Mengisi Tangki Minda
>> Friday, July 2, 2010
Titik-titik Fikiran Untuk Mengisi TANGKI MINDA
ADA baiknya sekali sekala dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh pancroba dengan berbagai-bagai risiko dan cabaran yang tidak diduga ini, kita merenung sejenak untuk mengisi tangki minda kita dengan titi-titik fikiran yang digetus dari berbagai-bagai sumber.
*******
Renungan pertama: Baginda Rasulullah saw. bersabda, maksudnya:
“Belum lagi hilang jejak telapak kaki seorang hamba pada Hari Kiamat, maka dikemukakan empat pertanyaan kepadanya: pertama, dari hal umurnya, ke mana dihabiskannya? Kedua, dari hal tubuhnya, untuk apa dipakainya? Ketiga, dari hal ilmunya, apa yang sudah diamalkannya dengan ilmu itu? Dan keempat dari hal harta, dari mana diperolehnya, dan untuk apa dihabiskannya?”.
*******
Renungan kedua: Menurut riwayat, bila Abu Khaitsamah ra. mengetahui puteranya telah mati terbunuh dalam Perang Badar, maka beliau pun segera nenghadap Rasulullah s.a.w. sambil berkata, “Sesungguhnya Perang Badar telah menjauh dariku. Demi Allah aku sentiasa inginkan syahid pada Perang Badar, sehingga aku ikut anakku berangkat ke medan perang. Dia telah terkena panah dan mati syahid”.
Kemudian beliau menyambung lagi, “Ya Rasulullah, malam tadi aku melihat anakku dalam tidurku, dia berada dalam keadaan yang paling baik, bersenang-senang di tengah-tengah pohon-pohon buah-buahan syurga dan sungai-sungainya. Dan dia telah berkata kepadaku, “Temanilah aku dalam syurga! Wahai ayah, sesungguhnya apa yang dijanjikan oleh Tuhanku memanglah benar”.
“Ya Rasulullah, aku merasa begitu rindu untuk menemani anakku itu. Aku pun telah tua, tulangku pun telah lemah, dan aku ingin bertemu dengan Tuhanku. Ya Rasulullah berdoalah kepada Allah agar aku syahid dan dapat menemani anakku di dalam syurga”.
Selepas mendengar permohonan Abu Khaitasmah itu, maka Baginda s.a.w. pun mendoakannya sebagaimana dipohonkan.
Kemudiannya, Abu Khaitsamah r.a. pun terbunuh dalam Perang Uhud sebagai seorang syuhada.
*******
Renungan ketiga:Tanda manusia bahagia.
-Zuhud terhadap dunia dan mencintai Akhirat.
-Sentiasa berkeinginan untuk beribadat dan membaca al-Quran.
-Sedikit berbicara mengenai perkara yang tidak perlu.
-Sentiasa memelihara solat lima waktu.
-Sikap wara’ terahdap barang haram atau syubhat, baik sedikit ataupun banyak.
-Bersahabat dengan orang-orang yang baik-baik.
-Berlaku tawadhu’, dan tidak sombong.
-Dermawan lagi permurah.
-Bersifat belas kasihan terhadap makhluk yang dicintai Allah.
-Menjadi orang yang memberi manfaat kepada makhluk Allah.
-Banyak mengingat mati.
Dan sebaliknya tanda-tanda orang yang tidak bahagia:
-Tamak haluba dalam mengumpul harta kekayaan.
-Keinginannya hanya menurut kehendak nafsu syahwat dan keenakan dunia semata-mata.
-Meremehkan solat lima waktu.
-Bercakap kotor dan suka mengumpat.
-Bercampur gaul dengan orang-orang yang berbuat maksiat.
-Budi pekertinya buruk.
-Bersikap bongkak lagi sombong.
-Menolak kebaikan dari manusia.
-Mempunyai sedikit belas kasihan terhadap orang yang beriman.
-Kikir atau kedekut.
-Tidak ingatkan mati.
Demikianlah sedikit titik fikiran untuk renungan mengisi tangki minda kita bersana, semoga memberi manfaat juga.
*****
Harungilah hidup ini dengan MAHABBAH dan HARMONI.
0 comments:
Post a Comment