Kenapa Tangannya Dipotong?

>> Monday, June 3, 2013


KENAPA TANGANNYA  DIPOTONG?


Hari Jumaat lepas kami meluangkan masa menziarahi karib kami di sebuah hospital di Kuala Lumpur. Kami seramai empat orang terdiri dari S. Arham Zaini, S. Osman, S. Abdul Haiyai dan saya. Karib kami itu telah beberapa hari terlantar di hospital kerana tercedera akibat terlibat dalam kemalangan raya yang ngeri beberapa hari sebelum itu.

Dalam kemalangan itu, kaki kirinya telah tercedera parah. Setelah dirawat beberapa hari, maka didapati kakinya itu tidak mempunyai harapan lagi untuk dipulihkan, malah kemungkinan menjadi punca kepada gangguan kesihatan yang serius kepada anggota-anggota badannya yang lain nanti. Justeru itu kaki tersebut terpaksa dipotong menerusi pembedahan.

Waktu kami sampai lewat petang itu kaki kirinya itu sudah tidak ada lagi. Ia telah dipotong dari kepala lutut ke bawah. Kaki kirinya telah pun kudung. Namun begitu kepala lututnya masih berbalut, menunggu kesembuhan lukanya akibat pembedahan yang mengambil masa selama beberapa jam itu.

Beliau menceritakan pengalamnya ketika  berada di bilik bedah, ketika menjalani pembedahan dan selepas menjalani pembedahan. Ia membuat saya merasa seram sejuk, dan pilu tergoris di hati. Diceritakannya juga perkara-perkara yang berlaku pra kemalangan yang meragut kakinya itu.

 
Kanan: S.Arham Zaini & Kiri: S.Osman


Walau pun beberapa hari berlalu selepas pemotongan kakinya itu, dia masih terasa kakinya masih berada pada badannya seperti biasa sejak kira-kira lima puluh tahun yang lalu. Anggota kakinya itu telah berada bersama-samanya selama hayatnya, tanpa berpisah sesaat pun, walau dalam keadaan apa sekalipun. Sebuah anggota yang telah menyumbangkan begitu banyak jasa seperti anggota-anggota badan yang lain juga. Tiba-tiba anggota tersebut trepaksa diceraikan daripada badannya buat selama-lamanya.

Perkara ini merupakan satu hakikat yang tidak mudah untuk dirialiti oleh sesiapa pun. Diri keakuan kita masih sukar untuk menerima hakikat kebenarannya perkara seperti itu. Bagaimana sukarnya seseorang  untuk menerima hakikat kematian yang berlaku secara tiba-tiba ke atas seseorang yang mereka cintai, walaupun orang yang mereka sayangi itu, baik suami atau isteri sudah tidak ada bersama lagi. Terasa-rasa masih ada, walaupun telah tiada lagi.

Demikianlah mungkin yang dirasai oleh karib kami itu dengan kakinya yang telah dibuang itu. Dia merasa semacam kakinya masih ada. Waktu tidur dia merasa kaki yang hilang masih ada dan terletak di bawah bantal. Kadang-kadang dia merasa kaki yang telah tiada itu gatal-gatal, lalu menggaru-garunya dan yang digarunya ialah tilam di hujung kakinya seolah-olah kakinya sendiri. Kadang-kadang bila bangun dari tidur, dia ingin turun dari katil dan berdiri di atas kedua belah kakinya seperti biasa. 

Jika perkara seperti ini berlaku, amatlah merbahaya kerana boleh menyebabkan dia terjatuh. Oleh itu sebelum tidur, sesuatu mestilah diletakkan di sebelah badannya itu, untuk mencegahnya daripada terus bangun berdiri di atas kedua belah akinya seperti biasa bila dia terjaga dari tidur, hinggalah dia sedar dan biasa dengan kakinya yang sebelah itu sudah  tidak ada lagi.

Mengenai perkara seperti ini saya pernah mendengar seorang doktor di sebuah hospital memberi penerangan kepada seorang pemuda yang ayahnya akan dipotong kakinya untuk mengelakkanya kakinya itu daripada menjadi ancaman kepada anggota badanya yang lain, dan memberi nasihat kepada pemuda itu sumbangan yang dapat diberi oleh beliau dan kelurga beliau untuk mengurangkan trauma yang akan dihadpai oleh ayahnya itu nanti, sehinggalah dia benar-benar dapat menerima hakikatnya.

Kenapa Kaki Dipotong

Kami tinggalkan karib kami yang kehilangan kaki itu dengan hati terharu, masa melawat telah habis tempohnya buat petang itu. Kami iringi dengan doa dan harapan semoga dia lekas sembuh dan  dikurniakan Allah dengan kesabaran yang tinggi memenuhi dadanya.

Amputasi atau membuang dengan jalan memotong bahagian-bahagian badan yang tertentu menerusi pembedahan memang telah lama menjadi amalan dalam duna perubatan.

Ada beberapa sebab sesuatu anggota badan itu, seperti tangan atau kaki terpkasa dipotong, antaranya untuk mencegahkan kesakitan yang amat sangat yang ditanggung oleh pesakit yang menimpa anggotanya itu dan juga untuk mencegah penyakit daripada merebak ke bahagian anggota badan yang lain, seperti penyakit malignancy atau gangrene. Malah dalam sesetengah kes doktor bertindak lebih awal untuk mencegah penyakti-penyakit yang dipercayai akan berlaku pada sesebuah anggota badan itu.
Di samping itu ada negara-negara yang melaksasnakan hukum potong anggota-anggota badan yang tertentu, seperti potong  tangan, ke atas orang-orang yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana melakukan jenayah berat.


Anggota-anggota badan manusia, tidak seperti sesetengah haiwan yang boleh tumbuh kembali bila terputus atau terpotong. Seperi bengkarung, salamander, hydras, cacing leper dan tapak sulaiman [starfish]. Tapi mana-mana anggota badan manusia tidak tumbuh kembali bila terputus, baik kaki, tangan, telinga dan sebagainya, kecuali anggota hati yang boleh tumbuh kembali bila sebahagian keci darinya.terputus.


Di Amerika Syarikat, bilangan rakyatnya yang dipotong bahagian-bahagian anggota badan tertentu, kerana komplikasi pembuluh darah’ terutama akibat penyakit kencing manis bukanlah sedikit.
Di antara tahun 1988 dan 1996, setiap tahun seramai kira-kira 133, 735 orang rakyat Amerika Syarikat keluar dari hospital dengan anggota badan yang dipotong. 

Di samping itu amatlah sedih adanya orang-orang yang terpakasa memotong sendiri mana-mana anggota badannya kerana terpaksa akibat terlibat dalam sesuatu kemalangan yang tidak diduga. Pemotongan anggota yang dilakukan secara emergensi, dengan begitu sahaja tanpa sebarang bantuan perubatan atau doktor yang menggunakan ubat bius untuk menahan kesakitan. Keadaan itu terpaksa dilakukan bilamana ada anggota badannya terperangkap dalam keadaan yang tidak ada harapan untuk mendapat pertolongan sesiapapun, seperti betis tertimpa pokok kayu dan tidak dapat ditarik keluar, atau kaki yang tertindih oleh kenderaan-kendraan yang terlibat dalam kemalangan yang jauh dari pertolongan manusia. Atau pun ketika ditimpa tiang besar ketika berlaku keruntuhan bangunan.

Trauma

Menurut kajian, mangsa-mangsa yang telah dipotong mana-mana anggota badannya itu, seperti anggota kaki, akan  mengalami trauma dan jiwa yang tidak menyenangkan. Puntung atau sisa-sisa anggota yang dipotong itu tetap dirasakan sebagai sebahagian daripada anggota cacat yang tidak berdaya atau tidak mampu menjalankan  apa-apa tugasan lagi. Lebih-lebih lagi andainya mangsa yang dipotong kaki itu bergantung hidupnya pada kaki, seperti para pemandu kenderaan, ataupun tangan kepada mangsa yang banyak menggunakan tangan, seperti tukang masak, penyambut tamu dan sebagainya. Mereka terpaksa menukar cara hidup mereka keapda cara yang baru.

S.Abdul Haiyai
Menurut kajian,sebahagian besar daripada mangsa-manga pemotongan kaki, masih tetap merasa kakinya yang telah dibuang itu masih ada pada tempat asalnya dan masih merupakan sebahagian daripada anggota badannya lagi. Kaki yang telah hilang itu masih boleh merasa sakit, gatal, panas dan juga kekejangan, dan boleh merasa kering, basah dan berbabagi-bagai rasa lagi seolah-olah anggota itu masih benar-benar  hidup dan bergerak seperti di masa-masa yang lalu juga.


Perkara seperti ini dipercayai berlaku kerana ada satu sistem dalam otak manusia akan terus menerus mengirim berita mengenai kaki tersebut, walaupun ia sudah tidak ada lagi sebenarnya dan  telahpun hilang.Otak seolah-olah enggan menerima hakikat kehilangan anggota tersebut dan melayan anggota tersebut nya seperti dia masih hidup di situ.


Demikian juga dikatakan berlaku kepada sebahagian daripada wanita yang kehilangan payudaranya dalam pembedahan kanser. Malah ada sesetengah orang akan mengalami keadaan yang sama bila giginya dicabut. Namun begitu kebanyakan orang tidak mengalami apa-apa pengalaman yang ganjil bila gigi mereka dicabut kerana gigi itu tidak dapat dilihat, dan mulut mereka masih dapat digunakan semula beberapa jam selepas pembedahan itu. Tapi andainya yang dipotong itu anggota luaran yang kecil sekali pun, seperti jari kelingking tangan atau kaki umpamanya, sudah tentu akan mencetuskan kesan yang berlainan.

Walau apaun ujian yang mendatang, tapi selagi nyawa masih ada di badan, perjungan untuk hidup tetap terpaksa diteruskan walaupun dengan sebelah kaki dan sebelah tangan. Ibarat burung, patah sayap terbang jua. Bukan seperti sebuah kapalterang, jika sebelah sayapnya rosak, maka alamat buruk yang akan menimpa, kerana akibat sebelah sayapnya rosak, maka sebuah kapalterbang itu akan terhempas jatuh dan akan menimpakan  kemusnahan yang total.

Di tempat kami, ada seorang lelaki yang telah dipotong sebelah kakinya kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Namun begitu, dia masih boleh bangkit semula untuk meneruskan sisa-sisa hidupnya, dan muncul sebagai seorang tukang rumah. Ketika menukang, beliau boleh menaiki tangga dengan melompat di atas sebelah kakinya untuk berada bombong bagi menjalankan kerjanya.

Demikian juga kita tahu hari ini, kemunculan ramai ahli-ahli sukan yang terkenal peringkat antara bangsa walaupun mereka orang cacat yang kehilangan kaki dan tangan, seperti para pelari yang muncul di kalangan orang-orang yang cacat anggota. Demikianlah prihatinya masyarakt hari ini terhadap nasib orang-orang yang malang itu supaya dapat hidup kemabli dengan normal dan selesa.

Marilah kita berdoa kepada Allah S.W.T. supaya mengurniakan kekuatan fizikal dan mental kepada mereka yang menerima ujian yang amat berat  ini yang menyebabkan, mana-mana bahagian anggota badan mereka terpaksa dipotong atau dikerat buang kerana berbagai-bagai sebab dalam usaha untuk menyelamatkan nyawanya dan supaya mereka dapat terus bangkit dan berjuang untuk meneruskan sisa-sisa perjuangan hidup mereka walaupun tidak seperti di masa-masa lalu ketika mereka masih mempunyai anggota badan yang lengkap dan sempurna. Semoga Allah mengunrniakan kesabaran yang tinggi kepada mereka semuanya dan juga kita, serta dikurniakan dengan taufik dan hidayah untuk hidup dengan beriman dan bertakwa.




dalam lautan keimanan yang semerbak mewangi.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP