Perceraian:Alangkah Mudahnya Bercerai

>> Monday, July 12, 2010






PERCERAIAN: Alangkah Mudahnya Bercerai


THALAQ atau cerai bererti putusnya ikatan suami isteri yang telah dijalin oleh perkahwinan yang berlangsung mengikut adat resam, budaya, kepercayaan ataupun agama masing-masing. Walaupun perkahwinan itu pada umumnya dilangsungkan dengan harapan untuk hidup kekal dan bahagia bersama-sama hingga ke akhir hayat, malah hingga sampai ke Akhirat sekali pun, namun begitu, kadang-kadang harapan hanya tinggal harapan, kerana berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini yang menjadi faktor kepada berlakunya perselisihan dan perceraian yang tidak diharap-harapkan. Dan perceraian itu pula boleh berlaku terhadap pasangan yang baru sahaja mendirikan rumahtangga, ataupun mereka yang telah lama berkahwin, tidak ada sakatan usia atau period perkahwinan, bila “temuan” sudah tidak ada lagi, maka berlakukan perceraian antara suami yang isteri.

Sebagaimana adanya berbagai-bagai cara dan ragam dalam sesuatu upacara perkahwinan, maka demikian jugalah adanya berbagai-bagai ragam dan cara untuk bercerai antara suami dan isteri, iaitu mengikut adat, tradisi, kepercayaan ataupun agama masing-masing.

Sebahagian daripada bangsa-bangsa di dunia ini mempunyai cara yang amat mudah, malah boleh dianggap ganjil untuk bercerai, kadang-kadang begitu mudahnya, hingga lebih mudah daripada makan kacang goreng.

India adalah sebuah negara yang luas yang mempunyai berbagai-bagai bangsa, kaum, kepercayaan dan adat resam yang beraneka corak dan ragamnya. Pachai adalah salah satu kasta di India yang mempunyai adat dan budaya yang tersendiri. Kasta Pachai ini mempunyai satu cara yang amat mudah untuk suami isteri bercerai. Kepada seorang suami yang tidak lagi sukakan isterinya dan ingin berpisah, dia hanya perlu mencari sebarang jerami, kemudian mengerat jerami itu menjadi dua bahagian, maka dengan berbuat demikian, maka bererti putuslah sudah ikatan perkahwinan mereka. Dengan itu dia boleh meninggalkan isterinya, dan bebas mencari mana-mana wanita lain yang disukainya.

Afrika adalah juga sebuah benua yang luas muka buminya, yang mengandungi beberapa buah negara dan mempunyai penduduk yang begitu ramai dan dihuni oleh berbagai-bagai bangsa dan kaum yang mempunyai bermacam-macam adat resam dan budaya yang berbeza-beza. Suku Tallensi di Afrika mempunyai adat yang bukan sahaja ganjil untuk bercerai tapi juga sukar untuk dilaksanakan. Mengikut adat Suku Tallensi, seorang suami yang ingin meceraikan isterinya, terpaksa “mencuri” rumah kediaman mereka ketika isterinya sedang nyenyak tidur dan melarikan rumah itu sejauh 10 batu daripada tempat asalnya itu. Jika dia tidak mampu berbuat demikian, maka bererti dia tidak boleh menceraikan isterinya.

Di Togoland Afrika seorang isteri berhak menceraikan suaminya dengan cara yang amat mudah. Mana-mana isteri yang telah bosan dan tidak sukakan suaminya dan ingin bercerai, dia hanya perlu memakai sejenis skirt yang biasanya dipakai oleh janda-janda yang telah kehilangan suami. Skirt ini diperbuat khas dari daun-daun sejenis pokok yang terdapat di sana. Dengan memakai skirt itu bererti dia telah mengistiyarkan perceraian terhadap suaminya. Maka bercerailah mereka.

Orang-orang Balante yang tinggal di Perancis Senegal dan Pertugis Guinea di Afrika mempunyai adat perceraian mereka yang tersendiri. Pada hari perkahwinan mereka, pengantin perempuan dihadiahkan dengan sehelai selendang untuk dipakai dengan gaun pengantin. Ini adalah satu-satunya hadiah yang diberikan kepada pengantin perempuan pada hari yang berbahagia itu. Tapi selendang ini bukan hanya sekadar bingkisan hati atau hadiah hari perkahwinan, tapi ia mempunyai erti yang amat besar kepada ikatan perkahwinan mereka. Dalam hal ini sekiranya selendang itu dibiarkan lusuh, maka ia memberi erti perkahwinan mereka telah putus- perceraian telah berlaku.

Justeru, jika seorang isteri merasa bahagia dengan perkahwinannya, maka dia akan menjaga selendang itu dengan sebaik-baiknya, dan tidak akan memakainya dengan sewenang-wenangnya. Tapi jika dia telah merasa perkahwinannya tidak membahagiakan ataupun dia merasa bencikan suaminya, maka dia akan memakai selendang itu dengan sewenang-wenangnya yang boleh menyebabkan selendang itu cepat lusuh dan rosak, menjadi seperti kain buruk yang diguna untuk menyapu lantai. Dan bila kain selendang itu telah lusuh dan telah rosak seperti itu, maka secara automatik bererti mereka telah bercerai.

Di sebelah Pantai Gold Coast, Afrika pula, bila seseorang isteri, kerana sebab-sebab yang tertentu tidak lagi menyukai suaminya dia berhak untuk menceraikan suaminya itu dengan cara meminta suaminya melakukan sesuatu yang memang tidak mampu dilakukannya. Umpamanya si isteri akan memerintah suaminya menebang sejenis pokok yang batangnya keras seperti besi yang tidak lut ditebang dengan peralatan mereka yang biasa. Bila suaminya gagal menakik pokok tersebut, apa lagi menebangnya hingga tumbang, maka dengan itu suaminya itu akan dicap sebagai “ingkar perintah” yang boleh menyebabkan terburainya ikatan perkahwinan mereka.

Di kalangan kaum Babira di Afrika juga, mereka mempunyai adat perceraian yang ganjil. Seorang suami yang tidak sukakan isterinya dan ingin bercerai perlu melakukan perkara-perkara yang berikut. Dia hendaklah meletak di ambang pintu rumah mereka sebuah jag yang berisi minyak, dua buah periuk dan sebatang tongkat sebagai notis kepada isterinya bahawa dia tidak dikehendaki lagi. Tongkat itu menjadi lambang dia telah menghalau isterinya keluar rumah, maka dengan itu isterinya boleh meninggalkan rumahnya tanpa ragu-ragu lagi,kerana dia telah dicerai.

Di belantara Galia, Colombia, Amerika Selatan terdapat adat perceraian yang ganjil. Jika seorang suami tidak sukakan isterinya dan ingin bercerai, dia terpaksa memakai topeng sepanjang hari, siang dan malam selama setahun sehingga dia menjadi orang asing dalam keluarganya sendiri. Dengan berbuat demikian bererti suami isteri itu telah bercerai.

Orang-orang Negro di Pulau Baradoes di Hindia Barat, bila berlaku peceraian, mereka membahagikan harta milik mereka dengan kadar sama banyak, termasuklah rumah kediaman mereka. Justeru bila berlaku perceraian rumah mereka akan dibahagi dua, separuh untuk suami, dan separuh lagi untuk isteri.

Penulis difahamkan, kaum Asli di Ulu Kelantan mempunyai cara perceraian mereka sendiri. Jika seorang suami tidak lagi sukakan isterinya, dia hanya meninggalkan terus isteri dan keluarganya begitu sahaja dan terus berpindah ke tempat lain. Bila ada orang menanya kenapa dia tidak balik ke rumah, dia akan menjawabnya, dia telah bercerai dengan isterinya.

Kalau bercerai dapat berlangsung dengan begitu mudah, maka demikian jugalah dengan rojo’. Sekiranya suami yang menceraikan isterinya itu ingin kembali kepada isterinya, mudah sahaja, balik sahaja ke rumah dan tinggal semula dengan isterinya seperti biasa, kiranya isterinya itu masih belum berkahwin lagi. Selesai pekara.

Bagi orang Islam, walaupun suami boleh menceraikan isterinya dengan melafazkan cerai, tapi dia telah lebih dahulu diingatkan bahawa perceraian adalah satu perkara halal yang dibenci oleh Allah SWT. Baginda Rasulullah saw. bersabda, maksudnya, “Di antara perkara halal, tapi dibenci oleh Allah SWT ialah perceraian”.

Di samping itu Islam juga telah menetapkan cara-cara, peraturan dan hukum-hukum tertentu untuk mereka yang ingin berceai. Dalam hal ini hukum cerai itu ada empat:

-Wajib bercerai, bila wujud persengketaan yang tidak dapat didamaikan lagi, dan para Hakim berpendapat, kedua-dua suami isteri itu perlu bercerai sebagai jalan keluar.

-Sunnah bercerai, bila seorang suami tidak lagi mampu memeberi nafkah dengan mencukupi kepada isterinya, ataupun kerana isteri tidak berkuasa menjaga kehormatan dirinya.

-Haram bercerai, iaitu dalam dua keadaan, pertama sewaktu isteri dalam keadaan haid, dan kedua sewaktu isteri dalam keadaan suci sedangkan mereka telah melakukan hubungan seks dalam keadaan isterinya suci itu.

-Makruh bercerai, iaitu hukum asal thalaq.

Tegasnya, walaupun Islam membenarkan berlakunya perceraian, tapi ia dikawal oleh peraturan dan undang-undang yang ketat, sebelum dan selepas berlaku perceraian untuk menjamin keadilan kepada kedua-dua belah pihak, dan juga kepada keturunan mereka yang pasti akan menerima risiko yang berat bila meledaknya perceraian antara kedua ibu bapa mereka.

Hidupalah dengan Mahabbah dan Harmoni untuk mengekalkan perkahwinan.
***

Tahukah Anda?

Pasangan pengantin Greek Orthodox memakai mahkota di kepala mereka yang ditambat keduanya dengan ribun merah pada hari istiadat perkahwinan mereka.

Pasangan pengantin India akan mengikat hujung pakaian mereka antara satu sama lain dan mengelilingi unggun api sebanyak tujuh kali di majlis perkahwinan mereka.

Pasangan pegantin baru Jepun menyedut arak yang diperbuat dari beras [sake] untuk menyempurnakan upacara perkahwinan mereka.

Pengantin Yahudi tidak akan makan atau minum selama sehari pada hari upacara perkahwinan mereka berlangsung sebelum upacara itu
selesai.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP