Adakah Anda Ingin Umur Panjang?

>> Friday, June 28, 2013




                                                                                                                              
ADAKAH ANDA  INGIN  PANJANG USIA?


Biasanya setiap orang ingin berusia panjang, dengan beraneka sebab yang mereka sahaja mengetahuinya. Oleh itu ada di antara mereka selain daripada berdoa untuk minta dipanjangkan usia, tapi juga berusaha melakukan berbagai-bagai aktitviti untuk mengelak daripada titimpa oleh berbagai-bagai jenis penyakit kronik yang biasanya menjadi punca kepada kematian masyarkat dunia dulu dan sekarang.

Dr. Flander Dunbar, Pengarah Penyiasatan Penaykit Jiwaraga Universiti Columbia, Amerika Syarikat pernah membuat kajian terhadap 300 orang lelaki dan wanita yang berusia 100 tahun atau lebih mengenai rahsia usia mereka yang lanjut itu. Hasil penyiasatan itu telah mendedahkan beberapa sifat-sifat yang dimiliki oleh mereka yang berusia 100 tahun atau lebih itu.

Kita pungut di sini untuk perhatian bersama.

Berumah Tangga

Salah satu factor umur panjang yang terdedah dalam kajian itu ialah berumahtangga atau berkahwin. Mereka yang berkahwin biasanya berumur panjang. 98 peratus orang-orang di dalam kajian itu semuanya sudah beruamhtangga. Daripada itu pula sebanyak 39 peratus adalah terdiri dari mereka yang berkahwin lebih dari satu kali. Walaupun pasangan hidup mereka telah meninggal dalam usia  90 atau 100 tahun, tapi kecendrungan suami atau isteri yang masih hidup ialah untuk berkahwin lagi. Kebanyakan perkahwinan mereka berbahagia dan jarang berlaku perceraian.

Germbira Dengan Kerja

Kajian itu menunjukkan semua mereka berbahagia dengan pekerjaan mereka. Kajian itu menunjukkan mereka sukakan pekerjaan mereka, kerana mereka sendiri yang menjadi majikannya. Justeru pertentangan pendapat tidak berlaku semasa bekerja. Kebanyakan mereka yang berusia 100 tahun itu terdiri dari majikan, ilmuan dan bekerja sendiri.

Sesetengah daripada mereka yang bekerja dalam organisasi-organisasi yang besar bila mendapati diri mereka tidak sesuai dengan ketuanya, atau terpaksa bekerja dalam suasana yang tegang dan tertekan, mereka mengatasi keadaan itu dengan mencari pekerjaan baru yang mempunyai suasana kerja yang lebih menyenangkan.

Keluarga Besar

Orang-orang yang menyertaii kajian itu semuanya mempunyai keluarga yang besar. Jumlah ebrej anak setiap keluarga ialah 4 orang, berbanding dengan 1.6 orang di kalangan seluruh penduduk tempatan seluruhnya.

Menyertai Pertubuhan Amal

Kebanyakan mereka yang berusia 100 tahun itu adalah menjadi ahli kepada sesuatu pertubuhan amal atau kebajikan. Salah seorang wanita tua yang berusia 90 tahun dalam pernyiasatan itu masih lagi berusaha memungut derma bagi faedah yang berhubung dengan keagamaannya.

Bekerja Sepanjang Usia

Cita-cita untuk terus bekerja sepanjang hayat walaupun selepas masa pencen adalah salah satu lagi rahsia panjang usia. Kebanyakan mereka yang dikaji itu, masih lagi bekerja walaupun usia mereka sudah melebihi usia 65 tahun. Malah mereka mahu terus bergiat dan untuk mencapai kejayaan baru.

Mereka tidak memikirkan masa-masa yang telah lalu, dan menunjukkan minat yang besar kepada keadaan sekitarnya dan juga kepada perkembangan-perkambangan baru, sambil memandang ke hadapan. Mereka berfikir, mereka boleh hidup lama lagi, dan mereka mahu terus bebas dan merdeka dari segi kewangan dan perasaan.

Seorang banker bank yang berusia 100 tahun selepas menyerahkan pekerjaannya kepada anaknya, lalu merancang untuk menubuhkan pertubuhan-pertubuhan belia di seluruh negeri. Contoh yang satu lagi ialah Theodore Francis Green, walaupun usianya sudah lebih 90 tahun waktu itu, tapi masih kuat, dan menjadi salah seorang penasihat undang-udang yang terkenal dan pernah menjadi pengerusi Komiti Dewan Senat Perhubungan Luar Negara.

Dr. David Stone Cypher, pernah memberi wejengan kepada orang-orang yang ingin hidup sampai tua dengan pernyataan yang singkat, “Janganlah menyerahkan sesuatu yang tak wajar diserah”.

Hidup Dalam Bandar Yang Sibuk Dan Bising
Walaupun ganjil kedengaran, tapi hidup dalam bandar yang sibuk dan bising merupakan faktor mereka berusia panjang.
Kajian Dr. Flander Danbar itu menunjukkan kebanyakan orang-orang yang panjang usianya ialah mereka yang hidup di bandar-bandar yang genting dan kuat tekanan hidupnya, dan bukan di tempat-tempat yang sebaliknya.

Suka Bergaul

Satu lagi sifat orang-orang yang berusia panjang itu ialah mempunyai ramai kawan, pandai berjenaka, dan orang-orang merasa senang bila bergaul dengannya. Kebanyakan mereka mudah mencari sahabat, gembira dan disukai orang. Perasaan mereka aman tenteram dan mereka mempunyai pandangan hidup yang sangkaria atau optimis.

Dr. Dunbar memberi contoh , seorang tua yang berusia 90 tahun, bila ditanya adakah dia ingin belajar tentang ilmu haiwan dan ilmu tumbuh-tumbuhan yang memakan masa selama 5 tahun, dia menjawab, “Lima tahun tidak apa-apa, ayah saya meninggal dunia ketika berusia 140 tahun dengan rambutnya beruban putih”.

[Pagi tadi, 28 Jun 2013] penulis  telah terbaca sebuah berita ringkas tentang seorang wanita tua yang berusia 100 tahun. Dia dilahirkan pada tahun 1913 di Oaxaca, Mexico. Wanita itu namanya Manuela Hernandez baru berjaya menamatkan pelajaran sekolah rendahya, dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah pada tahun hadapan.

Katanya dia hanya sempat belajar sekolah selama setahun sebelum Perang Dunia Pertama meletus, dan terpaksa berhenti sekolah untuk membantu keluarga menjalankan kerja-kerja rumah. Katanya hasrat beliau untuk masuk sekolah itu terbuka bila disuarakan oleh cucunya ketika beliau berusia 99 tahun].

Hidup Tenteram

Satu lagi rahsia panjang usia ialah berjuang dalam hidup dengan tenang setiap hari. Kajian Dr. Dunbar itu menunjukkan bahawa kehampaan dan kebimbangan yang selaris atau kerap berlaku  itu dapat memendekkan usia seseorang selama beberapa tahun.

Seorang tua yang berusia 100 tahun lebih pernah menegaskan, “Hidup saya sejak dahulu adalah menarik. Saya pernah digilis trak. Saya pernah kena tembak, dan mengalami pecah kepala sebanyak tiga kali, tapi saya masih hidup sampai sekarang”.

Walau bagaimanapun, kepada kita umat Islam perkara yang amat penting dalam membelanja usia ini, baik pendek atau panjang ialah berhubung dengan mutu atau nilai   hidup kita itu. Ke manakah kita telah membawa usia kita itu sepanjang hidup kita di dunia? Di mana kita telah meletakkan usia kita itu? Di tempat yang mulia atau sebaliknya di tempat yang keji dan hina?

Kualiti hidup inilah yang akan menentukan nilai usia kita sepanjang hidup di dunia, dan akan dibawa ke neraca Ilahi untuk dipertimbangkan bagi menentukan halatuju kita di akhirat nanti, ke syurga atau ke neraka, bahagia atau celaka. Oleh itu marilah kita semua menghabiskan usia kita yang dikurniakan oleh Allah itu dengan menjalani hidup dengan sebaik-baiknya menurut segala perintah Allah SWT. untuk mendapat rahmat-Nya dan keredaan-Nya bagi menjamin kehidupan yang berbahagia di alam yang kekal dan abadi itu.

Amin.



















0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP