Kenapa Manusia Mesti Mati
>> Saturday, July 3, 2010
KENAPA Manusia Mesti Mati
KATAKANLAH anda sekarang dalam keadaan muda ramaja, sihat dan penuh dengan tenaga dan kecergasan; anda bangkit di waktu pagi dengan segar bugar hingga ke petang tanpa merasa letih, walaupun anda banyak membanting tulang dan mencurah keringat. Mengapakan anda tidak boleh hidup terus dalam keadaan seperti itu tanpa dimamah oleh ketuaan yang merampas tenaga dan kesihatan anda?
Selanjutnya mengapakah pula anda harus tiimpa penyakit yang sukar disembuh dan diubati? Dan akhirnya mengapakah pula anda mesti mati, seperti segala hidupan-hidupan lain di sekeliling anda? Mengapa anda tidak boleh hidup immortal di dunia ini?
Anda tentu sedar bahawa setiap yang hidup itu pasti akan menemui kematian. Kematian memang tidak dapat dielakkan lagi. Begitulah turun temurun sejak dunia ini dihuni oleh hidupan-hidupan. Itu sebabnya mati mempunyai kesan yang besar terhadap pemikiran manusia sejak dahulu hingga sekarang. Kematian merupakan pokok pembincaraan penting kepada ilmu agama, falsafah dan juga ilmu jiwa.
Tetapi apakah yang menyebabkan manusia mati? Apakah yang membunuh mereka?
Ada berbagai-bagai punca yang menyebabkan kematian manusia, antaranya penyakit, kemalangan, pembunuhan dan peperangan. Dan punca-punca besar kematian itu mugkin berbeza-beza pula antara sebuah negeri dengan sebuah negeri antara satu period dengan satu period, bergantung kepada beberapa faktor, seperti faktor sosial, ekonomi dan kesihatan. Seperti di Amerika dan Britain, punca-punca kematian yang terbesar ialah kerana penyakit ganas kanser dan penyakit jantung yang merbahaya.
DI Britain, lebih satu daripada tiga orang yang mati ialah kerana penyakit jantung. Di negara-negara yang lain kerana penyakit-penyakit yang lain pula, seperti mati waktu kecil, demam, batuk kering dan seumpamanya.
Tetapi berkat pencapaian kemajuan yang pesat dalam bidang perubatan, maka penyakit yang pada suatu waktu dulu menjadi punca utama kematian telah dapat dikurangkan ataupun terus dibasmi, seperti penyakit cacar, penyakit sundal, batuk kering dan juga lain-lain penyakit yang serius. Malah penyakit ganas kanser pun dipercayai akan dapat dicegah ataupun disembuhkan dengan jayanya dalam sedikit masa lagi.
Dan dengan bertambah baiknya keadaan sosial dan ekonomi, maka umur manusia telah bertambah lanjut. Umpamanya dalam masa 50 tahun yang lalu, orang-orang Amerika yang berumur lebih 60 tahun telah meningkat daripada 4.9 juta kepada 23 juta orang. Malah umumnya dalam masa 100 tahun yang lalu purata kemungkinan lanjut umur manusia telah jauh meningkat.
Ahli-ahli sains sejak tahun 1961, memberi perhatian yang kian besar terhadap masalah umur manusia, termasuklah soal penting yang berhubung dengannya, iaitu proses penuaan. Mereka percaya mereka dapat membongkar rahsia-rahsia kematian yang masih diselimuti oleh misteri yang tebal. Mereka telah melakukan berbagai-bagai penyelidikan yang telah menelan belanja dan masa yang bukan sedikit. Di antara badan-badan yang melakukan penyelidikan yang mendalam mengenai hal ini di Amerika ialah America Association for the Advance of Science, National Insstitute of Health, Jonas E. Salk Institute for Bilogical Studies dan Baltimoe City Hospital.
Tapi sekarang mereka masih belum banyak dapat membongkar rahsia-rahsia mati dan rhasia-rahsia penuaan yang begitu kompleks itu. Laporan Chemicals and Engineering News yang terkenal itu menegaskan, “Penuaan adalah salah satu masalah yang tersangat sukar dan sulit daripada segala masalah-masalah ilmu hayat dan kimia. Justeru itu ada berbagai-bagai teori yang berbeza-beza yang dibuat mengenai penuaan”.
Walau bagaimanapun kebanyakan ahli-ahli sains percaya bahawa penuaan adalah kehilangan ataupun kemerosotan sel-sel badan yang berlaku dengan pantas. Berhubung dengan hal ini, Dr.Shock menegaskan bahawa, “Sebahagian besar daripada kelemahan-kelemahan umur tua nampaknya adalah akibat daripada kehilangan tisu-tisu, terutama sekali kerana kematian atauun kerana kehilangan sel-sel daripada tisu”.
Apakah yang menyebabkan sel-sel itu hilang ataupun mati? Persoalan inilah yang sedang dicari jawapannya oleh ahli-ahli sains sekarang. Mereka tahu dalam badan manusia terdapat kira-kira trillion sel yang sangat seni keadaanya hingga sukar untuk diamati kegiatan-kegiantannya yang tidak pernah henti-henti sepanjang masa. Bahan-bahan kimia sentiasa keluar dan masuk menerusi dinding-dinding sel itu untuk dipecah, disintesis ataupun ditukarkan kepada benda-benda lain. Andainya berlaku sesuatu hal yang menyebabkan kegiatan-kegiatan sel it mengurang, maka sel-sel itu tidak dapat melaksanakan kerjanya dengan wajar ataupun menyebabkan sel itu terhenti bekerja dan mati. Tidak ada siapa yang tahu kenapa hal ini terjadi.
Sel-sel dalam badan manusia itu pula mempunyai sifat-sifatnya yang tersendiri, sesetengah sel boleh menggandakan dirinya, kerana itulah jumlahnya sentiasa bertambah. Tetapi sesetengah sel pula, terutama sel-sel otak dan sel-sel sistem saraf mempunyai sifat yang berlainan, iaitu tidak menggandakan dirinya seperti sel-sel yang lain itu.
Sel-sel dalam badan manusia itu, baik yang berganda ataupun yang tidak berganda akan mati satu demi satu sebaik-baik sahaja manusia itu dilahirkan ke dunia. Itulah mngkin sebabnya Voltaire mengatakan bahawa kita mulai mati sebaik-baik sahaja kita dilahirkan ke dunia. Justeru itu kebolehan manusia bekerja berbeza-beza menurut tingkatan umur. Umpamanya pendengaran kita berada dalam keadaan yang sebaik-baiknya waktu kita berusia 10 tahun, daya pengelihatan kita mulai lemah dalam usia remaja dan kekuatan otot kita mulai mengurang pada akhir umur dua puluhan tahun. Waktu brumur 50 tahun, deria rasa kita pun menjadi lemah dan waktu berumur 60 tahun diikuti pula oleh kemerosotan daya penciuman [deria bau] kita.
Jika sel-sel yang binasa ataupun mati itu daripada sel-sel yang boleh mengganda, tidaklah menjadi masalah kerana sel-sel itu akan dapat mengganti sel-sel yang sama. Tetapi kalau yang mati atau binasa itu daripada sel-sel yang tidak membahagi, seperti sel-sel dari organ yang penting, maka kegiatan sel akan merosot dan mengalami kecacatan dan akhirnya boleh mengakibatkan organ-organ yang vital, seperti jantung akan berhenti berdenyut ataupun buah pinggang tdak dapat menjalankan lagi tugas-tugas membersihkan racun dan darah putih yang selama ini menjadi bala tentera yang mempertahan badan daripada sebarang kuman-kuman penyakit itupun menjadi lemah. Dan akhirnya seluruh badan akan menemui ajalnya. Mati.
Dan katakanlah pada akhirnya ahli-ahli sains benar-benar berjaya melambatkan proses penuaan dan pada suatu masa nanti ilmu pemindahan anggota seperti jantung dan otak berjaya dilakukan dengan sepenuhnya ataupun organ-organ lain yang telah rosak dapat digantikan dengan organ-organ jentera, bolehkah sains mengelak kematian?
Jawapannya yang tegas, pasti tidak!
Hanya hidupan-hidupan seni dan sel-sel tunggal sahaja yang mengetahui rahsia hidup immotal, seperti paramecium dan amobea sedangkan manusia terbina daripada berbilion-bilion sel yang kompleks.
Malah hidupan-hidupan sel tunggal juga yang mengetahui rahsia hidup immortal pun binasa juga akhirnya, seperti dibinasakan oleh musuh-musuhnya ataupun ditimpa oleh bencana-bencana alam, seperti kekeringan paya tempat hidupan-hidupan itu tinggal. Kalau tidak, sudah tentu seluruh permukaan bumi ini dipenuhi oleh hidupan-hidupan seni yang telah lama hidup di dunia.
Selain itu, alam menghendaki kesempurnaan. Tetapi dalam ini sekarang belum ada satu benda pun yang sempurna. Sebab ituah evolusi masih terus berlaku untuk mencapai kesempurnaan itu. Tiap-tiap benda yang tidak sempurna dan inginkan kesempurnaan, tidak boleh tinggal tetap atau beku, ia mesti berubah. Mati itulah satu perubahan yang besar.
Kejadian manusia masih belum mencapai puncak kesempurnaan, sedangkann alam menghenaki manusia yang bijaksana, manusia yang ideal atau superman. Dan manusia yang idela tidak lahir dari kebekuan, tetapi lahir dari perubahan. Justeru itu manusia mesti mati untuk mencapai kesempurnaan itu, seperti manusia yang dulu dari kta telah mati.
Itulah sebabnya ahli falsafah T.H.Huxley menegaskan, “Kematian boleh dikatakan peringkat akhir kepada evolusi manusia”.
Selain itu dari segi kehayatan, kematian sesetengah hidupan perlu kepada hidupan yang lain. Seluruh binatang hidup dengan memakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan lain. Tumbuhan-tumuhan yang mati itu pula membekalkan gas-gas nitrogen yang perlu kepada tumbuhan-tumbuhan yang lain untuk hidup. Manusia juga hidup membinasakan hidupan-hidupan yang lain. Malah ahli-ahi sains percaya, bahawa kematian individual-individual itu akan diikuti oleh kematian yang maha besar yang meliputi seluruh alam buana ini. Inilah yang dipanggil kiamat menurut pengertian agama, yang akan berlaku kerana sebab-sebab yang tertentu. Selepasitu akan lahirlah alam dan makhluk lain yang sempurna, kekal abadi, tanpa cacat dan cela tanpa perlu kepada perubahan-perubahan lagi.
Wallahu’aklam.
[Rencana penulis di atas pernah disiarkan dalam DIAN bilangan 57, tahun 1973 dengan mengguna nama pena Razin.M.S. Saya siarkan rencana ini kembali untuk dikongsikan bersama dengan pemabaca-pembaca dan peminat-peminat blok Pondokrahmat yang saya hormati ini untuk menjadi renungan. Semoga memberi manfaat. Hidupalh dengan Mahabbah dan Harmoni]
0 comments:
Post a Comment