Kenapa Dunia Memerlukan Islam?
>> Saturday, July 24, 2010
KENAPA Dunia Memerlukan Islam?
MEMANG telah nyata bahawa, tanpa agama yang luhor dan sempurna, dunia hari ini akan terus berada dalam kegelapan dan kemerbahayaan. Golongan-golongan pelampau akan terus bertindak secara membuta tuli yang menyebabkan tercetusnya pertelagahan pendapat dan ideologi yang sengit di kalangan penduduk dunia. Sedangkan untuk mencegah persengketaan, amatlah penting mencabut segala faktor yang boleh mencetuskan persengketaan itu daripada bersarang di minda dan di lubuk hati umat manusia sejagat.
Dengan itu barulah akan wujud kedamaian dan keamanan sejagat yang sebenarnya. Keamanan dan kedamaian amatlah diperlukan oleh berjuta-juta manusia sejagat, jika dibandingkan dengan manusia jahiliah yang gemar membahagi-bahagikan manusia kepada berbagai-bagai suku dan bangsa yang berbeza-beza yang telah melebarkan jurang perpisahan antara manusia yang menjadi salah satu fakor berlakunya persengketaan.
Jika peperangan yang total berlaku, maka sudah tentu lebih banyak kemusnahan akan berlaku, termasuklah peradabaan yang telah dicapai oleh manusia dengan penuh kesukaran dan menelan masa yang begitu lama akan hancur. Walaupun kemajuan sains dan kebendaan hari ini telah dicapai dengan begitu pantas, tapi kemajuan kerohanian manusia tidak pula meluncur selaju itu, malah terus curut ke belakang dalam dunia kebendaan hari ini.
Justeru timbullah jurang yang luas yang memisahkan kemajuan kebendaan yang begitu pesat dengan keadaan jiwa manusia yang kosong hari ini. Manusia sudah pasti, tidak akan menemui kebahagiaan andainya mereka menghabiskan masa dan daya usahanya untuk mengejar kemajuan kebendaan dan dunia semata-mata, sedangkan kita kehilangan jiwa kita dalam usaha-usaha tersebut. Justeru itu, pencapaian kemajuan kebendaan mestilah diselaraskan dengan kemajuan kerohanian manusia.
Hari ini, kita masih hidup dalam dunia yang tercaing-caing dan terkoyak-koyak. Lihat apa yang berlaku di Pakistan, di India, di Kasymir, di Afrika, di Timur Tengah, di Amerika, di Eropah, malah di mana-mana sahaja,api sengketa masih terus menyala, malah kadang-kadang membakar hangus. Cubalah perhatikan, banyak negara-negara di dunia hari ini berada dalam keadaan tersingkir dan lesu, hidup dalam semangat kebangsaan yang sempit, perpbezaan budaya dan ekonomi, dan pemisahan sosial sebagaimana yang berlaku sebelum Perang Dunia ke-2 dahulu. Prasangka agama masih membara, dan biasanya yang menjadi mangsa dan korban ialah golongan minoriti Islam dunia.
Problem ini tidaklah dapat diselesaikan tanpa diketahui apakah perkara yang sebenarnya berlaku di dunia hari ini. Dan problem dunia yang berat ini tidaklah dapat diselesaikan dengan mudah sebagaimana disangkakan oleh kebanyakan orang, seperti menerusi pertukaran seni dan budaya, atau penyampaian bantuan ekonomi, atau peminjaman teknologi antara sebuah negara dengan sebuah negara yang lain. Demikian juga ia tidak dapat diselesaikan dengan acara permainan bolasepak antara sebuah negeri dengan sebuah negeri, atau antara sebuah negara dengan sebuah negara di peringkat antarabangsa, tayangan-tayangan video dan filem-filem ataupun menerusi tulisan-tulisan juga tidak berkesan.
Seluruh dunia hari ini terlempar dalam kemelut dan kegelisahan, tergugat oleh kemerosotan perdagangan, pengangguran, kelaparan, jenayah, korupsi dan berbagai-bagai problem lagi yang telah memporakperandakan asas-asas hubungan manusia sesama manusia di seluruh jagat ini. Demikian juga dengan perbezaan warna kulit, keturunan dan agama telah menjadi begitu ketara di sesetengah negara, sehingga mencetuskan pergeseran kaum yang sengit.
Nampaknya, faktor utama yang menyebabkan kecelaruan ini ialah kerana kita manusia telah kehilangan matlamat hidup yang sebenarnya. Walau bagaimanapun, agama yang benar tidak memisahkan antara kepentingan kerohanian dengan kepentingaan kebendaan. Ertinya kita tidak boleh meninggalkan kepentingan dunia dalam mengejar kepentingan Akhirat. Kerana tujuan akhir kita, bukanlah semata-mata untuk meraih kebendaan, kerana benda-benda hanya merupakan perlatan semata-mata. Tidak lebih dari itu. Sejarah mengajar kita, mengejar dunia secara membuta-tuli, tidak akan dapat memberi kebahagian yang sebenarnya kepada jiwa manusia, apa lagi kalau dalam berbuat demikian mereka memusnahkan nilai-nilai kerohaninnya. Akibatnya jadilah manusia sebagai haiwan yang merangkak di bumi.
Justeru, agama yang luhor bukanlah semata-mata agama yang mengandungi cara-cara beribadat, tapi ianya lebih jauh dari itu, antaranya mempunyai peraturan-peraturan sosio dan ekonomi, peraturan-peraturan nasional dan internasional, dan agama itu pula bukan semata-mata mengajar persamaan taraf di kalangan umat manusia, tapi yang lebih pentingnya ajaran-ajaran itu mestilah diamalkan dalam kehidupan.
Agama yang luhor juga mesti mampu menyelesaikan problem-problem manusia yang simpel secara perseorangan dan juga mampu menyelesaikan problem-problem masyarakat dan bangsa baik dari segi sosio, politik, ekonomi dan sebagainya. Hanya agama seperti ini mampu membentuk sebuah masyarakat sejagat yang ideal tanpa perbezaan darjah dan warna kulit, sedangkan pada asasnya semua manusia dilahirkan sama belaka.
Agama itu mestilah agama yang percayakan keesaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Agong, Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan yang memiliki Syurga dan neraka. Syurga untuk orang-orang yang taqwa dan neraka untuk orang-orang yang ingkar. Syurga adalah sebaik-baik tempat untuk dihuni, dan sebaliknya neraka adalah sejahat-jahat tempat. Syurga tidak dapat diraih tanpa usaha dan kerja keras. Ia tidak boleh semata-mata dengan menyebut dan mengulangi-ulangi ayat-ayat tertentu. Tapi ia mesti diusahakan sendiri. Tidak ada perantaraan. Dan segala usaha kita ini akan ditimbang dan dinilai dengan seadil-adilnya di Akhirat nanti oleh Allah S.W.T, untuk menerima hukuman baik atau sebaliknya hukuman jahat.
Dalam agama yang benar ini, kekuasaan yang mutlak hanya terletak di tangan Allah, dan salah satu daripada tujuan utamanya ialah untuk mewujudkan kedamaian rohani dan jasmani. Dan jalan untuk menuju kedamaian itu semata-mata dengan taqwa kepada Allah sebagaimana diajar oleh semua Nabi-nabi Allah.
Ketiadaan kepercayaan kepada Allah yang Maha Agong, Maha Melihat dan Maha Mendengar adalah merupakan sebab utama berlakunya begitu banyak kekacauan di dunia hari ini. Apa yang hendak diindahkan oleh manusia yang tidak beriman?
Semua ciri-ciri yang unggul ini terdapat dalam Islam. Malah dalam agama Islam itu ada segala-galanya. Ianya bukan agama semata-mata, tapi padanya terkumpul satu cara hidup yang unggul dan sempurna yang dapat menjamin kebahagian manusia di dunia dan di Akhirat. Ia menjadi faktor yang menghidupkan umat manusia di peringkat daerah, nasional dan internasional.
Ibadat dalam Islam membentuk jiwa manusia menjadi makhluk yang taqwa, bukannya merupakan lagu-lagu yang dinyanyikan untuk memuja Allah. Sebagai agama sejagat, dalam Islam tidak ada kedaulatan bangsa, exploitasi ekonomi, tidak ada gila kuasa dalam Islam. Kerana semua kuasa adalah milik Allah, sedangkan manusia Islam hanya sebagai Khalifah yang menjalankan amanat-amanat Allah semata-mata.
Justeru itu sesiapa yang mnenolak hukum Allah bererti ingkar atau derhaka kepada Allah yang Maha Mengetahui segala-galanya. Dan perbuatan itu merupakan dosa dan setiap dosa akan menerima pembalasan di Akhirat kelak. Menolak perlaksanaan sesuatu hukum yang telah disyariatkan kerana bimbang akan tercetusnya pergeseran kaum adalah dangkal dalam kedurhakaan kepada Allah. Justeru sebelum terlambat, marilah kita kembali ke jalan Allah untuk menemui kebahagian dunia dan Akhirat, jalan yang luas terbentang, jelas dan nyata dan jalan yang diredhai Allah.
Hiduplah dengan Mahabbah dan Harmoni berlandaskan keredhaan Allah untuk meraih kebahagian dunia dan Akhirat.
Xxxxxxxxxxx
Renungilah:
“Ada empat perkara yang apabila diberikan kepada seseorang, sesungguhnya dia telah memperoleh kebaikan dunia dan akhirat iaitu:
Pertama:Hati yang sentiasa bersyukur.
Kedua:Lisan yang sentiasa berzikir.
Ketiga:Tubuh yang sentiasa sabar dalam menanggung musibah
Keempat:Isteri yang tidak pernah khianat, sama ada terhadap dirinya atau terhadap harta benda suaminya”. H.R:Tirmizi & Ibnu Hibban.
0 comments:
Post a Comment