Kasihkan Isteri Sampai Ke Mana?
>> Wednesday, June 26, 2013
Selapas
Solat Asar di masjid petang semalam, seorang sahabat masjid mengajak saya berbual
singkat sambil berjalan. Tubuhnya besar, usianya hampir 90 tahun, tapi masih
segar dan cergas. Dia telah menduda hampir enam tahun kerana kematian isteri
yang dinikahinya sejak mereka masih muda. Dia mempunyai beberapa orang anak lelaki
dan perempuan, dan juga sebilangan cucu. Mereka semua tinggal berhampiran
dengan rumahnya.
“Umur saya sekarang sudah dekat 90 tahun. Tapi Allah kurniakan tubuh saya
yang sihat seperti ini, kerana saya lalu makan”. Terangnya tanpa saya bertanya.
“Saya makan apa sahaja, tidak memilih”.
“Saya masih bujang”, katanya, “Banyak orang suruh saya kahwin tapi saya
menolak. Baru ini pula ada orang menawar kepada saya seorang wanita untuk
dijadikan isteri. Saya pun sukakan dia. Tapi saya tolak. Saya katakan, saya
bukan tak sukakan wanita itu, tapi sebenarnya saya tidak ingin kahwin”.
“Oh begitu”, kata saya. “Makan minum setiap hari macam mana? Masak sendirikah?”.
“Tidak”, jawabnya, “ Anak-anak saya bergilir-gilir menghantar makanan
setiap hari untuk saya makan. Hari ini, anak ini dan besok anak yang pula. Belum Asar tadi, dia nak hantar nasi,
tapi saya kata saya masih belum nak makan. Saya nak makan dekat Maghrib nanti”.
“Kalau begitu baguslah”, kata saya, “Nasib baik ada anak tinggal
berhampiran dan bertimbang rasa pula”.
“Alhamdulillah" Balasnya.
"Kenapa tak kahwin sebenarnya?”, korek saya.
"Kenapa tak kahwin sebenarnya?”, korek saya.
“Begini, Kalau kawhin ini susah sedikit. Banyak urusan. Wanita yang jadi
isteri saya itu, sudah tentu mempunyai anak dan mungkin cucu-cucu yang telah
besar. Bila ada anak-anak atau cucu itu bersalin atau mengadakan sesuatu majlis
sudah tentu kita mesti hadir. Takkan nak biarkan dia pergi seorang nanti. Nanti
apa pula kata orang. Sedang anak-anak dan cucu-cucunya itu telah menjadi sebahagian
daripada keluarga kita semuanya”. Terangnya.
Setelah merenung muka saya sekejap, beliau menyambung, “Semuanya itu
menambah tugas. Dan tugas-tugas itu menjadi penghalang kepada saya untuk
datang ke masjid seperti biasa. Sebab itulah saya tak nak kahwin lagi. Lagi pun
wanita yang jadi isteri saya itu nanti mesti pula dilayan sebagai seorangi
isteri. Bukan begitu”.
Saya menangguk-anggukkan kepala. Dan
bertanya lagi, “Habis malam-malam tidur seorang dirikah?”.
“Tidak. Di malam hari ada dua orang cucu yang datang menemani saya tidur.
Yang seorang itu memang telah tinggal bersama saya sejak isteri saya meninggal
dulu”.
Saya ingin bertanya lagi sesuatu, tapi tak sempat, bila dia berkata, “Baiklah. Saya ada kerja sedikit di rumah. Jumpa
malam nanti di sini”, katanya meminta diri. Dan kami pun berpisah.
Saya berjalan sendirian ke rumah. Untuk mencari bayang-bayang tempat berteduh
daripada ditimpa cahaya matahari petang yang terik panasnya, saya melalui jalan
pintas melintasi sebuah kebun rambutan orang.
Saya teringat sebuah kisah yang berlaku di kampung lama daulu yang
diceritakan oleh ibu saya sendiri. Katanya seorang jiranya kematian isteri.
Saya lupa nama lelaki itu, tapi saya ingat nama isterinya Derasa. Setiap hari
selepas kematian isterinya, bila senja berlabuh, dia akan duduk di atas tangga
rumahnya dan tak henti-henti menyeru memanggil nama isterinya itu, “Derasa-Derasa-Derasa”.
Suaranya hiba dan mendayu. Akhirnya dia jatuh sakit dan membawa kepada
kematiannya tidak lama kemudian.
Beberapa tahun yang lalu pula ada seorang lelaki kematian isteri. Dia
seorang guru pencen. Selepas isterinya meninggal, dia selalu mendakwa dirinya
sakit, dan selalu minta supaya dibawa ke hospital. Anak-anaknya nampak dia
normal sahaja. Dan bila dibawa ke hospital, dia selalunya minta untuk dimaksudkan
wad, dan bila masuk wad dia enggan keluar wad, walaupun telah dikeluarkan oleh
doktor, kerana katanya dia masih belum sihat dan perlu menerima rawatan.
Menurut doktor, lelaki ini tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya
itu. Pemergian isterinya itu merupakan pukulan yang hebat kepada dirinya.
Jiwanya menderita. Dia menjadi kecewa dan putus harapan. Isteriya itu adalah
segala-gala kepadanya. Dialah tonggak hidupnya. Bila tonggak telah roboh, maka
runtuhlah segala-galanya. Tidak lama kemudian, dia benar-benar jatuh sakit dan
menghembus nafasnya yang terakhir. Semoga Allah mempertemukan dia dengan orang
yang dicintainya itu.
Saya juga teringat kata-kata seorang
wanita di suatu majlis kepada seorang lelaki kawan lamanya. Dia sseorang janda
yang telah sepuluh tahun lebih kematain suami. Mempunyai banyak harta. Lelaki
itu teman persekolannya dahulu yang telah beberapa tahun menduda kerana
kematian isterinya.
“Awak tidak pernah kahwin selepas kematian isteri awak beberapa tahun yang
lalu. Saya merasa bangga dengan awak, kerana ramai lelaki tidak seperti awak,
walaupun isteri mereka masih belum mati, masih hidup, tapi mereka sudah mencari
wanita lain untuk tambah isteri lagi. Tapi awak tidak, walaupun isteri awak telah mati”.
Lelaki duda itu tidak berkata-kata, dia hanya tersenyum kuma-kumis atau
tersipu-sipu. Saya pasti dia masih menduda sampai sekarang.
Berapa ramai lelaki seperti dalam kisah ini? Kebanyakan lelaki yang
bergelar suami, tanah perkuburan isteri masih merah mereka sudah pun mempunyai
teman hidup yang baru, malah ketika isteri masih hidup lagi pun mereka sudah
mencari isteri baru, dua, tiga atau empat.
Lantas kita bertanya, kasih suami kepada isteri sampai ke mana? Adakah
sebagaimana doa yang sering diucapkan kepada pengantin baru, “Semoga berbahagia
sampai ke akhir hayat?”. Perhatikanlah kad-kad jemputan yang anda terima,
itulah doanya untuk pengantin baru itu. Begitilah dulu dan begitulah sekarang.
0 comments:
Post a Comment