AIDILFITRI HANGUS DIBAKAR MERCUN

>> Monday, July 28, 2014




AIDILFITRI DIBAKAR MERCUN


Salah satu tanda ketibaan hari-hari raya dalam masyarakat kita hari ini adalah bunyi ledakan mercun yang gegak gempita mengegar seluruh suasana syahdu hari raya. Malah mercun ini telah meletus sebelum lagi ketibaan hari raya  sebagai mengalu-alukan kunjungannya, dan menjadi lebih gempita di malam hari raya seperti semalam.



 
Kalau dulu mainan mercun ini hanya berlegar di sekitar kawasan perbandaran atau di pinggir-pinggir perbandaran, tapi sejak kebelakangan ini letupan-letupannya telah jauh menyantuni sampai ke ceruk-ceruk desa. Desa-desa yang selama ini tenang dengan suara takbir sepanjang hari raya, telah dicemari oleh gempa-gempa kebisingan mercun  yang mengeluarkan asap-asapnya yang tidak menyelerakan hidung selain bunyinya yang menyumbat telinga.


Bermain mercun bukanlah amalan tradisi orang-orang Melayu kita, tapi amalan bangsa lain yang kita contohi untuk dijadikan sebahagian daripada kehidupan beragama kita. Lama sebelum masyarakat kita mengenal mercun, anak-anak tradisional kita menyambut hari raya dengan meriam buloh yang berdentan-dentum di kampung-kampung. Namun begitu ledakannya tidaklah menganggu orang ramai seperti mercun, kerana biasanya meriam buloh diletak jauh dari rumah orang, lagi pun meriam buluh tidaklah besar bilangannya seperti penggunaan mercun, dan belanja untuk membinanyanya tidak pula besar seperti membeli mercun.


Tapi permainan meriam buloh terpaksa diharamkan kerana sejak ke belakangannya kerap menimbulkan masalah, mencederaparahkan pemain-pemiannya, kebanyakannya kanak-kanak yang tidak mengerti cara selamat penggunaannya. Demikian juga pada mula-mulanya pembakaran mercun tidak dilarang, demikian juga penjualannya, tapi oleh sebab ianya sering menimpakan bencana kecederaan, maka penggunaannya terpaksa juga diharamkan oleh pihak berkuasa.


Namun begitu, walaupun penggunaan mercun telah diharamkan, tapi anak-anak kita masih ramai bermain mercun setiap kali tiba hari raya yang mulia, sedang meriam buloh tidak lagi kedengaran digunakan. Tangkapan yang dibuat terhadap para penjual mercun dan dikenakan hukuman yang sewajarnya oleh mahkamah, tidaklah mematahkan hati penjual-penjual para peniaga mercun untuk mencari duit lebih walaupun menjual barang haram. Itulah sebabnya kita rasa dan lihat penggunaan mercun masih meluas dalam masyarakat kita setiap kali menjenlang hari raya.

Seperti biasa, letupan-letupan mercun, terutamanya di malam raya, dapat didengar sepanjang malam, dari jauh dan dekat. Ia bukan sahaja boleh menganggu para penduduk setempat di rumah-rumah mereka, tapi juga menganggu orang-orang yang bersolat, beramal ibadat di surau-surau dan masjid-masjid yang terletak di sekitar perumahan, di kampung-kampung dan desa dengan bunyi yang memekak telinga ketika umat Islam sedang solat berjemaah.


Ada ahli jemaah bersungut kesal dengan nada yang keras bahawa bunyi mercun ini lebih hebat dari bunyi bom yang membakar bumi Palestin, menganggu mereka yang sedang bersolat.


Ada pula ahli-ahli jemaah mendakwa bunyi mercun dekat rumahnya itu selepas berhenti sekejap selepas Isyak, dan disambung semula kira-kira pukul tiga pagi, dan tidak berhenti walaupun azan Subuh telah dikumandangkan. Katanya semalaman itu dia tidak dapat melelapkan mata, kerana mereka rumah jiran yang bermain mercun itu berdekatan dengan rumahnya.

Ada pula yang sangat marah, dan sanggup melemparkan kutukan, “Bermain mercun ini permainan syaitan. Mainan orang kafir. Kenapa kita tiru? Membazir duit sahaja. Ada mercun yang harganya mencecah sampai beratus ringgit setiap satu. Bodoh sungguh kita”.


Selain itu berbagai-bagai sungutan dan celaan lagi terhadap pemain-pemain mercun yang dapat kita dengar daripada umat Islam yang memang wajar tidak membenarkan orang-orang Islam bermain mercun, kerana membazir dan juga merbahaya yang sering menimpa pemainnya setiap tahun di hari yang mulia ini. Kenapa kita masih tidak pernah serik-serik dan nampak sengaja berusaha untuk menempah bencana?


Yang amat dikesali ialah kenapa para ibu bapa mengizin malah menggalakan anak-anak mereka bermain mercun yang telah diketahui mempunyai risiko yang tinggi itu? Malah ada di antara mereka yang sengaja membeli mercun untuk dihadiahkan kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka untuk bergembira sepanjang hari raya.


Andainya mereka adakan sambutan hari raya di mana sanak saudara berkumpul untuk menyatukan keluarga, maka salah satu tidak rasmi acara yang tidak mesti ketinggalan ialah membakar mercun di kalangan kanak-kanak. Ada sahaja mereka yang membeli dan membawa mercun ke majlis tersebut. Tapi bila tiba masanya, yang membakar mercun bukan lagi kanak-kanak, tapi telah diambilalih oleh orang-orang dewasa, di mana kanak-kanak hanya menjadi penonton dan gembira melihat orang-orang tua bermain mercun seperti mereka juga.


Pelik? Tidak. Kerana inilah realiti yang sebenarnya umat Islam di Malaysia hari ini.


Walau bagaimanapun, di celah-celah dentuman mercun yang membakar Aidilfitri itu, masih juga terdengar alunan takbir hari raya yang bergema dari masjid-masjid dan surau-surau dengan memberi pengertian dan efek yang mungkin berbeza-beza terhadap setiap hati dan jiwa mereka yang mendengarnya

Lagu mana ni?

Allahu Akbar.





Read more...

KENAPA BIARKAN AIDILFITRI KEHILANGAN IDENTITI KEISLAMANNYA?

>> Sunday, July 27, 2014





                                                                            
AIDILFITRI YANG KEHILANGAN INDENTITI KEISLAMANNYA


Seperti lumrah kita menyambut kedatangan Aidilfitri bersemarak dengan penuh kemeriahan. Kita sambutnya dengan penuh kegembiraan, tidak kira bila dan di mana umat Islam berada. Lama sebelum ketibaan hari tersebut, kita telah melakar acara-acara dan program dengan saksama untuk beria gembira di hari raya mulia itu. Ia meliputi program berpakaian, makan minum, perhiasan rumahtangga, serta pesta-pesta hiburan untuk menambahkan  kemeriahan sambutan hari raya.



Sedar atau tidak sedar, sejak kebelakangan ini kita jadikan hari raya itu sebagai hari untuk bergembira dan berpesta ria semata. Justeru kita sering melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak wajar pada hari Aidilfitri yang mulia ini. Malah kadang-kadang kita melakukan perkara-perkara maksiat yang bercanggah dengan nilai-nilai keIslaman yang suci. Kita tidak peduli, walaupun perkara yang kita lakukan itu terang-terangan membawa kepada dosa-dosa yang boleh merosakkan suasana suci hari raya, malah secara langusng boleh menguggatkan keimanan kita sebagai umat Islam.


Sudah agak lama kita menukar sambutan hari raya yang berbentuk agama kepada aneka corak sambutan yang bercanggah dengan agama kita. Sedangkan hari raya itu sebahagian daripada upcara keagamaan kita, tapi sedar atau tidak sedar, kita sering menukarnya menjadi perayaan yang bukan lagi bercorak keagamaan. Kita telah musnahkan nilai-nilai agama yang mulia itu, dengan menjadikan sambutan hari raya itu semacam sambutan pesta budaya yang bercanggah dengan ajaran agama kita. Kita jadikan hari raya itu sebagai hari berpesta, hari untuk bersuka ria yang kita penuhi dengan segala macam hiburan yang melekakan, dan kita penuhi dengan tindakan-tindakan yang mencerminkan kita telah menjadi hamba nafsu kita yang sebenarnya yang telah terpengaruh dengan godaan syaitan. Kita sambut hari raya dengan penuh kemeriahan, tapi dalam kemeriahan itu kita telah kehilangan identiti kita sebagai orang Islam.

Untuk bergembira dan berhibur tidaklah dihalang, tapi bergembira dan berhibur itu janganlah mejangkau keluar sempadan agama yang telah menentukan batasnya yang tidak boleh dilanggari demi kesucian keimanan kita, demi kemuliaan agama kita. Janganlah kita merelakan diri dan jiwa kita dilanyak oleh nafsu kita untuk berhibur yang boleh membinasakan, dan menghilangkan segala nilai-nilai keagamaan yang terdapat di dalam Aidilfitri itu sendiri.


Marilah kita renung-renungkan. Menoleh ke belakang untuk meletakkannya dalam neraca pertimbangan agama kita yang lohor. Semoga dengan itu kita akan tersedar daripada tindakan-tindakan yang telah kita lakukan itu telah tergelincir  dari jalan kebenaran yang dikehendaki oleh agama kita. Sedarkah kita, sudah sekian lama kita cemari hari raya yang mulia dengan berbagai-bagai perkara yang tidak wajar sama sekali kita lakukan, amalan-amalan yang bercambah-ruah dengan kehendak-kehendak agama kita yang suci dan mulia.


Cubalah perhatikan berapa ramai anak-anak muda kita, khususnya yang tinggal di kota-kota telah kesesatan  dalam sambutan hari raya mereka? Mereka mengambil kesempatan pada hari yang mulia ini, untuk bersosial dan campur gaul dengan bebas, antara lelaki dan perempuan. Mereka makan minum bersama dan berpergian ke sana ke mari dengan merdeka seperti sepasang suami isteri yang sudah bernikah.


Malah lebih jauh, ada di antara mereka melibatkan diri mereka dalam kerja-kerja durjana dengan berpesta minuman keras dan penyalahgunaan dadah. Aktiviti-aktiviti haram yang membawa mereka keluar dari kemanusiaanwi, malah boleh membunuh diri mereka, walaupun jiwanya telah lama biansa.


Ada di antara mereka berempit dengan motosikal-motosikal ke sana ke mari, atau berpesta dengan kereta di jalan-jalan raya, dengan pemanduan tidak lagi dapat dikawal dengan sewajarnya yang akan mengkahirkan mereka dengan tragedi berdarah. Pada stiap hari perayaan, seperti hari raya, para petugas di hospital, seperti jururawat dan doktor-doktor terpaksa berjaga-jaga, kerana pada hari-hari seumpama itu mereka akan menerima ramai tamu yang tidak diingin di hospital-hospital mereka, iaitu para penunggang kenderaan yang nahas jalan raya, khususnya dalam kalangan anak-anak muda kita yang berpesta. Ada di antara mereka mengalami kecedaran kekal dan ada juga yang cedera maut.


Malangnya, segala amalan-amalan bejat itu dilakukan dengan restu sesetengaah ibu bapa mereka sendiri yang memberi lampu hijjau kepada anak-anak muda mereka bercampur gaul dengan bebas lepas seperti haiwan-haiwan yang tidak berakal, yang selama ini menggalakan kelahiran anak-anak haram. Kepada siapa hendak disalahlan, kalau kepada diri sendiri?


Tidak cukup dengan itu, aneka media massa, akan mengambil kesempatan hari mulia ini untuk mempromosikan berbagai-bagai program hiburan hari raya, tanpa mengira halal atau haram corak persembahannya? Akhbar-akhbar, radio dan tv semuanya akan mengambil kesempatan untuk berhibur, persis hari raya itu hari bebas untuk berhibur-hibur tanpa batas. Prgoram-program dan laman-laman khas untuk hiburan hari raya telah disusun dan diatur dengan begitu rapi dan canggih untuk mengambil perhatian yang lebih dari para pemabca, pendengar dan penonton yang mungkin telah sesat dalam pencarian hiburan.


Tidak memadai dengan itu, para pengamal media juga biasanya menyiarkan berita-berita khsusus tentang pesta-pesta sambutan hari raya oleh para artis, para penghibur dan juga para budayawan kita. Cubalah perhatikan, apakah pesta-pesta yang dianjurkan itu selari dengan kehendak agama, atau sebaliknya selaras dengan kehendak nafsu kita yang rakus?


Malah sebelum hari raya lagi, setidak-tidaknya masuk sahaja bulan Ramadan berbagai-bagai peristiwa  yang dikaitkan dengan hari raya telah dijadikan laporan khusus, terutama sekali mengenai penyediaan makanan dan pakaian hari raya, bukan sahaja tidak sederhana, tapi secara yang berlebih-lebihan, malampaui batas dalam tujuan dan juga dalam bentuk penayampaiannya yang tidak Islamik, bagaimana tidak Islamiknya wanita-wanita yang muncul di kaca-kaca TV dengan para Ustaz berbicara tentang agama, dengan membuka aurat?


Media-media massa, seperti akhbar, majalah dan tv telah lama mengheret kita keluar dari ajaran berhibur yang benar mengikut Islam. Mereka telah membawa peminat-peminatnya kembara di lembah-lembah penyelewengan yang hitam dan gelap untuk menyambut hari raya.


Perkara-perkara seumpama ini merupakan amalan yang telah tergelincir dalam ajaran Islam yang sebenarnya dalam menyambut hari raya yang mulia itu. Ia telah lari dari ajaran agama yang sebenarnya yang menuntut kita menjaga kesucian hari yang mulia itu, bukan dengan menodainya dengan tindakan-tindakan kita yang menyanggah ajarannya dengan perbuatan-perbutan kita yang melampaui batasan.


Kita sepatutnya merayakan hari mulia, dan hari kejayaan ini dengan penuh kesyukuran dan takzim kepada Allah yang dengan rahmatnya kita mampu menghadapi segala cabaran-cabaran yang boleh memusnahkan ibadat puasa kita selama sebulan Ramadan itu, hingga sampai ke penghujungnya dengan pengurniaan Aidilfitri yag kita rayakan dengan pemuh takwa dan kerendahan hati.


Kalau selama sebulan Ramadan kita telah mampu membendung segala keinginan-keingnan nafsu ynag menggoda kita yang sentiasa semarak untuk menyelewengkan kita daripada jalan-jalan yang lurus dan terang benderang dan ke jalan bengkok dan gelap gelmat yang di penghujungnya bukan berakhir dengan syurga tapi sebaliknya neraka yang merupakan seburuk-buruk tempat untuk dijadikan istana. Justeru pada hari raya yang mulia ini, janganlah sama sekali kita nembuka bedung dan ikatan yang telah kita pasungkan ke atas diri kita untuk membuka segala perintah-perintah yang berupa larangan Allah. Malah bedungan itu hendaklah sentiasa kita ketatkan simpulannya  selepas hari raya dan untuk selama-lamanya selagi nafas di kandung jasad sebelum kita pulang ke pangkuan Ilahi.

Marilah kita kembali ke pangkal jalan, kalau selama ini kita berada dalam kesesatan dalam mencipta suasana-suasana hari raya dengan mengotorinya dengan amalan-amalan yang tidak diizinkah oleh Allah dengan aneka pesta dan hiburan yang melalaikan.


Marilah kita tinggalkan segala bentuk penyelewengan, segala macam kemaksiatan, segala macam fitnah, dan kembali kepada kebenaran, jalan pilihan kita, jalan yang unggul dan diredai Allah. Itulah sistem hidup kita, dan itulah perjalanan hidup pilihan kita sebagai hamba Allah, untuk mencari keredaaan-Nya, demi kebahagian hidup kita dunia dan akhirat. Itulah jalan kita yang tersendiri, jalan Allah, satu-satunya jalan pilihan  yang tidak boleh kita mungkiri sebagai umat Islam. Tidak ada lagi jalan lain, selain jalan Islam yang diredai Allah.

 

Read more...

MASJID AL-QASIMI DIKUNJUNGI IMAM MASJID MADINAH

>> Friday, July 25, 2014






MASJID Al-QASIMI DIKUNJUNGI  IMAM MASJID MADINAH 

 Syikh Hisyam Abdul Bari







Masjid al-Qasimi Pasir Tumbuh sekali lagi mendapat penghormatan dikunjungi oleh dua orang Imam Masjid Madinah hari ini, penghujung bulan Ramadan yang mulia, iaitu hari pada Jumaat  27 Ramadan 1435.

 Salah seorang dari mereka Hisyam Abdul Bari bersama dengan rakan sejawatnya yang mengimami solat Jumaat hari ini. Suara beliau menawan para Jemaah yang kyusuk berso[at.

Kemudian selepas solat, kedua-dua Imam telah memperdengarkan bacaan al-Quran singkat untuk para jemaah Jumaat.

Membaca Al-Quran







Para jemaah berebut untuk bersalaman dengan keduanya, malah ada di antara mereka yang merakam foto kenangan.


Semoga kita mendapat manfaat dari bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dialunkan oleh mereka.





                                         Para Jemaah Sedang Mendengar bacaan al-Qiran


Allah:berfirman:

"Wahai manusia! Sesungguhnya telah sampai kepadamu bukti kebenaran dari Tuhan-mu,dan telah Kami turun kepadamu cahaya yang terang benderang, iaitu al-Quran". An-Nisa':174.

Dan Allah berfirman:
 
“Dan sekiranya ada suatu bacaan [kitab suci] yang dengan bacaan itu gunung-gunug dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau oleh kerananya orang yang sudah mati dapat berbicara [ itulah al-Quran]”. Al-Ra’d: 31


 




Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP