Manusia Sebagai Khalifah

>> Wednesday, July 28, 2010


MANUSIA Sebagai Khalifah

SEMASA hayatnya Baginda Rasululah saw. telah berjaya menjalankan dua tugasnya yang amat penting dengan begitu sempurna.

Pertama tugas risalah, iaitu sebagai Pesuruh Allah atau Rasulullah yang membawa dan menyampaikan segala undang-undang dan syariatNya kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini.

Allah berfirman, maksudnya, “..........Kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu”. S:Al-Maidah:4.

Kedua tugas Imamah, iaitu sebagai pemimpin umat manusia yang bersifat keduniaan dan keagamaaan secara bermesyuarat atau syura.

Allah berfirman, maksudnya, “..........dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu”. S:Al-Imran:159.

Dan sabdaNya lagi, maksudnya, “”.......sedang urusan mereka [diputuskan] dengan mesyuarat antara mereka”. S:Asy-Syu’ara:38.

Tugas Baginda Rasulullah saw. yang pertama itu sebagai Pesuruh Allah telah selesai dan sempurna dilaksanakannya bila Baginda saw. wafat, justeru itu selepas kemangkatan Baginda saw. tidak ada sesiapapun lagi yang berhak menyampaikan undang-nndang dan syariat Allah yang baru, tapi sebaliknya tugas mereka hanya terbatas dalam melaksanakan syariat dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah itu dalam keadaan yang sempurna.

Allah menegah manusia mementingkan undang-undang atau hukum-hukum yang mereka ada-adakan sendiri daripada hukum-hukum yang Allah turunkan kepada mereka. Allah SWT. memerintah supaya orang-orang yang beriman menolak setiap hukum atau peraturan yang bukan hukum atau peraturan- peraturan Allah, dan memandang sesat mereka yang berbuat demikian.

Dalam hal ini, Allah telah mencipta makhluk manusia sebagai KhalifahNya di muka bumi ini. Justeru dengan perlantikan manusia sebagai khalifah, atau penguasa ataupun pemerintah seperti itu, maka bererti Allah S.W.T mengurniakan kepada mereka beberapa hak tertentu untuk hidup dan bertindak menjalankan tugasnya sebagai khalifah. Namun begitu, ini tidaklah bererti Allah berikan kuasa kepada mereka untuk bertindak bebas, sesuka hati mereka, atau diberikan tiket untuk bertindak melulu sesuka hati mereka, seperti haiwan merangkak di bumi, tanpa sebarang ikatan atau syarat.

Sedangkan tujuan Allah S.W.T. melantik mereka sebagai khalifah adalah semata-mata supaya mereka mengabdikan sepenuh dirinya kepada Allah, tanpa sebarang sekutu ataupun rakan kongsi dengan Allah. Justeru mereka hendaklah taat sepenuhnya kepada semua perintah dan larangan Allah.

Di samping dikurniakan dengan beberapa hak sebagai khalifah, Allah juga memberikan kepada mereka beberapa kewajipan atau amanah yang mesti mereka pikul dan tunaikan dengan penuh tanggungjawab dan kerelaan sebagai makhluk yang berakal dan berfikiran.

Sebenarnya sebaik-baik sahaja Allah memberikan manusia hak untuk tinggal di bumi, maka serentak itu juga Allah mengurniakan kepada mereka kewajipan-kewajipan tertentu yang tidak boleh diingkari, dan di antara kewajipan-kewajipan utama yang dipikulkan ke pondok mereka, ialah kewajipan mematuhi segala perintah Allah.

Banyak ayat-ayat suci yang memerintah manusia mematuhi dan mengabdikan diri mereka kepada Allah, dan tidak kepada yang lain. Di antara ayat-ayat iti ialah:

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat [peraturan] dari urusan [agama] itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”. Al-Jaatsiyah:18.

Dan, “Tidaklah hukum itu, kecuali kepunyaan Allah yang menyuruh supaya kamu tidak menyembah kecuali kepada-Nya sahaja”.

Dan, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, janganlah sekali-kali kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”. Al-Imran:102.

Justeru bila Baginda wafat, tugas Baginda sebagai khalifah atau pemimpin tidaklah berakhir kerana manusia telah dilantik oleh Allah sebagai khalifah. Justeru bila Baginda wafat, tugas itu disambung terus dan dipertanggungjawabkan ke atas bahu penguasa atau pemerintah yang baru bagi memikul tanggugjawab sebagai khalifah ummat Islam. Oleh itu dalam sesebuah masyarakat mestilah ada pemimpin yang mengawasi kemantapan sistem sosial dan kesempurnaan perlaksanaan hukum-hukum agama. Tugas inilah yang menjadi tanggungjawab utama para khalifah atau para pemimpin Islam,

Namun begitu tugas seorang pembantu Nabi atau Khalifah hanya terbatas dalam urusan pentadbiran negara dan juga dalam hal-hal yang bersangkut-paut dengan pelaksanaan hukum-hukum agama yang sesuai dengan ketentuan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. untuk menjamin kepentingan hidup manusia di dunia dan juga di akhirat.

Tegasnya khalifah-khalifah atau para pemimpin itu tidak mempunyai kuasa dari segi rasalah atau nubuwah, kerana Nabi atau Rasul dilantik terus oleh Allah S.W.T. sedangkan khalifah atau pemimpin negara hanya dilantik oleh manusia sendiri.

Dengan itu je;aslah seorang khalifah atau pemimpin tidak membawa apa-apa ajaran baru dari Allah S.W.T., kerana tugas khalifah hanya menjaga atau mengawasi perlaksanaan agama Allah S.W.T. sebagaimana disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. Mereka hanya pemerintah negara atau penaung agama yang telah diamanahkan untuk melaksanakan syariat Islam dalam segala aspek kehidupan masyarakat.

Di sinilah terletaknya peranan yang penting umat Islam untuk memilih atau melantik pemerintah atau khalifahnya sendiri mengikut cara-cara yang telah ditentukan oleh syariat Islam.

Selepas kewafatan Rasulullah S.A.W., muncullah empat orang pemerintah yang dipanggil Khalifah yang termasyur dalam sejarah Islam yang menjadi suri taulladan kepada semua pemimpin atau khalifah yang ada di dunia ini, dan juga untuk masa-masa akan datang selepas kewafatan Rasulullah saw.

Khalifah Abu Bakar as-Sidiq pernah digelar “Khalifatu’llah” [Pengganti Allah], tapi beliau amat berat untuk menerima gelaran itu, maka orang ramai pun menukar gelaran itu kepada “Khalifat’rasul”. Gelaran seperti itu jugalah diberikan kepada Khaifah yang kedua, iaitu Umar al-Khattab. Namun begitu, pada akhirnya umat Islam menggelarkan mereka “Amirul Mukminin” yang bererti “Pemimpin kaum Mukmin”. Gelaran ini terus dipakai oleh kedua-dua orang Khalifah yang kemudiannya, iaitu Khaifah Uthman bin Affan dan Khalifah Ali bin Abu Talib.

Tapi keempat Khalifah itu terkenal dengan panggilan “Khulafa Ar-Rasidin” yang bererti “Khalifah-khalifah yang terpimpin”, kerana mereka benar-benar mengikuti cara Nabi saw. dalam setiap aspek pemerintahan mereka.

Dalam zaman pemerintahan keempat khalifah itu, sistem perundangan Islam telah dilaksanakan dengan sempurna serta berkembang luas. Keempat-empat mereka merupakan pemimpin yang ideal yang memimpin umat Islam ke arah kebenaran dan mereka merupakan pemimpin yang amanah dan jujur.

Selepas itu hingga kini, entah berapa ramai pemimpin telah muncul di kalangan umat Islam. Ada di antara mereka yang benar, dan juga yang tidak benar, ataupun pemimpin-pemimpin yang pura-pura kerana berusaha mengejar kepentingan diri sendiri.

Pemimpin seperti ini tidak layak dipanggil pemimpin, dan lebih tidak layak lagi dipanggil Khalifah, kerana sifat dan tindak-tanduk mereka bercangah dengan kehendak Allah S.W.T.

Mereka sebenarnya penipu dengan melakukan rasuah, pembunuhan, kezaliman, menjadi penghalang kepada pelaksanaan perintah perintah agama, serta engggan menjalanakn syariat agama, menafikan hak rakyat, membuat janji-janji palsu dan berbagai-bagai perbuatan keji dan nista lagi.

Pemimpin-pemimpin penipu seperti i ini tidak mempunyai tempat dalam Islam, malah tidak ada tempat abgi mereka di Syurga, tapi mereka termasuk dalam golongan penghuni neraka jahanam di Akhirat nanti.

Pemimpin-pemimpin penipu seperti ini, boleh dicap sebagai pemberontak keapada Allah, terdiri dari mereka yang menentang hukum Allah.

Banyak Hadis-hadis Nabi saw. memberi peringatan tentang bahaya-bahaya menjadi pemberontak kepada kekuasaan Allah SWT. yang patut menjadi ingatan kepada manusia yang bernama pemimpin, lebih-lebih lagi di zaman kini yang penuh dengan ranjau-ranjau ancaman maksiat daripada berbagai-bagai hala, supaya nanti tidak tersernandung langkah, lalu terjerumus dalam perangkap syaitan yang amat merbahaya itu.

Di antara lain Rasulullah saw.pernah bersabda, dari Maqil bin Yasar, “Saya dengar Rasulullah saw. bersabda, “Tiap-tiap seorang hamba yang Allah serahkan kepadanya rakyat untuk dipimpin, lalu ia mati dan di hari kematian itu ia menipu rakyatnya, maka Allah mengharamkan syurga baginya”.HR:Bukhari & Muslim.

Dan, “Bagi setiap pengkhianat akan dipacakkan bendera pada duburnya setinggi pengkhianatan yang dilakukannya. Tiada pengkhianatan yang lebih besar dosanya daripada seorang penguasa yang zalim”.HR:Muslim.

Dan, maksud Hadis, “Satu hari menjadi pemimpin yang adil lebih baik dari beribadah enam puluh tahun”.

Sabda Baginda saw. itu dengan jelas menunjukkan tanggungjawab yang berat yang dipikul oleh para pemimpin Islam dan ancaman keras dari Allah SWT. terhadap mereka yang menyeleweng daripada tanggungjawab dan amanat yang dipegangnya, dan tidak ada amaran yang lebih keras daripada ancaman azab yang maha pedih dengan mencampakkan mereka ke dalam neraka jahanam.

Ibnu Bathol membuat kesimpulannya, “Ini peringatan yang keras kepada setiap pemimpin yang khianat, kerana berlakulah janji Allah ke atas mereka, iaitu diharamkan daripadanya syurga”.

Bersikap Mahabbah dan harmoni di sepanjang masa, dan di mana sahaja, di kala suka dan duka..
xxxxxxxxxxx
Renungilah
-“Barangsiapa yang memegang kekuasaan pemerintahan dari kalangan kaum Muslimn, kemudian ia mengangkat seseoang pegawainya kerana kecintaan semata-mata, maka yang mengangkat itu tetap akan mendapatkan kelaknatan Allah. Allah tidak akan menereima kelakuan fardhu dan sunnahnya, sehingga akhirnya ia akan dimasukkan dalam neraka jahanam”.HR:Hakim.

-“Kamu semua adalah penggembala dan pasti ditanya tentang penggemabalaanmu itu. Imam [Penguasa dalam sesuatu kelompok] adalah penggembala dan ia pasti pula ditanya tentang penggembalaannya itu”. HR:Bukhari.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP