Durian

>> Saturday, July 17, 2010


Durian


POHON durian sejenis tumbuhan yang mempunyai batang yang lurus dan boleh naik setinggi kira-kira 40 meter. Biasanya ia mempunyai banyak dahan atau cabang yang beranting-ranting pula. Daunnya berwarna hijau keperang-perangan, dan berbentuk tirus di kedua-dua belah hujungnya.

Di samping pokok durian yang biasa itu, ada lagi dua jenis pokok durian yang dikenali dengan panggilan durian belanda atau durian selat, dan durian aur atau durian daun, yang berlainan bentuk pokok dan buahnya, dan berlainan bau dan rasanya, serta berlainan khasiatnya.

Kalau kita pergi ke kampung-kampung, khusunya kampung-kampung tradisional, sudah tentu kita dapat melihat pokok-pokok durian yang biasa itu tumbuh di merata-rata tempat, termasuk di halaman rumah sekali pun.

Pada dahan-dahan atau ranting-ranting yang besar itulah pokok durian mengeluarkan bunga-bunganya yang berjambak dan berjuntaian. Pada setiap jambak itu biasanya mengandungi 3 hingga 30 kuntum bunga yang berkembang pada waktu malam dengan mengeluarkan aroma tertentu.

Di situlah nanti lahirnya buah-buah durian yang berbagai-bagai saiznya tapi kebanyakannya sebesar buah kelapa yang berkulit dan bebagai-bagai pula bentuknya, seperti bulat, bujur telur, bentuk pir, bulat memanjang dan sebagainya. Kulit durian mempunyai banyak duri yang biasanya tajam, dan buahnya pula berpangsa-pangsa bila dibelah dan dalam setiap pangsa itu mengandungi antara satu hingga 7 ulas isi durian yang biasanya mempunyai biji atau butir yang keras. Tapi kadang-kadang ada juga yang tidak berbutir, atau mempunyai butir yang amat kecil, dipanggil kopek, dan inilah yang amat disukai oleh pemakan durian, kerana ia mengandungi lebih banyak isi. Biasanya butirnya berbentuk lunjung dan berwarna coklat muda.

Isi durian yang masak lembut keadaannya, dan biasanya berwarna putih atau kuning dan ada juga yang berwarna jingga. Isi durian yang berwarna kuning biasanya mempunyai rasa yang lebih sedap daripada yang berwarna putih, kerana itu ia lebih disukai.

Selain mempunyai buah yang sedap dimakan, pokok durian juga sudah diketahui mempunyai beberapa guna dari segi penawaran penyakit-penyakit yang tertentu.

Penawar

Penawar Demam Panas

Ambil akar durian, diricis-ricis dan direbus, dan biarkan sejuk. Ditapis dan diminum untuk merawat demam panas yang berpanjangan lebih dari tiga hari.

Melancar Darah Haid

Kaum wanita yang haidnya tidak lancar sudah tentu akan merasa tidak menyenangkan. Untuk mengatasi hal ini anda hendaklah membakar kulit durian, dan diambil abunya, kemudian direbus. Biarkan ia sejuk, kemudian tapis dan minum. Insyallah ia dapat melancarkan darah haid anda.

Demam Kuning

Pengidap demam kuning boleh juga mencari penawar dari pokok durian. Anda hendaklah ambil daun durian yang tua dan elok, bersihkan lalu direbus. Kemudian campurkan air rebusan yang panas itu dengan air biasa dalam sebuah bekas hingga menjadi suam-suam kuku. Mandilah untuk merawat demam kuning.

Daunnya pula ditumbuk atau digiling hingga lumat dan disapu mana-mana bahagian badan yang kelihatan kuning.

Tidak ada salahnya jika anda juga mengambil ubat yang diberikan oleh doktor-doktor di hospital atau klinik-klinik.

Hidangan

Buah durian juga boleh dibuat berbagai-bagai hidangan atau masakan yang enak dimakan.

Isi buah durian yang masak boleh dimakan mentah begitu sahaja. Rasanya manis dan sedap. justeru begitu hebat rasanya sehingga ia digelarkan raja buah.

Isi durian masak boleh dicampur dengan berbagai-bagai jenis makanan atau masakan untuk menambahkan keenakannya.

Biasanya di kampung-kampung durian di makan dengan pulut kukus atau pulut tanak yang dimakan dengan santan dan dicampur gula atau gula melaka untuk menyedapkannya, serta diberikan sedikit garam secukup rasa.

Ia juga boleh dicampur dalam dodol, jemput-jemput atau cucur kodok, apam, nasi manis atau wajek, ia boleh dicampur dalam bubur kacang atau pengat untuk menimbulkan rasa durian.

Ia boleh dicampur dalam minuman atau aiskrim yang dikenali dengan panggilan airkrim durian.

Ia boleh dibuat tempoyak, iaitu diperam setelah digaul dengan garam atau dibuat lempok yang dimasak dengan gula hingga pekat. Kedua-dua makanan ini boleh tahan lama untuk disimpan.

Durian atau tempoyak itu pula boleh dibuat sambal, iaitu dengan mengaulnya bersama sambal lada, ataupun dicampur dengan budu yang diberi lada api, untuk dimakan dengan ikan panggang tawar.

Isi durian mentah atau tidak cukup masak keadaannya keras, boleh juga dimakan begitu sahaja, tapi rasanya tawar] atau boleh dimasak sayur lemak bersantan, ataupun dibuat pengat, bersantan dan bergula. Bila masak boleh dimakan dengan roti pengganti bubur.

Selain dari isi, butir atau biji durian juga boleh dimakan. Biji durian itu hendaklah direbus hingga empuk, dan boleh dimakan begitu sahaja atau untuk lebih sedap dimakan dengan gula.

Atau butir durian yang direbus itu boleh dipotong nipis-nipis, berkeping-keping kemudian dijemur panas hingga kering. Bila hendak makan kepingan butir durian itu hendaklah digoring seperti menggoring keropok. Itulah dia kerpok butir durian yang tidak dijual di pasar.

Pucuk dan daunnya yang muda boleh dibuat sayur.

Bunga-bunga durian yang kembang pada waktu malam dan gugur itu hendaklah segera kutip di pagi-pagi hari sebelum ia rosak, untuk dibuat sayur atau dipotong-potong untuk dibuat kerabu dan seumpamanya.

Kulit buah durian boleh dijemur kering untuk dijadikan bahan bakar, untuk digunakan ketika memasak dan sebagainya.

Pada masa dahulu, tahi-tahi judi akan menggunakan buah durian sebagai bahan perjudian. Sesiapa dapat meneka atau meramal jumlah isi durian yang terdapat dalam beberapa biji buah durian dengan tepat atau hampir tepat akan diterima sebagai pemenang dan akan menerima wang pertaruhan yang telah dibuat terlebih dahulu sebelum acara membilangnya dimulakan, dan prjudian itu diakukan di tempat di mana buah-buah durian itu dijual. Isi durian yang kulitnya dikopek untuk dibilang itu akan dimakan bersama oleh mereka, dan siapa yang kalah kenallah bayar harga durian yang diperjudikan itu.

Pada masa masa dahulu di negeri Kelantan kampung yang terkenal dengan pengeluar buah durian yang baik dan sedap rasanya ialah Kampung Dewan Beta dan Kampung Salor, kedua-duanya terletak dalam jajahan Kota Bharu. Tapi sekarang?

Untuk peringatan, kalau anda memakan durian, terutama kalau makan dalam quantiti yang agak banyak, anda hendaklah minum air sejuk yang diletak dalam paksa durian yang anda makan itu. Khasiatnya dipercayai dapat mengurangkan rasa panas pada badan anda.

Di samping itu pengidap penyakit-penyakit kronik yang tertentu, terutama penyakit kencing manis dinasihati supaya berhati-hati dengan buah durian yang cukup manis rasanya itu.

Pada akhirnya, untuk kesejahteraan anda, bermahabbahlah dalam makan dan minum, dan berharmonilah dengan alam ciptaan Allah.

*********
Renngilah

-“Barangsiapa mencintai dunia semata-mata dalam hidupnya, maka Allah akan mencampakkan ke dalam hatinya empat perkara:

Pertama:Kerungsingan yang tidak pernah selesai.
Kedua:Kesibukan yang tidak pernah habis.
Ketiga:Kemiskinan yang tidak pernah kaya.
Keempat:Harapan yang tidak pernah tercapai”.Maksud Hadis.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP