RUMAH RAKIT SUNGAI KELANTAN MENGHIMBAU KENANGAN

>> Sunday, June 7, 2015







RUMAH RAKIT SUNGAI KELANTAN MENGHIMBAU KENANGAN


Tempat kediaman yang dibina di atas air dipanggil rumah rakit. Rakit yang dibina pondok kecil di atasnya untuk tempat tinggal smentara dalam perjalanan berhanyut di atas sungai, hanya dipanggil rakit, bukan rumah rakit.






 Rumah sakit biasanya dibina dari sepohon batang-batang buloh untuk mengapungkannya. Setelah dibersih, dibuang hujung batang [reba], daun dan bukunya, ia diikat seberkas-seberkas besar, untuk dijadikan pelantaiannya betul-betul terletak di atas air, tanpa sebatang tiang seperti  rumah atas air. Sekurang-kurangnya dua berkas ikatan buloh yang besar diperlukan untuk diikat dan dibina di atasnya lantai daripada papan untuk dijadikan tempat duduk dan meletak barang-barang.


Biasa juga rakit itu dibantu oleh tiub-tiub tayar lori yang besar untuk menolong mengapungkannya supaya tidak tenggelam, lebih-lebih lagi bila batang-batang buloh itu telah usang dan diresapi air ke dalam ruas-ruasnya.






Pada masa-masa yang lalu di Negeri Kelantan terdapat beratus-ratus buah rakit tempat tinggal. Mengikut banci tahun 1981 yang dilakukan oleh Unit Penyelidikan Sosioekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Cawangan Kelantan terdapat 107 buah rumah rakit di negeri ini. Ia terdapat di dua buah jajahan, iaitu 73 buah rumah rakit terdapat di Kota Bharu  dan 34 buah rumah rakit terdapat dalam kawasan Kuala Krai.






 Rumah-rumah rakit ini telah wujud sebelum merdeka lagi, dan pada masa itu merupakan sebahagian tarikan kepada para pelanung yang berkunjung ke negeri Kelantan, kerana ia merupakan sesuatu yang unik yang mungkin tidak rerdapat di negeri-negeri lain di Semenanjung. Andainya rumah-rumah rakit itu masih wujud sampai sekarang, maka usianya hampir seratus tahun atau lebih.





Rumah-rumah rakit ini terdapat di tebing Sungai Kelantan, iaitu di perkarangan Bandar Kota Bharu dan Kuala Krai. Rumah-rumah rakit itu ditambat di tebing-tebing sungai, mungkin juga pada pokok-pokok besar yang tumbuh di tebing-tebing sungai, supaya ia tidak hanyut dibawa arus. Ia menggunakan tali yang besar dan kuat yang boleh diterik dan dikendurkan. Bila air surut tali itu dikendur atau dipanjangkan supaya rakit tidak tersadai di atas darat, dan bila air sungai naik atau banjir, tali itu diterik atau dipendekkan supaya rakit tidak hanyut ke tengah sungai atau jauh dari tebing.


Pada mula-mulanya mereka menggunakan bot-bot yang mereka gunakan untuk perniagaan sebagai tempat kediaman.  Kemudian untuk lebih selesa mereka membina rumah-rumah rakit untuk tempat tinggal dan menetap di situ.


Ada beberapa sebab mereka membina rumah rakit sebagi tempat kediaman. Untuk membolehkan mereka mencari tempat-tempat perniagaan di bandar ataupun berhampiran dengan bandar; kerana mereka menggunakan sungai sebagai jalan perhubunngan pada masa itu, dan juga kerana mereka tidak mempunyai tempat-tempat kediaman di kawasan daratan.




Pada masa tersebut, terdapat  seramai 610 penghuni yang tinggal di rumah rakit di kedua-dua tempat itu, di mana seramai 417 orang atau 68,4 peratus tinggal di rumah rakit di di Kota Bharu, dan seramai 193 orang atau 31.6 peratus lagi tinggal di rumah rakit di Kuala Krai.


Sebahagian besar daripada penghuni-penghuni rumah rakit itu terdiri daripada orang-orang Melayu, iaitu sebanyak 95.3 peratus, dan selebihnya pula, iaitu 1.9 peratus berketurunan Kemboja dan 2.8 peratus berketuruan Thai.




 Dari segi usia penghuninya pula sebahagian besar daripada mereka terdiri  dari orang-orang yang masih muda, iaitu berumur antara 1 hingga 34 tahun. Yang merupakan 78.0 peratus daripada semua penduduk rumah sakit.





Pada umumnya taraf pendidikan mereka tidak memuaskan, di mana ada di antara mereka yang tidak pernah bersekolah langsung atau  bersekolah setakat sekolah rendah sahaja.


Namun begitu, pada suatu masa dulu seorang sahabat saya, yang juga seorang penulis seangkatan dengan S. Othman, Alias Harun dan sebagainya sebleum berhijrah ke Kuala Lumpur kerana kenaikan pangkat pernah tinggal di sebuah rumah rakit berhampiran dengan Pejabat Kastam sakarang. Rumahnya cantik, dindingnya diperbuat dari kayu, dan rasanya selesa untuk dihuni. Ada bekalan api elektrik. Saya pernah berkunjung ke rumah beliau sekali di waktu malam, dan berharap untuk berkunjung lagi, tapi tidak brkesempatan, kerana tiba-tiba saya menemuinya tanpa di diduga di sebuah restoran di Pantai Baru Kuala Lumpur.



 

Pada masa itu di Kuala Krai juga terdapat beberapa rumah rakit yang dibina oleh kerajaan untuk kediaman kaki tangan-kaki tangannya. Pada masa itu terdapat tujuh buah rumah sakit di Kuala Krai yang dibina oleh Kerajaan. Di antara jabatan-jabatan kerjaan itu ialah Jabatan Parit dan Taliair, RISDA, Jabatan Orang Asli, Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai, Polis, Jabatan Penerangan dan Jabatan Kajibumi. Mereka yang ditempatkan di rumah rakit itu tidak dikenakan apa-apa bayaran.


Oleh sebab rumah-rumah rakit dibina sendiri sesuka hati maka keadaan menjadi tambah sesak, seperti rumah-rumah setinggan di  daratan, maka sejak itu kerajaan tidak lagi membenarkan pembinaan rumah sakit, untuk mencegah daripada masalah sosial, keselamatan tempat tinggal seperti banjir  dan problam kesihatan yang berpunca daripada penghuni-penghuni itu sendiri, terutama di mana air sungai itu mereka gunakan untuk keperluan seharian, tapi di situ juga mereka membuang najis-najis mereka.


Demikianlah sedikit tinjauan rumah rakit di Negeri Kelantan yang menghimbau kenangan kita ke masa-masa yang lalu sebagai satu catatan sejarah yang unik bagi negeri ini.


Sekian.

Lorong Masjid,
Kubang Siput,
PT.KB, Kelantan.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP