Kembali Ke pangkuan Islam
>> Monday, July 26, 2010
KEMBALI Kepangkuan Islam
NAMPAKNYA umat Islam kini sedang mencari Islam sebagai satu jalan penyelesaian yang selamat, setelah sekian lama mereka meminggirkan Islam dan hidup di bawah tempurung keduniaan yang gagal memberikan kebahagian hidup yang hakiki kepada mereka. Sudah sekian lama, mereka mencuba berbagai-bagai barangan import dalam beraneka jenis, seperti idea-idea, undang-undang, ilmu, seni, budaya, hiburan, ekonomi, politik, sistem pendidikan dan sebagainya dari segala perkara yang bersifat kebendaan belaka.
Tapi segala usaha mereka itu telah terdampar di batu karang kegagalan dan kekecewaan, dan akhirnya terpaksa mencari jalan keluar yang benar-benar selamat yang memang telah disediakan oleh Allah untuk mereka, tapi dipandang remeh dengan sebelah mata sahaja, dan dipinggirkan hingga hanyut ditelan masa berlalu.
Walaupun mereka mencari Islam sebagai jalan keluar, tapi kebanykan mereka hanya menumpu kepada satu hala sahaja, iaitu di bidang peribadatan, sedangkan Islam itu satu cara hidup yang syumul yang dapat menjamin kebahagian hidup manusia bukan sahaja di dunia, tapi juga di Akhirat yang kekal abadi. Mereka hanya sembahayang dan puasa, sehingga mereka tinggalkan syariat Islam yang lain yang juga amat penting, seperti dalam urusniaga [muamalat], jenayah [hudud], sistem politik, sistem ekonomi dan juga sistem kemasyarakatan Islam yang merupakan sebahagian daripada syariat-syariat Islam yang penting untuk dihayati.
Akibatnya mereka hidup dalam dua persimpangan jalan, di mana kehidupan ibadat mereka berada di suatu sudut, sedangkan kehidupan seharian mereka berada di sudut yang lain pula yang jauh beza antara keduanya seperti langit dan bumi. Keadaan ini menyebabkan mereka berada dalam keadaan tidak menentu, terumbang-ambing antara dua kehidupan yang sengit pertembungannya.
Perkara ini berlaku, kerana sebahagian besar umat Islam dan pemerintah Islam hari ini telah lama meninggalkan syariat Islam. Mereka telah menukar undang-undang ciptaan Allah yang Maha Agong dengan undang bikinan manusia. Berbagai-bagai hujah telah mereka rekakan untuk menghalalkan perbuatan mereka meninggalkan syariat Islam dan menggantikannya dengan undang-undang ciptaan manusia.
Namun, sejak kebelakangan ini, kebangkitan Islam terserlah hampir di seluruh dunia Islam. Masyarakat Islam menuntut supaya kita semua kembali kembali ke pangkuan Islam, iaitu kembali kepada jalan yang telah ditetapkan oleh Allah. Mereka telah menuntut supaya undang-undang Islam hendaklah dilaksanakan, dan bukannya berdasar hukum ciptaan manusia.
Tapi golongan-golongan yang sekular, puak-puak yang tidak mendapat taufik dan hidayah dari Allah, dan mereka yang menjadi musuh-musuh Allah, tetap memusuhi syariat Islam, dan biasanya jawapan mereka yang paling mudah untuk menolak tuntutan kembali kepada Islam itu ialah, “Hukum Islam tidak boleh dijalankan dalam keadaan sekarang, tidak boleh dijalankan dalam masyarakat berbilang bangsa, dan tidak boleh dijalankan dalam keadaan umat Islam yang masih belum memahami sepenuhnya tentang hukum-hukum Islam”, atau akan berkata, “Hukum Islam sudah lapuk, tidak sesuai lagi pada hari ini”. Dan lain-lain jawapan yang senadanya.
Keadaan menjadi tambah buruk, kerana kebanyakan media massa, baik akhbar, radio, tv dan sebagainya dikuasai pula oleh mereka yang tidak begitu memahami hukum-hukum Allah, ataupun media massa tersebut telah diperalatkan oleh kalangan yang tidak faham tentang Islam atau anti-Islam untuk memburuk-burukkan syariat Islam dan juga menakut-nakutkan manusia terhadap syariat Islam yang syumul yang datangnya dari Allah S.W.T. itu.
Sedangkan ciri-ciri seorang Muslim yang sejati ialah beriman, dan keimanan inilah yang menyebabkan seseorang mengakui syariat Allah, serta menerima dan tunduk patuh kepada syariat itu, dan ini selaras dengan pengertian Islam itu sendiri yang membawa makna menerima dan patuh kepada perintah Allah.
Allah berfirman, maksudnya, “Sesungguhnya jawapan orang Mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya agar Rasul menghukum di antara mereka, mereka mengucapkan, “Kami mendengar dan kami patuh”.An-Nur:51.
FirmanNya lagi, maksudnya, “Maka demi Tuhanmu, mereka [pada hakikatnya] tidak beriman sehinga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan; kemudian mereka tidak merasa di dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya”. An-Nur:65.
Justeru, seseorang itu tidak beriman dalam erti kata yang sebenarnya, selagi dia tidak menghukum atau mengadili setiap kes atau pertikaiannya mengikut cara yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya. Dan dia pula hendaklah redha menerima hukum Allah dan RasulNya itu dengan sepenuh hati.
Oleh itu, amatlah menghairankan, kiranya ada orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah dan RasulNya tapi senafas itu juga lebh mengutamakan hukum lain daripada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah dan RasulNya dalam menyelesaikan sebarang persoalan yang dihadapinya itu.
Allah berfirman, maksudnya, “Kekuasaan menetapkan hukum itu hanya hak Allah”. Al-Anam:57.
Dan,”Ingatlah, menciptakan dan memerintah adalah kekuasaan [hak] Allah sendiri”.Al-A’raf:54.
Dan juga, “Dan tidak sekali-kali Tuhanmu pelupa”. Maryam:64.
Ketiga-tiga ayat di atas dengan jelas menunjukkan bahawa tidak ada sedikit pun perbuatan Allah yang tidak mempunyai sebarang hikmah. Maka dengan itu bererti menolak atau menentang sebahagian daripadanya samalah ertinya menolak dan menentang perbuatan Allah S.W.T. secara keseluruhannya.
Justeru bagaimanakah kedudukan orang-orang Islam yang sengaja menolak perlaksanaan hukum Islam?
Berhubung dengan pertanyaan ini, seorang penulis Islam yang terkenal, Abdul Rahman Abdul Khaliq pernah menegaskan:
“....jadi pendustaan kepada hukum itu atau penolakaannya adalah menjadi kufur yang mengeluarkan seseorang dari agama Islam. Hukum itu tidak boleh dipertikaikan sama sekali.....khususnya jika penolakan itu dibuat dengan alasan perundangan ini tidak sesuai dengan manusia, atau tidak selari dengan zaman, atau ianya undang-undang yang buas atau alasan-alasan lain lagi; sebab menghina undang-undang pada hakikatnya bermakna menghinakan pencipta undang-undang itu sendiri.
“Sesungguhnya yang mencipta undang-undang ini dan menghukumnya ialah Allah S.W.T.....seseorang yang menghina Allah, atau mengatakan ada kekurangan atau mengatakan Allah jahil menyebabkannya kufur dan terkeluar dari agama Islam.
“Maka dengan itu bererti golongan yang menolak syariat Islam itu telah terkeluar dari kumpulan orang-orang Islam, sehinggalah mereka “mengistiharkan taubat mereka dan kembali kepada Allah S.W.T.”.
Hiduplah dengan semangat Mahabbah dan harmoni untuk menempa kebahagian di dunia dan meraih kebahagian di Akhirat. Amin.
xxxxxxxxxx
Renungilah
-“Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim [kasih sayang persaudarannya]”. Musttafaq ‘alaih.
-“Berbaktilah kepada Allah dan hubungkanlah tali persaudaraan kamu, kerana yang demikian itu lebih kekal buat kamu di dunia dan lebih baik bagi kamu di akhirat”. HR:Ibn Jarir.
-“Sesungguhnya rahmat tidak akan turun kepada sesuatu kaum yang ada di antara mereka seorang yang memutuskan tali pesaudaraan”. HR:Bukhari.
-“Dua orang yang Allah tidak endahkan ia pada hari kiamat: pemutus tali persaudaraan dan tetangga yang jahat”. HR:ad-Dailami.
0 comments:
Post a Comment