Menangislah Wahai Sayang
>> Monday, July 5, 2010
MENANGISLAH Wahai Sayang
Ada orang menangis bila kehilangan ayah dan bonda.
Ada orang menangis bila kehilangan anak.
Ada orang menangis bila kehilangan isteri.
Ada orang menangis bila kehilangan suami.
Ada orang menangis bila kehilangan harta kekayaan.
Ada orang menangis kerana kehilangan pekerjaan.
Ada orang menangis bila kehilangan pangkat.
Ada orang menangis bila terkena musibah atau malapekata.
Pendeknya ada berbagai-bagai sebab yang boleh mencetuskan seseorang untuk menangis yang memerlukan senarai yang panjang untuk mencatatnya satu persatu.
Kepada orang yang saleh dan beriman, mereka juga menangis dan meratap tapi mereka menangis dan meratap kerana Allah.
Diriwayatkan dari ‘Athaa, katanya, “Bersama dengan Ibnu Umar dan ‘Ubaid bin “Amr, pernah saya masuk rumah ‘Aisyah Radhiyallaahu ‘anhaa yang menceritakan kepada kami suatu Hadis yang paling menakjubkan dari Nabi ‘Alaihis Shalaatu was Salaam.
‘Aisyah lalu menangis seraya berkata, “Pada suatu malam tepat pada malam giliran untukku, datanglah Rasulullah, ‘Alaihis Shalaatu was Salaam, Kulit beliau pun lalu bersentuhan dengan kulitku, kemudian baginda bersabda, “Hai Aisyah, izinkanlah aku beribadat kepada Tuhanku”.
Saya jawab, “Sesungguhnya aku tak menyukai hawa nafsuku, tapi aku lebih suka kedekatan engkau kepada Allah Taala”.
Baginda pun lalu berangkat untuk bertaqarrub [mendekat kepada Allah] di dalam rumah, sedang beliau menangis, lalu berwudhu’, banyak air yang baginda cucurkan, kemudian dibukanya al-Quran, lalu menangis lagi sehingga air matanya mengalir menitik ke atas bumi.
Bila Bilal datang baginda terus menangis. Maka berkata Bilal, “Ya Rasul Allah, kutebus engkau dengan bapa ibuku, kenapakah tuan menangis. Sesungguhnya Allah telah mengampun dosa yang telah tuan lakukan maupun yang belum?”.
Jawab Rasul Alaihis Shalaatu was Salaam, “Patutkah aku menjadi seorang hamba yang tidak banyak bersyukur? Dan kenapakah aku tak boleh menangis, sedang Allah Taala semalam benar-benar telah menurunkan, ayat.[Beliau pun membaca ayat 190 hingga 191, Surah Ali-Imran yang bermaksud] “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal”, iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang [penciptaan langit dan bumi seraya berkata,”Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka”.
Hai Bilal, tiada yang mampu memadamkan neraka itu selain air mata. Celakalah orang yang membaca ayat ini sedang dia tidak memikirkan isinya”.
Ada riwayat mengatakan bahawa Nabi Daud as. selepas membuat kesalahan, tidak akan minum sebelum daripada separuh dari gelasnya itu adalah air matanya.
Khalifah Sayyidina Umar Al-Khatab Radhiyallahu’anhu pernah jatuh tersungkur pingsan bila mendengar ayat-ayat al-Quran berhubung dengan siksaan Allah terhadap orang-orang yang mengingkari perintahNya.
Tamin Adduri ra. Ketika membaca ayat 21, Surah Aljaastiysiah akan mengulangi-ulanginya sambil menangis sehingga subuh. Ayat itu bermaksud, “Apakah orang-orang derhaka itu mengira Kami akan menyamakan mereka dengan orang-orang yang beriman dan beramal saleh”.Aljaatiysiah: 21.
Abdullah bin Mas’uud berkata, Nabi saw. bersabda, maksudnya, “Tiada seorang hamba yang telah keluar dari matanya sebesar lalat atau kepala lalat air mata kerana takut kepada Allah sehingga menetes ke mukanya, lalu tersentuh api untuk selamanya”.
Ini menunjukkan setiap orang yang pernah menangis sehingga menetes airmata ke mukanya kerana takut kepada Allah pasti tidak akan disentuh oleh api neraka untuk selama-lamanya.
Al-Hassan Al-Bashri berkata, baginda Rasulullah saw. bersabda, maksudnya, “Tiada titisan yang lebih disukai Allah dari dua titisan, iaitu titisan airmata di tengah malam yang gelap, dan titisan darah dalam jihad fisabillah”.
Ikrimah dari Ibnu Abbas berkata, maksudnya, “Tidak ada air mata menitis kecuali dengan kurnia Allah, dan tidak menitis airmata seseorang kerana takut kepada Allah melainkan Malaikat akan mengusap-usap hatinya”.
Anas bin Malik ra. berkata, baginda saw. bersabda, maksudnya, “Tiada berlinang airmata kerana takut kepada Allah melainkan mengharamkan neraka untuk membakarnya, dan bila airmata itu mengalir ke muka, maka muka itu tidak akan diliputi kusut atau kehinaan. Dan tiada suatu amal kebaikan melainkan ada ketentuan pahalanya kecuali airmata, maka ia dapat memadamkan beberapa lautan api, dan andai kata seorang hamba menangis kerana takut kepada Allah untuk suatu umat, niscaya Allah akan memberikan rahmat bagi umat itu, kerana tangis hamba itu”.
Al-Hassan Albashri, ketika melihat orang sedang makan-makan di atas perkuburan berkata, “Itu orang munafik, maut itu di depan matanya, dan dia masih ingin makan”.
Ibnu Mas’uud Ra. berkata, maksudnya, “Seharusnya seorang yang mengerti al-Quran dikenal waktu malamnya. Ketika orang-orang sedang tidur, dan waktu siangnya ketika orang-orang tidak berpuasa, dan sedihnya ketika orang-orang sedang gembira, dan tangisannya di waktu orang-orang tertawa, dan diamnya di waktu orang-orang bercakap, dan khusyuknya di waktu orang-orang berbangga. Juga seharusnya seorang yang mengerti al-Quran itu tenang, lunak dan prihatin dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai dan bersuara keras dan hilang akal”.
Memang ramai orang yang menangis setiap hari kerana berbagai-bagai perkara, tapi jarang orang yang menangis kerana takutkan Allah.
Allah S.W.T. memuji orang yang menangis keranaNya, justeru itu menangis merupakan amalan yang terpuji.
Allah berfirman, maksudnya, “Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat [Allah] Ar-Rahman, mereka segera sujud dan menangis”. S.Maryam:58.
FirmanNya lagi, maksudnya, “Dan mereka menumuskan mukanya dengan sujud itu sambil menangis, sedang al-Quran menambahkan mereka khusyuk”.S.Al-Isra’:109.
Rasulullah saw. bersabda maksudnya bahawa orang yang menangis sedih kerana takutkan Allah adalah salah satu daripada tujuh kumpulan manusia yang dilindungi Allah di Hari Kiamat nanti, sedangkan pada masa itu tidak ada lagi sebarang perlindungan selain dari perlindungan Allah Azzawajalla.
Sabda baginda lagi, maksudnya, “Seorang yang sentiasa menyebut-nyebut nama Allah dalam masa lapang, lalu kedua kelopak matanya mengenangi airmata”.
Sabda Baginda saw., maksudnya, “Setiap mata akan menangis di Hari Kiamat melainkan mata yang telah menangis kerana takut kepada Allah, dan mata yang celik berjaga fisabillah”.
Sabda Rasulullah saw.maksudnya, “Seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah tidak masuk ke dalam neraka, meskipun susu dapat kembali kepada tetek ataupun unta boleh masuk ke dalam lubang jarum”.
Dari Ibnu Abbas dan dari Al Abbas bin Abdul Muththalib, berkata, baginda Rasulullah saw. bersabda, maksudnya, “Apabila kulit seorang hamba memucat kerana takut kepada Allah Taala, maka gugurlah daripadanya dosa-dosanya sebagaimana daun-daun gugur dari pohon yang telah kering”.
Justeru amalan menangis meningati Allah itu amalan yang terpuji, maka kita digalakkan untuk menangis selagi hayat dikandung badan. Menangislah sebelum kita dtangiskan [jika ada yang sudi], merataplah sebelum kita diratapkan [jika ada yng ingin meratap]. Risaulah terhadap kematian, sebelum kita dirisaukan [jika ada yang sudi].
Menurut Syikh Abdullah, jika kita tidak mampu menangis secara automatic, maka kita hendaklah berusaha menjadikan diri kita menagis kerananya.
“Dan jika masih juga sukar”, kata beliau, “maka hendaklah gambarkan betapa susahnya untuk menghadapi hal-hal yang akan menimpa diri anda pada Hari Akhirat kelak yang tidak boleh tidak akan tiba. Sekiranya kita benar-benar telah beriman kepada Allah dan mempercayai segala yang diajarkan oleh Nabi Muhammd Rasululah saw, maka pasti anda akan hiba dan menangis, jika anda mempunyai hati yang berperasaan dan akal yang boleh menimbang. Tapi jika anda tiada mempunyai hakikat-hakikat itu, maka anggaplah diri anda ketika itu sebagai seekur binatang yang dipelihara dalam kandang, atau yang melata di padang rumput, tiada berguna lagi, sebab Allah S.W.T. hanya menunjukkan percakapan dan peringatanNya kepada manusia yang berhati perut”.
Allah berfirman, maksudnya, “Dan tiadalah yang dapat pengajaran [dan peringatan] melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya”. S:Al-Baqarah:269.
Justeru itu, menangislah. Menangislah wahai sayang, baik anda seorang remaja, dewasa dan lebih-lebih lagi dalam usia emas. Menangislah kerana Allah, kerana tangisan itu akan menjadi benteng kepada anda daripada bakaran api neraka di Akhirat nanti.
Di samping hidup Mahabbah dan harmoni, menangislah, dan menangislah kerana Allah. Menangislah! Wahai sayang!
0 comments:
Post a Comment