah [maksdunya datang haid], sebab tu tak nampak. Mari biar aku sendiri tenguk”.

Dia mengambil gelas itu lalu merenungnya, kemudian berkata, “Saya nampak, subang berlian itu terletak di dalam car [air bertakung selepas kegunaan rumah] yang terletgak di bawah rumah atau berhampiran rumah”.

Abang x mengatakan rumahnya tak ada car, kerana rumahnya, rumah kedai, di mana airnya terus masuk ke longkang besar.

Lelaki itu menenguk semula ke dalam gelas dan berkata, “Saya nampak macam terletak dalam laci alamari mekup”.

Abang x menjawab rumahnya masih belun ada almari mekup.

Lelaki itu meneguk lagi ke dalam gelas dan berkata, “Kalau tidak dalam laci, ia terletak di atas palang pintu”.

Abang x berkata rumahnya tidak ada palang pintu.

Lelaki itu merenung lagi ke dalam gelas dan bekata, “Ya ni nampak macam terletak atas palang kayu dinding”.

Tapi kata Abang x di rumahnya tak ada kayu palang dinding, kerana semua dinding telah dituutp dengan plywood.

Demikianlah bermacam-macam lagi dinujumkan oleh lelaki itu tapi semunya tidak terdapat di rumah Abang x.

Walau bagaimanapun sebelum meninggalkan rumah itu dia menghulurkan duit RM5 sebagai upah.

Ketika berada dalam kereta, dalam perjalanan pulang, Abang x menceritakan bahwa isterinya menuduh beliau mencuri subang berlian itu untuk diberikan kepada isteri mudanya, kerana dia baru sahaja berkahwin dua. Pergaduhan telah berlaku di antara mereka, kerana isterinya tidak percaya dia tidak mengambilnya.

Beberapa hari selepas itu, bila saya menanya tentang subang berlian yang hilang itu, dia memberitahu subang itu telah ditemui di bawa tilam, tempat yang tidak pernah dinyatakan oleh tukang telek itu.

Saya lalu ketawa, dan dia pun ikut ketawa.

“Kisah ini lebih kurang kisah Pak Belalang”, tiba meluncur kata-kata dari mulut saya.

Menantu saya yang mendengar kata-kata itu lalu bertanya, “Pa kata apa tadi?”.

Sayapun terus memberitahu pengalaman saya itu sambil ketawa........

Sesungguhnya orang-orang yang suka mengambil kesempatan daripada orang yang dilanda kesusahan dan kepayahan itu memang ada di mana-mana dan bila-bila masa sahaja di sepanjang sejarah manusia. Justeru itu kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada supaya tidak terpedaya dengan tipu daya mereka yang ingin mengambil kesempatan dari kesusahan kita. Jangan sudah terhantuk batu menangadah.
xxxxxxxx
Renungilah:

-“Orang yang paling aku kasihi antara kamu dan yang paling dekat kedudukannya denganku pada hari kiamat, ialah orang yang paling baik akhlaknya”. HR:Tarmizi.
-“Sesungguhnya akhlak yang baik itu sesuatu yang sangat berat diletakkan di atas mizan [neraca timbangan]. HR:Abu Daud & Tarmizi].
xxxxxxx
Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP