>> Saturday, November 20, 2021

 


GURUH 



PELAKAR



DI ANGKASA  



DAN



MAKHLUK 



DI BUMI

 

 




Dalam musim hujan yang dikenali dengan musim tengkujuh kita sering melihat langit mendung dan awan gelap berarak yang menandakan hujan akan turun



Fonomena alam ini menggembirakan sesetengah orang yang telah lama berada dalam kepanasan kerana kemarau yang panjang. Khususnya para petani yang berharap hujan akan turun membasah bumi dan mengairkan tanaman-tanaman mereka.



Di samping itu kadangkala  dapat dilihat juga kilat memancar dan diikuti oleh bunyi letusan atau ledakan yang kuat sebutir atau berjela atau  mengheret panjang di angkasa raya.



Ledakan yang kuat bersama kilat memancar itu orang-orang tua Kelantan yang lalu memanggilnya pelakar.



Walau bagaimanapun sebutan yang lebih populer ialah guruh. Namun ada perbezaan maksud antara dua perkataan  tersebut, kerana pelakar maksudnya ialah  guruh yang disertai kilat memancar sementara guruh mungkin tidak  nampak  bersama kilat memancar.



Biasanya bunyi guruh dan pelakar ini dianggap sebagai tanda hujan akan mencurah turun membasah permukaan bumi.



Namun begitu walaupun bunyi guruh bergegar dan kilat sabung menyabung memancar di angkasa, tapi hujan tidak turun walaupun setitik.



Dari keadaan yang tidak diduga inilah timbulnya pepatah di kalangan orang-orang tua kita yang berbunyi “bunyi guruh di langit, air di tempayan dicurahkan”.



Pepatah ini menggambarkan nasib orang yang terlalu optitmis atau orang yang tamak haloba yang mengharap akan memperolehi rezeki yang banyak, lalu menghabiskan apa yang mereka miliki dengan sia-sia, tapi rupanya rezeki yang mereka harap-harapkan itu tidak pernah kunjung tiba, dan ini  menyebabkan  mereka mengalami kerugian berganda.



Kepercayaan



Ada berbagai-bagai kepercayaan lama tentang guruh. Orang-orang tua  di Pantai Timur, khususnya di Kelantan percaya bahawa guruh itu akibat berlakunya perbalahan antara dua ekor naga  iaitu naga hilir dan naga hulu kerana perbezaan sikap mereka terhadap banjir atau hujan.



Naga hulu dikatakan sukakan hujan dan banjir sedangkan naga hilir pula tidak sukakan banjir, maka tercetuslah perbalahan  atau perlawanan  antara keduanya yang menyebabkan bunyi gemuruh di angkasa. Itulah guruh bagi mereka.



Ada sesetengah kaum pula percaya bahawa guruh itu berlaku bila seekor burung besar di angkasa mengebas-ngebaskan kedua-dua belah sayapnya yang mengeluarkan bunyi yang begitu gemuruh.



Ada pula kaum yang mengatakan bahawa guruh itu berlaku kerana tercetusnya  persengketaan di kalangan dewa-dewa di angkasa yang mengeluarkan  bunyi gemuruh di angkasa hingga dapat di dengar sampai ke bumi.



Tindakan



Walau bagaimanapun bunyi guruh dan pancaran kilat yang menyertainya itu menimbulkan rasa gerun atau menakutkan manusia yang mendengar dan melihatnya.



Seperti biasa mereka yang mendengarnya akan mengambil beberapa tindakan untuk menghadapinya ataupun nengurangkan  ketakutan yang  menimpa mereka.



Ibu-ibu yang prihatin bila tiba musim hujan yang berguruh mereka akan membedung bayi mereka kemas-kemas dengan kain lampin dan sebagainya untuk mencegah bayi itu daripada tesentak terkejut bila letusan guruh dan kilat berlaku.



Atau andainya masa berlaku guruh bertalu-talu itu berkebetulan mereka berada bersama, mereka akan memeluk bayi itu kemas-kemas ke badan mereka supaya tidak terkejut dengan ledakan guruh dan pelakar.



Orang-orang dewasa pula akan menuntup kedua-dua lubang telinga mereka dengan menyumbat jari-jari mereka sebaik-baik sahaja mendengar letusan pelakar pertama yang pertama.



Tindakan yang dramatis ialah orang-orang tua yang takutkan guruh dan pelakar ini akan masuk ke bawah rumah, terutama bawah rumah orang lain untuk menyelamatkan diri mereka daripadanya.



Pada masa dahulu semua rumah-rumah kampung dibuat bertiang tinggi dimana mereka boleh masuk di bawanya, malah kadang-kadang boleh berdiri tanpa terhantuk kepalannya ke lantai rumah. 



Mereka hanya akan keluar daripada bawah rumah bila bunyi guruh tidak kedengaran lagi.



Menurut sains, secara ringkasnya guruh berlaku kerana letupan kilat,  sementara kilat atau  pelakar atau petir pula berlaku kerana cetusan elektrik dalam awan. Tapi petir atau kilat kelihatan  terlebih dulu dari bunyi guruh, kerana Allah jadikan perjalanan cahaya lebih laju dari gerakan bunyi. Tegasnya perjalanan cahaya lebih pentas daripada perjalanan bunyi.



Semua fenomena alam ini dijadikan Allah SWT di  atas kehendakNya.



Walau bagaimanapun bila berlaku guruh atau pelakar kita orang Islam diminta supaya berdoa dijauhkan Allah dari bencana fenemona tesebut, tapi doa itu dipohonkan kepada Allah SWT yang menjadikannya dan bukannya kepada guruh dan pelakar itu sendiri yang tidak mempunyai sebarang kuasa, kerana iapun merupakan makhluk yang kena jadi.



Allah SWT ada menyebut dalam Kitab Suci al Quran, dalam Surah  Ar-Ra’d [13] ayat 13 kejadian guruh yang bermaksud:



“Bertasbih guruh serta memujiNya dan  [demikian pula] Malaikat -Malaikat] kerana takut kepadaNya. Dan Dialah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa  yang dikehendakiNya. Dan mereka yang  ingkar itu  membantah [serta mendustakan Rasul] mengenai perkara yang berhubung dengan Allah [dan kuat kuasa Nya] padahal Ia Amat keras azab seksaNya.



Dalam sebuah Hadis Rasulullah SAW mengajarkan sebuah doa untuk dibaca bila melihat pelakar atau mendengar guruh meledak di angkasa; doa itu dipanjatkan kepada Allah bermaksud:



“Ya Allah! Janganlah Engkau membunuh kami dengan kemarahanmu dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azabMu serta ampunilah kami sebelum daripada itu”.



Seterusnya kita juga disunatkan bertasbih kepada Allah:



Subhanalllah!

 


Sekian untuk renungan bersama.



Pondok Rahmat, 144



Kota Bharu Kelantan Darulnaim.



20 November 2021/



15 Raibulakhir 1443.

 



 

 

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP