BERBICARA TENTANG LANGIT

>> Tuesday, June 9, 2015






BERBICARA TENTANG LANGIT



LANGIT itu letaknya tinggi di sebelah atas. Keadaannya kelihatan melengkung menyerkup bumi kiranya kita berada di tempat lapang, seperti di pesisir pantai.




Manakah langit? Awan, bulan, bintang, matahari bukan langit. Ia hanya mungkin sebahagian daripada benda-benda yang berada di langit. Manakah yang dikatakan langit itu?

Sebenarnya tidak banyak yang diketahui tentang rahsia langit. Kebanyakan benda-benda yang dibicarakan oleh manusia ialah mengenai benda-benda yang berada di angkasa atau di luar angksa, seperti galaxsi, bulan, bintang-bintang, awan-gemawan, gerhana, warna-warni langit waktu pagi dan petang dan sebagainya.

Kita petik  beberapa pendapat  yang mendifinasikan tentang pengertian langit:

-“Yang tampak terbentang di atas bumi tempat bintang-bintang berkilauan”.-Kamus Bahasa Indonesia.

-“ Lengkung yang tampaknya biru dan melingkungi bumi”.-Kamus Dewan, Edisi Ketiga.

-“Ruang di mana kita melihat mata hari, bulan, bintang-bintang dan awan-awan”.-Oxford Progressive English Reader’ Dictionary.

-“Kawasan atas awan- Matahari, bulan dan bintang-bintang ada di atas langit”. Kamus Rendah Federal

Apakah sebenarnya langi?

Yang pasti langit itu suatu ruang atau kejadian yang terbentang di sebelah atas, khususnya tinggi di atas bumi. Pada langit itu terdapat, bulan, bintang, matahari dan sebagainya dari benda-benda yang terletak di sebelah atas.

Tapi dengan apakah langit itu dibentuk, sebagaimana bumi terjadi dari beberapa unsur, seperti tanah, pasir, batu-batu dan sebagainya?

Kita kata manusia telah berjaya naik ke langit, tapi di manakah langit itu? Bulan bukan langit, ia hanya satu objek yang terdapat di langit? Bintang-bintang bukan langit, tapi sebahagian daripada objek yang terdapat di langit?






Kita kkata matahari muncul di kaki langit, tapi manakah kaki langit itu? Bolehkah kita rasa kaki langit itu, sebagaimana kita rasa ketika kita memijak kaki bukit atau kemuncak gunung?

Langit Dalam Bahasa

Sebagaimana biasa, benda-benda besar dan istimewa, seperti langit ini digunakan oleh orang-orang tua kita sebagai objek dalam peribahasa mereka, antaranya:

a.Langit menyerkup kepala.
Maskudnya tidak ada peluang lagi untuk melepas atau menghindarkan diri dari sesuatu.

b.Langit runtuh bumi cair
Maksudnya, kehilangan tempat pergantungan hidup.

c.Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Maksudnya, kita hendaklah mengikut adat resam di mana kita tinggal.

d.Kalau langit hendak runtuh, bolehkah ditahan dengan telunjuk.
Maksudnya, orang-orang kecil atau rendah tidak mampu melawan kehendak orang-orang besar atau atasan.

e.Seperti langit dengan bumi.
Maksudnya terdapat perbezaan yang jauh antara satu sama lain.

f.Ke langit tak sampai. ke bumi tak nyata.
Maksudnya, terbangkalai.

e.Naik ke langit
Hilang lesap entah ke mana-mana.

f.Melangit
Memuji terlalu tinggi.

g.Setinggi langit
Maksudnya sesuatu yang berada di tempat yang amat jauh atau tinggi sekali.

Di samping itu ada pula nama-nama yang menggunakan perkataan langit yang membawa erti yang berlainan dari langit yang sebenarnya:

-Langit-langit
a.Ialah kain yang dipasang di bawah atap atau siling bilik

b.Kain yang terletak di bahagian atas kelambu.

c.Bahagian atas rongga dalam mulut.-lelangit.

-Tunjuk langit

Sejenis pokok renek sekali dan halus batangnya, tapi kelihatan naik tegak seolah-olah ingin menjulang langit. Ia digunakan untuk perubatan tradisional.




Dalam Bahasa Inggeris

Dalam bahasa Inggeris juga dapat perkataan langit untuk menggambarkan sesuatu.

Sky-lark
Sejenis burung kecil yang menyanyi-nyanyi ketika terbang tinggi di angkasa.

Sky-light
Jendela yang terletak di atap rumah.

Skyline
Pemandangan gunung-ganang, bukit-bukau, bangunan-bangunan dan sebagainya yang kelihatan di kaki langit.

Sky-scraper
Bangunan yang tinggi sekali. Dalam bahasa Malaysianya dipanggil Pencakar Langit.

Mi’raj

Sebuah peristiwa yang cukup menarik kepada umat Islam ialah peristiwa Isra’ dan M’raj. Ia menjadi cabaran hebat kepada keimanan umat Islam. Mi’raj ialah  perjalanan Rasulullah SAW naik ke langit, untuk mengadap Allah dan menerima perintah solat.

Dalam Mi’raj itu Nabi SAW telah melalui tujuh lapis langit, dan menemui beberapa orang Rasul.

Langit pertama.

Nabi Muhammad SAW telah bertemu dengan Nabi Adam as di langit pertama.

Langit Kedua

Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Isa as dan Nabi Yahya as. di langit kedua.

Langit Ketiga

Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Yusuff, seorang nabi yang cantik rupawan parasnya di langit ketiga.

Langit keempat

Nabi Muhammad SAW  bertemu dengan Nabi Idris as, di langit keempat. Seorang Nabi yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

Langit kelima
                                
Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Harun as di langit kelima..

Langit Keenam

Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Musa as di langit keenam.

Langit Ketujuh

Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Nabi Ibrahim as di langit ketujuh. Pada masa itu Nabi Ibrahim as sedang bersandar di Baitul Ma’mur.

Dalam pertemuan itu Nabi Ibrahim menasihatkan umat Nabi Muhammad SAW supaya memperbanyakkan tanaman syurga, iaitu terdiri dari unggapan:

-LAA HAULA WALLA QUWWATAILLA BILLAAAHIL ALIYYIL AZEIM atau

-SUBHANAAHI WAL HAMDULLILAAHI  WAAILAAHA ILLILLAAH  HUWALLAHU AK BAR

Kemudian Nabi Muhammad SAW bersama dengan Jbril naik ke Sidratil Muntaha. Di situ Nabi Muhammad SAW melihat empat batang sungai, di mana dua batang sungai mengalir dari syurga, sementara dua batang lagi ialah Sungai Nil dan Eufrat.

Selepas melihat syurga dan neraka Baginda SAW naik sendirian ke Mustawa, di mana Baginda SAW mendengar garisan pena menulis hukum-hukum Allah di Lauhul-Mahfuzh.

Kemudian Baginda SAW diangkat setingkat lagi sampai ke Arasy, di mana Baginda SAW menerima perintah solat, dan juga perintah-perintah yang lain yang belum disampaikan kepada nabi-nabi yang lain sebelumnya.

Dalam Al-Quran

Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang menyentuh tentang langit, di sini saya kutip satu dua ayat sahaja sebagai contoh.

“Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, pergantian malam dan siang, kapal yang belayar di laut dengan [muatan] yang bermanafaat bagi manusia, apa yang diturunkan Allah dari langit berupa air, lalu dengan itu dihidupkannya bumi setelah mati [kering] dan Dia tebarkannya dalamnya bermacam-macam binatang, dan perkisaran angin dan awan yang dikendalikan dari langit dan bumi, [semua itu] sungguh merupakan tanda-tanda [kebesaran Allah] bagi orang-orang yang mengerti”.Al-Baqarah [2] : 164.

“Sesungguhnya pada pergantian malam dan siang, dan pada apa yang diciptakan Allah di langit dan di bumi, pasti terdapat tanda-tanda [kebesaran-Nya] bagi orang-orang yang bertakwa”. Yunus [10]: 6.

“Dan berapa banyak tanda-tanda [kebesaran Allah] di langit dan di bumi yang mereka lalui, namun mereka berpaling darinya”.Yusuf [12]: 105.

Demikianlah sedikti bicara tentang langit, salah satu ciptaan Allah SWT yang unik yang membuktikan keagungan dan kemuliaan-Nya.

Lorong Masjid,
Kg.Kubang Siput,
PT. KB. Kelantan.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP